Jumaat, Mei 15, 2009

Muat turun lagu lebih untung

petikan Berita Harian 15 Mei 2009
Oleh Azrul Affandi Sobry
azrul@bhnews.com.my

Penyanyi Indonesia turut ambil kesempatan popularkan lagu mereka di negara ini

PENERBITAN album menerusi cakera padat (CD) pada masa akan datang hanya menjadi salah satu kaedah promosi untuk memperkenalkan lagu kepada pendengar bagi meningkatkan jumlah pelanggan nada dering pemanggil lantaran ia dikatakan lebih berpotensi memberikan lebih banyak keuntungan kepada penyanyi atau pemuzik.

Realiti itu diakui oleh penyanyi muda kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia (AF), yang mendapat langganan tertinggi di negara ini ketika ini menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu, Aizat apabila menyatakan kesanggupan untuk memberi album secara percuma kepada peminat demi melonjakkan populariti sesuatu lagu.

Katanya, fenomena ketika ini yang menunjukkan kemerosotan ketara dalam jualan album selain dalam masa yang sama peningkatan mendadak kutipan jumlah muat turun nada dering pemanggil seakan-akan satu isyarat jelas bahawa ia bakal menjadi sumber pendapatan lain di kalangan penyanyi.

Lagu dendangannya yang diuruskan syarikatnya sendiri, Kasi Gegar Sdn Bhd sudah mencatat jumlah langganan melebihi 1.2 juta sejak dilancarkan untuk muat turun pada Jun 2008, membolehkan Aizat memperoleh royalti lebih RM500,000 dalam masa kurang daripada setahun.

“Pasaran jualan CD yang sangat perlahan ketika ini tidak menggalakkan penyanyi melahirkan album tetapi dengan kemunculan teknologi baru ini (muat turun) ia seakan-akan menjadi penyelamat kepada penyanyi untuk memperoleh pendapatan selain mengadakan persembahan pentas.

“Ia juga membolehkan penyanyi tidak terlalu berharap menghasilkan album. Cukup dengan satu lagu ‘single’, penyanyi boleh menjualnya dan memperoleh keuntungan daripada hanya satu lagu. Namun, lagu itu mesti benar-benar kuat dan saya beruntung kerana mendapat lagu yang berkualiti dan mendapat sambutan.

“Perolehan melalui kaedah muat turun lebih ketara dan mudah kerana hampir setiap orang dalam negara ini mempunyai telefon bimbit dan ramai yang gemar menggunakan nada dering pemanggil. Jadi, mungkin selepas ini, penghasilan album hanya sekadar sebagai promosi untuk mendapat lebih ramai pelanggan nada dering pemanggil,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Bagi vokalis kumpulan Jinbara, Shamsul Bakhtiar Zakaria atau Tia pula menyifatkan kemunculan teknologi baru itu nyata menguntungkan ramai pihak terutama penyanyi yang selama ini sangat tertekan lantaran pasaran jualan CD jatuh merudum.

“Sebelum ini, teknologi itu tidak menyebabkan kami sekadar bergantung harap kepada jualan cakera padat dan persembahan pentas. Kini, pendapatan itu bertambah dan ramai pihak sudah boleh menarik nafas lega.

“Maklumlah, kini jika boleh jual 10,000 unit CD sudah dikira cukup hebat sedangkan jumlah sebanyak itu hanya cukup untuk membayar kos penerbitan dan tak banyak untung kepada penyanyi.

“Royalti yang diterima untuk jualan album dan muat turun ini sama jumlahnya. Jadi, penyanyi tidak perlu susah sangat seperti dulu untuk menghasilkan album. Cari saja satu lagu yang baik, cukup. Tak payah buat album penuh. Diakui ia sudah menjadi pendapatan utama berbanding jualan CD,” katanya.

Malah, menurut Tia, konsep muat turun lagu untuk nada dering pemanggil juga membolehkan satu lagu dipecahkan kepada dua hingga tiga jenis nada seperti nada permulaan lagu, korus dan rangkap lain sekali gus menambahkan lagi peluang lagu itu untuk mendapat lebih langganan.

Namun, katanya, di sebalik kelebihan itu, ia juga menyebabkan penyanyi tidak lagi berasa kepuasan seperti satu ketika dulu di mana penghasilan album menjadi sesuatu yang sangat dibanggakan serta dinantikan semua pihak iaitu penyanyi, penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik.

Ketua kumpulan dan pemain gitar utama kumpulan 6ixth Sense, Gjie pula berkata peranan radio yang kerap memainkan lagu seseorang penyanyi menjadi faktor utama sesebuah lagu itu ‘meletup’ dan diminati ramai orang.

Selain itu, kekerapan lagu itu dimainkan apabila menjadi lagu tema sesebuah drama selalunya menjadikan lagu itu lebih mesra di telinga pendengar sekali gus melonjakkan populariti lagu berkenaan.

Katanya, seperti lagu Tanpa menjadi sangat popular dan melonjak dalam senarai lagu muat turun terbanyak apabila digunakan sebagai lagu tema dalam drama Cinta Untuk Ain sedangkan lagu itu sudah ada sejak 2007.

“Kalau nak diikutkan, kumpulan 6ixth Sense tidaklah sehebat kumpulan lain seperti Meet Uncle Hussein, Hujan atau Jinbara tetapi dengan peluang menjadi lagu tema itu, lagu kami menerima langganan antara tertinggi sedangkan lagu itu pun tidaklah popular sangat.

“Orang ramai pun tak kenal anggota kumpulan kami. Album yang dikeluarkan sebelum ini pun tak laku sangat, malah tak pulang modal pun,” katanya.

Hujan terkejut lagu cecah 500,000 langganan

NAMUN di sebalik semua pandangan yang nyata gembira dengan perkembangan sihat dalam dunia hiburan itu, pengurus merangkap pemain keyboard kumpulan Hujan, Dimas pula berpendapat teknologi baru itu memang boleh mendatangkan keuntungan kepada penyanyi jika tidak ditipu syarikat rakaman yang menguruskannya.

Dia dan anggota kumpulannya yang ditemui di Berita Harian baru-baru ini terkejut apabila diberitahu wartawan bahawa jumlah muat turun untuk lagu mereka, Bila Aku Sudah Tiada sudah mencecah lebih 500,000 langganan.

“Jika awak tak beritahu, kami pun tak tahu. Memang sejak lagu itu di pasaran pada 2007 kami belum pernah menerima sebarang bayaran. Mungkin selepas ini bayaran itu akan diperoleh dan kami harap ia memang ada.

“Meskipun belum dibayar, namun saya akui bahawa fenomena baru ini memang menguntungkan dan banyak menyelamatkan penyanyi. Kalau nak harapkan jualan album, berapa sangat yang kami dapat. Album Hujan pun hanya terjual sekitar 6,000 unit saja. Nasib baik sudah pulang modal.

“Ia juga menjadi penanda kepada satu revolusi baru iaitu mungkin satu hari nanti album hanya sebagai kit untuk perkenalan lagu. Jika lagu, lirik dan melodinya kuat, ia boleh dipromosikan untuk muat turun. Lagi untung,” katanya.

Melihat kepada senario semasa itu, Dimas berkata, tak menghairankan apabila dikhabarkan ada penyanyi di Indonesia yang sanggup membayar kepada syarikat penerbitan drama atau filem untuk menggunakan lagu mereka sebagai lagu tema semata-mata untuk melonjakkan populariti sesebuah lagu.

Bagi komposer, penyanyi dan pelakon terkenal, M Nasir pula berpendapat teknologi muat turun adalah petanda industri muzik sudah berganjak kepada satu arus pembaharuan baru yang beredar mengikut zaman.

“Diakui memang ramai yang untung dengan kemunculan teknologi itu tetapi ada juga yang tidak meraih sebarang keuntungan. Setakat ini saya belum nampak lagi ia benar-benar membawa impak dalam industri hiburan.

“Memang ada kebaikannya iaitu apabila penyanyi tak perlu lagi bersusah payah melahirkan album. Buat saja lagu ‘single’, sudah boleh jual. Apatah lagi dunia kini mahukan sesuatu yang pantas dan muat turun adalah kaedah paling tepat untuk semua,” katanya.

Penyanyi rock terkenal, Hattan pula melihat perkembangan senario terkini itu lebih menguntungkan artis yang bijak menggerakkan sendiri produknya tanpa perlu bergantung kepada syarikat rakaman.

“Tengok Aizat. Ia contoh yang baik. Apabila semuanya diuruskan sendiri, untungnya lebih berlipat ganda. Macam saya, adalah tiga bulan sekali menerima bayaran daripada muat turun tetapi jika nak bandingkan jualan album, kaedah ini jauh lebih menguntungkan,” katanya.

4 ulasan:

matakucing berkata...

so dah tak boleh la nak kumpul cd huhuhu

deaf-angel berkata...

aku tak suka konsep muat turun..
aku nak beli lagu tu, aku nak kena ada packaging, sampul, lirik sheets, gambo2

Saudagar Mimpi berkata...

matakucing : boleh, kumpul CD-R yg ada mp3 hehhehe.

deaf_angel : Mungkin konsep muat turun hanya sesuai bagi mereka yg cuma nak dengar lagu sahaja dan bajet terlalu kecil.
Bagi peminat setia, sudah tentu mahu memiliki album penuh dengan packagingnya sekali. Pendapat Saudagar, budaya muat turun ini sedikit sebanyak menyebabkan kurang penghargaan pada seni kreatif dalam penghasilan album. Album bukan hanya dinilai pada lagu tapi juga kreativiti grafik dan pembungkusan. Contoh boleh dilihat pada banyak album2 barat seperti Led Zep, Pink Floyd dsbnya. Mungkin untuk mengurangkan kos, jadilah trend album dengan inlay yang minima.

Tanpa Nama berkata...

aku setuju dgn pendapat SM