Sabtu, Februari 21, 2009

Janji konsert terbaik

petikan Harian Metro 21 Februari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

IMPIAN penghibur terkenal, M Nasir untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya, Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Sebagaimana M Nasir gigih berlatih sejak awal tahun ini untuk persediaan Konsert Alam Muzik M Nasir selama tiga hari bermula 27 Februari ini, penonton juga tidak sabar untuk menyaksikan persembahan yang dianggap istimewa ini.

Menariknya, konsert kali ini menjadi sejarah peribadi buat M Nasir apabila ia diadakan semula selepas kali terakhir dia membuat Konsert Andalusia di Stadium Merdeka pada 2000. Mengikut rekod konsertnya, dia mula menghiburkan peminat menerusi Konsert Canggung yang diadakan di Stadium Negara pada 1994.

Selepas itu, dia turut mengadakan konsert di lokasi berbeza seperti Port Dickson pada tahun yang sama diikuti Johor Bahru (1995) manakala Konsert M Nasir Crossing UK '97 di Manchester, United Kingdom (1997) dan Konsert Phoenix di Suntec City, Singapura (2001).

Namun, di sebalik kejayaan M Nasir mengadakan konsert di pelbagai destinasi, dia turut mendapat sokongan daripada Beyond Events Sdn Bhd yang bertindak mengurus aktiviti seninya.

Nyata, hubungan M Nasir dengan syarikat pengurusan artis itu masih utuh sejak mereka bekerjasama lapan tahun lalu. Malah, mereka juga terbabit sama dalam menganjurkan konsert solo M Nasir kali ini.

Pengurus Besar Beyond Events Sdn Bhd, Amin Hussein berkata antara mereka, masing-masing berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin dan kemunculan konsert solo kali ini menjadi agenda penting untuk mereka memberikan persembahan terbaik pada penonton. Sungguhpun, konsert ini gagal mendapat penajaan, tetapi ia bukan bermakna konsert ini turut gagal.

“Sememangnya faktor penaja memainkan peranan penting dalam membantu kos penganjuran konsert dan akibat tanpa penaja, ada konsert yang terpaksa mengecilkan aspek persembahan.

“Namun, untuk konsert M Nasir kali ini, saya yakin kemampuannya dapat menarik perhatian ramai peminat untuk hadir menonton.

“Sebenarnya, kami bersama penganjur Box Office (M) Sdn Bhd bekerjasama menjayakan konsert ini. Malah, sebelum ini kami juga berusaha mencari penaja. Biarpun konsert ini memberi tekanan pada kami apatah lagi persembahannya kian hampir, ia bagaimanapun tidak menjadi masalah besar.

“Kami sebagai penganjur mahupun M Nasir berhasrat mahu memberi kepuasan pada penonton agar mereka rasa berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Apa yang boleh saya katakan, persembahan M Nasir kali ini tetap berbeza dengan konsertnya sebelum ini.

“Walaupun konsert ini adalah pengalaman pertama kami sebagai penganjur bersama tetapi berdasarkan konsert Nusantara yang pernah diadakan di Esplanade, Singapura pada 2006, sambutan yang diterima daripada penonton amat memberangsangkan. Sambutan yang sama dijangka berulang apabila 85 peratus tiket konsert kali ini habis dijual.

“Pada kami, usaha merealisasikan konsert kali ini suatu yang mencabar tetapi kami mengharapkan penonton tidak risau kerana M Nasir mempunyai banyak pengalaman untuk memberi tarikan pada setiap persembahannya. Secara peribadi, saya berpandangan M Nasir sudah banyak berubah dari karakter pendiam pada gaya yang lebih santai dan mesra untuk didekati.

“Perubahan pada dirinya banyak berubah sejak memikul tanggungjawab sebagai pengetua Akademi Fantasia 3 dan pembabitan menerusi program TV berkonsepkan jelajah iaitu Destinasi Dunia.

“Malah, dia juga kini lebih terbuka untuk bercerita dan tidak lupa menghargai sokongan peminat menerusi konsert,” katanya.

Kata Amien, kontrak M Nasir bersama syarikatnya diperbaharui setiap dua tahun dan selepas empat kali kontrak ditandatangani, mereka gembira untuk terus bekerjasama. Selain mengatur urusan persembahan dan publisiti, syarikat pengurusan artis ini juga bertindak membantu dari aspek penampilan di pentas dan memberi idea pada konsep persembahan konsert kali ini.

“Biarpun bajet konsert ini terhad tetapi saya tahu penonton akan terhibur dengan persembahannya. Secara kasar, pada persembahannya nanti, dia akan terlebih dulu bercerita serba sedikit mengenai lagu yang ingin disampaikan.

“Menariknya, dia boleh mengubah konsep persembahan berbeza pada malam itu nanti dan mungkin kejutan akan berlaku. Ada empat baju rekaan Datuk Tom Abang Saufi yang akan digayakannya nanti bersesuaian dengan konsep etnik pada persembahannya.

“Persembahannya tetap dianggap istimewa pada peminat kerana kelompok peminat yang hadir berbeza. Ada peminat yang menyukai lagu seperti Keroncong Untuk Ana dan ada juga yang meminati Juwita Citra Terindah. Biarpun berbeza cita rasa tetapi konsert ini menjadi platform untuk semua peminatnya bertemu dan berhibur,” katanya.

Tiada ulasan: