Ahad, Mac 29, 2009

M Nasir wajar siapkan filem Aduh Saliha!

petikan Bintang Popular 29 Mac 2009
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SESUATU yang masih saya hairan sehingga kini dan ramai juga rakan dalam industri filem bertanya ialah apa perkembangan filem arahan M Nasir yang tak siap-siap sampai sekarang - Aduh Saliha! Ramai yang mengetahui ada masalah dalam produksi itu termasuklah isu syarikat penerbitan dan produsernya menghadapi masalah kewangan. Kalau masalah pengurusan, takkan tak boleh diselesaikan. Kalau masalah duit, boleh minta bantuan Finas atau buat pinjaman tambahan menerusi SME Bank.

Apabila wartawan hiburan bertanyakan M Nasir, komposer dan penyanyi ini enggan memberi komen lagi dan bagaikan cuba mengelak untuk bercakap pasal filem arahannya itu sedangkan ketika memulakan penggambaran dulu, rancangan projek filem itu menjadi riuh dalam industri hiburan sebab Bintang Paling Popular, Mawi bakal beraksi dalam filem itu.

Lebih menarik, M Nasir begitu cerewet cari pelakon wanita untuk watak heroin sebagai Saliha. Pengumuman nama Sarah untuk pembawa watak Saliha dilakukan selepas hampir setahun pencarian dilakukan M Nasir. Pelakon yang dipilih ialah muka baru, Puteri Sarah. Malangnya, sekitar sebulan penggambaran, masalah berlaku dan ia terus tergendala sampai sekarang. Penerbit filem itu pun tak mahu komen. Mawi juga dah malas nak cakap pasal filem itu dan menyuruh media bertanyakan M Nasir saja. M Nasir pun dah macam takut untuk cakap pasal projek filem itu.

Soalnya, apa sudah jadi dengan projek filem itu? Apakah ia sudah terkubur atau memang penerbit sedang merancang untuk menyambung penggambarannya. Jika lambat, ia akan mengundang masalah lebih rumit kerana imej dan bentuk fizikal dua watak utama - Mawi dan Puteri Sarah tentu akan berubah sedikit, maklumlah Mawi dah jadi suami orang kini, badannya pun dah makin berisi.

Bayangkan penggambaran filem itu bermula pada 4 September 2007 dan sebulan kemudian penggambaran dihentikan dan terus tergendala sampai sekarang. Bermakna sehingga hari ini, sudah hampir 17 bulan penggambarannya dihentikan. Takkan nak ikut jejak macam projek filem Pasir Salak - King of the River yang tertangguh sampai 17 tahun! Kalau memang tidak ada niat hendak disambung, umumkan saja pada media dan tidak perlu membuatkan ramai tertanya-tanya apa sudah jadi pada Aduh Saliha! apatah lagi lagu yang berjudul Aduh Saliha pun sudah tidak lagi jadi perhatian dan makin dilupai ketika ini.

M Nasir kena tampil menyelesaikan masalah itu bersama penerbit. Kalau ada unsur perbalahan sebelum ini, cubalah berdamai, jangan masing-masing ego dan kesudahannya kedua-dua yang malu. Jika masih tergendala dan projek itu gagal disiapkan, reputasi M Nasir sebagai pengarah filem juga akan terjejas. Orang akan ingat sampai bila-bila M Nasir adalah pengarah filem yang tak habis penggambaran, ini satu imej yang berbahaya pada karier seni M Nasir. Mungkin selepas ini M Nasir tidak lagi berpeluang untuk mengarah filem sebab produser mungkin tidak mahu percayakan beliau lagi. Kalau mahu projek filem ini diteruskan, M Nasir kena teruskan kerja pengarahan sebab Mawi dan Puteri Sarah dari awal lagi mereka tak akan terus sambung berlakon untuk filem itu kalau pengarahnya ditukar dengan orang lain.

M Nasir kena berpakat dan berbincang dengan produser untuk mencari jalan terbaik siapkan Aduh Saliha! sebab filem itu memang ditunggu-tunggu ramai peminat filem, terutama peminat Mawi. Orang ramai tak kenal siapa produser dan syarikat mana yang urus projek filem itu tetapi tempiasnya akan lebih mengena pada M Nasir sebab dia seniman tersohor dalam dunia muzik.

Sebelum projek filem itu dimulakan penggambaran, M Nasir juga yang banyak bercakap jadi M Nasir kena bertanggungjawab untuk menyiapkan filem itu - walau dengan apa cara sekalipun demi nama baik kerjayanya.

Akibat filem itu tergendala juga, menyebabkan nama Puteri Sarah terus menyepi. Dia sendiri pernah luahkan rasa malu kerana filem itu tak siap sedangkan namanya dulu heboh jadi bahan media massa sebagai bintang baru yang bakal menyinar dan berpeluang beraksi dengan Mawi di layar perak.

Mungkin, jika ditakdirkan penulis skrip filem itu, Allahyarham Loloq masih hidup, mungkin arwah akan menangis terkenangkan skripnya yang kini tak siap untuk dijelmakan sebagai naskhah filem cereka. Lebih setahun Loloq meninggal dunia tetapi tak ada lagi khabar berita mengenai perkembangan filem ini. Aduh, sedihnya...

Akmal

3 ulasan:

Saudagar Mimpi ... berkata...

Aduh! Aduh! Aduh! Ada betul juga artikel mengenai filem Aduh Saliha. Adakah Lagu-lagu dari filem ini pun turut sama terkubur?

* Terima kasih kepada saudara Razlizam yang berkongsi info! :)

razzmatazz berkata...

Ni URL dia ke BPOP:

http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/Sunday/Celoteh/20090329204944/Article

Tanpa Nama berkata...

REPORTER NI KEPOH JERK.... KENAPA NK ATTACK M.NASIR... PEGI LAH ATTACK PENERBIT DIA TU... DULU KECOH NAK JD PENERBIT... DAN CAMERA CREW YG NK GLAMER NAK JD PENGARAJ BERSAMA.... DRAMA DI BAWAH LUNCAI EMAS SYARIKAT DIA OK JE... TAKDE PUN MASALAH KEWANGAN...