Jumaat, Januari 30, 2009

Rahmat buatmu Loloq - M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 30 Januari 2009

M. NASIR (kanan) bersama Allahyarham Loloq pada Majlis Anugerah MACP pada tahun 2006.

MUKADIMAH
SETAHUN yang lalu, pada tarikh hari ini, industri hiburan tanah air kehilangan penulis lirik prolifik, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis.

Kehilangan seniman itu pada usia 50 tahun dianggap sebagai kehilangan besar pada industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, di kalangan ramai karyawan muzik, Loloq dianggap orang paling kanan dalam kehidupan sifu M. Nasir.

Pemergian Loloq merupakan kehilangan paling besar buat seniman kelahiran Singapura itu.

Justeru, sempena setahun pemergian Loloq, Hits mengundang M. Nasir untuk menulis dan bercerita mengenai rakan karibnya itu.

– PENGARANG,


SETAHUN sejak Loloq pergi, aku melepaskan keterbiasaan sedikit demi sedikit.

Keterbiasaan melalaikan aku pada sesuatu yang tidak biasa.

Kerana keterbiasaanlah hampir hari-hariku terasa Loloq akan hadir menyambung bicara jam 3 pagi, semalam di Warung Awe atau Yeop dekat pejabat Luncai Emas berbicara penemuan-penemuan pencetus idea atau sekadar bicara prestasi Manchester United yang kekadang mencemaskan.

Kemudian mengingatkannya tentang lirik yang seharusnya siap dua minggu lepas.

Pernah ketika umur kami menjangkau 40 tahun, kami berbicara tentang mati.

Lalu sentuh kematian P. Ramlee yang masih agak muda. Seniman mati muda ramai.

Khairul Anwar mati muda walau dia mahu hidup seribu tahun lagi. Kita mahu hidup seribu tahun lagi.

Namun, itu hanyalah penyataan puitis dan nyatanya ajal bergaul dengan fitrah.

Buat diriku, seniman terus hidup selagi karyanya hidup.

Loloq adalah seniman dan sahabat karibku. Lebih dari itu, dia adalah 'cerminku' yang kini hilang.

Aku tak pasti dia pemujaku, tapi aku hampir pasti dia pengkritik aku yang setia.

Zaman pencarian di Singapura dekat 30 tahun dahulu menemukan aku dengannya.

Gayanya yang menangkap, bercermin mata ala John Lennon dan gigi ala Tompel sukar dilupakan.

Dia telah lalui zaman gelap. Allah sahaja yang tahu sejauh mana dia telah merantau tapi dia menjelma seperti burung api yang gemerlap.

Aku akui waktu itu aku hanya pelajar. Namun, aku telah menghasilkan album Kembara dan dia cuba membongkar pemikiranku.

Dia penggemar Beatles dan Bob Dylan seperti aku.

Umur kami sama. Hidup kami ala hippies lalu reaksi kimia pun tercerna.

Loloq datang dan pergi dalam hidupku sehingga dia muncul semula di Sungai Buluh, sewaktu aku mula membina tapak Luncai Emas 15 tahun dahulu.

Itu pun dengan keresahan perantaunya sehingga bersama kawan-kawan lain menetap di rumah sewa di belakang pejabat lama Luncai Emas.

Bagaimana dia mula mengambil berat dalam penulisan adalah keanehan.

Aku sedar dia pembaca tetapi menulis?Namun, dia mula menulis dengan kumpulan percubaannya, Rastari waktu di Singapura.

Kapal Belayar dan Wak Jono adalah antara lirik pertama yang ditulisnya.

Walau kurang sempurna, ia menghidupkan satu aliran muzik indie dengan suaranya dapat didengar dalam beberapa trek album itu.

Loloq hilang agak lama lepas itu, sehingga dia muncul dengan lirik Insan & Manikam dalam albumku.

Sejak itu dia tidak melihat belakang lagi. Dalam masa-masa yang sama 'menikah' dan membuat 'duit' dari album seterusnya seperti Ella dan Search.

Kekadang dia menyatakan kerisauannya dengan kestabilan hidup.

Takut kalau perantauannya akan berakhir seperti orang biasa.

Loloq, kekadang Nurbisa, Abdullah Romani, kekadang Heikal dan Kristo Bimbo adalah ironi pada Rosli Khamis.

Dia adalah jegela yang bermainkan watak- watak, namun, mencari dirinya yang sebenar.

Loloq memasuki dunia seni hiburan ini dengan semangat menambah warnanya dengan cara tersendiri.

Walau bagai seorang penulis lirik suaranya lebih lantang dan dirasai daripada kebanyakan penyanyi dan pencipta lagu.

Dia adalah karakter yang sukar dilupakan. Siapa yang mengenalinya tidak akan lupa dengan gayanya, tawanya, pemakaian fesyen terkini dan ranggi serta anting-anting di telinga.

Tapi yang mendalami jiwanya, akan mengenal manusiawi bernama Loloq.

Rupanya perantauan Loloq tak habis lagi. Dia kini merantau ke satu daerah baka melepasi fana dan lagu-lagunya adalah gema karya rasanya di bumi ini.

123 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

(Petikan lirik lagu Apokalips oleh Loloq)

Rahmat Allah Untukmu Loloq,
Daripada aku,
M. Nasir

3 ulasan:

deaf-angel berkata...

macam biasa,

thanks for sharing bro

Saudagar Mimpi berkata...

No problemo bro.... :)

Deaf,tak turun KL tgk konsert sifu di IB?

faizalmukhtar berkata...

mudah-mudahan, kita semua medapat rahmatnya jua. al-fatihah.