Ahad, Ogos 01, 2010

Cabaran berkarya

petikan Harian Metro 1 Ogos 2010
Oleh MURSHID EUNOS

KEKURANGAN komposer dan penulis lirik bagi menampung jumlah penyanyi yang kian bertambah menyeru penggiat seni terkenal, Mohd Faizal Maas (Ajai) untuk menerbitkan pentas Keynote yang menggenggam objektif melahirkan pelapis muda.

Daripada 12 peserta, kini tiba di gelanggang terakhirnya. Hanya berbaki tujuh komposer muda yang diundi menerusi SMS iaitu Khoo, Nazrin, Nero, Keroz, Nomad, Faan dan Rina sebagaimana disaksikan pada konsert akhir Rabu lalu menerusi Astro Ria.

Komposer muda yang kekal di peringkat akhir ini bukan saja berpeluang bekerjasama dengan ramai penggiat seni yang jauh berpengalaman, namun karya sentuhan mereka juga dinyanyikan oleh penyanyi terkenal seperti Zainalabidin, Misha Omar, Hattan, Tam Spider, Vince Chong, Noryn Aziz, Alyah dan One Nation Emcee.

Bagaimanapun, timbul pula persoalan yang berkait pada perspektif kemampuan dan kredibiliti mereka untuk terus mengorak langkah membawa status komposer.

Objektif penerbitan program ini bagi mencari lebih ramai pelapis, tetapi apakah mereka benar-benar bersedia bekerjasama dengan penyanyi besar dan mampukah karya ciptaan mereka diiktiraf sebaris dengan barisan komposer sedia ada? M Nasir yang juga pengkritik malam itu menyifatkan semua komposer muda ini mempunyai potensi selain memiliki bakat segar dan penuh warna bagi menghidupkan lagi industri hiburan.

Bukan saja ada yang berjaya mengejutkan penonton dengan susunan muzik yang kemas, malah ada segelintir yang mampu menyuntik kelainan.

“Usah ukur kebolehan mereka hanya pada program ini semata-mata kerana sebagai insan kreatif dan terbabit dalam lapangan penciptaan lagu seperti ini, pastinya limitasi daripada aspek masa, kesuntukan jadual dan dihimpit dengan elemen komersial untuk satu program televisyen sekurang-kurangnya membataskan tahap pemikiran dan idea mereka dalam menggarap sesebuah melodi.

“Namun saya lihat secara keseluruhan, mereka punya potensi baik untuk menzahirkan karya yang sesuai bagi generasi hari ini. Mungkin dengan lebih teknik yang betul, berkomunikasi dengan komposer berpengalaman serta pimpinan yang tepat, mereka mampu menyaingi lagu yang pernah diangkat terbaik sebelum ini.

“Bukan saja mampu mencipta lagu, saya juga terkejut kerana antara mereka juga berkebolehan melontarkan sendiri melodi yang ditulis. Itu satu petanda positif bagi melahirkan seorang anak seni yang lengkap dan dinamik.

“Malah ada kalanya, personaliti dan karakter yang melekat pada mereka juga berjaya diterjemah pada bait-bait nota lagu hingga mencerminkan satu jalinan muzik yang baik dan tersendiri.

“Itu sudah memadai bagi memenuhi permintaan lagu daripada penyanyi hari ini,” katanya yang memandang lagu ciptaan Faan sebagai melodi yang bernyawa.

Menjawab persoalan sama, pengarah muzik, Ramli MS pula memandang setiap peserta bagai satu benih yang hanya perlu disemai dengan baik bagi melahirkan insan yang benar-benar berkualiti dan kreatif.

Bakat memang sudah ada dan ia hanya perlu digilap lagi bagi memupuk lebih ilmu dalam penciptaan melodi.

Namun, tambahnya, alangkah lebih baik jika setiap lagu ciptaan mereka dapat dizahirkan oleh lontaran vokal masing-masing tanpa berselindung di sebalik populariti penyanyi sedia ada.

“Bukan hendak menidakkan kehebatan setiap penyanyi yang ada malam ini, namun saya lebih suka melihat bakat baru yang bukan setakat mencipta lagu.

“Industri kita akan lebih berkembang dan kuat aspek identitinya jika setiap penyanyi boleh mencipta lagu sendiri dan komposer juga mampu menyanyi karya sendiri.

“Lihat saja M Nasir, setiap karyanya tampak lebih berkesan dan ikhlas kerana hanya dia saja yang faham akan terjemahannya.

“Hari ini kita dapat lihat kecemerlangan Yuna, Aizat dan Azlan umpamanya yang hebat dalam karya masing-masing hingga menerima pelbagai pengiktirafan baik dalam negara mahupun di luar.

“Itu adalah satu jalan yang perlu generasi seperti mereka pandang. Malam ini ada beberapa lagu yang ditulis notanya oleh mereka gagal menghidupkan karakter dan pesona penyanyi yang dipilih.

“Sesekali saya melihat, jika lagu itu dinyanyikan sendiri oleh mereka, pasti akan berjaya menampilkan karakter sebenar yang tersembunyi di sebaliknya,” katanya.

Persembahan tujuh komposer muda di pentas akhir itu jelas masih longgar, terutama daripada sudut pengubahan melodi dan penggunaan nota yang tepat.

Mungkin masih kurang pendedahan atau tidak punya masa yang selesa, setiap komposer perlu lebih menyelidik setiap bait-bait muzik yang digarap supaya pengarahan setiap lagu lebih bersih dan kemas.

Namun kreativiti pada setiap lagu tidak boleh disangkal kerana secara maksimumnya setiap peserta cuba menampilkan karakter berbeza untuk menonjolkan nyanyian penyanyi yang dipilih.

Lagu Suntuk ciptaan Faan yang bertuah disampaikan Hattan menerima pujian pengkritik malam itu iaitu M Nasir, Ramli MS dan Aidit Alfian. Bukan saja susunan muziknya menarik, malah melodinya serasi dengan jalinan lirik yang punya maksud tersirat.

Khoo pula yang mencipta lagu Bentes Dan Pulas untuk nyanyian Tam Spider juga berjaya menaikkan identiti penyanyi itu dengan ia munasabah buat Tam terus merakamkannya.

Pemenang program ini dijanjikan wang tunai RM10,000 serta kontrak dengan Wake The Baby Records dan keputusannya akan diketahui pada Rabu ini, jam 10 malam.

1 ulasan:

DIEEIEN berkata...

Minta email M.Nasir..Saya ini Pandai bukan tahu,faham.