Jumaat, Jun 17, 2011

Iklan TV Kit Kat bersama M Nasir

sumber Youtube



Ini adalah promo TV coklat Kit Kat yang menampilkan M Nasir sebagai dirinya sendiri dan watak Hang Tuah yang dipegangnya dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Wah! Kelakar jugak sifu kita ni rupanya....
Hahahha... :)

Sabtu, Jun 04, 2011

Yunizar ahli terapi bertauliah

petikan Utusan Malaysia 4 Jun 2011

PASANGAN duet... Yunizar Hoessein dan M.Nasir begitu popular pada awal 1980-an kerana lagu duet mereka Dua Insan.

LEBIH lima tahun menetap di Vancouver, Kanada kerana mengikut suami yang bertugas di sana, tidak dipersia-siakan oleh Yunizar Hoessein apabila beliau berpeluang mempelajari ilmu terapi.

Yunizar,53, atau lebih mesra dipanggil June pernah popular menerusi lagu duet bersama Datuk M. Nasir, Dua Insan, menggunakan kepakarannya itu untuk mencipta pati aroma terapi dan mempraktikkan rawatan tersebut di rumah.

Sebagai ahli terapi bertauliah, Yunizar dapat 'melihat' masalah dalaman yang dihadapi oleh seseorang dan mencadangkan minyak pati aroma yang sesuai untuk menenangkan perasaan.

"Sekarang ini ,saya membuat rawatan terapi di rumah untuk kawan-kawan dan klien tetap sahaja.

"Di samping memberi rawatan terapi, saya turut mencipta dua minyak pati aroma untuk digunakan pelanggan," ceritanya kepada S3 ketika ditemui di Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini, selepas 25 tahun tidak bersua muka.

Difahamkan, Yunizar sekeluarga menetap di Bangkok, Thailand sejak tahun 2007 tetapi singgah ke Kuala Lumpur baru-baru ini atas urusan peribadi.

Kata Yunizar, beliau mencipta pati aroma terapi Zen Zest yang sesuai digunakan untuk mengelak daripada kesan negatif yang ada pada badan orang lain, terkena kepada badan kita.

Selain Zen Zest, kata Yunizar, beliau turut mencipta Limitless, khusus untuk orang yang kurang berkeyakinan.

"Terapi yang saya amalkan untuk pelanggan adalah terapi kristal, reiki, shirodhara (minyak panas) dan urutan abhyanga.

"Saya puas hati kerana pati aroma yang saya hasilkan itu ternyata berkesan kepada rakan-rakan yang juga pelanggan saya," katanya.

Selain membabitkan diri dalam bidang terapi, Yunizar yang berkahwin dengan lelaki berbangsa Itali pada 1993, turut berkemahiran membuat barangan kraf.

Kata ibu kepada sepasang cahaya mata, Francisco Fahad, 16, dan Karima Althea, 12, kraf yang dihasilkannya dibuat daripada barangan terbuang.

"Selain daripada menggunakan kulit siput sebagai hiasan, saya turut menggunakan herba dan rempah ratus pada setiap produk yang saya hasilkan.

"Semua ini saya lakukan untuk mengisi masa lapang selain meluangkan masa bersama anak-anak," katanya yang pernah menghasilkan album Cinta (1979), Yunizar (1980), Dia Ibu Ku (1981), Semasa (1982) dan M.Nasir & Yunizar (1995).

Cerita Yunizar lagi, minatnya bukan terbatas kepada bidang terapi dan kraf, sebaliknya beliau juga suka menghias rumah.

Sentuhan ajaib Yunizar membuatkannya diangkat sebagai pereka hiasan dalaman dan hasil sentuhannya itu pernah disiarkan dalam sebuah majalah dekorasi dalaman di Thailand.

Yunizar yang enggan mendedahkan nama mahupun pekerjaan suaminya bagaimanapun tidak keberatan berkongsi cerita kehidupan yang dilaluinya selepas meninggalkan dunia nyanyian.

Kata Yunizar yang juga popular menerusi lagu, Di Hari Persandingan Mu, selepas berkahwin tumpuannya lebih kepada rumah tangga dan mendidik anak-anak.

"Walaupun anak-anak belajar di Sekolah Antarabangsa Bangkok dan dibesarkan di luar negara namun, jati diri sebagai orang Melayu tetap diterap dalam diri mereka.

"Bukan setakat anak-anak, malah suami pun dididik begitu. Mula-mula dulu saya perkenalkan petai kepada dia. Saya kata, makanan itu baik untuk buah pinggang. Sekarang ini petai menjadi salad kegemarannya.

"Anak-anak pula, jangan sangka mereka lahir dalam keluarga campuran, mereka tidak tahu agama.

"Mereka lancar membaca surah Yasin kerana saya percaya, hanya agama yang dapat membimbing mereka ke arah kehidupan mulia," katanya yang akan berpindah pula ke Rom pada Ogos ini kerana suaminya akan bertugas di sana.

Kata anak bongsu daripada sembilan beradik itu, dalam mendidik anak-anak, beliau lebih senang meletakkan dirinya seperti seorang kawan.

Ini kerana, jelasnya, pendekatan itu memudahkannya untuk berkomunikasi dengan anak-anak.

Bukan setakat anak-anak dianggap kawan, malahan, kata Yunizar, rakan-rakan anaknya juga suka berkawan dengannya.

"Setiap minggu, rumah saya akan menjadi tumpuan kawan-kawan anak-anak saya untuk melepak.

"Mereka akan datang untuk berlatih muzik kerana anak sulung saya ada kumpulan muzik dengan kawan-kawan sekolah.

"Saya suka mereka datang kerana daripada mereka keluar tidak tentu hala, itu lagi membimbangkan saya.

"Lagi pun, kawan-kawan anak-anak saya memang suka datang ke rumah kerana mereka akan kenyang sebab saya suka memasak," ujarnya.

Terlanjur sebut soal masak, Yunizar juga memberitahu, beliau adalah seorang katerer yang menerima tempahan untuk majlis tertentu.

Yunizar menambah, darah seni yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada allahyarham bapanya.

"Sewaktu arwah bapa, Mohamed Hoessein Enas meninggal dunia, semua hasil seninya diserahkan kepada saya.

"Dia tahu saya ada bakat itu dan sekarang ini, semua lukisan yang ada di rumah adalah hasil kerja tangan saya," katanya yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Itali, Sepanyol, Perancis, Thailand, Urdu dan Indonesia