Jumaat, Mac 04, 2011

Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!

* Artikel menarik mengenai lagu M.Nasir dan situasi di timur tengah ini telah ditulis oleh blogger Jiwa Rasa.
Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin

Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)

Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu


Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma


Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu


Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma


Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu


Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini

Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.

Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.

Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.

Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.

Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin

4 ulasan:

deaf-angel berkata...

aku prefer M Nasir main pop music.. Phoniex Bangkit was like otak aku jam. hehe

Saudagar Mimpi ... berkata...

Deaf: Aku tau ko suka Sang Pencinta :)

buana berkata...

Well, yes and no.

Album ini adalah catatan beliau sebagai hamba, merindui Sang Pencipta, di mana the same elements are elaborated further in the next album, guess what? "Sang Pencipta"

Sayang...pada mereka yg tak mengerti.

Siti Senang berkata...

Jadi bertambah cinta dengan lirik dan suara M Nasir. Ah,parah begini.Umur baru 16. Terlambat sudah saya ini.