Sabtu, Februari 28, 2009

Seleksi terbaik M Nasir

petikan Harian Metro 28 Februari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

HAMPIR tiga bulan membuat persiapan dari aspek latihan, akhirnya penghibur terkenal M Nasir bersedia mengadakan persembahan depan khalayak. Berbeza dengan persembahan yang pernah diadakan sebelum ini, kemunculan semula Nasir kali ini dianggap suatu yang istimewa kerana julung kali, dia berpeluang menggunakan lokasi berprestij, Istana Budaya, Kuala Lumpur sebagai pentas Konsert Alam Muzik M Nasir.

Sejak semalam, persembahan berlangsung selama tiga malam berturut-turut termasuk hari ini dan esok. Namun, sehari sebelum persembahan malam pertama diadakan, Nasir terlebih dulu membuka ruang pada jemputan dan media untuk membuat liputan pada latihan penuhnya. Biarpun ia hanya latihan tetapi Nasir tetap bersemangat mengadakan persembahan dengan bertenaga.

Bagi peminat Nasir, persembahan ini dinantikan apatah lagi ia mengubat kerinduan selepas kali terakhir mengadakan persembahan menerusi Konsert Andalusia di Stadium Merdeka pada 29 Januari 2000. Keterujaan peminat bukan hanya mahu menyaksikan dia menyanyikan kembali lagu popularnya, tetapi turut tidak sabar menantikan gimik yang ingin dipersembahkan pada konsert itu.

Pada malam itu, Nasir yang berpakaian serba hitam terlebih dulu muncul dengan gimik video seorang lelaki di layar putih atas pentas kelihatan terbaring dan tidak bermaya. Hanya diiringi irama dari gitar, lelaki itu kemudian bersuara dan menyanyikan lagu Di Balik Cermin Mimpi.

Apabila lelaki itu berlalu, Nasir muncul bersama 10 pemuzik dari platform bawah yang naik ke pentas. Nyata, kelibat Nasir dengan lontaran vokal yang masih mantap, mengundang sorakan dan tepukan gemuruh penonton. Membangkitkan suasana, dia tampil dengan Gong Impian bersama lima penari lelaki serba putih memegang kain panjang menghubungkan satu sama lain.

Diikuti lagu Hati Emas, dia sempat menyelitkan intro lagu Ekspres Rakyat. Nyata, persembahan membuka tirai berjaya menarik minat penonton untuk nyanyi bersama. Memanaskan pentas, Nasir turut menyampaikan lagu rancak, Rajawali Terbang Tinggi dan Dah Lagu Tu yang menyerlah vokal dan gaya persembahan yang bertenaga.

Berlalu dengan empat lagu, Nasir kemudian bersantai seketika sebaik mengalunkan lagu Bukalah Hatimu yang disampaikan secara akustik diiringi gitar. Sungguhpun persembahan lagu kelima ini lebih sentimental, tetapi dia berjaya menghayati lagu ini dengan baik sehingga peminat turut berkongsi mesej cinta, perjuangan, kemanusiaan dan peperangan yang diselitkan dalam lirik lagu ini.

Memberi kepelbagaian dan tarikan pada persembahan, untuk lagu seterusnya seperti Keroncong Nostradamus, dia mengundang tiga penari wanita gempal mengiringi persembahannya. Kemunculan tiga wanita ini mengundang sorakan penonton dan persembahannya bersesuaian irama lagu yang disampaikan yang mempunyai ciri tradisional dari Jawa, Indonesia.

Untuk lagu Keroncong Untuk Ana selepas itu, sekali lagi penonton diajak menyanyi bersama sebelum dia menutup segmen persembahan pertama dengan lagu rancak, Sahabat Gua. Memasuki segmen kedua selepas berhenti rehat seketika, Nasir masih bertenaga meneruskan persembahan. Bermula dengan Balada Seorang Teman, dia juga menghiburkan penonton dengan seleksi lagu popular yang pernah mendapat tempat di hati peminat termasuk Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit.

Meredakan suasana, dia kemudian menyampaikan lagu Langgam Pak Dogo secara akustik sambil memetik gitar. Menariknya, dalam lagu ini dia menggunakan dialek Kelantan dalam nyanyian. Sebagai penghibur banyak pengalaman menghasilkan pelbagai lagu dan tidak kurang terbabit dengan banyak persembahan pentas sebelum ini, pesona Nasir di pentas cukup menghiburkan.

Bersambung dengan lagu Ada, Nasir membuktikan dia masih bertenaga untuk mengadakan persembahan. Sebaik persembahan sampai kemuncak, dia memilih Apokalips sebagai lagu penutup pada persembahan malam itu. Menariknya, Nasir turut mengajak penonton menyanyikan lagu itu bersama sehingga persembahan menutup tirai.

Menyoroti perjalanan dari awal sehingga persembahan berakhir, Nasir begitu bersemangat untuk menyampaikan setiap lagu yang dipilih. Selain menyanyi, penghayatan mendalamnya dapat dilihat apabila dia juga menari sambil mengajak penonton untuk berhibur bersama. Dia membuktikan pada usia 51 tahun, ia bukan penghalang pada penghibur terkenal itu untuk mengadakan konsert solo.

Walaupun persembahannya hanya berseorangan di atas pentas tanpa penyanyi undangan, tetapi konsert ini tetap berjaya pada hati peminatnya. Malah, kejayaan konsert kali ini sebenarnya didukung dengan bantuan 10 pemuzik yang di belakangnya iaitu Aznan Alias selaku pengarah muzik dan gitar utama bersama Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (dram), Pa'ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Namun, kata Nasir sebelum ini persembahan untuk tiga malam kali ini berbeza dari aspek pemilihan lagu termasuk gimik yang akan dilakukan. Meskipun bukan semua lagu popular sejak zaman 70-an hingga kini tidak dapat disampaikan satu persatu tetapi dia menjanjikan kepuasan pada peminat yang hadir dengan seleksi lagu terbaik.

Bagi peminat Nasir, jangan lepaskan peluang untuk menonton konsertnya pada malam ini dan esok. Selain berhibur, peminat juga berpeluang mendapatkan koleksi albumnya seperti Canggung Mendonon dan Phoenix Bangkit pada harga murah, hanya RM17. Malah, penonton boleh membeli sambil menderma untuk Tabung Kebajikan NSTP yang menjual cenderamata eksklusif Konsert Alam Muzik M Nasir iaitu mug pada harga RM20 dan mouse pad, RM10. Untuk setiap jualan cenderamata eksklusif ini, RM1 akan disumbangkan pada Tabung Kebajikan NSTP.

3 ulasan:

matakucing berkata...

fuh mmg dahsyat la sifu

Najwan Halimi berkata...

"Seorang Melayu tidak akan sempurna kemelayuannya tanpa dia memahami karya-karya dan falsafah yang dicetuskan oleh M. Nasir."

amer zaman berkata...

terima kaseh saudagar mimpi.

kau banyak memberi.