Khamis, Mac 18, 2010

'Tribute' untuk empat artis dalam Konsert Prelude AIM17

petikan Berita Harian 18 Mac 2010
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

FAIZAL Tahir dan Bienda (kanan) ketika menjayakan tribute M Nasir.

SEBELUM menjelangnya malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2 Mei depan, seperti biasa konsert Prelude AIM ke-17 tahun ini akan diteruskan sebagai acara pembakar semangat sebelum AIM berlangsung.

Prelude AIM17 yang akan menemui penonton ntv7 bermula 8 April depan jam 9 malam adalah program televisyen yang menyajikan konsert mini artis popular tanah air sebagai langkah mempromosi AIM setiap tahun.

Penerbitnya, Khairul Anuar Azmi berkata, setiap tahun ia tetap disajikan dengan kelainan yang lebih segar bagi meningkatkan kualiti penerbitan stesen itu. “Seperti biasa kita akan mencari kelainan setiap tahun. Ia juga dianggap sebagai acara ‘countdown’ sebelum malam kemuncak AIM berlangsung.

“Tahun ini kami mengangkat konsep tribute yang ditujukan khas kepada empat artis tanah air yang pernah memenangi empat kali anugerah di AIM seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Amy & Search serta M Nasir,” katanya yang ditemui pada sesi rakaman program Prelude AIM17, baru-baru ini.

Menurut Khairul Anuar, program yang akan disiarkan setiap Khamis bermula 8 April diadakan sebanyak empat episod yang berdurasi 30 minit setiap episod.

“Bagi episod pertama, tribute adalah untuk Siti Nurhaliza yang akan dinyanyikan Bob dan Shila bersama tiga lagu yang pernah dimenanginya. Lagu itu seperti Bisakah dan Debaran Cinta, Satu Cinta Dua Jiwa, Jerat Percintaan secara medley dan Ku Mahu.

“Tribute M Nasir bagi episod kedua akan dinyanyikan Faizal Tahir dan Bienda menerusi lagi Juwita Citra Terindah, Tanya Sama Itu Hud Hud, Sang Pencinta, Suatu Masa dan Raikan Cinta.

“Episod ketiga tribute Sheila Majid akan disampaikan Alif Satar dan Noryn Aziz dengan lagu Jatuh Cinta, Mengapa Kasih, Ku Kohon, Embun dan Bersatu Hati.

“Bagi episod terakhir tribute Amy & Search akan disampaikan Lan Typewriter dan Dina dengan lagu Aku, Laila Namamu Teratas, Fantasia Bulan Madu, Gita Rama Sita dan Isabella,” katanya yang memilih artis mengikut kesesuaian genre yang dibawakan artis itu menyamai penyanyi asal.

Seperti produksi lain, Prelude AIM17 turut menghadapi masalah untuk mendapatkan artis sesuai disebabkan komitmen, namun ia dapat diatasi dengan perancangan lebih awal.

“Pada mulanya memang agak sukar untuk mencari artis sesuai menyanyikan lagu tribute untuk empat artis ini. Lebih-lebih lagi kebanyakan artis yang menepati kehendak kami dan mampu membawakan lagu tribute ini semuanya mempunyai komitmen dengan pelbagai acara.

“Dengan itu juga kami merancang dan memulakan dari awal bermula Januari lalu. Walaupun setiap episod hanya memperuntukkan 21 minit saja dan selebihnya iklan komersial, namun perancangan yang betul dapat melicinkan kerja dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jennifer Thomson dari Persatuan Akademi Industri Muzik yang banyak memberi idea mengadakan program ini dan jangan lupa saksikan Prelude AIM17 setiap Khamis bermula 8, 15, 22 dan 29 April depan jam 9 malam,” katanya

Tiada ulasan: