Khamis, Mei 28, 2009

Program khas bantu artis gawat

petikan Berita Harian 28 Mei 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Karyawan wujud pangkalan data lagu baru

USAH dipedulikan lagi masalah krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini kerana jika kebimbangan itu sentiasa bermain di minda, nescaya semuanya yang dirancang tidak akan menjadi.

Menjurus kepada industri hiburan hari ini, pelbagai cara masih lagi boleh dilakukan karyawan tempatan untuk meneruskan perjuangan dan kesinambungan industri muzik kita agar tidak terus terkubur.

Masih ramai lagi artis, terutama yang baru menapak di dalam industri ini, gentar untuk menghasilkan album memandangkan kos untuk menghasilkan album penuh memerlukan modal yang besar, paling tidak pun RM50,000 bagi satu album.

Bakat sudah dikesan namun ke mana haluan harus dibawa untuk kerjaya sebagai penyanyi sekiranya tidak ada pihak yang berminat untuk mengambil tahu perihal artis baru ini.

Dalam diam, rupa-rupanya Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sebenarnya sudah memasang strategi untuk membantu artis tanah air yang masih terkejut dengan masalah yang melanda sehingga menjejaskan ekonomi dunia.

Melalui program yang dipanggil Program Artis, Komposer dan Single, artis sama ada baru atau lama serta komposer dapat terus berkarya.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, objektif utama untuk menyemarakkan kembali industri hiburan melalui program yang bakal dilaksanakan ini akan memberi banyak manfaat kepada semua pihak.

“Karyawan sentiasa memikirkan apakah yang akan dilaksanakan untuk terus membantu industri hiburan hari ini. Program ini berupa satu usaha mengumpul seberapa banyak karya daripada komposer profesional yang bernaung di bawah biro komposer kita.

“Kita akan menggalakkan komposer tempatan menghasilkan seberapa banyak karya untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan. Kita juga menggalakkan komposer baru untuk terbabit sama dalam program ini.

“Namun semua karya yang dihasilkan komposer akan dinilai panel profesional bagi memenuhi kualiti dan piawaian yang diperlukan stesen televisyen dan radio sebelum dimasukkan ke dalam pangkalan data Karyawan,” katanya yang akan membahagikan beberapa genre muzik di dalam pangkalan data itu.

Antara komposer yang bakal terbabit dalam program ini diketuai oleh M Nasir, Aidit Alfian, Aznan Alias, Tam (Spider), Ajai, Ad Samad dan Neves (Pretty Ugly).

Tujuan Karyawan mengumpul seberapa banyak karya dari komposer adalah untuk memberi laluan mudah kepada artis terutama artis baru yang ingin memulakan langkah pertama sebagai penyanyi.

“Kita menyedari ramai artis baru yang ingin merakamkan lagu tetapi tidak mempunyai modal untuk berjumpa dengan komposer dan memulakan proses rakaman. Caranya kini mudah, artis harus menjadi ahli kepada Karyawan dan dia bebas memilih lagu mengikut kehendaknya melalui pangkalan data yang kita sediakan.

“Melalui program ini, Karyawan menyediakan kesemua kemudahan untuk penyanyi bermula menghasilkan lagu sehingga mempromosikan di stesen radio dan TV. Namun mereka harus membayar kos penerbitan dengan nilai yang paling rendah daripada kos yang dikenakan di luar.

“Kita turut menyediakan kontrak kerjasama ini agar tidak ada pihak yang akan tertipu dan saya amat yakin dengan cara ini keselamatan komposer dan penyanyi akan lebih terselamat,” katanya yang menetapkan kos minimum sebanyak RM6,000 bagi satu single.

Pelaburan jangka panjang ini juga akan dirancang dengan teliti untuk melaksanakan pelbagai agenda seterusnya.

“Menerusi lagu yang sudah diterbitkan ini juga kita akan memperkenalkan lagu ini melalui muat turun telefon yang dapat menjana pendapatan penyanyi dan komposer secara berterusan.

“Selain itu apa yang kita nampak sebaik RTM memperkenalkan muzik aktif yang boleh disaksikan di saluran 180 Astro, banyak peluang yang boleh diambil oleh artis sekiranya mereka menghasilkan lagu bersama video klip. Kita mempunyai hubungan yang baik dengan RTM dan mereka turut memerlukan bahan yang baru dari artis tempatan untuk disajikan kepada penonton.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masalah industri kita. Peluang inilah yang harus diambil oleh artis untuk memasarkan bakat mereka,” katanya yang akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk memperkenalkan Program Artis Komposer dan Single.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi terus pejabat Karyawan di talian 03-79552967 atau melayari laman web karyawan www.karyawan.com.my.

5 ulasan:

Portdy berkata...

emm

harap2 menjadik la plan ni....
kalau tak sia2 la komitmen dari team yang
handle program ni...

M.Nasir bila la nak fokus pada album2 rock tanah air semula eh?
Search pun dah tour, kata nak buat single?
Wings pun kata nak kuar album baru ?

kena kembalikan zaman dulu ngan sentuhan nafas baru dari MNasir...dan kalau buleh Ramli Sarip...

iron maiden pun aktif buat lagu baru lagi....
dengar2 nak kuar album ujung tahun ...

Tanpa Nama berkata...

kalau ada dgq habaq dvd konsert alam nak keluaq, tulun habaq mai naa...

deaf_angel berkata...

ni artis2 bawah label ye, kalo band2 rock metal takde label buat cd sendiri, tu pakai duit simpanan dorang kerja, semua buat sendiri.

Saudagar Mimpi ... berkata...

Portdy : Ya. Harap-harap menjadi. Yang handle pun mereka-mereka yang berpengalaman.

Heh, aku plak lebih suka kalau M Nasir start fokus pada album baru.

Tanpa Nama : Insyallah, kalau dgq dvd/vcd konsert alam keluaq, bukan setakat habaq, promote pun boleh :)

deaf_angle : Mcm underground la ye, buat sendiri, jual sendiri, untung pun sendiri. Jangan syok sendiri sudah....

deaf_angel berkata...

beb, ada konsert m nasir eh bulan 8 nanti?
info ples