Sabtu, Januari 24, 2009

2,000 penonton sayu

petikan Utusan Malaysia 24 Januari 2009
Oleh HERMAN HAMID dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my

M. NASIR bersama kumpulan teater Bingkas Kebayan menyanyikan lagu Masirah sebelum mengakhiri Malam Puisi Demimu Palestin anjuran Kumpulan Utusan bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Luar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Sedih, hiba dan sayu. Itulah gambaran yang jelas terpancar di wajah lebih 2,000 penonton termasuk tetamu kenamaan pada Malam Puisi Utusan Demimu Palestin di sini malam ini.

Walaupun Malaysia dipisahkan ribuan kilometer dengan Gaza namun dalam majlis di Laman Santai, Istana Budaya itu, mereka ternyata sangat hampir dengan penderitaan dan kesengsaraan dahsyat rakyat Palestin.

Ini jelas dilihat apabila setiap kali sesebuah puisi disampaikan, para tetamu dilihat terpaku menghayati bait-bait yang menceritakan keperitan dan penderitaan rakyat Gaza menghadapi kekejaman Israel.

Senario ini bertepatan dengan matlamat Kumpulan Utusan selaku penganjur Malam Puisi Utusan Demimu Palestin iaitu sebagai wadah menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Palestin selain manifestasi mengutuk tindakan kejam rejim Zionis.

Penganjuran majlis itu mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Luar.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang turut hadir, mendeklamasikan puisi bertajuk Untukmu Palestin, nukilan isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi di luar negara, menyampaikan salam sambil menyatakan sokongan terhadap usaha Kumpulan Utusan itu.

Tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi ialah Jihad Abu Ghoush iaitu anak Duta Palestin, Abdelaziz Abu Ghoush yang hadir bersama isterinya, Iman Abu Ghoush.

Pada majlis itu, 21 penyair mendeklamasikan puisi termasuk Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang menyampaikan dua buah puisi ciptaannya pada majlis tersebut.

Samad dalam gayanya tersendiri menyampaikan puisi nukilannya sendiri bertajuk Anak-Anak Palestina dan Bendera Tengkorak.

Majlis yang berlangsung hampir tiga jam itu turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Muzahet Masruri; Setiausaha Bahagian Kementerian Luar, Datuk Mohamad Kamal Yan Yahaya dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali.

Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamad Johari Shaarani dan Pengurus Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Zawahir Abdullah.

Tetamu kehormat lain ialah bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan beberapa kerabat diraja.

Penggiat-penggiat sastera tersohor tanah air yang turut menjayakan Malam Puisi Demimu Palestin ialah Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Shukri Abdullah, Puzi Hadi dan Rahimidin Zahari.

Sementara itu, beberapa selebriti tanah air juga tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi.

Antaranya, Aznil Nawawi yang turut bertindak sebagai pengacara; Zubir Ali menerusi kumpulannya, Trio Harmoni, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam bersama anaknya Shamsul, David Teo, kumpulan Meet Uncle Hussain, Engku Emran, Fouziah Ghous, kumpulan Kopratasa, Sohaimi Meor Hassan dan M. Nasir.

Selain penganjuran Malam Puisi Demimu Palestin, Kumpulan Utusan turut menubuhkan tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) dengan kerjasama IRM.

Dalam pada itu, Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, penganjuran Malam Puisi Demimu Palestin ini merupakan satu usaha menyediakan platform kepada rakyat Malaysia untuk menghayati kesedihan dan kesusahan rakyat Palestin.

“Apa yang penting ialah matlamat menyemai perasaan simpati kepada rakyat Palestin tercapai selain menunjukkan perasaan benci kita terhadap kekejaman yang dilakukan Israel.

“Tabung Dakap pula ternyata mendapat sambutan apabila sehingga kini berjaya mengutip lebih RM500,000,” katanya.

1 ulasan:

matakucing berkata...

LER CAM NER BOLEH TAK PRASAN PULAK..TAKPE TUNGGU ALAM MUZIKAL JER LA