Selasa, Mei 04, 2010

M. Nasir 'pukau' setiausaha

petikan Utusan Malaysia 4 Mei 2010
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

M. NASIR bertindak turun dari pentas bagi memeriahkan persembahannya yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

TAMPIL mendendangkan 10 buah lagu, Minggu Setiausaha bersama M. Nasir yang bertemakan A Golden Moment With M. Nasir, pastinya meninggalkan kenangan manis buat warga setiausaha yang memenuhi Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

Berbekalkan vokal 'jantan' yang dimiliki, 10 buah lagu nyanyiannya umpama tidak mencukupi untuk memuaskan halwa telinga mereka yang amat meminati insan bernama M. Nasir ini.

Biarpun sistem audio di dalam dewan adakalanya kurang memuaskan, namun semuanya itu tidak dipedulikan lantaran asyik mendengar lontaran vokal penyanyi yang juga komposer terkenal ini.

Bermula dengan lagu Hati Emas, sambil diiringi lima pemuzik, bagaimanapun, M. Nasir sebenarnya berhadapan dengan situasi sukar untuk memujuk beberapa penonton pasif yang kurang memberikan 'sokongan' bagi menaikkan semangatnya di pentas.

Bukannya mudah untuknya mendapatkan 'semangat' penonton ketika itu dan M. Nasir sendiri beberapa kali 'layu' apabila berhadapan dengan situasi berkenaan.

Mujur, M. Nasir punyai 'sakti' dalam menaikkan mood 'kecoh' dewan yang selalu menyaksikan penganjuran Minggu Setiausaha melibatkan pelbagai artis ternama lain.

Mengambil langkah bijak, M. Nasir kemudiannya bertindak turun dari pentas untuk bersama-sama dengan khalayak setiausaha bagi memeriahkan lagi majlis.

Buktinya, dewan mula terisi dengan riuh rendah mereka yang berebut-rebut untuk bersalaman termasuk mengabadikan gambar kenangan bersama penyanyi kesayangan ramai itu.

A Golden Moment With M. Nasir merupakan majlis anjuran Ami Global Sdn. Bhd., dan ia turut menampilkan Afdlin Shauki selaku pengacara majlis.

Seperti biasa, Afdlin tidak kalah dalam membuatkan sesiapa sahaja tergelak besar dengan lawak jenakanya yang bersahaja.

Sejurus selepas menyanyikan lagu berjudul Hati Emas, M. Nasir seterusnya tampil dengan lagu-lagu seperti Rajawali, Sentuhan Listrikmu, Juwita, Mentera Semerah Padi, Suatu Masa, Phoenix Bangkit dan Raikan Cinta.

Menambahkan lagi rasa 'gila' mereka yang hadir, M. Nasir kemudiannya mencari hadirin bernama Ana.

Duduk di sebelah wanita pemilik nama tersebut, M. Nasir lantas melontarkan suaranya menyanyikan lagu berjudul Keroncong Untuk Ana.

M. Nasir nyata tidak mengecewakan permintaan peminatnya yang mahu dia berterusan menghiburkan sebaik tamat menyanyikan lagu Raikan Cinta.

Keluar sekali lagi ke pentas, komposer ternama ini memenuhi permintaan tersebut dengan lagu terakhirnya yang berjudul Ada.

Penganjuran A Golden Moment With M. Nasir sememangnya memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan kelibat M. Nasir semasa konsert Bagaikan Sakti yang berlangsung di Singapura, sekitar Januari lalu.

M. Nasir bakal muncul dengan album terbarunya tidak lama lagi yang berkemungkinan akan menampilkannya berduet bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Dua bintang terkenal ini dijangka merakamkan sebuah lagu berjudul Hanya Semalam.

Hanya Semalam adalah sebuah lagu baru dan pertama kali didengarkan kepada khalayak melalui konsert Bagaikan Sakti tersebut.

Nasihat dan sindiran Afdlin

Sementara itu, di pihak Afdlin Shauki pula, pemilihan selebriti ni selaku pengacara majlis amat bertepatan kerana aura jenakanya amat disenangi ramai.

Afdlin sendiri tidak kedekut menyumbangkan vokalnya sementara menunggu M. Nasir menukar pakaian dengan lagu berjudul Telenovela.

Meski tanpa muzik, lagu berkenaan cukup menghiburkan dengan mesej tersirat mengenai budaya masyarakat Malaysia yang suka menonton telenovela di kaca televisyen.

Afdlin turut menitipkan nasihat buat mereka yang berbadan besar sepertinya agar tidak mudah merasa rendah diri sebaliknya berbangga dan bersyukur.

"Artis yang berbadan kurus cukup ramai di negara ini. Saya berbangga kerana punyai bentuk badan sebegini.

"Sekurang-kurangnya, untuk watak yang memerlukan orang berbadan besar, saya tidak punyai saingan kuat. Berapa ramai sangatlah artis atau pelakon yang berbadan besar,'' bicaranya secara melawak.

2 ulasan:

deaf_angel berkata...

cammana dia pilih setlist untuk perform depan secretaries haha..

Saudagar Mimpi ... berkata...

Deaf :Itu aku tak tahu ler. Kalau aku, aku akan suruh secretaries aku buatkan setlist, sbb mereka lebih memahami... hahahhahah