Khamis, Februari 23, 2012

Nama besar adu nasib


petikan Harian Metro 23 Februari 2012
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my
* gambar dari Kosmo & mstar
       
CUBA kita bayangkan bagaimana agaknya jika artis-artis hebat dipertandingkan di satu pentas manakala penjurian terletak seratus peratus pada tangan penonton? Siapakah yang akan menyerlah menunjukkan sisi lain dalam persembahan dan siapa pula yang bakal kecundang?

Gah dan berprestij, Astro Ria secara eksklusifnya memperkenalkan program realiti terbaru Mania, di mana 15 artis popular tanah air bertarung untuk merebut ganjaran lumayan yang ditawarkan.

Meskipun sebelum ini, Astro pernah menerbitkan rancangan pertarungan antara artis iaitu Ikon, namun Mania menampilkan kelainan tersendiri.

Buat pertama kalinya dan belum pernah diadakan negara-negara lain, penonton bakal menyaksikan satu dimensi baru dalam industri hiburan dengan terbitnya Mania.

Dikemudi hos tersohor, Aznil Nawawi, 12 artis popular sudah menempa tempat dalam pertandingan ini dan tiga lagi bakal diumumkan pada episod pertama nanti.

Mengambil berat relevan dan kekuatan daripada segi bakat serta populariti, semua yang terpilih bukan calang-calang artis, malah ramai daripada mereka sudah berdiri selesa di pentas industri nyanyian. Segelintir mereka juga pernah memenangi anugerah acara-acara berprestij.

Mengulas lanjut mengenai Mania, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, sudah tiba masanya pihak Astro menerbitkan satu program yang mampu memperkasakan industri.

“Seni muzik adalah cabang yang paling ketara mendapat perhatian ramai. Dengan hadirnya program ini, suatu kelainan dapat penonton saksikan kerana bukan saja disertai artis, tiga ikon muzik tersohor turut terbabit sebagai penerbit muzik dalam program berkenaan.

“Dengan nama-nama besar ini, satu fenomena bakal tercetus dalam industri hiburan dan yang pasti, akan melahirkan superstar pilihan ramai bertepatan dengan matlamat rancangan ini.

“Kriteria pemilihan artis bertanding pula adalah berdasarkan kepada keinginan serta komitmen mereka untuk terbabit sepenuhnya dalam rancangan yang akan berjalan selama 10 minggu ini. Sebenarnya, ada ramai nama yang tersenarai pada awalnya, namun selepas ditapis, pihak juri sebulat suara memilih 12 yang layak,” katanya.

Memulakan episod pertamanya pada 17 Mac ini, 12 penyanyi terkenal yang berjaya menjadi peserta Mania adalah Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Adira AF8 dan Awi Rafael. Manakala, dua lagi tempat diisi oleh band Estranged dan Kristal.

Mereka semua akan dibimbing oleh tiga penerbit lagu tersohor iaitu Datuk M Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito. Setiap penerbit juga diberi kuasa untuk memilih empat artis kegemaran untuk diletakkan di bawah bimbingan dan pemerhatian mereka.

Nizam berkata, tiga ikon berkenaan dilantik berdasarkan latar belakang, reputasi serta kredibiliti hebat sepanjang berada dalam industri. Sudah lama bertapak di industri, pemilihan mereka amat tepat lantaran masing-masing mempunyai kekuatan dari sudut berbeza seperti konsep muzik dan genre.

“Proses pembentukan seseorang penyanyi adalah penting dan tidak boleh dipandang remeh kerana impaknya yang mendalam mencorak kepada kejayaan mereka di persada seni.

“Penerbit muzik yang hebat ini sebenarnya tunjang utama dalam membuat transformasi kepada setiap peserta. Ini seterusnya mencetuskan evolusi superstar dalam industri muzik dan segala tunjuk ajar serta khidmat bimbingan bakal merubah penyanyi ke sisi yang lebih tinggi.

“Melihat kepada pengalaman dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing, kami percaya ia akan dapat memberi manfaat kepada peserta, sekali gus menyumbang kepada kejayaan program Mania ini,” ujarnya.

Bagi tiga lagi artis yang bakal diserap masuk menjadi peserta, pemilihan mereka adalah berdasarkan undian Hot Seat daripada peminat.

Kaedah ini bukan saja memberi peluang kepada peminat untuk mengundi artis kegemaran mereka, malah mampu memperkuat lagi sokongan terhadap artis yang mereka inginkan berada dalam program berkenaan.

Dari segi format rancangan, Mania akan memberikan kuasa sepenuhnya kepada penonton di rumah untuk memilih siapa peserta kegemaran mereka dan dalam setiap episod, sebaik undian ditutup, maka peserta dengan undian tercorot akan disingkirkan.

Cukup lumayan, habuan untuk juara Mania berupa wang tunai RM500,000, naib juara RM200,000 manakala tempat ketiga RM100,000.

Sementara itu, penerbit muzik yang mana penyanyi bimbingannya berjaya dinobatkan juara, juga bakal menerima ganjaran wang tunai RM300,000.


Senarai Artis Kategori Undian Hot Seat

1. Idayu AF2
2. Akma AF3
3. Noni AF5
4. Ebi AF5
5. Shawal AF5
6. Riz AF6
7. Toi AF6
8. Nadia AF6
9. Aishah AF7
10. Aril AF7
11. Daus AF8
12. Maulana AF8
13. Azri AF9
14. Kay AF9
15. Lena AF9
16. Erul AF9
17. Fina AF9
18. Chaq Mentor
19. Fiq Mentor
20. Mohd Mentor

Undian boleh dibuat di www.mania.com.my bermula 20 Februari hingga 16 Mac 2012.

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

Kembara macam ada problem je show dorang, tiket tak jadi jual.

Dates salah susun ke hapa ntah bila aku tepon Esplanade.

Saudagar Mimpi berkata...

Deaf : Biar tak jadi jual dari dah terjual mcm konsert sifu dulu tu.