Khamis, Januari 15, 2009

Akhbar rasmi konsert M Nasir

petikan Berita Harian 15 Januari 2009


HISHAMUDDIN dan Ali bertukar dokumen sambil diperhatikan Anthony (tiga dari kiri), M Nasir, Mohd Hakim dan Aziz Bakar (kiri) pada majlis menandatangani perjanjian Konsert Alam Muzik M Nasir di antara NSTP dan Boxoffice Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) menerusi akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro dilantik sebagai akhbar rasmi untuk konsert Alam Muzik M Nasir yang bakal berlangsung di Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut, mulai 27 Februari depan.

Sehubungan itu, satu majlis menandatangani perjanjian antara NSTP dan Boxoffice (M) Sdn Bhd, penerbit dan penganjur konsert berkenaan diadakan di Balai Berita, di sini, semalam.

Pada majlis itu, NSTP diwakili Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun dan Ketua Perundangan dan Kesetiausahaan NSTP, Zafrul Shastri Hashim, manakala Boxoffice (M) Sdn Bhd diwakili pengarah dan penerbit konsert itu, Ali Abu Bakar serta Mohd Hakim Lokman.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang; penyanyi dan juga komposer terkenal, M Nasir; Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan pengurusan kanan NSTP.

Mengulas pembabitan NSTP sebagai akhbar rasmi, Hishamuddin berkata, ia bertujuan memberi sokongan kepada karyawan seni seperti M Nasir yang selama ini banyak memberi sumbangan kepada industri hiburan tanah air.

Tiada ulasan: