Sabtu, Februari 28, 2009

Seleksi terbaik M Nasir

petikan Harian Metro 28 Februari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

HAMPIR tiga bulan membuat persiapan dari aspek latihan, akhirnya penghibur terkenal M Nasir bersedia mengadakan persembahan depan khalayak. Berbeza dengan persembahan yang pernah diadakan sebelum ini, kemunculan semula Nasir kali ini dianggap suatu yang istimewa kerana julung kali, dia berpeluang menggunakan lokasi berprestij, Istana Budaya, Kuala Lumpur sebagai pentas Konsert Alam Muzik M Nasir.

Sejak semalam, persembahan berlangsung selama tiga malam berturut-turut termasuk hari ini dan esok. Namun, sehari sebelum persembahan malam pertama diadakan, Nasir terlebih dulu membuka ruang pada jemputan dan media untuk membuat liputan pada latihan penuhnya. Biarpun ia hanya latihan tetapi Nasir tetap bersemangat mengadakan persembahan dengan bertenaga.

Bagi peminat Nasir, persembahan ini dinantikan apatah lagi ia mengubat kerinduan selepas kali terakhir mengadakan persembahan menerusi Konsert Andalusia di Stadium Merdeka pada 29 Januari 2000. Keterujaan peminat bukan hanya mahu menyaksikan dia menyanyikan kembali lagu popularnya, tetapi turut tidak sabar menantikan gimik yang ingin dipersembahkan pada konsert itu.

Pada malam itu, Nasir yang berpakaian serba hitam terlebih dulu muncul dengan gimik video seorang lelaki di layar putih atas pentas kelihatan terbaring dan tidak bermaya. Hanya diiringi irama dari gitar, lelaki itu kemudian bersuara dan menyanyikan lagu Di Balik Cermin Mimpi.

Apabila lelaki itu berlalu, Nasir muncul bersama 10 pemuzik dari platform bawah yang naik ke pentas. Nyata, kelibat Nasir dengan lontaran vokal yang masih mantap, mengundang sorakan dan tepukan gemuruh penonton. Membangkitkan suasana, dia tampil dengan Gong Impian bersama lima penari lelaki serba putih memegang kain panjang menghubungkan satu sama lain.

Diikuti lagu Hati Emas, dia sempat menyelitkan intro lagu Ekspres Rakyat. Nyata, persembahan membuka tirai berjaya menarik minat penonton untuk nyanyi bersama. Memanaskan pentas, Nasir turut menyampaikan lagu rancak, Rajawali Terbang Tinggi dan Dah Lagu Tu yang menyerlah vokal dan gaya persembahan yang bertenaga.

Berlalu dengan empat lagu, Nasir kemudian bersantai seketika sebaik mengalunkan lagu Bukalah Hatimu yang disampaikan secara akustik diiringi gitar. Sungguhpun persembahan lagu kelima ini lebih sentimental, tetapi dia berjaya menghayati lagu ini dengan baik sehingga peminat turut berkongsi mesej cinta, perjuangan, kemanusiaan dan peperangan yang diselitkan dalam lirik lagu ini.

Memberi kepelbagaian dan tarikan pada persembahan, untuk lagu seterusnya seperti Keroncong Nostradamus, dia mengundang tiga penari wanita gempal mengiringi persembahannya. Kemunculan tiga wanita ini mengundang sorakan penonton dan persembahannya bersesuaian irama lagu yang disampaikan yang mempunyai ciri tradisional dari Jawa, Indonesia.

Untuk lagu Keroncong Untuk Ana selepas itu, sekali lagi penonton diajak menyanyi bersama sebelum dia menutup segmen persembahan pertama dengan lagu rancak, Sahabat Gua. Memasuki segmen kedua selepas berhenti rehat seketika, Nasir masih bertenaga meneruskan persembahan. Bermula dengan Balada Seorang Teman, dia juga menghiburkan penonton dengan seleksi lagu popular yang pernah mendapat tempat di hati peminat termasuk Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit.

Meredakan suasana, dia kemudian menyampaikan lagu Langgam Pak Dogo secara akustik sambil memetik gitar. Menariknya, dalam lagu ini dia menggunakan dialek Kelantan dalam nyanyian. Sebagai penghibur banyak pengalaman menghasilkan pelbagai lagu dan tidak kurang terbabit dengan banyak persembahan pentas sebelum ini, pesona Nasir di pentas cukup menghiburkan.

Bersambung dengan lagu Ada, Nasir membuktikan dia masih bertenaga untuk mengadakan persembahan. Sebaik persembahan sampai kemuncak, dia memilih Apokalips sebagai lagu penutup pada persembahan malam itu. Menariknya, Nasir turut mengajak penonton menyanyikan lagu itu bersama sehingga persembahan menutup tirai.

Menyoroti perjalanan dari awal sehingga persembahan berakhir, Nasir begitu bersemangat untuk menyampaikan setiap lagu yang dipilih. Selain menyanyi, penghayatan mendalamnya dapat dilihat apabila dia juga menari sambil mengajak penonton untuk berhibur bersama. Dia membuktikan pada usia 51 tahun, ia bukan penghalang pada penghibur terkenal itu untuk mengadakan konsert solo.

Walaupun persembahannya hanya berseorangan di atas pentas tanpa penyanyi undangan, tetapi konsert ini tetap berjaya pada hati peminatnya. Malah, kejayaan konsert kali ini sebenarnya didukung dengan bantuan 10 pemuzik yang di belakangnya iaitu Aznan Alias selaku pengarah muzik dan gitar utama bersama Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (dram), Pa'ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Namun, kata Nasir sebelum ini persembahan untuk tiga malam kali ini berbeza dari aspek pemilihan lagu termasuk gimik yang akan dilakukan. Meskipun bukan semua lagu popular sejak zaman 70-an hingga kini tidak dapat disampaikan satu persatu tetapi dia menjanjikan kepuasan pada peminat yang hadir dengan seleksi lagu terbaik.

Bagi peminat Nasir, jangan lepaskan peluang untuk menonton konsertnya pada malam ini dan esok. Selain berhibur, peminat juga berpeluang mendapatkan koleksi albumnya seperti Canggung Mendonon dan Phoenix Bangkit pada harga murah, hanya RM17. Malah, penonton boleh membeli sambil menderma untuk Tabung Kebajikan NSTP yang menjual cenderamata eksklusif Konsert Alam Muzik M Nasir iaitu mug pada harga RM20 dan mouse pad, RM10. Untuk setiap jualan cenderamata eksklusif ini, RM1 akan disumbangkan pada Tabung Kebajikan NSTP.

Jumaat, Februari 27, 2009

'Konsert Alam Muzik' Ubati Rindu Peminat

petikan Gua.com.my 27 Feb 2009
by Li Ee Kee


Sembilan tahun sememangnya jangkamasa yang terlalu lama untuk menunggu satu konsert. Tapi bagi peminat, penyokong dan pemuja M. Nasir, berkat kesabaran dan doa mereka selama ini, akhirnya berjaya juga ‘Konsert Alam Muzik M. Nasir’ di pentaskan di Istana Budaya bermula malam ini. Walaupun ada ketika itu kelihatan ia tidak akan terjadi akibat kekurangan dana.

Semestinya para penaja mempunyai alasan mereka tersendiri untuk menolak peluang menaja konsert sifu, yang pencapaian dan baktinya kepada industri muzik tempatan terlalu panjang untuk di senaraikan. Tetapi jika ada yang telah menolak kerana menyangkakan nama M. Nasir tidak lagi laku, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kesemua tiket untuk konsert tiga malam ini telah habis dijual!

Tidak hairanlah yang raptai penuh malam tadi juga menyaksikan hampir 80% daripada tempat duduk dipenuhi dengan peminat, baik dari golongan tua atau muda, siap ada yang membawa anak-anak kecil mereka lagi, mungkin sebagai pendedahan kepada apa itu muzik Malaysia. Para artis seperti Fazley Zainal, Tam Spider dan Misha Omar turut tidak ketinggalan untuk menyaksikan sendiri kehebatan sifu.

Buat peminat setia Nasir, penantian mereka selama ini tidak disia-siakan. Lebih dari 20 lagu dari katelog muziknya, bermula dari zaman Kembara pada tahun 70-an hingga ke hari ini, telah dipersembahkan dengan penuh semangat dan emosi. Antaranya “Di Balik Cermin Mimpi”, “Hati Emas”, “Rajawali Terbang Tinggi”, “Raikan Cinta”, “Masirah”, “Gong Impian”, “Sahabat Gua”, “Kias Fansuri”, “Hijab Kekasih” dan “Demi Masa”.

Tiada cacat-cela dalam kualiti vokal Nasir dan kemerduan suaranya lebih menyerlah bila diperdengarkan di Panggung Sari yang kualiti akustiknya memang bertaraf dunia. Dia juga nampaknya benar-benar menghayati setiap detik persembahannya pada malam itu. Bukan sahaja suaranya yang menyanyi tetapi begitu juga setiap bahagian tubuh badannya. Seperti yang diakui beliau, “Saya kalau tak berjoget tak boleh.” Diajak juga para penonton untuk berjoget bersama tapi ramai yang lebih suka melihatnya berdansa.

Dan bagi mereka yang biasa melihat Nasir sebagai seorang yang serius dan pendiam, pasti ramai yang terkejut malam tadi melihatnya melawak.

Band pilihan Nasir yang terdiri daripada Zul Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmood (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exist (drum), Jay Jay (gitar bass), Hanafi Spider (gitar kedua), Pa’ang (percussion), Hamzah Hashim (percussion kedua) dan Mohardiman (seruling), serta penyanyi latar yang terdiri daripada Eja @ Tijah Muhamad Nor, Yuaz Bahtiar Kassim, Juwanita Ismail dan Wan Mohd Azran Wan Hamzah, masing-masing telah memberikan satu sokongan muzikal yang padu kepada Nasir.

Hasilnya: satu persembahan mantap dan ikhlas yang rata-ratanya diterima baik peminat.

Antara ‘highlight’ konsert malam tadi termasuk persembahan tarian dari tiga penari montel yang lincah bergerak serta dendangan “Phoenix Bangkit Dari Abu” dan “Mentera Semerah Padi” yang begitu memberangsangkan sehingga mampu menaikkan bulu roma mereka yang mendengarnya.

Kehangatan 'Konsert Alam Muzik M. Nasir' yang syahdu dan sentimental

petikan mstar 28 Februari 2009
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

PELBAGAI elemen menarik boleh dipertontonkan dalam Konsert Alam Muzik M. Nasir mulai hari ini selama tiga malam berturut-turut.

Penyanyi, komposer dan pelakon ini secara keseluruhannya mampu menghiburkan para penonton yang hadir menyaksikan konsert di Istana Budaya itu nanti.

Semalam, penulis sempat menonton persembahan ‘full dress rehearsal’ dan pratonton konsert tersebut.

Melalui persembahan itu, penyanyi Mohamad Nasir Mohamad atau M. Nasir, 52, telah berjaya membuktikan yang beliau mampu membuat konsert solo tanpa bantuan artis jemputan.
Persembahan 'pantomin' kurang menarik perhatian penonton. -foto The Star oleh SAMUEL ONG

Antara yang menjadi tarikan penonton adalah gimik permulaan yang memaparkan sekujur tubuh manusia di layar skrin.

Menariknya, tubuh yang merengkok itu berkumat-kamit mengikut alunan suara M. Nasir ketika beliau menyanyikan lagu pembukanya.

Lama-kelamaan tubuh itu menghilang dan barulah penyanyi yang digelar sebagai ‘Sifu’ ini muncul di depan khalayak.

Seterusnya, M. Nasir membawakan satu kumpulan ‘pantomin’ yang mengaitkan persembahan itu dengan lagu bersifat kemanusiaan itu.
Walaupun menyemakkan mata, persembahan 'pantomin' sekurang-kurangnya tidak menghalang M. Nasir daripada menyampaikan lagu.

Namun begitu, kumpulan ‘pantomin’ itu seolah-olah ‘menyemakkan’ mata penulis yang dirasakan jika tiada pun tidak mengapa.

Bercakap tentang senarai pemilihan lagunya, M. Nasir juga menyanyikan lagu-lagu bersifat keamanan dan kemanusiaan selaras dengan matlamat konsert ini yang turut menyumbang kepada dana amal untuk Gaza.

Konsert ini juga diadakan bersempena meraikan 30 tahun penglibatannya di dalam industri dan menggambarkan perjalanan seni M. Nasir yang berwarna-warni.

M. Nasir juga pandai membeli hati penonton dengan menghidangkan lagu-lagu popularnya seperti Raikan Cinta, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Suatu Masa, Ada, Di Balik Cermin Mimpi, Falsafah Cinta, Pheonix Bangkit dan Keroncong Untuk Ana.
Layar skrin di belakang M. Nasir turut membantu menghidupkan suasana pentas dan membuatkan penonton lebih menghayati lagu yang dipersembahkan.

Sebelum ini, M. Nasir pernah mengatakan lagu-lagu yang dinyanyikan olehnya itu kebanyakannya adalah lagu pemintaan yang disenaraikan oleh peminatnya di laman web FaceBook.

Oleh itu, M. Nasir turut menyanyikan lagu Gong Impian, Hati Emas, Rajawali Terbang Tinggi, Dah Lagu Tu, Bukalah Hatimu, Balada Seorang Teman, Langgam Pak Dogo, Keroncong Nostradamus, dan Sahabat Gua.

Konsert selama dua jam itu berlangsung tanpa henti dengan nyanyian 17 buah lagu dari M. Nasir.

Hanya sekali-sekala dia akan berbual mesra dengan penonton sementara menunggu masa untuk menyampaikan lagu seterusnya.
M. Nasir menyanyikan puluhan lagunya selama dua jam tanpa henti.

Dengan bantuan band yang diketuai oleh pemuzik Nan dan dianggotai oleh 10 orang pemuzik profesional itu, penulis mula merasakan kehangatan konsert selepas setengah jam berikutnya.

Ketika M. Nasir menyampaikan lagu berentak syahdu dan sentimental, terus suasana di dalam Panggung Sari, Istana Budaya itu bertukar sepi dan penonton bagaikan sedang menghayati setiap bait lirik serta alunan lagu yang dipersembahkan.

Apabila lagu rancak berkumandang, panggung diselubungi suasana ceria dan kebanyakan penonton bertepuk tangan mengikuti rentak lagu.

Paling menggamatkan suasana apabila tiga wanita berbadan 'montel' menari-nari tarian Jawa ketika M. Nasir menyanyikan lagu ala Jawa.
M. Nasir pandai bermain dengan pergerakan tubuh untuk membantunya menyampaikan lagu.

Ada yang bersorak mesra, melaung-laung memanggil nama ‘Sifu’ dan pelbagai suara lagi yang bergema sehingga menggamatkan keadaan di dalam panggung itu.

Dari situ, wujudlah suatu ‘intimasi’ yang diinginkan oleh pengasas kumpulan Kembara pada tahun 80-an ini.

M. Nasir juga pandai mengaplikasikan skrin berwajah awan berarak yang kadangkala berwarna biru dan sekali-sekala berubah warna kepada kelabu.

Layar putih itu juga memaparkan flora hijau, bunga-bungaan serta air yang mengalir senada dengan alunan lagu sekaligus membuatkan hati penonton lebih menghayati lagu yang didendangkan olehnya.

Bukan itu sahaja, suami kepada pelakon Marlia Musa ini juga menghias pentas dengan gantungan fauna (haiwan) seperti siput dan cengkerang yang dilukis secara satu-persatu.

Segala keindahan yang dicetuskan dalam konsert ini dianggap tidaklah keterlaluan dan sedap mata memandang.

Pujian harus diberikan kepada penyanyi Usop Kopratasa yang bertindak selaku pereka pentas konsert ini.

Selain itu, variasi genre muzik yang dimainkan turut menghiburkan penonton. Misalnya, lagu yang mempunyai unsur muzik Jawa, lagu berloghat Kelantan, bernada keroncong, dan funky dinyanyikan untuk santapan para penonton.

Ia sekaligus mengabulkan niat M. Nasir untuk melihat semua penonton menikmati persembahannya mengikut perkembangan muzik yang berubah-ubah bermula daripada zaman sentimentalisma, lagu-lagu kerakyatan, lagu-lagu rock, ‘Malaysia world beat’ dan ‘hip hop’.

Sebelum ini, M. Nasir telah banyak menjayakan puluhan konsert mega seperti Malam Bonda M. Nasir di UKM pada tahun 1994, Konsert Canggung M. Nasir di Johor Bahru, 1995, Konsert Akar Manifestasi Akustika M. Nasir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 1995, Konsert M. Nasir Crossing Uk’ 97 di Manchester, 1997 dan Konsert Gembala M. Nasir di Harbour Pavilion, Singapura, 1999.

Dengan pengalaman yang dihimpunnya sebelum ini, maka tidak hairanlah jika dia mampu menyanyikan lagu dengan penuh bertenaga dan dalam masa yang sama mendapat bantuan vokal daripada empat orang penyanyi latar.

Mulai malam ini sehingga 1 Mac, barulah penonton mula menyerbu konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu.

Bagi yang sudah membeli tiket, jangan lupa untuk menyaksikan persembahan M. Nasir yang turut menyanyikan lagu yang diciptanya untuk penyanyi lain.

Antara puluhan lagu ciptaan M. Nasir yang dinyanyikan oleh penyanyi lain adalah Hati Emas nyanyian Kembara, Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Fantasia Bulan Madu (Search), Istana Menanti (Rahim Maarof), Sejati (Wings), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Hattan), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Aduh Saliha (Mawi).

Namun begitu, M. Nasir berkata dia hanya akan menyanyikan lagu yang bersesuaian dengan suaranya.

Dimaklumkan, tiket masuk konsert untuk tiga malam itu telah habis dijual. Tahniah buat M. Nasir, penganjur Boxoffice Malaysia Sdn. Bhd. dan Istana Budaya atas kejayaan konsert ini sekaligus mengumpul banyak kutipan hasil jualan tiket yang dijual pada harga RM45, RM85, RM150, RM200 dan RM 250.

M. Nasir proves he still has the magic

taken from The New Starits Times 27 February 2009

KUALA LUMPUR: It was an assortment of music genre -- folk, rock, traditional and ballad.

Renowned singer and composer M. Nasir showcased an inimitable versatility at the preview of his maiden solo concert at Istana Budaya here last night.

Billed Konsert Alam Muzik M. Nasir, the three-night show opens tonight at 8.30.

At the preview, the 51-year-old sang 17 songs which he had recorded during his sterling career.

Among them were Mentera Semerah Padi, Phoenix Bangkit, Apokalips and Langgam Pak Dogo.

The preview showed Nasir in his element. He joked, laughed and shared funny anecdotes with his supportive fans, largely made up of New Straits Times staff and readers.

The concert is produced by veteran concert promoter and organiser Ali Bakar of Boxoffice (M) Sdn Bhd.

In conjunction with the concert, The New Straits Times Press (M) Berhad is selling exclusive mugs (RM30 each) and mouse pads (RM10 each) at the NSTP booth in Istana Budaya until Sunday. The booth opens from 6pm till midnight.

Proceeds from the sales will be channelled to the NSTP Charity Fund.

New Straits Times is the official media for the concert.

Tiket konsert M Nasir habis

petikan Berita Harian 27 Februari 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ali Bakar bersyukur hasil kerjasamanya dengan akhbar Kumpulan New Straits Times

TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan penganjur Konsert Alam Muzik M Nasir iaitu Ali Bakar sebaik saja mendapat tahu tiket untuk menyaksikan konsert penyanyi tersohor tanah air itu langsai beberapa hari sebelum menjelangnya acara sebenar.

Saat dihubungi Hip kelmarin, Ali yang juga Pengurus Besar Box Office (M) Sdn Bhd tidak henti-henti melahirkan rasa syukur kerana di saat dia berdepan dengan masalah penaja serta keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, pencinta muzik tanah air masih sanggup mengeluarkan wang saku mereka untuk menyaksikan konsert itu.

“Saya mendapat khabar gembira ini pagi tadi dan terus terang saya katakan, kerjasama yang dilakukan antara kami dan Kumpulan New Straits Times Press(M) Bhd memberi impak yang positif terhadap usaha kami. Publisiti yang diberikan mereka serta penerbitan lain banyak membantu penjualan tiket.

“Berita ini juga sedikit sebanyak mengubat kekecewaan saya yang sebelum ini berdepan dengan masalah tidak mendapat penaja. Sekurang-kurangnya, apabila tiket ini habis dijual ia dapat membuktikan bahawa keyakinan penonton terhadap atis tempatan masih ada dan M Nasir masih lagi sifu,” ujar Ali dalam nada teruja.

Jelasnya, walaupun berkeyakinan konsert ini bakal mendapat sambutan menggalakkan namun dalam situasi seperti sekarang, semuanya boleh berlaku.

“Untuk semua konsert Nasir sebelum ini, boleh dikatakan tiket habis diujal. Tapi untuk konsert yang ini, saya tak mahu meletak sebarang harapan tinggi. Bukan tidak yakin cuma melihat kepada faktor ekonomi dan sebagainya, ada juga perasaan ragu.

“Begitupun alhamdulillah, jika sebelum ini tidur saya tidak lena tapi kini saya sudah boleh fokus kepada perkara lain,” tegas promoter konsert terkenal ini.

Ditanya bagaimanakah reaksi Nasir sendiri saat mendengar khabar gembira itu, Ali berkata nasir hanya melemparkan segaris senyuman.

“Bila dia dimaklumkan mengenai berita baik itu, Nasir hanya memandang saya dan memberikan senyuman sinis. Biasalah, dia tapi saya tahu dalam hatinya, dia bangga dan gembira dengan sokongan yang diberikan peminat,” jelasnya sambil memberitahu ada peminat yang datang sejauh dari Brunei dan Singapura semata-mata untuk menyaksikan suami kepada pelakon Marlia Musa ini beraksi.

Dalam pada itu, Ali juga ingin memohon kemaafan kepada mana-mana pihak yang masih menghubunginya untuk mendapatkan tiket ke konsert terbabit lantaran kegagalannya untuk memenuhi kehendak itu.

“Selama tiga malam konsert itu berlangsung, semua tempat sudah penuh. Memang tak dapat nak selit lagi. Dan saya juga ingin memaklumkan kepada semua pihak bahawa konsert ini tidak akan disambung sehari lagi seperti yang digembar-gemburkan.

“Lagipun, sejurus selepas konsert itu berakhir, pentas itu akan digunakan untuk persembahan lain. Tapi, Insya-Allah, tahun depan kalau ada rezeki kami akan anjurkan konsert yang sama,” kata Ali lagi.

Walaupun lega dengan sambutan yang diterima namun jauh di sudut hati masih terselit perasaan bimbang.

“Memandangkan Nasir perlu menyanyi untuk tiga malam berturut-turut, saya bimbangkan kesihatannya serta staminanya. Jadi saya harap, semua peminat penyanyi ini dapat berdoa semoga Nasir dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu membuat persembahan hebat untuk ketiga-tiga malam itu,”ujar Ali yang mahu semua penggemar M Nasir terhibur menyaksikan konsert itu.

Khamis, Februari 26, 2009

Mayat tergantung, M Nasir terbang

petikan Harian Metro 26 Februari 2009
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

BERBULAN-BULAN menyusun strategi serta mengadakan persiapan, Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) yang bakal dipentaskan, esok di Panggung Sari, IB, pastinya cukup dinanti-nantikan peminat.

Masakan tidak, penganjuran konsert anjuran Box Office (M) Sdn Bhd yang diadakan sehingga 29 Februari ini muncul selepas sekian lama penyanyi, komposer, penulis lirik, pengarah, pelakon dan penghibur prolifik tidak menjayakan sebarang konsert.

Kali terakhir seniman kelahiran Singapura yang mendapat taraf kerakyatan negara ini mengadakan konsert pada 29 Januari 2000 apabila beliau muncul dalam Konsert Raikan Cinta M Nasir di Stadium Merdeka.

Tempoh itu sudah terlalu lama, ia berlaku sembilan tahun lalu. Maka tidak hairanlah, mengapa penganjuran Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) ini mendapat sambutan cukup hangat sehinggakan tiketnya laris dijual.

Menyorot persiapan konsert, Aznan Alias (Nan) yang bertindak selaku pengarah muzik dihubungi Rap, semalam, untuk bercerita lanjut mengenai perkembangannya setakat semalam.

Nan yang bermain di posisi gitaris utama berkata, rombongan pemuzik, kru teknikal dan penyanyi latar yang terbabit dalam konsert ini sudahpun menjalani latihan di IB sejak hari pertama melangkah ke pentas Panggung Sari, Selasa lalu.

“Fokus kami pada hari pertama selain latihan adalah tumpuan dari sudut teknikal. Setakat semalam, kami sangat berpuas hati dengan penyediaan penataan bunyi, muzik dan video latar juga berjalan dengan lancar.

“Cuma tinggal bahagian M Nasir. Seperti pernah saya maklumkan sebelum ini, berkemungkinan ada beberapa perkara yang akan ditukar pada saat akhir atau diperbaiki sama ada dari segi persembahan atau teknikal kerana Nasir seorang yang sangat teliti.

“Bagi saya semua yang terbabit dalam konsert ini, pemuzik mahupun jurutera sudah faham cara kerja Nasir dan daripada pemerhatian, semuanya menjalankan tugas dengan baik.

“Bagaimanapun, berdasarkan apa yang kami lakukan tempoh hari, baki persiapan sebenarnya cuma tinggal 20 peratus saja lagi dan ia merangkumi penyediaan pentas dan atur cara konsert secara keseluruhan,” katanya.

Selain Nan, pemuzik handalan dan berpengalaman yang terbabit dalam konsert ini adalah Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (dram), Pa'ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Dalam temu bual itu, Nan yang mengesahkan M Nasir akan beraksi secara solo sepanjang persembahan tanpa artis undangan turut memberikan serba sedikit gambaran mengenai perjalanan konsert serta gimik yang bakal menemui penonton.

“Pentas Istana Budaya secara teknikal sangat dahsyat, justeru dengan kesempatan yang diberikan, kami cuba memanfaatkannya.

“Selain penggunaan ‘props’ yang pelbagai dan penukaran pentas, turut terdapat beberapa gimik.

“Jangan terkejut kalau anda akan lihat mayat tergantung, mungkin juga salah seorang atau M Nasir sendiri akan terbang. Nyata, semua elemen yang digunakan ada mesej di sebaliknya yang hendak disampaikan,” katanya.

Antara lagu dendangan M Nasir pada malam itu, Raikan Cinta, Masirah, Sahabat Gua, Phoenix Bangkit, Bila Rumi Menari, Dah Lagu Tu, Melawan Arus, Langgam Pak Dogo, Oh! Anak, Hijab Kekasih, Tari Rimba Cinta, Mistikal, Demi Masa dan Semakin Nyata.

Termasuk, Mentera Semerah Padi, Anak Anak Kita, Sen tuhan Listrik, Ada, Perang Yang Lagi Satu, Bukalah Hatimu, Juwita, Balada Seorang Teman, Kias Fansuri, Andalusia, Apokalips, Gong Impian, Keroncong Nostradamus, Hidayah dan Akar Kita.

Soseh Soseh: Beli tiket demi M Nasir

petikan Harian Metro 26 Februari 2009

KONSERT belum bermula, M Nasir sudah mendapat suntikan semangat daripada kawan-kawan. SS dengar pun terbit rasa bangga kerana dalam bidang seni, kita biasa dengar rakan artis menikam sesama sendiri. Berlainan pula untuk Konsert Alam Muzik-M Nasir, rakan artis tidak lokek melabur duit sendiri.

SS diberitahu, untuk konsert itu, Awie beli enam tiket berharga RM250. Nak diikutkan Awie boleh dapat percuma untuk dia dengan pasangan. Lagipun SS maklum pelbagai konsert hebat Wings dulu adalah di bawah penganjuran Box Office, diterajui Ali Bakar yang juga menganjurkan konsert M Nasir ini.

Tapi Awie lain, dia tidak mahu tiket percuma. Sekalipun sekarang ini kita sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global, Awie sanggup laburkan RM1,500 semata-mata kerana M Nasir.

Untuk konsert M Nasir ini, tiket dijual pada harga RM45, RM85, RM150, RM200 dan RM250. Konsert diadakan di Istana Budaya bermula 27 Februari, 28 Februari dan 1 Mac ini.

Jika sebelum ini, ketika mengumumkan konsert itu Ali pening kepala kerana tiada penaja, berbeza kini dia boleh senyum bangga. Apa tidaknya konsert belum berlangsung, tetapi tiket habis dijual.

Selain Awie, superstar Anita Sarawak artis pertama yang menghubungi Ali untuk beli tiket. Mulanya penganjur mahu memberi tiket khas, tetapi Anita menolak kerana mahu sokong kawan.

SS difahamkan Anitalah artis pertama yang membeli tiket konsert itu. Malang pula tiket sudah ada, tetapi kelmarin Anita menelefon pihak penganjur, dia tidak dapat hadir. Kebetulan pada hari persembahan konsert M Nasir itu, Anita terikat dengan persembahan khas majlis makan malam.

Bila SS dengar artis kita ikhlas bantu sesama mereka, rasa sejuk di hati. Selain Anita dan Awie, penghibur lama kita, Rahim Maarof dan Nash dari Lefhanded pun sudah membeli tiket konsert itu.

Memang sudah lama kita dahagakan konsert begini. Cadangan SS, kejayaan konsert M Nasir diharap dapat mencetuskan semangat artis rock lain untuk beraksi dalam sebuah konsert kelak.

Manalah tahu, IB berkenan menganjurkan sendiri konsert rock lain, kombinasi rock nusantara. Andai kata terlaksana, maknanya M Nasir pula kena laburkan duit untuk menyokong kawan-kawan pula.

Apapun, sejauh mana hebatnya M Nasir, sama-samalah kita tunggu Konsert Alam Muzik itu.

Selasa, Februari 24, 2009

70 peratus tiket sudah dijual

petikan Berita Harian 24 Februari 2009
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SUSIE menyerahkan replika cek bernilai RM15,000 sebagai sumbangan kepada Hishamuddin sambil diperhatikan Pengerusi Uptrend Network, Datuk Khairuddin Mohd Sari (kiri) dan Presiden Antarabangsa UptrendNetwork,Gary Gan.

Baki tiket Konsert Alam M Nasir dijangka habis pada malam persembahan

ANDAI berita ini belum mampu meleraikan perasaan bimbang pada diri Ali Bakar, Pengurus Besar Box Office (M) Sdn Bhd juga selaku penganjur Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya, namun sedikit sebanyak nafas lega dapat juga dihela apabila mendapat khabar bahawa jualan tiket untuk konsert terbabit laku macam pisang goreng panas.

Jelas Ali ketika menyampaikan khabar gembira itu berkata, setakat ini 70 peratus tiket sudah pun dijual dan dia yakin semua tiket akan habis dibeli penonton apabila tarikh konsert semakin dekat.

“Setakat ini, jualan paling laku adalah untuk show pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad dan tiket yang langsai itu bernilai RM45, RM85 dan RM150. Cuma yang tinggal sekarang adalah tiket bernilai RM200 dan RM250. Itupun yang tinggal kini adalah dalam 600 tiket.

“Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kerana peranan mereka selaku media rasmi konsert itu sangat membantu jualan tiket. Dan saya percaya sambutan akan lebih menggalakkan lagi minggu depan kerana adalah perkara biasa bagi penonton mendapatkan tiket pada saat terakhir,” katanya.

Bagaimanapun, Ali berharap supaya mereka yang ingin menyaksikan konsert ini supaya tidak berlengah-lengah untuk mendapatkan tiket memandangkan potensi untuk tiket habis dijual cukup besar.

“Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat jualan langsung (MLM), Uptrend Network Sdn Bhd (Uptrend Network) menerusi Stars2U kerana sudi membeli tiket yang berjumlah RM2,000 sebagai tanda sokongan terhadap konsert M Nasir ini.

“Sokongan seperti ini sekurang-kurangnya mampu memberi semangat dan keyakinan kepada penganjur konsert dan artis tempatan untuk terus menghasilkan konsert kepada penggemar muzik tempatan,” kata Ali ketika ditemui pada majlis penyampaian cek oleh Uptrend Network di Balai Berita, baru-baru ini.

Uptrend Network diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Susie Yeoh menyampaikan cek RM15,000 kepada Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun. Sumbangan itu hasil derma ikhlas setiap ahli Uptrend Network di seluruh negara yang kini menjangkau 250,000 dengan 15 daripadanya artis tempatan di bawah Konsortium Stars2u Sdn Bhd yang baru beroperasi beberapa bulan lalu.

Bercerita mengenai persiapan konsert terbabit, Ali berkata, ketika ini semuanya berjalan lancar dan tuan punya diri sedang sibuk menjalani latihan.

“Bagaimanapun, saya tidak berani memberi jaminan kepada peminat Nasir tetapi apa yang saya tahu, Nasir tidak akan mengecewakan mereka. Walaupun kami sudah beberapa kali bekerjasama terutama membabitkan penganjuran konsert, namun soal perjalanan konsert, skrip semuanya saya serahkan bulat-bulat padanya.

“Sepanjang mengenalinya 28 tahun lalu, Nasir adalah seorang yang mistik, jadi setiap penganjuran konsertnya saya serahkan pelaksanaan konsert itu mengikut kemahuan dan keselesaannya.

“Tugas saya hanya menyediakan apa yang Nasir perlukan dan dari segi teknikal,” ujar Ali sambil memberitahu konsert itu menterjemahkan empat elemen iaitu air, api, tanah dan angin.

Begitupun, untuk konsert ini, Ali memberitahu Nasir turut berdepan dilema terutama dalam pemilihan lagu yang akan dinyanyikannya kelak.

“Sehingga kini Nasir mempunyai hampir 1,500 lagu dan daripada jumlah itu, dia mempunyai 100 hingga 200 lagu hits. Memandangkan jumlah yang banyak itu, Nasir menghadapi masalah untuk menentukan lagu dinyanyikan pada malam itu.

“Disebabkan itu sepanjang latihan, dia kerap menukar lagu supaya hanya 30 lagu yang terbaik dapat dinyanyikan dalam konsert itu,” jelas Ali yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa konsert M Nasir termasuk Konsert Gong Impian di Wisma MCA, Konsert Canggung di Stadium Negara, Konsert Andalusia di Stadium Merdeka.

Isnin, Februari 23, 2009

Cenderamata khas sempena konsert M Nasir

petikan Berita Harian 23 Februari 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Cenderamata berupa kole dan alas tetikus (mouse pad) berupa cenderamata yang akan diberikan kepada peminat seniman M. Nasir.

Kole, alas tetikus buat peminat, hasil jualan disalurkan ke Tabung Kebajikan NSTP

SEMPENA Konsert Alam Muzik M Nasir pada 27, 28 Februari dan 1 Mac ini di Panggung Sari Istana Budaya, NSTP bakal mengeluarkan kole dan alas tetikus istimewa buat peminat seniman M Nasir.

Cenderamata khas itu hanya dikeluarkan pada jumlah 500 setiap unit dengan hak eksklusif pada kadar RM20 bagi kole dan RM10 bagi alas tetikus.

Eksekutif Projek Khas Bahagian Pemasaran, Ahmad Hisham Norhashim, berkata cenderamata itu dijual bagi tujuan mengumpul dana mengisi Tabung Kebajikan NSTP.

“Nilai pada sesuatu cenderamata yang dijual bukan ukurannya tetapi sumbangan bagi membantu golongan sangat memerlukan amat dihargai.

“Selain asyik berhibur seharusnya kita juga perlu memikirkan insan kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan mereka.

“Dengan pembelian cenderamata ini, sedikit sebanyak kita juga sudah mampu menyelamatkan nyawa mereka,” katanya yang boleh mendapatkan cenderamata itu di New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita, 31 Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur mulai minggu ini dan lobi Istana Budaya setiap malam persembahan.

Menurut Ahmad Hisyam, pihaknya turut menawarkan tiket eksklusif kepada orang ramai yang membeli sepasang cenderamata berupa kole dan alas tetikus.

“Selepas perbincangan bersama BoxOffice (M) Sdn Bhd dipersetujui, kami turut menawarkan tiket eksklusif untuk tayangan khas sekiranya peminat membeli sepasang cenderamata bernilai RM30.

“Tayangan khas ini juga membolehkan peminat menjadi antara penonton pertama akan menyaksikan konsert yang bakal meninggalkan seribu kenangan bersama M Nasir pada 26 Februari ini.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket khas ini jangan lupa membeli sepasang cenderamata ditawarkan pada harga RM30 kerana jumlahnya terhad.

“Disamping berhibur sekali gus kita dapat membantu insan yang sangat memerlukan bantuan untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti insan lain,” katanya.

Tiket bagi menyaksikan Konsert Alam Muzik M Nasir kini boleh didapati pada harga RM200 dan RM250, manakala tiket berharga RM45, RM85 dan RM150 sudah habis terjual.

Orang ramai juga boleh mendapatkan tiket itu di kaunter Box Office, Istana Budaya atau tempahan melalui www.ticket2u.biz atau hubungi 03-31498600.

RM1 daripada setiap jualan tiket akan disalurkan terus kepada NSTP Charity Fund.

Konsert yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut bermula 27 Februari ini akan diselami lebih 25 lagu lama dan baru ciptaan M Nasir pada persembahan selama dua jam itu.

Ahad, Februari 22, 2009

Sifu, pembawa momen dan memori

petikan Kosmo 22 Februari 2009

"Tidak hairan jika saya bakal keluar dengan album berbentuk nasyid. Siapa tahu? Segalanya tercipta secara tidak sengaja, di bawah sedar." – M. NASIR

PERJALANAN karier Mohd. Nasir Mohamed ibarat sebuah buku yang terisi sebuah coretan realiti. Maka hadirnya sebuah konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam berserta lagu-lagu dahulu dan kini umpama sebuah mesin waktu yang membawa anda ke masa lampau.

Bagi penggemar muzik yang sama usia dengan perjalanan 30 tahun cerita seni M. Nasir, inilah waktu yang ditunggu-tunggu.

Sembilan tahun menanti, Konsert Alam Muzik M. Nasir pada 27 dan 28 Februari serta 1 Mac ini pasti tidak akan dilepaskan.

Sama ada berjenaka atau mungkin berasa dia sudah tidak sesuai beraksi sebagai penghias wajah besar VAZZ, banyak kali pertanyaan 'boleh jualkah?' dilontarkan oleh komposer bergelar sifu itu.

Jawapan saya kepada M. Nasir tetap sama iaitu seperti larisnya jualan tiket konsertnya di Istana Budaya.

Sebelum ini M. Nasir telah menjayakan Konsert Akar Manifestasi Akustika, Konsert Gembala dan Andalusia.

Tidak mendedahkan perincian tentang konsert tersebut, para peminatnya pasti menunggu dengan sabar.

Namun, dalam temu bual dengan VAZZ, M. Nasir memberikan sedikit petunjuk: "Konsep pentas itu bersifat surrealistik serta banyak skim warna mengikut lagu."

Keluar dengan album nasyid?

Pengikut setia muzik Kembara dan solo M. Nasir sentiasa mahukan hasil karyanya yang baru.

Penggemar muziknya seakan-akan sudah terpengaruh dengan zat-zat halusinasi dan kreativiti yang disalurkan.

Soalan tentang rutin penghasilan karya dilontarkan sewaktu temu ramah diselang seli dengan pertanyaan mengenai konsert yang bakal berlangsung nanti.

"Satu hal yang saya mesti buat adalah merakam. Bukan setiap hari tetapi sudah menjadi rutin saya untuk berbuat demikian.

"Idea sentiasa berjalan dan kalau bukan untuk penghasilan sebuah rekod, saya tetap akan rakamkan idea tersebut.

"Ada lagi yang mahu saya buat. Selagi tidak boleh habis selagi itu kita hendak buat perubahan," ujar suami Marlia Musa dan bapa kepada enam orang cahaya mata itu.
KONSERT Alam Muzik bakal mengakhiri rindu sembilan tahun peminat M. Nasir.

Menjelang usia 52 tahun pada Julai ini, sifu itu memberitahu bahawa pernah sekali dia berasa mahu berhenti menulis lagu tetapi ia berlaku cuma seketika.

Waktu itu dia berada dalam studio pada tahun 1980-an.

"Saya ingatkan sudah tidak ada (karya) tetapi rupanya masih ada. Saya percaya bila sampai waktu untuk berhenti, ia akan terjadi sendiri."

Perjalanan perasaan dan idea seorang sifu nampaknya tidak akan berhenti berentak. Bayangan yang diberikan berkenaan album baru yang masih dalam perancangan menandakan bahawa ideanya belum kering atau bakal terhenti.

Menganggap lagu-lagu dan karyanya sebagai sebuah pengembaraan, perjalanan itu akan bermula serentak dengan perancangan dan penghasilan material.

"Jika ada yang menyukai album Phoenix Bangkit dan sebelumnya, dan kurang gemar dengan Sang Pencinta, maka orang itu sudah 'tersangkut'," guraunya dalam pernyataan yang serius sebenarnya.

Sambung M. Nasir: "Tidak hairan jika saya bakal keluar dengan album berbentuk nasyid. Siapa tahu? Segalanya tercipta secara tidak sengaja, di bawah sedar."

Secara semula jadi juga apabila menyebut tentang karya sifu, satu nama yang pasti muncul ialah Allahyarham Loloq iaitu 'cermin' sifu yang hilang dan akan dikenang sampai bila-bila.

Bukan mahu beralih kepada topik yang bersifat emosi tetapi ia berlaku secara natural. Ujar M. Nasir, karya seorang Loloq juga terhasil tanpa sedar.

"Dia banyak topeng yang mencerminkan pelbagai karakter. Kadangkala topeng itu meresap ke dalam badannya.

"Seingat saya lirik peribadi yang mencerminkan diri dan fahamannya tentang hidup ialah Insan dan Manikam. Lirik itu tentang orang yang ditentukan menjadi sesuatu dan takdirnya begitu.

"Jiwa patriotismenya pula terserlah melalui lirik Mentera Semerah Padi," imbas M. Nasir seketika tentang individu yang paling dekat jiwanya tetapi kini jauh meninggalkan dunia yang fana.

Perasaan dalam alam

Selain individu bernama Rosli Khamis (Loloq), satu lagi nama yang sukar berenggang dalam hidup M. Nasir ialah Aznan Alias, gitaris karismatik yang memenuhi kriteria profesional sifu.

Aznan yang pernah dipanggil Nan Saturnine dan kini dipanggil Nan sahaja bertugas sebagai pengarah muzik serta pemain gitar utama untuk Konsert Alam Muzik M. Nasir.

"Konsert ini diiringi oleh 10 orang pemuzik. Tidak perlu orkestra. Cukup hanya pemuzik handalan ini," merujuk kepada tanggungjawab Jay Jay (bass), Zul Mahat (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (drum), Pa'ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Kumpulan pemuzik profesional itu sudah berlatih secara serius di studio Luncai Emas. Menurut sifu, ia bermula dengan latihan biasa diikuti dengan latihan penuh sejak sebulan lalu.

Mengapa sampai sembilan tahun tanpa konsert solo, M. Nasir mempunyai persepsi tersendiri tentang soalan umum tersebut. "Kalau di Malaysia, konsert merupakan sebuah acara yang besar dan perkara yang bukan senang untuk dilaksanakan.

"Di samping itu, saya juga terbabit dalam hal-hal lain termasuk penghasilan lagu-lagu untuk artis lain dan album saya."

M. Nasir kemudian menyambung semula keterujaan apabila saya bertanyakan Konsert Alamnya yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

"Semua bersangkutan dengan perasaan. Ia kesinambungan kepada konsert yang sudah-sudah.

"Perjalanan muzik saya jauh. Ia berkaitan dengan perubahan dalam pemikiran, stail dan jenis muzik yang pernah saya lalui.

"Daripada kerakyatan kepada rock kemudian irama Malaysia, rentak world serta kerohanian. Juga termasuk muzik pop.

"Senang cerita daripada alam Kembara hingga kini," ujar M. Nasir meringkaskan serta melambangkan konsertnya di Istana Budaya.

Semuanya bakal diraih dengan kesetiaan sifu itu pada pilihannya iaitu bernafas dengan muzik.

Ia kembara yang pastinya tidak dapat tidak harus ditonton oleh mereka yang setia dengannya.

Suatu perjalanan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 22 Februari 2009
Oleh WANDA IDRIS
Foto FATAH SULAIMAN

Pada 4 Julai ini, genaplah 52 tahun usia M Nasir. Namun selagi nyawa dikandung badan, perjalanan seninya tidak akan berhenti malah selagi ada sisa usianya, selagi itulah dia akan merakam.

Bagi lelaki ini, perancangannya merupakan sebuah perjalanan yang diatur oleh lagu-lagu yang dicipta. Satu pengabdian terhadap dunia muzik yang disayanginya.

“Kadang-kadang benda itu sesuatu yang kita rasa kita harus buat,” katanya pada satu pertemuan baru-baru ini.

Perjalanan seni, bagi dirinya, tidak boleh rancang kerana takdir kita ditentukan oleh-Nya. Lalu, biarpun pernah terasa tidak mahu lagi mencipta, “tetapi tiap-tiap hari masih lagi di studio”, kata Nasir.

Mungkin sahaja melalui pandangan mata kasar, kita menganggap ia sebahagian rutin namun tegasnya, walau sekadar merakam, selalunya ada benda baru yang dihasilkan. Sentiasa optimis dengan kemahuan dan pembaharuan dalam dunia muzik, ia perlu jika seseorang pengkarya mahu terus ‘hidup’ dan memperjuangkan seninya.

Cuma, persoalannya kata Nasir, perubahan yang bagaimana yang diinginkan. Apakah ia sampai atau tidak kepada pendengar?

“Sebab macam mana pun berlaku perubahan, dasarnya tidak boleh berubah. Kita dengar muzik baru tapi sebenarnya tak ada benda yang tersangat baru. Biar trend muzik berubah setiap lima tahun, mereka yang mempelajari muzik tetap belajar muzik yang sama. Mungkin mereka menghasilkan benda baik daripada segi teknikal dan karya seni tapi tetap belajar benda sama - klasikal, jazz dan sebagainya.

“Pergi sekolah dan hasilkan benda sama. Perubahan sebenar datang daripada muzik jalanan. Budak-budak baru, mereka suka bereksperimen dengan bunyi. Kalau rajin mencari maka akan dapatlah perubahan,” katanya.

Seperti juga dunia penciptaan, Nasir juga tidak pernah lelah menghasilkan album baru. Namun dia realistik kerana tidak semua album yang dihasilkan akan diterima dan disukai ramai.

“Penciptaan yang enak didengar selalunya dicipta tanpa sengaja, di bawah sedar. Tak boleh merancang. Kerana itu kita mesti merakam, selalu merakam.

“Masalah tak sampai (diminati pendengar), apa yang kita nak kadang kala tak sama. Sebenarnya banyak benda boleh buat tapi cita rasa muzik orang itu boleh jual atau tidak?

“Kita faham pembeli. Cuma bawa benda baru yang boleh diterima. Tapi mesti ada konflik dalam setiap pembikinan. Sama ada hit atau miss,” ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album Sang Pencinta, tiga tahun lalu.

Alam muzik

Ketika ini yang dinanti-nantikan peminat adalah persembahan istimewanya untuk Konsert Alam Muzik M. Nasir yang bakal berlangsung di Istana Budaya selama tiga malam bermula 27 Februari hingga 1 Mac ini. Sudah sembilan tahun tidak muncul dengan satu konsert besar-besaran, kali terakhir sifu ini muncul di Konsert Andalusia pada 2000 di Stadium Merdeka.

M. Nasir sebelum itu pernah menjayakan konsert-konsert antaranya Konsert Canggung Mendonan, Konsert Akar Manifestasi Akustika juga Konsert Gembala.

Semua konsertnya itu menjurus kepada usaha memberi penghayatan seni kepada khalayak menerusi karya-karyanya. Dan kali ini, konsertnya menceritakan tentang perjalanan seni pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Mohamed ini.

Jauh perjalanannya untuk sampai ke tahap ini dengan perubahan dalam industri, pemikiran dan stail - daripada bentuk muzik kerakyatan hingga ke pop, zaman rock, irama Malaysia, rentak dunia juga kerohanian - itulah alam muzik sebenar yang ingin dipersembahkan kepada audiensnya.

“Ia bersangkut paut dengan perasaan,” katanya yang menyenaraikan kira-kira 30 buah lagu pada malam persembahan yang dipetik daripada zaman Kembara hingga masa kini.

Diiringi 10 pemuzik yang diketuai pengarah muzik Aznan Alias, menurut Nasir konsert ini adalah kesinambungan lontaran karya-karyanya selama ini.

“Artis manapun, dasarnya sama.

Orang putih pun mana ada berubah sangat. Sting misalnya, tapi datang sini, orang serbu juga konsertnya. Sebab mereka mahu tengok dan nikmati muziknya,” jelas Nasir.

Sabtu, Februari 21, 2009

Janji konsert terbaik

petikan Harian Metro 21 Februari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

IMPIAN penghibur terkenal, M Nasir untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya, Kuala Lumpur bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Sebagaimana M Nasir gigih berlatih sejak awal tahun ini untuk persediaan Konsert Alam Muzik M Nasir selama tiga hari bermula 27 Februari ini, penonton juga tidak sabar untuk menyaksikan persembahan yang dianggap istimewa ini.

Menariknya, konsert kali ini menjadi sejarah peribadi buat M Nasir apabila ia diadakan semula selepas kali terakhir dia membuat Konsert Andalusia di Stadium Merdeka pada 2000. Mengikut rekod konsertnya, dia mula menghiburkan peminat menerusi Konsert Canggung yang diadakan di Stadium Negara pada 1994.

Selepas itu, dia turut mengadakan konsert di lokasi berbeza seperti Port Dickson pada tahun yang sama diikuti Johor Bahru (1995) manakala Konsert M Nasir Crossing UK '97 di Manchester, United Kingdom (1997) dan Konsert Phoenix di Suntec City, Singapura (2001).

Namun, di sebalik kejayaan M Nasir mengadakan konsert di pelbagai destinasi, dia turut mendapat sokongan daripada Beyond Events Sdn Bhd yang bertindak mengurus aktiviti seninya.

Nyata, hubungan M Nasir dengan syarikat pengurusan artis itu masih utuh sejak mereka bekerjasama lapan tahun lalu. Malah, mereka juga terbabit sama dalam menganjurkan konsert solo M Nasir kali ini.

Pengurus Besar Beyond Events Sdn Bhd, Amin Hussein berkata antara mereka, masing-masing berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin dan kemunculan konsert solo kali ini menjadi agenda penting untuk mereka memberikan persembahan terbaik pada penonton. Sungguhpun, konsert ini gagal mendapat penajaan, tetapi ia bukan bermakna konsert ini turut gagal.

“Sememangnya faktor penaja memainkan peranan penting dalam membantu kos penganjuran konsert dan akibat tanpa penaja, ada konsert yang terpaksa mengecilkan aspek persembahan.

“Namun, untuk konsert M Nasir kali ini, saya yakin kemampuannya dapat menarik perhatian ramai peminat untuk hadir menonton.

“Sebenarnya, kami bersama penganjur Box Office (M) Sdn Bhd bekerjasama menjayakan konsert ini. Malah, sebelum ini kami juga berusaha mencari penaja. Biarpun konsert ini memberi tekanan pada kami apatah lagi persembahannya kian hampir, ia bagaimanapun tidak menjadi masalah besar.

“Kami sebagai penganjur mahupun M Nasir berhasrat mahu memberi kepuasan pada penonton agar mereka rasa berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Apa yang boleh saya katakan, persembahan M Nasir kali ini tetap berbeza dengan konsertnya sebelum ini.

“Walaupun konsert ini adalah pengalaman pertama kami sebagai penganjur bersama tetapi berdasarkan konsert Nusantara yang pernah diadakan di Esplanade, Singapura pada 2006, sambutan yang diterima daripada penonton amat memberangsangkan. Sambutan yang sama dijangka berulang apabila 85 peratus tiket konsert kali ini habis dijual.

“Pada kami, usaha merealisasikan konsert kali ini suatu yang mencabar tetapi kami mengharapkan penonton tidak risau kerana M Nasir mempunyai banyak pengalaman untuk memberi tarikan pada setiap persembahannya. Secara peribadi, saya berpandangan M Nasir sudah banyak berubah dari karakter pendiam pada gaya yang lebih santai dan mesra untuk didekati.

“Perubahan pada dirinya banyak berubah sejak memikul tanggungjawab sebagai pengetua Akademi Fantasia 3 dan pembabitan menerusi program TV berkonsepkan jelajah iaitu Destinasi Dunia.

“Malah, dia juga kini lebih terbuka untuk bercerita dan tidak lupa menghargai sokongan peminat menerusi konsert,” katanya.

Kata Amien, kontrak M Nasir bersama syarikatnya diperbaharui setiap dua tahun dan selepas empat kali kontrak ditandatangani, mereka gembira untuk terus bekerjasama. Selain mengatur urusan persembahan dan publisiti, syarikat pengurusan artis ini juga bertindak membantu dari aspek penampilan di pentas dan memberi idea pada konsep persembahan konsert kali ini.

“Biarpun bajet konsert ini terhad tetapi saya tahu penonton akan terhibur dengan persembahannya. Secara kasar, pada persembahannya nanti, dia akan terlebih dulu bercerita serba sedikit mengenai lagu yang ingin disampaikan.

“Menariknya, dia boleh mengubah konsep persembahan berbeza pada malam itu nanti dan mungkin kejutan akan berlaku. Ada empat baju rekaan Datuk Tom Abang Saufi yang akan digayakannya nanti bersesuaian dengan konsep etnik pada persembahannya.

“Persembahannya tetap dianggap istimewa pada peminat kerana kelompok peminat yang hadir berbeza. Ada peminat yang menyukai lagu seperti Keroncong Untuk Ana dan ada juga yang meminati Juwita Citra Terindah. Biarpun berbeza cita rasa tetapi konsert ini menjadi platform untuk semua peminatnya bertemu dan berhibur,” katanya.

Jumaat, Februari 20, 2009

M.Nasir di Studio SINAR FM

sumber Youtube


M Nasir da Ali Bakar diwawancara oleh Linda Onn dalam Sinar Petang di studio SINAR FM

IB puas hati

petikan Berita Harian 20 Februari 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

M Nasir serius menjalani latihan bagi memastikan kelancaran konsert yang akan diadakan di Istana Budaya bermula 27 Februari.

Konsert Alam Muzik M Nasir turut membantu naikkan imej panggung berprestij

ISTANA Budaya (IB) sentiasa memberi peluang kepada penyanyi tempatan terpilih untuk beraksi di pentas bertaraf dunia berdasarkan kemampuan mereka itu menarik khalayak daripada pelbagai peringkat umur dan kaum selain berupaya menjadikan masyarakat mendekati seni budaya.

Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan bakat dan keunggulan penyanyi atau pemuzik tempatan yang ingin mengadakan persembahan seperti yang termaktub dalam dasar Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Menurutnya, berdasarkan dasar kementerian, 70 peratus persembahan di pentas IB memang diperuntukkan untuk pelbagai kebudayaan dan kesenian daripada pengkarya tempatan.

“Sebanyak 70 peratus kuota persembahan dalam IB memang kita sudah tetapkan untuk persembahan tempatan saja.

“Selepas mengambil kira faktor kegawatan ekonomi global, kuota 70 peratus itu akan ditambah kepada 80 peratus persembahan tempatan sepanjang tahun ini. Inilah masanya dan kesempatan itu harus diambil untuk terus mengangkat karya tempatan untuk sajian orang ramai terutamanya pelancongan asing,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian persembahan di IB itu bukan sekadar teater muzikal atau teater pentas semata-mata tetapi juga membabitkan konsert seperti Konsert Alam M Nasir yang akan berlangsung di IB selama tiga hari bermula 27 Februari ini.

Mengenai konsert M Nasir, Mohamed Juhari konsert komposer dan penyanyi ternama tanah air itu boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan daripada IB terhadap M Nasir kerana pembabitannya dalam seni muzik selama lebih 30 tahun.

“Sepanjang 30 tahun pembabitan M Nasir dalam bidang seni ini dia berusaha mengumpul peminat dari setiap golongan usia.

“Jika dilihat hasil seninya, pelbagai genre yang dicipta berupaya menarik pelbagai lapisan usia mendekati karya-karyanya. Seperti lagu Tanya Pada Hud Hud yang sangat diminati peminat muzik dari pelbagai peringkat. Lagu Juita, Aduh Saliha menjadi tarikan golongan remaja serta Keroncong Untuk Ana bagi mereka yang meminati irama keroncong.

“Bukan itu saja, M Nasir antara seniman yang cukup mengenali keperibadian seorang bakat baru, terutama penyanyi dan pemuzik. Sekiranya dia ingin membuat lagu untuk seorang bakat baru, dia akan mengenali secara mendalam jiwa penyanyi itu. “Jika dilihat lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi lain cukup menepati jiwa dan keperibadian yang menyampaikannya,” jelasnya lagi.

Mohamed Juhari berkata, M Nasir adalah seniman yang seharusnya diangkat kerana karya penulisannya dalam setiap seni kata cukup unik jika diselami.

“Sebenarnya pada tahun lalu lagi dia ada menghantar permohonan untuk mengadakan konsert di Panggung Sari IB dan kita menyambut baik selepas mengambil kira pembabitan seninya selama ini.

“Namun disebabkan masalah penajaan daripada pihaknya ia terpaksa ditangguhkan. Konsert pada tahun ini juga adalah inisiatif Ali Bakar yang ingin juga mengadakan konsert M Nasir biarpun tidak mendapat penajaan daripada syarikat korporat,” katanya.

Info Konsert Alam Muzik M Nasir
  • Tiket berharga RM45, RM85 dan RM150 sudah habis dijual. Tiket berharga RM200 dan RM250 masih dijual tetapi jumlahnya semakin terhad dan dijangka habis menjelang konsert berlangsung.
  • Tiket boleh dibeli di kaunter Box Office, Istana Budaya atau tempahan di www.ticket2u.biz atau hubungi 03.31498600. Sebanyak RM1 daripada setiap tiket yang dijual disalurkan kepada NSTP Charity Fund.
  • Konsert Alam M Nasir berlangsung selama tiga malam berturut-turut bermula 27 Februari 2009 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. M Nasir akan menyanyikan lebih 25 lagu lama dan baru ciptaannya dalam persembahan selama dua jam itu.

Didicazli mahu contohi M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 20 Februari 2009
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

MENYEBERANGI tambak dari Kota Singa ke Malaysia membuka satu lagi lembaran buat pemuda berusia 27 tahun ini dalam mencari tapak mengukuhkan lagi profil seninya.

Setelah berjaya 'menawan' hati peminat muzik di Singapura, penerima anugerah Lagu Singapura Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) untuk dua tahun berturut-turut menerusi lagu Dambaan (2007) dan Seribu Kenangan (2008), kini Didicazli mula mengorak langkah 'menakluki' hati peminat seni tanah air.

Bukan terikut-ikut atau terpanggil dengan kejayaan kebanyakan artis senegaranya yang berjaya menempa nama di negara ini, pemilik nama sebenar Didicazli Cindy Ismail itu hanya mahu berkongsi bakat yang dimilikinya.

Pepatah ada mengatakan yang bulat tidak datang bergolek, atas kefahaman itu, anak teruna kepada bekas anggota kumpulan nasyid Al-Jawaher, Siti Rusminah Jaafar itu kalau boleh tidak mahu terlalu statik kepada lapangan nyanyian semata-mata.

Justeru, dia kini semakin berani melangkah setapak kehadapan apabila mula berjinak-jinak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik.

Malah, 80 peratus daripada kandungan album sulungnya, Diari Cinta adalah curahan idea dan buah fikiran dirinya sendiri.

Ketika ditemui di studio Utusan baru-baru ini, Didi memberitahu, kalau boleh dia mahu mencipta kejayaan seperti yang pernah dikecapi oleh idolanya, M. Nasir.

"M. Nasir merupakan idola saya dalam bidang seni. Sebelum ini saya memang banyak mengikuti perkembangan dan kejayaan yang pernah dikecapi oleh M. Nasir.

"Untuk menganggap diri berjaya, saya perlu berusaha dan mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus daripada apa yang telah dicapai oleh M. Nasir sekarang ini," katanya.

Berkenalan dengan M. Nasir pada APM 2007, membuahkan harapan yang bukan sedikit buat dirinya. Bermula daripada situ, perjalanan kerjaya seninya dirasakan seperti berada di landasan yang betul apabila mendapat tunjuk ajar daripada idolanya itu.

Perkenalan itu memberi pelbagai kepuasan buatnya kerana dari situ dia mula belajar tentang cara-cara menulis lirik serta mengubah lagu termasuk lagu-lagu berirama pop balada dan R&B.

"M. Nasir kata sebagai penyanyi yang masih baru dalam industri hiburan, kita perlu rasa susah terlebih dahulu.

"Memang saya akui semua itu. Apabila kita sudah biasa dengan kesusahan kita akan lebih menghargai kejayaan," katanya.

Menurut Didi, album Diari Cinta yang diterbitkan oleh Sony Music dan Luncai Emas Sdn. Bhd., itu telah pun dipasarkan sejak 27 Disember lalu.

Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut termasuklah Seribu Kenangan yang kini sedang rancak diputarkan di corong-corong radio tempatan dan Singapura ialah Sepi Berdua, Impianku, Sederhana dan Rela.

Turut dimuatkan ialah lagu-lagu ciptaan sepenuhnya oleh Didi iaitu Menyayangimu, Biarpun Rindu, Jasa Ibu Ku dan Dambaan.

Ibu hanya pendorong


Status sebagai anak seorang penyanyi mungkin antara faktor yang membuatkan dirinya tertarik kepada bidang seni. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Namun, bagi pemegang diploma lanjutan dalam bidang komunikasi media dari Management Institution, Singapura itu, bakat seninya didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap muzik dan lagu-lagu Melayu.

"Saya memang minat dengan muzik, bukan kerana mak saya penyanyi maka saya juga perlu jadi penyanyi. Mak saya cuma pendorong dan pembakar semangat saya dalam bidang muzik," kata Didi.

Kepada para peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Didicazli, sila layari www.myspace.com/didicazli atau www.didified.multiply.com.

Rabu, Februari 18, 2009

Bersedia dengan kejutan

petikan Berita Harian 18 Februari 2009
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

M NASIR serius merancang perjalanan konsertnya yang kian hampir.

Sambutan hangat buatkan Ali Bakar teruja menanti bermulanya Konsert Alam Muzik M Nasir

BARANGKALI nafas lega belum mampu dilepaskan sepenuhnya oleh Pengarah Urusan Box Office, Ali Bakar selagi Konsert Alam Muzik M Nasir belum melabuhkan tirainya.

Namun, sekurang-kurangnya Tuhan mengusir keresahan di hati dengan melapangkan dadanya apabila jualan tiket untuk konsert yang akan memulakan kembaranya di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut bermula dari 27 Februari ini berjalan pantas.

Daripada lebih 3,000 tiket yang disediakan untuk tiga malam persembahan itu, sebahagian besarnya sudah habis dijual dan kini berbaki sekitar 700 keping.

Menceritakan perasaannya ketika ini, Ali berkata, semuanya bercampur baur namun dia menaruh keyakinan konsert itu akan berakhir dengan gemilang berdasarkan maklum balas positif yang diberikan.

“Saya percaya tiket akan habis menjelang tarikh konsert kerana kebelakangan ini ramai peminat menghubungi dan bertanyakan cara untuk mendapatkan tiket.

SEMUA yang terbabit giat menjalani latihan untuk memberi kepuasan kepada peminat.

“Untuk makluman tiket yang berbaki berharga RM200 dan RM250 manakala tiket lain yang berharga RM45, RM85 dan RM150 sudah habis ditempah,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Petunjuk positif itu juga menyemarakkan semangat Ali terutama apabila syarikat korporat, Stars2U Sdn Bhd turut menyokong usahanya dengan mendapatkan tiket pada jumlah keseluruhan RM20,000.

Sokongan itu bagi Ali, membuatnya begitu terharu sekali gus memberikan kekuatan kepadanya untuk memberikan yang terbaik pada konsert yang menyaksikan M Nasir tampil bersama kumpulan pemuzik yang diketuai Aznan Alias atau Nan.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila syarikat berkenaan turut bersedia menyumbang RM15,000 untuk Tabung NSTP Untuk Gaza, manakala RM5,000 lagi disalurkan kepada NSTP Charity Fund.

“Kebanyakan pembeli ialah mereka yang selama ini menaruh keyakinan terhadap siri konsert yang pernah dianjurkan Box Office Malaysia, selain individu yang setia menyokong karier seninya,” katanya.

Ketika ini, Ali berkata, segala persiapan menjelang konsert berkenaan sedang berjalan gigih malah janjinya, akan ada pelbagai kejutan menanti penonton pada tiga malam persembahan itu berlangsung.

Menurutnya, konsert yang berlangsung selama dua jam tanpa henti ini akan menyaksikan kepelbagaian genre muzik dipersembahkan merangkumi pop, keroncong, tradisional, balada, irama Malaysia yang pernah dipopularkan serta dicipta penyanyi itu.

“M Nasir sendiri begitu serius merencana perjalanan konsertnya. Suatu yang paling membuat saya senang bekerja dengan M Nasir ialah sikapnya yang tidak ‘kedekut’ ketika mengadakan persembahan.

“Tekadnya untuk memberikan yang terbaik dan berkongsi segala kelebihan yang dimilikinya pada tiga malam konsert itu berlangsung membuatkan saya yakin ia mampu mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan,” katanya.

Persiapan, latihan konsert lancar

MENYENTUH persiapan, Ali Bakar berkata, semuanya sedang berjalan seperti yang direncanakan malah M Nasir bersama barisan pemuziknya melipatgandakan sesi latihan menjelang tarikh konsert.

Bakal memasuki Istana Budaya untuk persiapan dan siri latihan penuh bermula Ahad ini, Ali Bakar berkata, dia sendiri tidak sabar untuk melihat konsert itu direalisasikan.

“Pertanyaan demi pertanyaan daripada peminat membuatkan saya tidak sabar menanti permulaan konsert kerana saya yakin ada banyak keistimewaan pada persembahan M Nasir kali ini,” katanya.

Ali Bakar yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam penerbitan konsert mega tempatan dan antarabangsa menekankan aspek penting dalam persembahan seperti arahan, skrip pentas, bunyi, penataan cahaya, layar perak, prop dan kostum yang ditangani pasukan produksi profesional.

Kerjasama dua nama yang melakar pelbagai catatan penting dalam industri hiburan sudah lama dijalinkan, malah Ali Bakar bertanggungjawab menerbitkan konsert anak seni kelahiran Singapura itu seperti Konsert Gong Impian (1992), Konsert Canggung (1994) dan Konsert Andalusia (2000).

Selasa, Februari 17, 2009

Nan tunggu isyarat tangan M Nasir

petikan Harian Metro 17 Februari 2009
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

MENYEMAK senarai pemuzik yang terbabit dalam Konsert Alam Muzik M Nasir di Istana Budaya (IB) anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang diadakan pada tanggal 27 dan 28 Februari serta 1 Mac, jelas sekali mereka ‘repertoire’ - pemuzik handalan yang sering menyerikan penganjuran konsert mega serta majlis penganugerahan berprestij.

Individu berpengalaman ini ialah Aznan Alias atau mesra dengan panggilan Nan yang bertindak selaku pengarah muzik juga gitar utama, Zul Mahad (piano), Ahmad Firdaus Mahmod (keyboard pertama), Eddie Slam (keyboard kedua), Ujang Exists (Dram), Pa’ang (perkusi pertama), Hamzah Hashim (perkusi kedua), Mohar Diman (seruling) dan Hanafi Spider (gitar kedua).

Kemunculan penyanyi senior Jay Jay yang baru meluncurkan single terbarunya berjudul Permaisuri sebagai pemain bassist dalam konsert ini mengiringi persembahan komposer itu termasuk empat penyanyi latar Wan Mohd Azran, Tija, Yiaz Baktiar dan Joanita.

Menurut Nan, 40, mengiringi persembahan komposer dan penyanyi prolifik, M Nasir memberikan kepuasan dan ‘feel’ yang berbeza kepada pemuzik yang terbabit.

“Perbezaan antara mengiringi konsert M Nasir dengan artis ternama lain di mana kami selaku pemuzik turut berpeluang membuat persembahan. Saya katakan ini bukan untuk membeza-bezakan namun, ini apa yang dirasakan saya sendiri berdasarkan 20 tahun pengalaman menjadi pemuzik.

“Datuk Siti Nurhaliza contohnya nama besar yang pernah mengadakan konsert. Namun, peranan pemuzik hanyalah sebagai pengiring bukan sebahagian daripada persembahan biduanita itu.

“Maksud saya, kami tidak perlu bersusah-payah kerana hanya perlu bermain muzik mengikut senarai lagu dan susun atur acara yang sudah ditetapkan dan dibincangkan dari awal.

“Berbeza dengan persembahan atau konsert M Nasir, beliau akan membuat persembahan berdasarkan ‘feel’ dan tindak balas penonton yang dirasakannya ketika itu.

“Justeru, sering berlaku pertukaran lagu secara mendadak dan paling mengerikan sekiranya permintaan lagunya itu tiada dalam senarai persembahan mahupun ketika sesi latihan,” katanya.

Mengiringi persembahan dan konsert M Nasir sejak 20 tahun lalu, Nan menambah M Nasir mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan isyarat setiap kali mahu melakukan pertukaran lagu.

Salah satu taktiknya, katanya, adalah dengan menepuk tangan.

“Di sinilah cabarannya saya sebagai pengarah muzik di mana saya perlu sentiasa peka sebelum isyarat itu disampaikan kepada pemuzik di bawah pimpinan saya.

“Sebagai persediaan menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti itu biasanya kami akan menghafal 40 lagu daripada 20 hingga 28 lagu yang kami berlatih.

“Setakat ini kami tidak merasakan ia sebagai bebanan, malah sangat seronok melakukannya. Saya sendiri membesar dengan muzik M Nasir sejak zaman Kembara dan sudah mengiringi persembahannya selama 20 tahun.

“Untuk pengetahuan ramai, kebanyakan pemuzik yang mengiringi dalam konsert ini adalah wajah sama yang terbabit dalam pembikinan albumnya. Justeru, boleh dikatakan tiada masalah kerana semua lagunya kami hafal,” katanya.

Begitupun, Nan tidak menafikan cabarannya tetap ada kerana karya ciptaan M Nasir mempunyai pengertian yang sangat mendalam, menyentuh soal kehidupan, kemanusiaan dan alam sejagat.

Terdapat pelbagai elemen dan instrumen diguna pakai dalam lagunya dan ia satu proses rumit dan memerlukan penghayatan mendalam.

Antara lagu-lagu yang mencabar seperti Keroncong, Gong Impian dan Selalu Nyata.

Menjalani latihan sejak tiga minggu yang lalu di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, sesi latihan sebenar serta peralatan konsert akan dibawa masuk ke Istana Budaya pada 24 Februari ini. Manakala 26 Februari, mereka akan menjalani raptai penuh.

Nan menjelaskan, konsert ini bersifat peribadi dan berkisarkan perjalanan seni M Nasir bermula dengan perjuangannya bersama Kembara sehingga sekarang. Ia juga mengangkat serta menjadi medan luahan rasa M Nasir terhadap senario pergolakan dunia yang berlaku di Tebing Gaza.

Sementara itu, M Nasir dalam kenyataannya berasa teruja untuk mengadakan konsert ini dan gembira latihan yang dijalankan hampir sempurna.

“Saya akan membawakan 18 hingga ke 25 lagu pada malam konsert. Boleh jadi ia lebih daripada itu. Setakat ini latihan berjalan dengan lancar kerana saya bertuah semua pemuzik yang terbabit adalah sahabat lama saya dan mereka juga tunjang belakang kejayaan karier seni saya sejak dulu lagi.

“Justeru, apa yang kami lakukan sekarang ini adalah membuat sedikit perubahan serta menampilkan kelainan dari segi susunan muzik supaya ia menepati konsep serta tema yang diketengahkan malam itu. Yang penting, matlamat memberikan gambaran dengan apa yang berlaku pada dunia sejagat pada malam itu haruslah sampai,” katanya.

Sekadar mengimbas, kali akhir artis berusia 52 tahun ini beraksi di pentas konsert mega adalah pada 29 Januari 2000 apabila beliau muncul dalam Konsert Raikan Cinta M Nasir di Stadium Merdeka.

Sebelum itu, beliau pernah menjayakan banyak lagi konsert antaranya Andalusia, Konsert Canggung M Nasir, Stadium Negara 29 Julai 1994; Asia Live (langsung dari Jepun) 12 Mei 1995; Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir, PWTC (26 Oktober 1995); Konsert Gembala M Nasir, Habour Pavillion Singapura (20 ogos 1999); Konsert Raikan Cinta M nasir, ntv7 (30 Ogos 2001) dan Konsert Phoenix M Nasir (2002).

Daripada 30 lagu yang bakal dipersembahkan, pemilik diploma dalam bidang seni lukis dari Nanyang Academy of Fine

Arts di Singapura pada 1978 ini dijangka turut menghangatkan pentas IB dengan lagu beberapa lagu baru serta lagu lama seperti Mentera Semerah Padi, Apokalips, Masirah dan Hijab Kekasih.

Selain itu, lagu Mantera Beradu gandingan bersama Malique Too Phat yang cukup hangat ketika ini serta Ekspres Rakyat berkemungkinan turut disampaikan penghibur berkenaan.

“Mungkin iya dan mungkin juga tidak kedua lagu itu akan dipersembahkan. Buat masa ini saya berlatih semua lagu yang hit dan dipilih atas kesesuaian tema bagaimanapun saya hanya akan menyenaraikan yang terbaik. Selain itu, berkemungkinan besar lagu baru turut dipersembahkan,” katanya

Ahad, Februari 15, 2009

Selami konsert Alam Muzik M Nasir

petikan Bintang Popular 15 Februari 2009
Oleh Suzan Ahmad

Aznan (dua dari kanan) tekun mengetuai latihan.

TIKET sudah hampir habis, manakala kerja-kerja teknikal seperti reka bentuk pentas dan props, selain sistem cahaya bunyi sedang rancak dijalankan di Istana Budaya, semuanya bagi memastikan Konsert Alam M Nasir menjadi satu kenyataan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.

Malah, sesi latihan juga sedang sibuk dijalankan membabitkan 10 pemuzik profesional di bawah pengawasan Pengarah Muzik, Aznan Alias, yang bakal memikul tanggungjawab berat mengiringi penyanyi itu mempersembahkan 40 lagu dari 27 Februari hingga 1 Mac ini.

Nan dalam pertemuan bersama BPop di Studio Luncai Emas baru-baru ini, berkata latihan sudah bermula sejak dua minggu lalu.

“Berdasarkan cara gerak kerja, kami lebih suka menangani bahagian demi bahagian sebelum pergi lebih terperinci lagi,” katanya yang turut berperanan sebagai pemain gitar utama untuk konsert anjuran Boxoffice Malaysia itu.
Aznan dan M Nasir banyak berbincang.
Katanya, tindakan penyanyi itu mahu mendendangkan lebih 40 lagu pada konsert berkenaan mungkin kedengaran agak berat buat sesetengah pihak, namun hakikatnya ia tidak begitu sukar seperti yang dibayangkan bagi seseorang pemuzik yang membesar dengan lagu-lagunya.

“Bayangkan saya sudah mula bermain (muzik) untuk Nasir sejak berusia 19 tahun, malah saya boleh menghafal melodi semua lagunya. Bagi seseorang pemuzik, nyawa serta jiwa sesebuah melodi dan lagu lebih hidup jika ia diperdengarkan terus dari hati,” katanya.

Nan menjelaskan, tidak semua lagu yang bakal dipersembahkan digubah semula susunan muziknya, kecuali dua atau tiga lagu saja memerlukan proses itu bagi memastikan kesesuaiannya dengan cita rasa pendengar semasa.

Ditanya mengenai proses pemilihan pemuzik, Nan yang berpengalaman mengiringi persembahan Nasir, termasuk beberapa konsert besarnya sebelum ini, berkata aspek yang diberikan keutamaan ialah pengalaman, kemahiran dan keserasian hubungan antara penyanyi serta pemuzik.

“Hubungan yang terjalin lebih cenderung kepada pengalaman bekerja bersama sekian lama. Hakikatnya, bagaimana mahu bekerja jika tiada persefahaman.

Di penghujung hari nanti, apa yang membuatkan pasukan ini serasi adalah keupayaan untuk mendengar, menerima dan mencerna setiap idea yang ditumpahkan sehinggalah satu keputusan secara kolektif dibuat,” katanya sambil memaklumkan latihan pesat akan berlangsung di Istana Budaya, 23 Februari ini.

Apapun, menerusi pengalamannya, beliau mengakui cabaran dan keajaiban akan datang pada hari konsert nanti apabila tiba-tiba lagu yang tidak termasuk dalam senarai tiba-tiba diminta penonton.

“Terserah kepada kecekapan dan kebijaksanaan menerusi pengalaman untuk mengendali pemuzik. Di situlah juga kita akan tahu kekuatan impak mengenali melodi dan lagu secara hafal.

“Apa yang membezakan kami dengan pemuzik lain adalah kami bukan bermain untuk M Nasir tetapi kami mempersembahkan konsert ini bersama Nasir,” katanya.

Selain Aznan, pemuzik lain yang akan mengiringi M Nasir pada malam konsert nanti ialah Hanafi Spider (gitar kedua), Zulkifli Mahat (piano), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam (keyboard), Jay Jay (gitar bass), Ujang Exist (dram), Pa’ang (percussion), Hamzah Hashim (percussion kedua) dan Mohardiman (seruling).

Manakala, penyanyi latar terdiri daripada Eja @ Tijah Muhamad Nor, Yuaz Bahtiar Kassim, Juwanita Ismail dan Wan Mohd Azran Wan Hamzah.

Sementara itu, M Nasir yang turut serta dalam sesi latihan itu lebih selesa melihat dan tidak bercakap banyak, begitupun dia yang perlu menjaga kesihatan dan vokal kelihatan cukup positif dengan perkembangan perjalanan konsert berkenaan.

“Kami sekarang lebih fokus kepada gubahan semula beberapa lagu yang lebih trampil jika diberikan suntikan elemen berbeza. Tidak semua idea datang dari saya. Sebab itulah, peranan Nan sebagai pengarah muzik cukup kritikal,” katanya.

Selasa, Februari 10, 2009

Rehearsal for Alam Musik Concert.

source : Facebook M Nasir
Photo By : Ilham
editing by : Yin Yin Ain
Location: Luncai Emas Studio
visit M Nasir facebook for more photo.

In his element

taken from The New Straits Times Online 10 February 2009
By : FARIDUL ANWAR FARINORDIN

M. Nasir’s highly anticipated concert at Istana Budaya this month promises a ‘fifth element’, writes FARIDUL ANWAR FARINORDIN.

Expect something different at M. Nasir's show, says Ali.THE song list is still shrouded in mystery, but top musicians who will accompany “sifu” M. Nasir in his concert at Istana Budaya this month will be led by Aznan Alias (Nan) as the musical director and guitarist.

Other notable musicians for Konsert Alam Muzik M. Nasir, to be held from Feb 27 to March 1, are Zul Mahat (piano), Jay Jay (bass), Nafi Spider (second guitar), Firdaus Mahmud (first keyboard), Eddie Slam (second keyboard) Ujang (drums), Pa’ang (first percussionist), Hamzah (second percussionist) and flutist Mohar.

At a closed-door meeting held at Balai Berita recently, producer and concert veteran promoter Ali Bakar said there will also be four back-up vocalists for the three-night concert, Nasir’s first show at the prestigious venue.

As for the songs to be performed by the singer, who have been in the industry for more than three decades, the promoter who is also Box Office Malaysia Sdn Bhd’s director remained tight lipped.
“Currently, Nasir is busy rehearsing for the concert at his studio Luncai Emas in Sungai Buloh,” he said, touching briefly on the show’s mystical “fifth element” concept, a collaborative effort with the show’s scriptwriter Helmi Antong.

Sources have revealed that the 52-year-old singer, composer and actor will belt out his hit songs Masirah, Ijab Kekasih, Apokalips and Mentera Semerah Padi, among others.

Tickets for the show, Ali added, are selling fast. Currently only the RM150, RM200 and RM250 seats are available.

It is learnt that superstar Anita Sarawak and husband Mohd Mahathir Abdullah, as well as rock singer Awie (who, together with his former band Wings, rose to stardom by singing Nasir’s compositions) are among the celebrities who bought their tickets just days after they went on sale.

There is also an autograph-signing session after the shows. “It will be based on a first-come, first-served basis and only half an hour is allocated for this,” Ali said.

The New Straits Times Press is the official media for the concert, where RM1 from each ticket sale will go to the NSTP Charity Fund. Exclusive mugs and mouse pads will also be sold at the show. Pre-event purchase of the merchandise will be made available through NSTP publications soon.

“It’s going to be a different M. Nasir show from any of the ones that he had done in the past,” Ali said, hinting on the use of multimedia elements.

For ticket bookings, call 03-4149-8600 or visit www.ticket2u.biz.

Lagu 'Suara Binasa' Hattan menyentuh hati

petikan mstar 10 Februari 2009
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

SATU luahan dalam satu nada - itulah yang dapat disimpulkan mengenai Konsert Unplugged Prihatin Palestin yang berlangsung di Angkasapuri, Sabtu lalu.

Negara kita tidak pernah sunyi daripada mengadakan aktiviti, konsert mahupun jualan lelong amal sejak berlakunya tragedi yang menimpa rakyat Palestin sejak Disember lalu.

Pelbagai cara dilakukan sebagai manifestasi anak seni terhadap kekejaman Zionis yang tidak berperikemanusiaan itu.

Biar apa cara sekalipun yang dilakukan keikhlasan penting dalam menzahirkan apa yang terbuku dihati.
Hattan cukup beremosi ketika menyampaikan lagu ’Palestin Jangan Kau Menangis’ - foto THE STAR oleh BRIAN MOH

Justeru, konsert yang diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ini merupakan satu luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dan kemanusiaan.

Konsert yang berlangsung selama satu jam setengah tanpa iklan itu menggabungkan persembahan daripada artis-artis veteran dan kumpulan indie yang baru meningkat naik di negara ini.

Setiap artis yang membuat persembahan ternyata punya gaya tersendiri ketika mengalunkan melodi indah dan bait-bait lirik puitis yang bersifat kemanusiaan, dengan harapan bumi Gaza yang bergolak kembali aman.

Persembahan pembuka tirai pada malam itu juga mengundang air mata oleh penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Hattan.

M.Nasir mengalunkan lagu Masirah dan Dibalik Cermin Mimpi
Gambar atas: sumber Kosmo Online 11 Februari 2009
Air mata jantannya tumpah ketika mengalunkan lagu Palestin Jangan Kau Menangis, biar pun dengan nada tersekat-sekat Hattan kembali menguasai pentas dengan menyampaikan sebuah lagu lagi bertajuk Suara Binasa.

Nyata nyanyian Hattan berjaya menyentuh hati tetamu yang hadir apabila mengenangkan penderitaan yang ditanggung oleh masyarakat Islam yang tidak berdosa di bumi Palestin.

Ibarat perjuangan baru sahaja bermula, persembahan seterusnya diteruskan dengan nyanyian oleh M.Nasir dengan menyampaikan dua buah lagu 'trademark'nya, Masirah dan Dibalik Cermin Mimpi.

Tidak ada yang dapat diperkatakan mengenai beliau, dengan hanya duduk dikerusi beliau mengalunkan bait-bait lagu ciptaannya dan S. Amin Shahab dengan sempurna sekali.

Kumpulan yang memperjuangkan lagu-lagu puisi, Kopratasa turut tidak ketinggalan membuat persembahan dengan menyampaikan dua buah lagu, Tragedi Utara dan Mesti Berani.
Khadijah Ibrahim tidak ketinggalan menjayakan konsert tersebut

Bukan hanya artis yang terkenal di media arus perdana diberi peluang untuk membuat persembahan malah RTM mengambil langkah berani memberi ruang kepada kumpulan dan mereka yang memperjuangkan lagu-lagu indie.

Konsert malam itu ibarat satu platform untuk mengetengahkan bakat mereka.

Mereka ini terdiri daripada, Izzy Mohd (Never Fade Away), Tony Leo Slevaraj (Liberty), Milli’z (It’s In You), Azmyl Nor (Senja), Rendra Zawawi (No Mask), Najwa Mahiaddin (Innocent Soul), The Snow Symphony (Free), Khadijah Ibrahim (Rintihan Dari Palestin), Dr. Wan Zawawi (Anak Dunia dan Mencari Amerika) dan diakhiri dengan persembahan penutup oleh gabungan semua artis menyanyikan lagu Knocking On The Heaven’s Door.

Apa yang mereka lakukan pada malam itu merupakan interpretasi dan rasa hati mereka untuk membela nasib rakyat Palestin.

Rasa simpati dan kemanusiaan timbul merentasi pegangan agama dan budaya segenap lapisan masyarakat di negara ini untuk menyelamatkan mangsa terutamanya kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa kekejaman regim Zionis.

Dalam banyak-banyak persembahan yang dipersembahkan malam itu nyata persembahan oleh Dr. Wan Zawawi ketika menyampaikan lagu ’Mencari Amerika’ pasti membuka minda masyarakat di negara ini.

Lirik yang agak sinis disampaikan nyata kena dengan apa yang kita alami ketika ini. Ia menggambarkan ’Amerika’ sebagai sebuah kuasa besar menakluk dan menjajah kita dengan cara yang halus.

Lebih senang lagi disimpulkan dengan mereka menguasai ekonomi kita dengan kebanjiran produk-produk mereka di seluruh dunia.

Di samping persembahan nyanyian lagu oleh artis-artis tanah air, konsert pada malam itu turut diselitkan dengan pengisian visual dan persembahan klip video yang diselang-selikan dengan persembahan artis. Bermula dengan segmen 1 (Peluru Setan Dunia) memaparkan kekejaman serangan Amerika Syarikat di Iraq, klip video serangan Israel di Lebanon dan Palestin

Bagi segmen 2( Neraka Lebanon) pula mengetengahkan klip video mangsa peperangan di Iraq, Lebanon dan Palestin.

Ia kemudiannya diteruskan dengan segmen 3 yang memaparkan bantahan yang dilakukan oleh masyarakat dunia termasuklah di Eropah, Asia Tengah dan dunia Arab terhadap kekejaman regim Zionis.

Seterusnya penonton dapat menyaksikan paparan segmen 4 (Renungan Pahit) yang memaparkan wajah anak kecil yang luka parah, kehilangan ibu bapa dan cacat anggota badan gara-gara sifat kebinatangan Israel.

Segmen 5 (Biarkan Merpati Terbang) sudah pasti dapat memberikan gambaran sebenar kepada penonton tentang kekejaman regim Zionis terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Konsert yang berlangsung selama satu jam tiga puluh minit itu disiarkan secara langsung menerusi TV2.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cek bernilai RM10,000 oleh wakil Golden Heritage Sdn Bhd kepada Tabung Gaza RTM kepada isteri Menteri Penerangan, Datin Seri Sharifah Ismail serta disaksikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh.
Gambar atas: sumber Harian Metro 10 Februari 2009