Jumaat, Jun 12, 2009

M. Nasir belum puas

petikan Kosmo! 12 Jun 2009
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

BARU sahaja selesai menjayakan Konsert Alam Muzik M. Nasir Februari lalu di Istana Budaya (IB), tidak menghalang dirinya untuk kembali ke pentas konsert.

Ia rentetan kepuasan penyanyi yang digelarkan 'sifu' di kalangan penggiat seni ini masih lagi belum dirasainya. Bagi M. Nasir, dia belum habis menginterpretasikan luahan seninya pada konsert itu, malah ramai juga peminat-peminat yang tidak dapat hadir akibat kehabisan tiket.

Lantas, sebuah lagi konsert bakal menemui peminat-peminatnya di Stadium Negara menjelang 25 Julai ini, yang mana lokasi tersebut mampu memuatkan seramai 7,000 penonton.

Benar, nostalgia lama kembali terlintas di fikiran. Apalagi bagi peminat-peminat yang pernah menjadi saksi dan melayari alunan muzik yang dipersembahkan oleh idola mereka pada Konsert Canggung M. Nasir di Stadium Negara pada 15 tahun yang lalu.

Konsert yang dinamakan sebagai Konsert Satu Wajah M. Nasir itu bakal menjanjikan yang terbaik berbanding persembahannya sebelum ini.

Malah, beritahu M. Nasir, mana-mana lagu popular yang tidak dapat dinyanyikannya pada konsert lalu, akan dinyanyikan pada konsert itu.

"Sebenarnya banyak lagu popular yang tidak dapat saya persembahkan. Maklumlah, masa pun tidak cukup. Jadi untuk pemilihan lagu, mungkin saya akan lebihkan kepada lagu-lagu balada.

"Yang penting, persembahan saya akan berbeza dengan konsert saya di IB. Cuma konsep konsert kali ini ada kesinambungan daripada konsert lalu.

M. NASIR tidak gemar dengan konsep tema pada setiap konsertnya.

"Visual yang ditunjukkan juga berbeza, itu keistimewaannya. Saya pasti peminat-peminat akan merasai perbezaan persembahan konsert ini walaupun mereka baru sahaja menyaksikan konsert saya baru-baru ini," katanya yang akan tampil bersendirian tanpa menggunakan sebarang artis jemputan.

Pada konsert dengan durasi sekitar dua jam, penyanyi berusia 52 tahun itu akan menyanyikan sekitar 20 hingga 30 buah lagu.

Tambahnya, tiada tema bagi Konsert Satu Wajah M. Nasir kerana ia akan menyekat kreativiti persembahannya.

"Saya tidak suka meletakkan tema dalam persembahan. Saya mahu tunjukkan kepelbagaian hasil kerja saya dari awal pembabitan menjadi seorang penyanyi sehinggalah kini.

"Bayangkan, kita tidak boleh hidup dalam satu benda kerana rencah hidup kita macam-macam. Tetapi kehidupan muzik saya yang pelbagai itulah saya jadikan sebagai satu," tuturnya yang turut menyampaikan lagu baru dalam konsertnya nanti.

Konsert Satu Wajah M. Nasir ini dianjurkan oleh Maya Axis Creative Sdn. Bhd., dengan bantuan syarikat pengurusan M. Nasir, Beyond Events serta Sinar FM yang menjadi radio rasmi bagi konsert tersebut.

Menurut Pengarah Urusan Maya Axis, Samirah Hambali, M. Nasir dipilih setelah menyaksikan persembahannya di IB dan dia yakin, konsert kali ini memberi satu kejutan yang berbeza kepada peminat-peminat M. Nasir.

"Selain itu, pihak kami masih mengalu-alukan penaja yang ingin turut serta dalam menjayakan konsert ini kerana saya yakin, sambutan daripada penonton pasti hebat.

"Lagipun, sumbangan mereka bukan hanya dinilai dari segi keuntungan semata-mata tetapi tajaan mereka dapat membantu dalam mempertingkatkan industri tempatan," ujarnya.

Tiket Konsert Satu Wajah M.Nasir boleh dibeli melalui Ticket Hotline di www.tickethotline.com.my atau boleh menghubungi di talian 03-77251177/1166 dengan harga RM383 (termasuk hidangan ringan dan pelekat kereta VIP), RM253 (termasuk pelekat kereta VIP), RM153, RM83 dan RM53.

5 ulasan:

Portdy berkata...

kalau M Nasir belum puas...
kami lagi belum puas!

Tanpa Nama berkata...

Ada lagu baru?
Jeng,jeng,jeng~

Tanpa Nama berkata...

haiya tiket 83 & 53 dah habis!

deaf-angel berkata...

two big shows kat KL selang seminggu eh.

M Nasir & Search

Saudagar Mimpi berkata...

Portdy : Mana nak puas, lagu yang ingin didengar tak kedengaran.

Tanpa Nama : Tak silap SM, ketika konsert Alam, sifu juga menyatakan ada lagu baru, tapi tak kedengaran pun...

Tanpa Nama : Call mereka utk kepastian.

deaf_angel : So, bro turun KL utk konsert kali ini?