Khamis, Ogos 20, 2009

Konsert berbayar hilang eksklusif

petikan Kosmo! 20 Ogos 2009
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

Penggiat seni perlu mencari formula terbaik dalam menangani lambakan konsert percuma yang bercambah di seluruh negara. Ia bukan sahaja membunuh konsert berbayar bahkan merendahkan nilai seni dan harga diri anak seni.

LEWAT kebelakangan ini, konsert percuma tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kebiasaannya dianjurkan oleh pihak media seperti stesen TV, radio dan akhbar, selain syarikat swasta yang ingin mempromosikan produk mereka. Ini menjadikan konsert percuma sudah menjadi trend biasa hari ini.

Konsert Jom Heboh, Hot FM Big Jam, Suria FM Rancak Road Tour, R&R Sinar, THR Gegar Pantai Timur (sekadar menyebut beberapa nama) antara pesta yang diadakan tanpa mengenakan bayaran kepada orang ramai. Masuk adalah percuma! Demikian frasa utama yang diiklankan bagi menarik perhatian khalayak untuk menjadi penonton.

Jika diimbas lebih 10 atau 15 tahun lalu, mahu menyaksikan persembahan artis pesta ria (fun fair) pun dikenakan bayaran. Walaupun cuma berharga RM5 atau RM10, pada waktu itu ia menjadi indikator membezakan sebuah konsert besar-besaran dengan sebuah persembahan pesta ria.

Namun, apabila konsert percuma menyerang industri hiburan negara hari ini, ia membentuk satu budaya pemikiran baru di kalangan peminat - tidak perlu lagi mengeluar duit dari kocek untuk berhibur. Segalanya perlu datang secara percuma.

Malah, dengan sesetengah konsert percuma menampilkan nama-nama besar serta sistem audio yang canggih, ia menguatkan lagi budaya pemikiran itu.
STADIUM konsert kosong apabila peminat enggan mengeluarkan duit menyaksikan persembahan artis.

Walaupun di pihak peminat ia sesuatu yang menguntungkan, namun tanpa kita sedari lambakan konsert percuma memenuhi diari acara seni negara, ia perlahan-lahan membunuh industri seni tanah air.

Bagaimana? Kita sebenarnya sedang mendidik peminat hiburan yang mereka kini tidak perlu lagi membayar untuk berhibur menyaksikan konsert. Natijahnya, dengan konsert berbayar hilang nilai eksklusifnya dan penonton enggan mengeluarkan Ringgit Malaysia (RM) untuk berhibur, maka bukanlah menghairankan satu demi satu konsert berbayar hari ini layu satu demi satu.

Stadium kosong menjadi sesuatu yang bukanlah asing lagi. Akhirnya, apabila konsert berbayar sudah tidak laku ia menyebabkan penganjur sudah tidak berani mengambil risiko dan akhirnya penggiat seni semakin kekeringan sumber rezeki.

Sebagai makluman kalau diperhatikan, konsert percuma tidaklah kelihatan indah-indah belaka seperti yang peminat saksikan sama ada di kaca televisyen mahupun menonton secara langsung daripada tapak konsert.

Cuba bayangkan apabila bayaran bagi penyanyi yang terlibat dalam konsert percuma itu kebiasaannya berada pada paras bawah RM2,000 untuk artis baru yang bercita-cita ingin mempromosikan diri.

Kalau artis yang berada dalam senarai gred A, bayaran untuk mereka biasanya sekitar RM3,500.

Menyorot konsert tersungkur terbaru Konsert Illuminight A Light Beat Of Love yang diadakan di Indoor Arena, Bukit Kiara, Kuala Lumpur Sabtu lalu sudah cukup menyayat hati. Ia hanya dihadiri sekitar 100 orang penonton.

HANYA penyanyi bernama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza terselamat daripada tragedi stadium kosong.

Bukan sembarangan artis yang diturunkan dalam pesta berbayar itu. Antaranya Atilia, Maliq & D'Essentials, Afgan dan Yovie & Nuno. Empat nama itu sahaja dilihat sudah mampu menghangatkan pentas.

Malangnya, konsert yang meletakkan bayaran berjumlah RM58, RM78, RM153 dan RM178 tidak mendapat sambutan langsung walaupun dianggar 3,000 penonton mampu memenuhi lokasi berkenaan.

Hiburan peminat di luar bandar

Teraju utama kumpulan rock terkenal, Search adalah antara individu yang lantang mengkritik penganjuran konsert secara percuma. Malah Amy sebelum ini pernah mencadangkan supaya penganjur konsert perlu bergabung pandangan, sikap dan tindakan untuk mengurangkan konsert-konsert tidak berbayar.

Ini kerana sebagai bintang yang sudah banyak terlibat dengan konsert, Amy sudah dapat merasai betapa negatifnya impaknya kepada industri secara keseluruhan.

Bagi beliau, konsert percuma telah menyebabkan banyak konsert berbayar 'mati' dan penganjur kerugian besar kerana penonton tidak melihat nilai eksklusif daripadanya.

"Untuk menyelesaikan masalah ini, konsert percuma perlu dihapuskan. Barulah para peminat akan datang ke konsert penyanyi idola mereka," tegas Amy.

Selain itu juga, Amy berpendapat, pihak penganjur juga perlu membina satu formula agar dapat menarik semula penonton membeli tiket konsert berbayar. Usaha perlu dilakukan sebaik mungkin supaya tidak ada pihak yang menjadi mangsa dek kerana kegagalan penganjur mempromosi sesebuah konsert dengan cara paling hangat.

"Pada waktu sama, golongan artis pula perlu bekerja keras untuk menjadi yang terbaik dan cari formula untuk memikat hati penonton," nasihat Amy.

Penghibur popular atau digelar sebagai sifu, M. Nasir pula berpendapat, kepentingan konsert percuma hanya satu- mempromosikan sesuatu produk atau syarikat.

"Pesta percuma hakikatnya tidak membantu perkembangan bidang muzik tanah air. Dalam konteks ini, bukan soal perlu atau tidak perlu konsert percuma itu dibuat.

"Ia sebaliknya membabitkan kesan yang diberikan oleh konsert berkenaan. Biasanya konsert percuma ini dilakukan oleh syarikat yang mempunyai kelebihan atau keupayaan untuk berbelanja besar.

"Dalam hal ini, ia dilihat seperti satu proses 'duit menjanakan duit' dengan mengadakan konsert percuma. Dalam waktu sama, konon-kononnya mereka menggunakan motif untuk mempromosikan artis atau produk. Impak sebenarnya kepada artis dan industri ini sendiri," luah Nasir dalam keadaan cukup kesal.

Menurut beliau, apabila terlalu banyak konsert percuma, tiada lagi nilai eksklusif terhadap artis. Bahkan penonton terlalu senang untuk bertemu dengan penyanyi atau selebriti dalam sebarang acara dan kesannya sangat tidak bagus.

"Jika terlalu banyak konsert percuma, permintaan terhadap artis menjadi kurang. Memanglah ada sebahagian peminat yang sukakan konsert ekslusif. Tetapi ia sebahagian sahaja. Secara keseluruhan peminat masih suka yang percuma. Jadi impaknya akan terlihat untuk konsert yang berbayar," luahnya.

Untuk menyelesaikan permasalahan itu, kata M. Nasir, dia tidak nampak lagi jalan kesudahan yang benar-benar dapat mematikan pesta tanpa bayaran.

"Susah mahu katakan untuk menghapuskan konsert percuma kerana kerajaan turut sama mengadakan konsert percuma ini.

"Mungkin jika ada acara-acara istimewa saja seperti Hari Kemerdekaan atau perayaan tertentu, bolehlah dijalankan konsert secara percuma ini. Tidak dinafikan, setiap produk memerlukan promosi dan fenomena konsert percuma ini diwujudkan dengan bermotifkan promosi.

"Saya anggap ini merupakan salah satu teknik perniagaan tradisional. Mungkin pihak yang terlibat perlu duduk dan berbincang bagi merungkai isu konsert percuma," jelasnya yang hanya menerima tawaran konsert percuma jika ada acara yang melibatkan hari-hari istimewa seperti perayaan dan bulan kemerdekaan.

Bagi penghibur yang turut dikenali dengan gelaran Papa Rock, Ramli Sarip, dia melihat perkara ini dalam konteks berbeza ditambah terdapat ramai artis yang berpayung dalam industri seni di tanah air.

"Saya bukan menolak atau menerima konsert yang bersifat percuma. Tetapi saya menggunakan rasa hati untuk melaksanakan sesuatu persembahan dalam konsert percuma.

"Contohnya apakah impak persembahan percuma ini kepada masyarakat, kekuatan dan sumbangan pesta ini dan perkara lain yang berkaitan dengannya.

"Semuanya terpulang kepada individu yang terlibat. Kalau artis yang seorang ini sudah ada nama dan status tersendiri maka dia boleh saja tidak mahu melibatkan diri dalam konsert tanpa bayaran.

"Tetapi kalau ada artis baru bahkan penyanyi yang senior ingin melibatkan diri dalam pesta percuma, tidak ada salahnya asalkan dapat bayaran yang setimpal dan pihak produksi konsert ini bagus, jadi ia tidak menjadi sebarang isu.

"Cuma golongan artis disarankan tidak melakukan konsert tanpa bayaran ini kerana perasaan terpaksa. Sebaliknya lakukan kerja anda dengan rasa senang hati sambil mahu menghiburkan peminat.

"Secara peribadi, saya sendiri mengawal diri daripada melibatkan diri dengan pesta percuma yang dilihat tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Saya hanya mahu menyanyi di pentas dalam perasaan teruja sambil peminat berasa puas hati dengan persembahan saya," ujarnya.

Bagi ratu rock negara, Ella, dia mengamalkan prinsip untuk menolak mana-mana konsert percuma yang dianggap tidak masuk akal atau ada agenda tersembunyi.

"Ada positif dan negatifnya pesta-pesta percuma yang semakin banyak di negara ini. Cuma dalam soal ini golongan artis kena bijak memilih agar mereka tidak sesekali menjadi permainan pihak penganjur.

"Kita tidak boleh terburu-buru untuk meraih glamor atau populariti dengan melibatkan dalam konsert percuma yang kadang-kala hanya memberikan keuntungan kepada penganjur saja," katanya

Melihat kepada senario hari ini, adalah wajar untuk pihak kementerian berkenaan, persatuan artis, penggiat seni dan wakil penyiaran duduk semeja mencari formula penyelesaian.

Jika tidak ditangani segera sama ada mengurang atau menghentikan konsert percuma, tidak mustahil konsert segah di Istana Budaya sekali pun suatu masa nanti, tidak memerlukan tiket berbayar

8 ulasan:

Portdy berkata...

ada pros and cons...


banyak faktor lain sebenarnya,
nilai duit sekarang,
dan mentaliti percuma masyarakat malaysia...

speedrider berkata...

bila bayar mahal-mahal.. jadi macam Konsert SEARCH DI Awan Biru... Tension peminat macam tu.

Nasib baik ni bukan era 1988-1991. Kalau tak, mau melayang kerusi ngan fence atas stage.

deaf_angel berkata...

untuk aku la.
1) mungkin dah biasa sangat konsert free, orang tak mau keluar duit dah.
2) tempat konsert tu takde kemudahan awam..

untuk orang macam aku yang sanggup beli tiket konsert tapi jenis naik bas dan naik lrt, susah sangat nak pergi tempat2 pelik2 takde public transport.


Anyway selamat menyambut bulan ramadhan beb

Saudagar Mimpi ... berkata...

Maaf semua lambat reply.

Portdy : Betul tu. Nilai duit sekarang sangat berharga. Keutamaan diberi kepada benda lain. Lagi pun terdapat pelbagai alternatif untuk berhibur pada masa kini.

Speedrider : Apa boleh buat, Search dah tersilap percaturan. Kalau kerusi terbang atas stage, pasti keluar paper muka depan dengan tajuk "Konsert Rock bertukar Ganas!" bukannya "Konsert Rock macam hampeh" hehehheh

deaf_angel : Betul tu. Lokasi memainkan peranan jugak tu. Kalau tengah hutan, siapa la nak pergi kalau tak de kenderaan.


Apa pun, Selamat berpuasa semua.

amer zaman berkata...

dgr kat majalah glam lelaki 5 ada cover sifu?

deaf_angel berkata...

tak tahu mana nak ucap, so kat sini je la.
Beb, selamat hari raya kat ko, family dan semua yang baca blog ko ni. All the best always.

Saudagar Mimpi ... berkata...

amer zaman ; Oh ye ke? Thanks for the info. Kena cari nih. Oh ye selamat hari raya.

deaf angel : Terima kasih. Sori tak sempat buat entri raya.
Selamat hari raya bt bro dan keluarga juga. Tak ketinggalan pada semua pelawat prahara seni.
Selamat hari raya maaf zahir batin.

HangKebun berkata...

Pengalaman saya sendiri ketika menonton konsert lefthanded di stadium negara... oleh kerana berbayar x ramai yang datang.. hinggakan tempat tiket RM 68 dibuka oleh penganjur dan penonton yang bertiket RM 40 dibenarkan turun..

sangat kurang sambutan.. konsert Percuma jadi pilihan MALAYSIA.. hehehe