Isnin, Januari 30, 2012

M.Nasir Anggap Awan Nano Menang Sebab Nasib

petikan mynewshub.my 30 Januari 2012

KUALA LUMPUR – Komposer Datuk M. Nasir menganggap lagu ciptaannya berjudul Awan Nano yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) hanya bernasib kerana terpaksa bersaing dengan ramai komposer muda pada final pertandingan itu semalam.
“Semua ini (kemenangan) nasib. Semua budak-budak muda (komposer baru) yang bertanding malam ini dahsyat-dahsyat belaka,”
 komennya sejurus diumumkan lagu dengan lirik tulisan Budi Hekayat itu juara AJL26 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.

Pada sidang akhbar selepas anugerah itu, Nasir dan Budi yang merangkul hadiah wang tunai RM35,000 serta trofi itu, dia memang mencipta lagu yang dinyanyikan oleh Hafiz (Akademi Fantasia 7) itu dengan melodi yang dirasakannya mampu menarik perhatian para pendengar.

“Saya memang mengharapkan kemenangan lagu itu. Ini kerana, apabila buat lagu saya akan pastikan melodinya sedap. Ia juga kena lebih sedap daripada biasa dan boleh pergi lebih jauh. Saya tidak tahu apa kesukaan orang. Malam ini saya memang mahukan pengiktirafan,” ujarnya.

Naib juara AJL26 dimenangi oleh lagu Beribu Sesalan nyanyian Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah gubahan Kevin Chin dan Tinta, manakala tempat ketiga pula diraih lagu Karma nyanyian Faizal Tahir hasil ciptaan Audi Mok serta Faizal Tahir.

Naib juara mendapat hadiah wang tunai RM15,000 dan tempat ketiga menggondol RM12,000, manakala Alyah merangkul RM10,000 dengan anugerah Persembahan Terbaik melalui lagu Kisah Hati dan anugerah Vokal Terbaik dengan hadiah RM10,000 pula menjadi milik Hafiz. - mynewshub.my



Sentuhan M Nasir masih berbisa

petikan Berita Harian  30 Januari 2012


KARYA Datuk M Nasir masih berbisa apabila lagu ciptaannya Awan Nano diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. 

Lagu itu yang seni katanya ditulis oleh Budi Hekayat dinyanyikan oleh penyanyi muda dari Sarawak, Hafiz.

Malahan dengan penghayatan yang baik ketika menyampaikan lagu itu, membuatkan Hafiz turut dipilih memenangi hadiah Vokal Terbaik AJL26.
Sementara itu, kemunculan Remy Ishak ketika Alyah menyanyikan lagu Kisah Hati antara persembahan atau gimik menarik membuatkan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, gemuruh dengan sorakan penonton.

Begitupun, vokal Alyah yang tampil dengan gaya patung di atas ‘music box’ memang mantap dan sudah membolehkan persembahan penyanyi ini ‘berdiri di atas kaki sendiri’ tanpa perlu ada aktor terbabit. Malam tadi, Alyah pulang dengan trofi Persembahan Terbaik.

Turut menampilkan persembahan mantap ialah gandingan tiga suara iaitu Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah menyampaikan lagu Beribu Sesalan. Ternyata gabungan suara mereka cukup serasi dan mantap. Aizat pula memulakan nyanyian lagu Sungai Lui dengan menampilkan persembahan angklung bersama lukisan pasir artis yang diundang khas.

Faizal Tahir menyanyikan lagu Karma dengan vokal yang padu dan bertenaga tetapi persembahannya seperti sudah dijangka.
Pelbagai gimik diketengahkan oleh setiap penyanyi dalam persembahan masing-masing. Ia bagi memastikan persembahan mereka nampak hidup dan menghiburkan.

Yuna pula yang kurang menyerlah pada persembahan pertama ketika mengalunkan Gadis Semasa, tampil lebih yakin dengan lagu Penakut. Mungkin deretan chandelier menolongnya beraksi lebih baik.

Terdahulu, persembahan Monoloque dan Atilia ketika menyanyikan lagu Adinda Kekanda pula mengingatkan kepada kategori Irama Malaysia kerana lagunya yang digubah khas menggabungkan irama moden dan tradisional. Tambahan pula Monoloque tampil dengan memakai tanjak, manakala Atilia pula berbaju kebaya.

Persembahan kumpulan Projek Pistol menyampaikan lagu Wanita Seluruh Dunia pula dianggap sebagai paling ringkas pada AJL kali ini.

Jaclyn Victor pula kelihatan agak biasa saja ketika menyanyikan lagu Sedetik Lebih. Tampil dengan baju gaun biru muda, penghayatannya ketika menyampaikan lagu itu kurang meyakinkan walaupun disokong vokal yang baik.

Sementara itu, sedutan daripada klip video yang menunjukkan Herman Tino menampar Hafiz menjadi pembuka persembahan kepada anak muda daripada Sarawak itu saat menyampaikan Awan Nano. Ternyata, Hafiz tampil sangat ringkas dan kelihatan cukup yakin dengan melodi, muzik dan seni kata lagu nyanyiannya.

Aksi Najwa Latif ketika membawakan lagu Cinta Muka Buku ciptaannya seperti tidak ada sebarang perasaan. Biasa saja. Mungkin Najwa gementar kerana pertama kali membuat mengadakan dalam pertandingan besar.

Persembahan lagu Kalau Berpacaran yang menggabungkan Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet pula agak kabur. Tidak ada elemen dramatik, ‘seram’ sebaliknya dinyanyikan dalam mood kegembiraan sedangkan kandungan seni kata lagu ini adalah berunsur nasihat.

Tema air pada AJL26 memang agak menarik tetapi kurang jelas melainkan pada warna biru yang menjadi latar belakang utama keseluruhan persembahan anugerah ini. Ia turut mencabar kreativiti mereka yang bertanding.

Kemunculan awal Jamal Abdillah pada awal persembahan ketika menyanyikan lagu Senandung Semalam sedikit membingungkan penonton kerana penyanyi itu seperti muncul secara mengejut. Namun, aksi Awie memang cukup mantap dan bertenaga. Begitu juga dengan vokal Datuk Sheila Majid ketika menyanyikan lagu Warna. Mereka bagaimanapun berjaya mengembalikan nostalgia buat penonton.

Awan Nano ungguli Anugerah Juara Lagu Ke-26

petikan Utusan Malaysia 30 Januari 2012
JUARA lagu dan juara kategori Vokal Terbaik, Hafiz bersama pencipta lagu, Datuk M. Nasir dan penulis lirik Awan Nano, Budi Hekayat (tengah) meraikan kejayaan pada Anugerah Juara Lagu Ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) memperlihatkan kehebatan lagu Awan Nano nyanyian Hafiz apabila dipilih sebagai juara di Stadium Putra di sini malam ini.Berbekalkan lirik lagu yang mantap melayakkan penyanyi itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 beserta trofi.

Lagu Beribu Sesalan nyanyian gandingan tiga suara pula meraih kedudukan naib juara.Untuk itu, Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai RM15,000 dan trofi.

Lagu Karma dendangan Faizal Tahir pula muncul tempat ketiga dan meraih wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Bagi kategori Persembahan Terbaik pula, anugerah tersebut dimenangi Alyah yang mendendangkan lagu Kisah Hati sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Vokal mantap sewaktu menyampaikan lagu Awan Nano melayakkan Hafiz memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

AJL26 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Jamal Abdillah melalui lagu Senandung Semalam, Awie dengan lagu Bujang Senang serta Datuk Sheila Majid dengan lagu Warna. Selain itu Black, Hazama dan Azlan & The Typewriter turut mempersembahkan lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua), Balik Kampung, Chow Kit Road dan Salam Terakhir sebagai tribute kepada Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Rabu, Januari 25, 2012

Denting Dengung : Masuk Studio Setiap Hari Bukan Bermakna Berkarya

Denting Dengung
Kurang pula berita sifu Datuk M Nasir kebelakangan ini ya... Apa pun, di sini SM mahu berkongsi bersama satu lagi keratan Bi-Pop - Denting Dengung yang ditulis oleh M.Nasir bertajuk " Masuk Studio Setiap Hari Bukan Bermakna Berkarya ". Keratan ini telah diterima dari Saudara Sharrul Rizal Hashim (Dunia Search). Jutaan terima kasih bro! (Sebenarnya ada dua lagi artikel yang saudara Sharrul beri, akan SM publishkan dalam masa terdekat...) Ini menambah lagi koleksi Denting Dengung dalam arkib Prahara Seni ini. Bagi aku, artikel ini menarik kerana mengupas pandangan M.Nasir mengenai penggunaan studio rakaman dalam menghasilkan karya.
nota : Tarikh Denting Dengung ini diterbitkan tidak pula dapat dikenal pasti. Mungkin juga dari awal tahun 2000. (sila klik gambar untuk membaca keratan dengan lebih mudah).