Rabu, Januari 13, 2010

Fragmen: AJL24, Loloq dan lagu Pergi

petikan Berita Harian 13 Januari 2010
Oleh Zainuri Misfar

TAHNIAH kepada TV3 kerana Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) berjalan dengan lancar sekali. Bukan itu saja, ia dianjurkan dengan penuh meriah dan gemilang.

Boleh dikatakan tiada yang cacat. Kalau ada sekalipun, hanyalah kerana soal teknikal yang kadang-kadang tidak dapat dielakkan sama sekali.

Ia berbaloi dengan kos sebanyak RM2 juta yang dibelanjakan TV3. Dengan lagu yang baik, barisan penyanyi bertenaga, menyebabkan pakej keseluruhan persembahan AJL24 memang benar-benar mantap.

Kalau diterjemahkan dalam industri perfileman, kos RM2 juta boleh digunakan menerbitkan sebuah filem cereka. Sekiranya sebuah telefilem 90 minit berharga RM80,000, duit sebanyak RM2 juta boleh membeli 20 telefilem. Tidak apalah. Apa yang TV3 lakukan semua itu adalah penghargaan kepada kepada karyawan muzik tanah air.

Setahun sekali, sebuah stesen TV menganjurkan program yang cukup istimewa kepada penggiat muzik kita.

Cuma di sebalik kegemilangan itu, tidak pula terselit segmen untuk memperkenalkan barisan komposer atau penulis lirik yang terbabit pada malam kemuncak AJL24. Ia mungkin terlepas pandang yang kita anggap tidak disengajakan oleh TV3.

Memanglah kita pun terlintas juga, sepanjang AJL24 itu berlangsung, yang menonjol hanyalah penyanyinya. Merekalah yang beraksi di pentas dan paling menonjol sekali dan seterusnya menjadi sebutan peminat. Beruntung sekali Yuna, Aizat, Bunkface dan Hujan serta Estranged kerana mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi juga pencipta lagu dan penulis seni kata sendiri.

Cuma, bagaimana pula dengan komposer atau karyawan muzik di belakang tabir? Mereka terus tenggelam dengan populariti penyanyi yang membawa lagu ciptaan mereka. Inilah hakikatnya. Ia bukan cerita baru lagi.

Kemenangan lagu Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar dengan Aizat sebagai penyanyinya masih menjadi bualan ramai.

Pembabitan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TV Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan sebagai juri dalam AJL24 sudah menimbulkan ‘sosek-sosek’ tidak menyenangkan, terutama di kalangan blogger hiburan.

Ditambah dengan kehadiran Fatimah Abu Bakar sebagai juri, individu yang kita ketahui mempunyai hubungan rapat dengan Yasmin Ahmad.

Sungguhpun ketika Aizat menyanyi Pergi dilatari dengan wajah tokoh-tokoh yang sudah pergi seperti Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee, penghibur nombor satu Malaysia dan Asia, Datuk Sudirman Arshad, tetapi dengan kemunculan Yasmin, penonton di rumah atau dalam stadium seolah-olah diberi pembayang lagu mana yang menjuarai AJL24.

Sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata sinis dengan mendakwa sudahlah Anugerah Skrin baru-baru ini ada acara khas untuk Yasmin, dalam AJL24 pun TV3 masih hendak selitkan penampilan pengarah filem yang disegani itu.

Kita tidak mempersoalkan kemenangan Pergi. Tidak juga mempertikaikan kewajaran TV3 membawa secara langsung atau tidak langsung keunggulan Yasmin dalam mana-mana acara anjurannya.

Namun, kita juga tidak boleh mengetepikan begitu saja kritikan, persepsi atau pandangan orang ramai yang sebahagian besarnya juga adalah penonton setia TV3. AJL adalah anugerah untuk komposer dan karyawan muzik. Justeru, tatkala Aizat menyanyikan lagu Pergi, lebih elok kalau lagu itu ditujukan khas kepada pengkarya atau tokoh muzik yang berjasa besar kepada negara. Selain P Ramlee dan Sudirman, kita juga mempunyai ramai tokoh muzik, baik penyanyi, pemuzik atau penulis lirik seperti Hamzah Dolmat, Kamariah Nor, S Jibeng, Fazidah Joned dan paling baru ialah Loloq. Ramai juga tertanya-tanya kenapa Loloq dilupakan?

Dua tahun lalu, kita masih ingat betapa Loloq mengomel panjang hampir sejam meluahkan rasa tidak puas hati dengan kemenangan lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor dalam AJL22. Kita bertemu dengan Loloq di pejabat Luncai Emas di Sungai Buloh, yang pada mulanya hendak menemu bual M Nasir. Apabila terserempak dengan Loloq yang datang bersama Zul Mahat, menyebabkan kita terpaksa lepak lebih lama di Luncai Emas untuk melayan dan mendengar luahan Loloq.

Loloq sangat emosional pada waktu itu sampai kemerah-merahan mukanya, mempersoalkan apa istimewa sangat dengan lirik lagu Gemilang kerana ia tidak membawa apa-apa makna, susunan bahasanya tunggang langgang dan banyak lagi.

Allahyarham membandingkan dengan lirik tulisannya iaitu Awan Yang Terpilu yang bukan saja puitis, tetapi membawa cerita dan makna yang jelas, selain susunan bahasanya yang teratur dengan nahunya yang betul dan tepat. Begitulah telitinya Loloq dalam penulisan lirik. Berulang kali Loloq meminta kita ‘melanyak’ juri AJL22 tetapi sehingga dia meninggal dunia, permintaannya tidak dapat ditunaikan.

Peristiwa kemarahan Loloq di Sungai Buloh itu boleh mengaitkan dengan keadaan sekarang kerana kebetulan masih ada lagu ‘terakhir’ daripada Allahyarham bertanding di AJL24 iaitu lagu Cinta Adam & Hawa ciptaan Azmeer dan dinyanyikan oleh Misha Omar.

Kalaulah Loloq masih hidup, mungkinkah dia mempersoalkan kemenangan lagu Pergi kerana baginya pengertian lagu Cinta Adam & Hawa cukup besar. Ia bukan kisah cinta pasangan kekasih saja. Adam dan Hawa adalah metafora cinta dan kasih sayang antara lelaki dengan perempuan, antara kakak dan abang atau adik, suami dan isteri, bapa dan emak, sahabat lelaki dan perempuan....

Apa pun, kita percaya dengan kenyataan Farid bahawa tiada sebarang konspirasi walaupun dirinya menjadi juri kerana yang menentukan lagu Pergi jadi juara dibuat oleh Ketua Juri untuk lagu iaitu Fauzi Marzuki.

Ahad, Januari 10, 2010

Sifu bersatu, peminat bergaduh

Petikan Utusan Malaysia 10 Januari 2010
Joyahspot


BUKAN mudah hendak menggandingkan dua nama besar dalam satu arena. Kalau si artis tak buat perangai, peminat pulak yang buat hal. Sepanjang minggu ini, kecoh juga dengan insiden sebalik tabir konsert Sakti M. Nasir dan Siti Nurhaliza di Singapura yang berlangsung pada Panggung Esplanade.

Panggung gah yang setaraf Istana Budaya itulah, bukan senang hendak menyanyi di situ tau.

Setakat suara sumbang mambang dan peminat boleh dibilang dengan jari macam Joyah ni, jangan kau bermimpilah ibaratnya hendak membuat persembahan di situ.

Khabarnya konsert itu punyalah meriah, dapat liputan dan siaran eksklusif di Astro pula tu. Maklumlah dua 'kuasa' besar bertemu, pecah panggunglah jadinya.

Tetapi yang tak berapa meriahnya sikap peminat kedua-dua artis ini terutamanya peminat M. Nasir yang dikatakan agak mengada-ngada.

Maklumlah bila buat kat rumah dia, maka peminat M. Nasir ni jadi lain macam sikit. Dicerca dan di'boo' peminat Siti dengan sesuka hati sampaikan hendak bertepuk tangan pun tak boleh. Hai, kenapa jadi macam tu? Tak baik tau buat tetamu macam itu. Kalau takda peminat Siti yang datang, rasanya susah juga tempat tu hendak penuh. Betul tak?

Tetapi dalam hal ini, Joyah tak salahkan peminat M. Nasir saja. Mungkin dek sikap peminat Siti sendiri yang bagai 'kaduk naik junjung' maka hal itu terjadi. Kalau datang ke rumah orang tak bagi salam, tidak dengan muka melambangkan persahabatan, tentulah ada sebab untuk peminat M. Nasir naik marah.

Khamis, Januari 07, 2010

Bukan mudah yakinkan penaja

petikan Berita Harian 7 Januari 2010
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


M Nasir dalam laporan media baru-baru ini mendakwa tidak tahu mengenai 
perkembangan Konsert Satu Wajah.

Maya Axis Creative Sdn Bhd perjelas isu penangguhan konsert Satu Wajah M Nasir

APABILA M Nasir sendiri mempersoalkan konsert Satu Wajah yang sehingga kini tidak diketahui statusnya seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, pastinya perkara itu merisaukan banyak pihak. Peminat penyanyi ini misalnya, tentu tertunggu-tunggu bilakah konsert yang dijanjikan penganjurnya, Maya Axis Creative Sdn Bhd itu dapat dilaksanakan.

Maklum sajalah, sewaktu diumumkan mula-mula dulu, konsert itu sepatutnya dilangsungkan pada 25 Julai tahun lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Malangnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tarikh baru konsert itu akan diumumkan selepas sambutan Aidilfitri yang lalu. Namun sehingga kini masih belum nampak tanda-tanda konsert itu akan diteruskan.

Justeru, tidak mahu peminat terus ternanti-nanti, akhirnya penganjur konsert terbabit bersuara menyatakan alasan sebenar mengapa sehingga kini konsert itu masih belum dapat diadakan. Pengarah Urusan Maya Axis Creative Sdn Bhd, Samirah Hambali berkata bukan niat mereka untuk melengah-lengahkan penganjuran konsert itu tetapi apa yang berlaku adalah kerana mereka masih lagi berbincang dengan penaja.

“Kami faham, ramai peminat M Nasir ternanti-nanti bilakah akan berlangsungnya konsert ini. Sebenarnya bukan kami sengaja melengah-lengahkan tetapi perkara ini ada kaitan dengan penaja. Buat masa ini kami masih lagi dalam perbincangan dengan penaja kerana ada banyak perkara yang perlu di kemas kini. Harap peminat semua dapat menunggu dengan penuh sabar,” terang Samirah kepada Hip.

Katanya, alasan itu bukanlah satu rekaan sekadar untuk menyedapkan hati peminat tetapi ia adalah kebenaran memandangkan bukan mudah untuk penaja mengeluarkan duit mereka menganjurkan konsert itu.

“Apa yang boleh saya katakan, penaja mengatakan konsert itu bakal diadakan tahun depan, maknanya tahun ini. Ada banyak perkara yang mereka terpaksa kaji sebelum bersetuju untuk meneruskan konsert ini. Kami juga kena yakinkan mereka bahawa konsert ini mampu memberi pulangan walaupun mereka pada mulanya begitu skeptikal dengan M Nasir kerana kebanyakan peminat penyanyi ini agak berbeza dengan kumpulan sasaran mereka.

“Jadi, kami kena berusaha untuk meyakinkan mereka bahawa konsert ini berbaloi untuk mereka. Memandangkan mereka yang akan mengeluarkan belanja untuk konsert ini, jadi kita kena bersabar sehinggalah mereka sendiri menetapkan tarikh konsert berkenaan. Saya harap, peminat M Nasir akan terus menyokong konsert ini.

“Insya-Allah, selepas kami mendapat tarikh yang sesuai, kami akan umumkan pada anda semua,” ujar Samirah sambil memberitahu kos keseluruhan konsert itu bernilai setengah juta ringgit.

Pun begitu, kata Samirah mereka juga sudah memulangkan kembali wang kepada peminat yang membeli tiket konsert itu lebih awal.

“Tujuan kami berbuat demikian kerana tidak mahu ada pihak yang mendakwa kami cuba menipu mereka. Kami sudah membayar sebanyak 80 peratus kepada pembeli tiket secara berperingkat-peringkat. Manakala selebihnya masih menanti keputusan apakah konsert ini akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya .

Ditanya apakah M Nasir sendiri sudah dimaklumkan mengenai hal itu, Samirah berkata mereka sudah memberitahu hal itu kepada pihak pengurusan M Nasir iaitu Beyond DDB.

“Kami sudah pun memaklumkan pada pengurusan Nasir sendiri dan terpulanglah kepada mereka untuk memberitahunya,” katanya.

Rabu, Januari 06, 2010

"Indie Yeh Yeh" di Astro Ria

sumber : Facebook M Nasir

video

Jangan lupa saksikan Telemovie terbaru LUNCAI EMAS.
"INDIE YEH YEH"
pada 8 Januari 2010, Jumaat, 10PM di ASTRO RIA.

Betul Ke Peminat Siti, M Nasir Tak Ngam ?

petikan Murai.com.my

KL, 4 JANUARI 2009: Pada 1 Januari 2010 yang baru berlalu, kita telah mendengar 2 penghibur terkemuka, Dato Siti Nurhaliza dan M Nasir telah berjaya mengadakan persembahan bersama iaitu melalui Konsert Bagaikan Sakti di Singapura.

Ketika ini juga, konsert itu juga turut dirakam dan dipasarkan melalui pakej Astro Box-Office Event yang berharga RM10 bagi tatapan peminat di Malaysia yang tidak berpeluang ke panggung Esplanade.

Bagi Murai Batu, usaha menggabungkan kedua-dua mereka itu memang bagus kerana bukan selalu kita dapat melihat kedua-dua mereka disatukan dalam sebuah konsert kerana masing-masing ada 'kesaktian' serta aura tersendiri dalam memikat peminat.

Tapi selesai persembahan tempoh hari, sumber yang baru pulang dari Singapura telah membawa khabar angin yang kurang enak tentang sikap peminat fanatik masing-masing. Apa pula yang tidak kena?

Sumber itu berkata, telah berlaku semacam perang mulut di kalangan segelintir peminat mereka daripada detik hendak masuk ke dalam dewan sehinggalah sampai ke sesi bertemu peminat sesudah semuanya habis.

"Semasa konsert itu berjalan, ada peminat M Nasir berteriak dengan perkataan kesat dan mengejek persembahan Siti. Malah, mereka juga mengutuk peminat Siti yang datang dengan sepanduk kelab peminat SitiZone. Mereka juga memberi amaran kepada peminat Siti agar tidak bersorak kepada Siti.

"Akibat insiden ini, peminat Siti rasa terganggu dan tak tenteram hati kerana bilangan peminat M Nasir sebegitu ramai. Hairan juga kenapa peminat Siti tak dibenarkan bersorak.

"Mujurlah tak berlaku sebarang pergaduhan. Tapi peminat Siti tetap bersabar disebabkan mereka tak mahu melukakan hati Siti. Maklumlah semua ke sana nak berseronok apatah lagi bukan senang Siti dan M Nasir nak bergabung dalam satu konsert," kata sumber itu lagi.

Apapun, Murai Batu rasa pelik juga apabila dimaklumkan ketika sesi autograf selepas itu, tiada pula kelibat peminat M Nasir yang ramai-ramai tadi. Sumber itu berkata lagi, M Nasir juga turut menurunkan tandatangannya pada album duet terbaru Siti dengan Krisdayanti sehingga ada menuduh dia 'menumpang' Siti. Aduh, macam-macam hal dunia hiburan sekarang.

MURAI BATU: Takkanlah peminat sekarang kalau tengok konsert pun kena tension macam tengok perlawanan bola sepak kot?

Ahad, Januari 03, 2010

M.Nasir Ketepikan Aduh Saliha, Bakal Terbitkan Filem Baru

petikan mstar 3 Januari 2010
Oleh WAHIDA ASRANI


M.Nasir akan kembali fokus kepada penerbitan filem pada tahun ini - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

FILEM Aduh Saliha yang hangat diperkatakan kira-kira dua tahun lalu kini hanya tinggal nama. Sukar melupakan 'fenomena' filem arahan M.Nasir itu apatah lagi ketika itu, pencarian heroin bagi watak Saliha untuk digandingkan dengan heronya, Mawi dijalankan dengan cukup hebat.

Akhirnya, Puteri Sarah berjaya menambat hati M.Nasir untuk watak tersebut. Namun, baru 20 peratus penggambaran berlangsung, ia dihentikan kerana dikatakan kekurangan bajet dan perancangan untuk menyambung filem itu nampaknya terus senyap begitu saja.

Tidak patah semangat dengan hal itu, M.Nasir pada tahun ini nekad untuk lebih memfokuskan kepada penerbitan filem. Kata penyanyi yang baru saja selesai mengadakan konsert Bagaikan Sakti bersama Datuk Siti Nurhaliza di Esplanade, Singapura pada 1 Januari lalu, itu merupakan salah satu azam tahun barunya.

"Aduh Saliha, saya tolak ketepi saja dulu. Saya ingin fokus kepada skrip-skrip lain. Ada beberapa skrip yang pernah saya buat dulu, ceritanya lebih serius.

"Sekarang ini saya sedang merangka serba-sedikit untuk menghasilkan filem. Apa yang pasti, saya hanya akan terlibat di belakang tabir saja untuk penghasilan filem itu kelak, sebagai pengarah dan penerbit saja di bawah produksi Luncai Emas Sdn Bhd," kata M.Nasir tentang perancangan sempena tahun baru 2010 ini.

Perancangan itu masih terlalu awal untuk dijelaskan secara panjang lebar. Namun, kata 'sifu' kelahiran Kota Singa ini, walaupun dia akan memberikan tumpuan terhadap penerbitan filem, bidang muzik tetap akan diteruskannya seperti biasa.

Malah, buat masa ini, dia sedang di dalam proses penghasilan album terbarunya yang telah 20 peratus siap proses rakamannya dan kemungkinan akan dipasarkan pada Februari ini.

Dalam pada itu, ditanya tentang status konsert solonya, Konsert 1Wajah yang telah ditunda sejak pertengahan tahun lalu, kata penyanyi dan komposer terkemuka itu, sehingga hari ini dia masih belum mengetahui perkembangan projek tersebut.

Konsert anjuran Maya Maxis Creative itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 25 Julai lalu di Stadium Negara, namun ia ditunda atas alasan tertentu.

Penganjur dikatakan akan mengumumkan tarikh baru konsert tersebut pada tahun ini, namun kata M.Nasir, dia sendiri tidak pasti tentang perkara itu.

"Saya betul-betul tidak tahu apa status konsert itu. Tapi, ada beberapa pihak lain sebenarnya berminat untuk meneruskan konsert itu.

"Nak kata saya kecewa, saya tidak pun rasa demikian kerana sebagai penyanyi, saya hanya membuat persembahan. Malah, saya turut menerima beberapa tawaran untuk membuat konsert solo di Singapura.

"Namun, saya memilih untuk lakukan konsert Bagaikan Sakti bersama Datuk Siti Nurhaliza," kata suami kepada pelakon Marlia Musa ini.

Ditanya adakah dia berminat andai kata penganjur yang sama itu ingin menawarkannya melakukan konsert itu lagi, ujar M.Nasir:

"Saya tidak tahu nak jawab macam mana...sepatutnya kalau dari dulu lagi mereka rasa tidak boleh buat, jadi tidak payahlah buat."

Sabtu, Januari 02, 2010

Lirik Lagu Duet M Nasir & Siti Nurhaliza : Hanya Semalam

sumber : Sultan Muzaffar

Tajuk : Hanya Semalam
Lagu : M.Nasir
Lirik : Siti Nurhaliza
Dipersembahkan : Konsert Bagaikan Sakti, The Esplanade, Singapura



M.Nasir :
Isi hatimu tiada siapa tahu
Jika ku intai mungkinkah bertemu
Biar saja ku baca hatimu
Kunci rasa dalam rindu

Siti Nurhaliza :
Andai kau bisa menelah hati ku
Kalau kau mampu meneka di kalbu
Tiap saat pasti rindu bertemu
Benarlah itu maksudku

M.Nasir & Siti Nurhaliza
La la la….la la la la la la…2x

Siti Nurhaliza :
Biarku dendang lagu untukmu
Pasti bersatu kasih berpadu
Tiap senyum dan tawamu itu
Buat hatiku berlagu

M.Nasir :
Isi hatimu tiada seorang tahu
Jika ku intai mungkinkah bertemu
Biar saja ku baca hatimu
Kunci rasa dalam rindu

M.Nasir :
Benar kau ku mahu
Benar kau ku perlu

Siti Nurhaliza :
Walau hanya saat ini
Aku kau temui
Namun kau terus abadi

M.Nasir & Siti Nurhaliza :
Semalam hanya semalam
Dapat diriku menghilangkan rindumu
Aku merindu pasti menunggu
Bila waktumu menghiburkan dirimu
Seperti alam tak pernah diam
Bagai suria akan berganti malam
Aku menunggu pasti menunggu
Bila waktuku menghiburkan dirimu
Takkan berhenti rentak tariku

M.Nasir & Siti Nurhaliza
La la la….la la la la la la…2x

Siti Nurhaliza :
Biarku dendang lagu untukmu
Pasti bersatu kasih berpadu
Tiap senyum dan tawamu itu
Buat hatiku berlagu

M.Nasir :
Isi hatimu tiada seorang tahu
Jika ku intai mungkinkah bertemu
Biar saja ku baca hatimu
Kunci rasa dalam rindu

M.Nasir :
Benar kau ku mahu
Benar kau kuperlu

Siti Nurhaliza :
Walau hanya saat ini
Aku kau temui
Namun kau terus abadi

M.Nasir & Siti Nurhaliza :
Semalam hanya semalam
Dapat diriku menghilangkan rindumu
Aku merindu pasti menunggu
Bila waktumu menghiburkan dirimu
Seperti alam tak pernah diam
Bagai suria akan berganti malam
Aku menunggu pasti menunggu
Bila waktuku menghiburkan dirimu
Takkan berhenti rentak tariku

M.Nasir :
Takkan berhenti rentak tariku…


kredit: terima kasih Sultan Muzaffar untuk lirik ini

Lapor siar Konsert Bagaikan Sakti M.Nasir & Dato' Siti Nurhaliza di ASTRO Box Office Events (Saluran 955)

sumber : sultanmuzaffar.blogspot.com
Laporan oleh  Sultan Muzaffar



08.00 malam - Sabar menanti bermulanya Konsert Bagaikan Sakti siaran secara langsung dari The Esplanade Singapura.

08:02 malam - Ya Allah, janganlah hujan malam ini.

08:06 malam - Awani akan rakam konsert tersebut pada pukul 9 hingga 9.15 malam. Untuk disiarkan dalam program Gala TV di Astro AWANI pukul 10.30 malam ini.

08:08 malam - Konsert bermula. Nombor ong tu !

08:10 malam - Persembahan tipu lagu Nirmala dari penari latar.

08:12 malam - Siti Nurhaliza muncul membawakan lagu Nirmala sebagai penyanyi pertama. Tepukan gemuruh dari penonton kedengaran. Busana gaun kuning menatarias Siti Nurhaliza pada malam ini. Nampak macam besar, atau mungkinkah kerana visual TV saya strech ?  Kalaulah konsert ini disiarkan dalam HD bukankah lebih bagus. :) Baru clear. Visual cyclorama yang sama sewaktu Konsert Satu di Istana Budaya.

08:16 malam - Lagu Rindu dipersembahkan oleh Siti. Lagu ini jarang sekali dipersembahkan di Malaysia. Ia merupakan lagu yang diminati di Singapura. Pergghh...nasib baik ada super. Boleh dapat bantuan tajuk lagu. Baru terperasan Siti pakai glove sebelah lengkap bertatah berlian. Tribute kepada Michael Jackson agaknya. Ayi zaman, Ayi makan...Koreogragi nampak menarik. Lagipun lagu ini tidak dinyanyikan sewaktu Konsert Satu, itu yang nampak menarik.

08:21 malam - Ucapan dari Siti. Berterima kasih kepada M.Nasir dan bakal memberikan sakti kepada penonton Singapura.

08:22 malam - Nampaknya Siti akan membawakan lagu Ada Masa Mata yang dicipta oleh M.Nasir. First time Siti bawa lagu ini dalam mana-mana konsert. Jom rambong ! Impressive betul kerana masa berlatih untuk Siti hanyalah tujuh hari sahaja. Vokal di TV saya salahkan audio. Di dewan pastinya lebih sedap kedengaran.

08:27 malam - Ada penonton yang bertanyakan tentang M.Nasir. Kuat betul dia jerit. Tiket konsert itu habis dijual sebulan sebelum persembahan bermula. Aiseh, ada pakai teleprompter.

08:31 malam - Lagu Cindai menjadi lagu seterusnya. Siti mengajak penonton menyanyi bersamanya. Lagu wajib untuk Siti. Mana boleh tinggal lagu berhantu ini.

08:36 malam - Gendang dan rebana dipalu selalunya menandakan kemunculan M.Nasir yang cukup sinonim dengan bunyi-bunyi keMelayuan. Turut mengiringi paluan rebana dan gendang adalah percussion oleh Steve Thornthon.

08:40 malam - Rupanya bukan, hanya selingan sementara Siti mengganti busana. Haiyoh ! Lagu Bukan Cinta Biasa dibawakan dengan busana merah jambu yang nampak elegan. Janji Siti untuk menyanyikan lagu-lagu popular ditunaikan buat peminatnya.Seperti biasa bahagian "jawapan" buat peminatnya. Kenapalah peminat masa Konsert Satu tidak happening macam peminat di The Esplanade ?

08:46 malam - Lagu dari album solo terbarunya, Tahajjud Cinta iaitu Ku Percaya Ada Cinta.

08:51 malam - Ahhhhhhhh ! Lagu Biarlah Rahsia ! Lagu kegemaran saya ! Lagu ini akan menjadi lagu evergreen Siti Nurhaliza. Beliau akan terus diingati sampai bila-bila dengan lagu ini selain lagu Cindai. Sebuah lagu terbaik dari Melly untuk Siti. Power punya tarik dari Siti.

08:56 malam - Ku Mahu ! Please bawa versi Latin ! Koreografi sama dengan Konsert Hai-O. Menarik ! Saya terbayang busana merah jambu ini boleh dibuka sebentar lagi. :) Versi Beyonce Ku Milikku. Saya nampak rimas dengan gaun itu yang agak mengganggu persembahan lagu-lagu rancak ini.

09:04 malam - Destinasi Cinta dengan busana itu ? Lama benar intro lagu Destinasi Cinta. Adakah M.Nasir akan muncul ? Tidak pun ambil nafas ! Nampaknya M.Nasir tidak muncul, lepas ini agaknya. Wah ! Lagu ini ada arrangement baru sikit pada reff. Menarik !

09:11 malam -Selingan dari filem Hang Tuah. Nampaknya macam akan membawakan lagu Berkorban Apa Saja. Oh tidak ! Ghazal Untuk Rabiah ! Merdu sangat suara Siti untuk lagu ini. OK ! Lagu ini antara lagu yang patut dimasukkan dalam album duet Siti Nurhaliza dan M.Nasir ! Wajib ! M.Nasir seperti biasa dengan elemen-elemennya membawakan lagu dengan penuh karisma.

09:19 malam - Suatu Masa. Kalau M.Nasir nyanyi, saya boleh menangis. Kalau Siti nyanyi, saya boleh terjun bangunan ! Satu pilihan lagu yang amat tepat ! Bila M.Nasir tiada kelak, saya harap Siti buat album tribute membawakan lagu-lagu terbaik M.Nasir terutamanya lagu-lagu romantis M.Nasir.

09:24 malam - Kau Mawarku ! Lagu bersama 2by2 dibawakan bersama M.Nasir. Ahhhhhh ! Tarikan suaranya masih sama macam album awal Siti.

09:26 malam - Lagu Gembira ! Juga lagu dengan 2by2. Nampaknya Siti sudah teman duet yang lebih matang, bijak dan berkarisma !

09:28 malam - Masa untuk M.Nasir. M.Nasir imbas lagu-lagu lamanya dan disahut peminatnya yang tidak sabar menantikan persembahannya. M.Nasir memulakan persembahannya dengan lagu Hati Emas. Seperti M.Nasir akan ikut selamba dia untuk buat persembahan. Dah mula naik syeikh !

09:33 malam - Sahabat Gua ! Sebuah lagu kegemaran kawan saya, Mat Hatta ! Haha ! Jika pergi ke konsert M.Nasir antara elemen yang penting untuk ditonton adalah showmanshipnya di atas pentas selain persembahan audio. Ini bermakna untuk sebuah konsert, ia sudah lengkap kerana hebat dalam audio dan visual. Sememangnya saya puas hati !

09:41 malam - Penonton agak responsif terhadap persembahan M.Nasir. Saya rasa kebanyakan penonton yang hadir adalah peminat M.Nasir. Meneruskan persembahan dengan lagu Bukalah Hatimu. Lagu yang ada "secara live di satelit", sememangnya konsert ini disiarkan secara langsung di ASTRO ! Pertama kali buat artis Malaysia !

09:51 malam - Srikandi Cintamu ! Lagu kenangan lama-lama ! Puas hati betul pilihan lagu M.Nasir untuk konsert ini. Memang seperti dijanjikan akan membawakan lagu-lagu popularnya.

09:56 malam - Angin bertiup macam mahu hujan ! Pleaseeeeee !

09:57 malam - Sentuhan Listrikmu ! Antara lagu wajib untuk M.Nasir juga dinyanyikan malam ini!

10:05 malam - Tribute untuk Sudirman Hj Arshad ! Milik Siapakah Gadis Ini. Bijak betul M.Nasir pilih lagu, dia pilih lagu yang jarang dia nyanyikan tetapi lagu-lagu yang disukai dan digemari penonton.

10:10 malam - Juwita Citra Terindah antara lagu baru yang dibawakan oleh M.Nasir. Dia sudah mula buka jaketnya. Terlalu panas atau pun sudah mula panas ! Panas ! Panas ! Panas !

10:17 malam - Memperkenalkan barisan pemuzik. Ujang, Aubrey Suwito, Awang, Steve Thontorn, Firdaus, Rafi, Pak Ang, Sze Wan, strings dari Kuala Lumpur, penyanyi latar dan Aznan Alias.Hujan renyai di Kuala Lumpur.

10:19 malam - Mentera Semerah Padi!! Bukan konsert M.Nasir sekiranya dia tidak membawakan lagu ini. Selalunya lagu ini dibawakan apabila M.Nasir sudah naik syeikh! Elemen signature M.Nasir lebih hebat sewaktu di Konsert Alam Muzik. Masih belum cukup naik syeikh M.Nasir di Singapura. Saya mengharapkan lebih lagi !

10:29 malam - Raikan Cinta ! Nampaknya M.Nasir sudah mula naik syeikh ! Saya salute dengan pemuzik iringan konsert ini. Muziknya lebih besar dan hebat. Puas hati kalau dapat berada di The Esplanade untuk menikmati alunan muzik yang lebih segar. Saya puas hati lagu ini !

10:34 malam - Ada ! Mana boleh sebuah konsert M.Nasir tidak dihabiskan dengan lagu ini ! Pastinya penonton memberikan respons yang baik untuk lagu ini.

10:38 malam - M.Nasir ajak penonton di Singapura berdiri bersama-sama membawakan lagu Ada ! Ternyata mendapat respons yang baik dari penonton. Memang power !

10:41 malam - Konsert Bagaikan Sakti berhenti seketika memberikan laluan untuk M.Nasir menukar baju sebelum berduet dengan Siti Nurhaliza. :)

10:44 malam - Lagu Bagaikan Sakti ! Mula sekerat jalan selepas iklan! Damn! Pertama kali membawakan lagu tema Puteri Gunung Ledang itu di mana-mana konsert. Memang power ! Muzik yang amat meletup ! Persembahan vokal terbaik gandingan dan jaguh vokal Malaysia ! Saya harap ulangan nanti dapat yang versi penuh. M.Nasir agak sukar untuk mencari pasangan duet yang serasi selepas Yusnizar Hussein.

10:49 malam - Dua Insan! Tergamam !

10:53 malam - Sebuah lagu duet baru dari M.Nasir dan Siti Nurhaliza iaitu bertajuk Hanya Semalam. Sebuah lagu yang catchy! Semalam hanya semalam...Bila agaknya radio mahu main lagu ini ? Lagu ini pasti akan top seperti lagu Pandang Pandang Jeling Jeling.

11:00 malam - Konsert Bagaikan Sakti meninggalkan kesaktiannya di Singapura. Pemilihan lagu yang tepat dibantu iringan pemuzik yang menyegarkan lagu-lagu lama Siti Nurhaliza dan M.Nasir. Gandingan tepat ini perlu dibawa ke Kuala Lumpur! Menariknya konsert ini apabila M.Nasir mengekalkan elemen-elemennya dan gabungan duet dua penyanyi ternama Malaysia cukup serasi.

________________________________________________________
Nota : Jika anda terlepas konsert ini secara langsung, anda masih boleh mengikuti siaran ulangannya mulai 2 hingga 10 Januari depan. Masih sempat melanggan dengan menghubungi Talian Khidmat Pelanggan di 1300 82 3838 atau pun dengan menghantar SMS ABOM(ruang)SAKTI(ruang)NO IC dan hantarkan ke 32888

** : Saudagar tak sempat nak tulis apa-apa review. Tengok konsert depan TV, layan anak enjut buai.

Jumaat, Januari 01, 2010

Sakti sulung Siti dan M. Nasir

petikan Kosmo! 1 Januari 2010
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

M. NASIR dan Siti bersungguh-sungguh berlatih untuk konsert Bagaikan Sakti yang berlangsung di Singapura malam ini.

BELUM pun sempat promosi diadakan dua minggu sebelum konsert berlangsung, tiket telah habis dijual. Itulah penangan yang diberikan oleh dua penyanyi hebat, Datuk Siti Nurhaliza dan Sifu M. Nasir apabila mereka bergabung dalam konsert yang diberi nama Bagaikan Sakti.

Konsert yang akan berlangsung di Esplanade, Singapura pada 1 Januari sempena membuka tirai tahun 2010 itu buat pertama kalinya menggabungkan mereka berdua dalam sebuah konsert besar.

Siti yang ditemui semasa sesi latihan di Petaling Jaya baru-baru ini memberitahu, M. Nasir merupakan penyanyi lelaki yang dihormati dan dikaguminya.

Justeru, undangan yang dilayangkan daripada Beyond Events Sdn. Bhd. diterima dengan hati yang terbuka.

"Ini pertama kali saya berkongsi pentas dalam sebuah konsert dengan penyanyi lelaki. Perasaan saya pastinya gembira dan seronok sebab kami pernah beberapa kali buat persembahan pentas bersama dan menyanyikan lagu duet Bagaikan Sakti," ujarnya.

Namun, selepas mengadakan beberapa konsert solo sudah pasti peminat mengharapkan sesuatu yang berlainan dan lebih hebat berbanding konsertnya sebelum ini.

"Memang konsert ini berbeza sebab ia bukan konsert solo sebaliknya duet bersama M. Nasir. Selain masing-masing menyanyikan secara solo lagu sendiri, kami juga akan menyanyi berduet dalam enam buah lagu termasuk sebuah lagu baru yang belum diberi judul.

"Lagu baru itu dicipta khas oleh M. Nasir untuk peminat yang menonton konsert Bagaikan Sakti. Liriknya pula ditulis oleh saya sendiri. Kalau nak dengar macam mana kena tunggulah tetapi apa yang boleh saya cakap lagu itu memang sedap," katanya dalam tawa.

Jelas Siti yang akan membuat persembahan solo selama 45 minit dengan menyanyikan lebih kurang 14 buah lagu popularnya, konsert Bagaikan Sakti merupakan pembuka tirai untuk kerjayanya pada tahun 2010.

"Saya bersyukur saya mulakan langkah tahun 2010 dengan sebuah konsert, harap pada masa akan datang saya boleh buat lebih banyak konsert bukan sahaja di Singapura dan Malaysia sebaliknya di negara-negara lain," katanya yang baru muncul dengan sebuah album duet bersama Krisdayanti yang telah berada di pasaran pada 28 Disember lalu.

Siti yang akan berduet lagu Suatu Masa, Gembira, Ghazal Untuk Rabiah dan Bagaikan Sakti bersama M. Nasir memberitahu, sesi latihan konsert itu berjalan lancar meskipun dia baru sahaja pulang daripada bercuti di Sepanyol dan London.

Sudah rezeki M. Nasir

Cerita M. Nasir pula dia sebenarnya terlebih dahulu mendapat tawaran konsert solo di Singapura tetapi dia memilih untuk mengadakan konsert bersama Siti.

SITI menulis lirik untuk sebuah lagu yang dicipta khas oleh M. Nasir.

Bukan kerana kecewa dek Konsert 1Wajah yang masih belum tiada khabar berita, sebaliknya konsert duet bersama Siti sesuatu yang belum pernah dicubanya.

"Orang panggil kerja, saya pergi. Buat apa nak menolak rezeki. Saya pernah kerja dengan Siti sebelum ini dan saya tahu cara kerjanya bagaimana.

"Kalau suara penyanyi itu sedap tetapi tiada keserasian apabila berduet, saya pun tidak berani nak terima tawaran ini. Bagi saya kami mempunyai keserasian suara, itu yang penting," katanya mengenai konsert di bawah pimpinan Aznan Alias dan Aubrey Suwito itu.

Penyanyi berusia 52 tahun itu tenang menjawab apabila disoal tentang penjualan tiket yang mungkin laris disebabkan nama Siti bukannya M. Nasir, malah dia tidak kisah dengan persepsi orang di luar sana.

"Ada orang datang dan tiket habis dijual dalam masa yang singkat, baguslah. Kalau orang datang nak tengok Siti, mereka pun kena tengok saya juga.

"Saya tidak kisah apa orang nak cakap, paling penting malam konsert itu semua yang hadir terhibur kerana mereka datang bukan secara percuma," tuturnya yang akan muncul dengan album baru sekitar bulan Februari depan.

Tonton konsert di rumah

Ada berita gembira buat peminat Siti dan M. Nasir yang tidak berkesempatan ke Singapura kerana mereka boleh menontonnya secara langsung dari rumah mereka sendiri.

Ini kerana pihak Astro akan membawakan siaran langsung konsert Bagaikan Sakti secara eksklusif menerusi Astro Box Office Events (saluran 955) pada 1 Januari pukul 8 malam hanya dengan bayaran sebanyak RM10.

"Tempat di Esplanade terhad iaitu sebanyak 1,900 kerusi sahaja manakala tiketnya antara RM146 sehingga RM439. Pelanggan Astro dapat menyaksikan konsert itu secara langsung di rumah dengan bayaran yang cukup murah iaitu RM10.

"Bagi mereka yang sibuk dan tidak sempat untuk menonton konsert pada 1 Januari, siaran ulangan konsert berkenaan akan dimulakan pada 2 Januari sehingga 10 Januari di saluran yang sama," kata Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Mana Konsert 1 Wajah?

petikan Berita Harian 1 Januari 2010
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


PERTAMA kali Nasir dan Siti digandingkan dalam sebuah konsert istimewa di Singapura.

M Nasir bakal tampilkan album khas bersama Siti Nurhaliza

SEBELUM ini Konsert Satu Wajah M Nasir yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu ditangguhkan penganjur atas alasan ingin memberi laluan kepada penaja mengatur semula strategi pemasarannya.

Maya Maxis Creative, selaku penganjur turut memaklumkan bahawa satu tarikh baru akan diumumkan dan besar kemungkinan konsert itu dianjurkan selepas Aidilfitri lalu.

Namun, sehingga kini, tiada khabar terbaru yang menunjukkan tanda-tanda konsert itu akan diadakan. Malah, dalam laman facebook milik penyanyi yang mendapat jolokan sifu ini, turut memberitahu yang konsert ini ditangguhkan sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Persoalannya, bilakah tarikh baru itu akan diumumkan, sedangkan peminat penyanyi ini sudah tidak sabar-sabar untuk melihat dia beraksi di pentas Stadium Negara.

Kali terakhir Nasir membuat persembahan di stadium itu pada 1994, menerusi Konsert Canggung Mendonan. Selepas 15 tahun sudah tentu si empunya diri begitu teruja untuk mengulangi detik-detik manis yang pernah dilaluinya.

"Saya sendiri tidak tahu apakah status konsert itu. Saya tidak dimaklumkan apa-apa oleh penganjur. Sehingga kini mereka senyap saja. Mungkin pihak pengurusan saya lebih mengetahui perkara ini," kata Nasir ketika ditemui pada sesi raptai Konsert Bagaikan Sakti di Bsync Productions di Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.


M NASIR akui tidak tahu akan status terkini konsert 1 Wajah.

Hadir sama, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengarah Urusan Beyond DDB Sdn Bhd, Amin Hussen.

Untuk konsert yang diadakan di Esplanade, Singapura pada malam tahun baru itu, Nasir berduet dengan penyanyi wanita tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Biarpun tidak menunjukkan sebarang perasaan kecewa, namun dari riak wajahnya seolah-olah menyatakan yang dia sudah tawar hati untuk meneruskan konsert itu.

"Saya bukanlah seorang yang mudah kecewa dengan hal seperti ini. Kalau betul mereka ada masalah, kenapa sedari awal mereka tidak maklumkan pada saya," tegasnya.


 M NASIR dan Siti menyampaikan lagu Suatu Masa dan Bagaikan Sakti dengan penuh perasaan.

Begitupun, apabila ada yang dapat menghidu kononnya konsert ini seolah-olah tidak dapat direalisasikan, mereka dengan pantas menawarkan konsert yang sama kepada penyanyi, komposer, pelakon, pengarah, penulis dan pelukis ini.

"Memang ada yang menawarkan konsert solo pada saya apabila mereka dapat tahu yang status konsert ini yang masih menjadi tanda tanya. Tapi saya lebih suka dengan Konsert Bagaikan Sakti ini, yang menggabungkan saya dengan Siti. Dalam hal ini tak timbul saya tumpang populariti Siti kerana saya sendiri yang memilih dia untuk menjadi rakan duet saya," kata Nasir sambil dipersetujui Siti yang berada di sebelahnya.

Mengenai perancangannya menjelang tahun baru ini, Nasir berkata dia akan menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja penerbitan dan pengarah filem.

"Buat masa ini saya sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah filem. Masih dalam peringkat awal lagi dan ceritanya berunsurkan aksi dan juga serius. Mungkin saya akan terbabit sebagai pengarah saja dalam cerita ini.

"Walaupun saya mahu meneruskan usaha untuk lebih aktif dalam bidang penerbitan, namun pada masa sama, album tidak pernah saya lupakan. Buat masa ini, saya masih lagi mencari material dan lebih kurang 25 peratus sudah pun dihasilkan," katanya.

Ditanya apakah dia masih berminat untuk meneruskan filem Aduh!Saliha yang sudah tertangguh sekian lama ini, dengan pantas Nasir mengatakan yang dia sudah pun melupakan terus perkara itu.

"Perkara itu sudah lama saya tolak ke tepi," katanya penuh makna.

Astro siar Konsert Bagaikan Sakti

Sementara untuk Konsert Bagaikan Sakti, khabarnya Nasir dan Siti akan menyanyikan sebuah lagu baru, selain lagu popularnya bersama Siti iaitu Bagaikan Sakti. Dan apakah mungkin lagu itu dimuatkan dalam sebuah album khas yang akan menggabungkan dua penyanyi hebat ini?

"Memang saya ada mencipta sebuah lagu khas untuk konsert ini dan Siti ditugaskan untuk menulis liriknya. Namun judulnya masih belum ada. Mengenai album berdua, itu belum terfikir lagi, tengoklah macam mana," kata Nasir sambil tergelak besar.

Dalam pada itu, Siti yang turut serta dalam sidang media itu berkata dia begitu teruja apabila mendapat tahu dia akan bergandingan dengan penyanyi pujaannya dalam sebuah konsert khas di Singapura.

"Sebelum ini kami memang selalu berkongsi pentas dalam beberapa majlis atau program televisyen. Namun inilah kali pertama kami berduet dalam sebuah konsert di luar Malaysia. Memang Siti gembira sangat kerana dia adalah penyanyi kesukaan Siti.

"Antara lagunya yang Siti suka ialah Suatu Masa dan Bonda," kata penyanyi yang baru saja melahirkan album duet bersama Krisdayanti. Sebanyak 12 lagu solo akan mereka sampaikan dalam konsert yang memakan masa tiga jam ini dan enam buah lagu pula akan dinyanyikan secara duet.

Apa yang menarik mengenai konsert ini adalah, tiketnya sudah pun terjual selepas seminggu kaunter jualan dibuka dan secara tak langsung mencatat kenangan manis buat dua penyanyi ini.

"Sebelum ini pun Siti pernah membuat persembahan di sana dan tidak dinafikan orang Singapura memang suka apabila ada artis yang datang membuat persembahan di sana. Jadi apabila tiket konsert ini laku, Siti tak hairan. Lagipun abang Nasir masih mempunyai tarikan tersendiri, Siti yang tumpang dia bukan dia tumpang populariti Siti," akuinya sambil ketawa.

Konsert istimewa ini juga bakal menyaksikan dua pengarah muzik terkemuka akan bekerjasama iaitu Aznan Alias dan Aubrey Suwito. Nasir di bawah pimpinan Aznan, manakala Siti pula bersama Aubrey serta diiringi 30 pemuzik.

Dalam perkembangan berkaitan, konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Box Office Events (saluran 955). Menurut Khairul, pelanggan Astro bolehlah menyaksikan konsert ini dengan harga RM10

"Apabila melanggan, selain menonton secara langsung, mereka juga boleh menonton siaran ulangan yang akan bermula 2 Januari hingga 10 Januari. Kalau durasi konsert itu 3 jam, bermakna penonton boleh menyaksikan konsert itu sebanyak lapan kali dalam masa sehari," kata Khairul.