Isnin, Januari 19, 2009

18 penaja tak layan

petikan Harian Metro 19 Januari 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

KONSERT solo penghibur terkenal M Nasir, Konsert Alam Muzik M Nasir sepatutnya dijadualkan Oktober tahun lalu, namun, atas beberapa faktor ia terpaksa ditunda.

Selepas tiga bulan, tanda tanya bila tarikh sebenar konsert ini akan diadakan akhirnya diketahui apabila penganjur, Boxoffice (M) Sdn Bhd memaklumkan ia berlangsung selama tiga hari bermula 27 Februari depan.

Sebagai penggiat seni yang berpengalaman hampir tiga dekad, tentunya persembahan berkenaan dinantikan ramai peminatnya.

M Nasir yang dikenali sebagai penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah filem dijangka menarik perhatian ramai peminat untuk menyaksikan konsert julung kalinya di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bagi M Nasir, impian mengadakan konsert solo adalah satu peluang untuk dia dan peminat berhibur dalam suasana yang lebih eksklusif.

Berbanding konsert penyanyi lain, dia lebih gemar menonjolkan diri sendiri dalam persembahan tanpa membabitkan penyanyi undangan lain.

Katanya, dia tidak terlalu memikirkan soal penaja dalam membantu jualan tiket konsertnya, malah berjanji akan meneruskannya walaupun sukar mendapat sokongan penaja sejak awal lagi.

“Kejayaan sesebuah konsert diukur pada persembahan yang memberi kepuasan dan sokongan peminat yang hadir. Konsert ini adalah terjemahan manifestasi muzik saya. Muzik adalah falsafah. Sejak mula berkecimpung dalam seni dengan merangkak, hingga sekarang saya mencuba pelbagai genre muzik berbeza.

“Saya pernah terbabit menghasilkan album rock penyanyi dan juga irama Malaysia dan terbaru bersama Malique Too Phat menerusi lagu Mantera Beradu.

“Apa yang dapat dilihat pada persembahan untuk konsert solo saya ini adalah perjalanan seni saya. Walaupun saya tidak tahu bila penamat karier seni saya ini, yang pasti ia masih diteruskan.

“Saya gambarkan muzik saya seperti cat yang dilemparkan di atas kanvas yang membentuk corak sendiri. Dalam diri, saya juga berasa risau sama ada saya bergerak terlalu jauh dan laju hingga tidak dapat ikut rentak. Namun, saya sukakan benda baru yang menyuntik muzik saya.

“Saya berharap elemen hiburan dalam persembahan ini sampai pada penonton. Dalam persembahan ini yang dijangka mengambil masa lebih dua jam, saya akan membawakan pelbagai lagu saya sendiri.

“Mungkin sebagai kelainan, saya akan nyanyikan lagu Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Mengenai ketiadaan penyanyi undangan, M Nasir berkata, baginya konsert ini bersifat peribadi dan tidak perlu menampilkan penyanyi undangan.

“Ini konsert solo saya, sudah tentu peminat mahu melihat saya menyanyi di pentas.

“Sebelum ini, penonton kita sebenarnya terlalu banyak terdedah dengan konsert dari Barat hingga terikut cara mereka yang mahukan penyanyi undangan dalam setiap konsert penyanyi lain,” katanya.

Katanya, dia kini sibuk berlatih dan dijangka menyampaikan 20 lagu untuk satu persembahan.

Menariknya, persembahan kali ini tidak menggunakan muzik orkestra, tetapi cukup hanya 10 pemuzik.

Selain itu, M Nasir juga sibuk dengan pembikinan album baru dan separuh lagunya sudah siap dirakam.

Sementara itu, pengarah merangkap penerbit konsert, Ali Abu Bakar pula berkeyakinan konsert M Nasir ini akan mendapat sokongan positif peminatnya.

Meskipun, penyanyi antarabangsa Rihanna turut berada di negara ini untuk konsertnya pada 13 Februari ini, Ali yang terbabit dengan lima konsert bersama M Nasir sebelum ini berkata, dia tidak menganggap itu sebagai halangan.

“Sebagai rakan yang kenal lama dengan M Nasir dan berdasarkan konsert lain yang kami terbabit sama, saya yakin dia mampu meraih sambutan peminat kali ini. Sebelum ini, saya berusaha mendapatkan penaja.

“Ada 18 penaja yang saya dekati, tetapi keputusannya mendukacitakan. Pada saya, mungkin penaja ini mempunyai alasan lain seperti terbabit dengan konsert lain, menganggap konsert ini tidak sesuai atau lebih berminat dengan penyanyi remaja. Apapun, seperti kata M Nasir, konsert ini akan tetap diteruskan.

“Saya gembira dengan sokongan kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) sebagai akhbar rasmi konsert ini yang turut membantu dari aspek promosi.

“Menerusi kerjasama ini, peminat berpeluang mengetahui berita sebalik tabir konsert ini menerusi akhbar kumpulan NSTP iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

“Soal penaja, saya tidak salahkan sesiapa. Mereka mempunyai hak untuk kata setuju atau tidak. Bagaimanapun, saya berterima kasih pada mereka yang sudi berbincang dengan saya mengenai konsert ini. Walaupun terkilan sedikit, saya menganggap ia tiada rezeki,” katanya.

2 ulasan:

matakucing berkata...

ermm mesti pergi!!! tak mau terlepas kali ni

Saudagar Mimpi berkata...

Aku pun tak mau terlepas persembahan di IB ni nanti. Harap-harap tak ada halangan di saat-saat akhir utk turun ke KL. Bimbang juga kalau-kalau ada komitmen kerja di saat saat akhir nanti.