Selasa, Mac 16, 2010

Cari rakan duet album baru

petikan Berita Harian 16 Mac 2010
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

M NASIR antara penyanyi yang sentiasa dinanti-nantikan kemunculannya.

IKUTKAN perancangan, album studio terbaru M Nasir akan berada di rak CD kedai muzik seluruh negara pada pertengahan tahun ini. Jika segala-gala berjalan mengikut perencanaan, peminat sekali lagi dapat berhibur bersama himpunan lagu terbaru penyanyi terkenal itu selepas kali akhir dia muncul dengan album studio pada 2006, menerusi Sang Pencinta.

Ketika ini, sifu muzik itu bersama pembantunya saban hari berada di studio bagi menghasilkan lagu. Dalam simpanannya kini, kira-kira 30 karya sudah pun terhasil. Cuma, mereka perlu mencari ciptaan terbaik, sebelum proses rakaman dilakukan, seterusnya album baru mampu menjengah pasaran.

Kata M Nasir, apabila kesemua lagu sudah dipersetujui, dia percaya kerja rakaman dan proses susulan akan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan. Dia berkata demikian pada majlis sidang media mengumumkan persembahannya sempena Hari Setiausaha, Golden Moment With M Nasir, yang dijadualkan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 21 April depan. Majlis makan tengah hari itu dianjurkan Ami Global Sdn Bhd.

Menurut M Nasir, buat waktu ini, kesemua lagu yang berada dalam simpanan adalah ciptaan dan lirik tulisannya sendiri. Lagu yang dihasilkan juga adalah pelbagai.
"Ada juga lagu yang saya cipta itu sesuai dengan dinyanyikan secara duet.
Bagaimanapun, saya belum boleh namakan mana-mana penyanyi yang mungkin merakamkan lagu duet bersama saya nanti. Ada lagu yang sesuai dinyanyikan bersama penyanyi wanita dan ada juga untuk penyanyi lelaki.

"Saya juga pernah menyanyikan lagu duet bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Konsert Bagaikan Sakti di Singapura, 1 Januari lalu. Lagu berjudul Hanya Semalam ciptaan saya dan lirik tulisan Siti itu mungkin dimuatkan sekali dalam album ini," katanya yang tidak menolak kemungkinan menggunakan pendekatan muzik berkumpulan sebagaimana yang digemari ramai peminat ketika ini.
Berbeza dengan kebanyakan penyanyi hari ini yang lebih suka tampil bersama album memuatkan lima atau enam lagu, artis serba boleh ini lebih percayakan album dengan 10 lagu.

Artis yang bakal tampil dengan filem Magika terbitan KRU Studios ini berkata, dia mungkin menyanyikan sebuah lagu baru pada persembahannya sempena Hari Setiausaha itu nanti.

Bercerita mengenai persembahan berkenaan, bintang yang dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Singapura itu berkata, pada acara berkenaan dia tidak keseorangan apabila pelakon, pengarah filem dan penyanyi popular, Afdlin Shauki, akan hadir menemaninya sebagai pengacara.

"Pada persembahan itu, saya akan tampil menghiburkan tetamu selama kira-kira sejam, menyanyikan lapan atau sembilan lagu. Namun, selalunya saya akan menyanyi lebih daripada sejam, mengikut kemahuan peminat.

"Saya sudah pun mempunyai senarai lagu yang bakal dipersembahkan, tetapi tentulah ia masih terbuka kepada sebarang pandangan dan perubahan. Begitu juga dengan bentuk persembahan, tetamu acara akan dapat mendengar nyanyian lagu rancak dan perlahan. Ia akan mengikut gelombang rasa pada hari berkenaan," katanya yang bakal diiringi tujuh pemuzik.

Antara lagu yang dijangka dinyanyikan M Nasir pada 21 April nanti ialah Ada, Suatu Masa, Mantera Semerah Padi dan Raikan Cinta.

"Paling penting, himpunan lagu yang disampaikan nanti mampu menghiburkan tetamu yang datang," kata penyanyi itu sambil berharap peminat yang tidak dapat menyaksikan konsertnya bersama Siti di Singapura akan datang memberikan sokongan.

Sementara itu, Ketua pegawai Eksekutif Ami Global, Yusri Mohammad Yusof berkata, M Nasir menjadi artis pilihan syarikat berkenaan kerana dia percaya, kemunculan penghibur berkenaan di pentas nyanyian antara yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat.

"Untuk mendapatkan M Nasir bukanlah kerja yang mudah. Dia sibuk dengan pelbagai kerja seninya. Namun kami sedar, dia juga artis yang dinantikan peminat. Lalu, kami tetap menunggu sehingga dia mempunyai tarikh yang sesuai untuk mengadakan persembahan sempena Hari Setiausaha," ujarnya.

Mengenai harga tiket yang agak tinggi, iaitu RM480, RM380 dan RM320 seorang, Yusri yakin persembahan berkenaan akan tetap mendapat sambutan, berikutan rekod baik yang dicatatkan penghibur itu setiap kali mengadakan pertunjukan.

"Berdasarkan pengamatan kami, selalunya tiket akan habis dijual setiap kali M Nasir mengadakan konsert," kata Yusri.

Selain itu, katanya, majlis terbabit mempunyai tarikan lain seperti pertunjukan fesyen oleh pereka Amin Jauhary, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk tiket penerbangan pergi balik ke Phuket, Langkawi dan Johor Bahru.

Sebarang pertanyaan mengenai majlis makan tengah hari itu serta tempahan tiket boleh dilakukan dengan menghubungi 03-92005526 atau dengan menghantar e-mel ke alamat sales@amiglobal.com.my.

4 ulasan:

portdy berkata...

10 lagu macam tak cukup....

at least bagi 12 lagu....
banyak pilihan dan lebih berbaloi-baloi.

packaging pula buat betul2 macam packaging cd BIRU MATA HITAMKU - WINGS....
atau packaging album PINK FLOYD?

Saudagar Mimpi ... berkata...

Portdy : Album Phoenix Bangkit dan Sang Pencinta pun 10 lagu juga. Standard la tu...kalau ada lebih bagus juga.

Di Malaysia ni jarang-jarang jumpa album yang ada packaging yang mengancam. Bagi aku, packaging macam album Phoenix Bangkit rasanya adalah yang terbaik pernah dihasilkan buat M Nasir. Kalau ada booklet pun dah kira baik.

Nak mengancam seperti Pink Floyd dengan lampu LED?

Tanpa Nama berkata...

Album baru? Yey!!!!

portdy berkata...

bukan apa bro SM, rindulah saya kat zaman canggung mendonan dan sebelumnya....rata2 lebih 10 lagu...lebih puas dengar....duration album cecah sejam....


hmmm setuju, phoenix punya inlay meman terbaik....

Tapikan satu masa dulu Wings dengan Bitu mata hitamku punya cd packaging lawa bro....sapa dapat beli dulu memang untung ah....

taruk led light? hehehe Pulse lah tu ek? agak2 nyala lagi ke tidak led tu eh?