Jumaat, Julai 18, 2008

Timbang Dasar Muzik Negara

petikan Utusan Malaysia 18 Julai 2008
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

MOHD. Shafie Apdal (dua dari kanan) menunjukkan kemahiran bermain gambus sambil diperhatikan oleh (dari kiri) A. Rahman Hassan, Teng Boon Soon dan Omar Awang pada majlis perasmian Seminar Seni Muzik Kebangsaan 2008 di Aswara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar HARUN OSMAN

JIKA sebelum ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berjaya mewujudkan Dasar Perfileman Negara bagi membantu industri perfileman tanah air, maka sudah sampailah masanya bidang muzik turut diberi perhatian.

Ini kerana, industri muzik yang menghadapi pelbagai masalah seperti cetak rompak, hak cipta dan royalti sejak 50 tahun lalu seharusnya juga mendapat perhatian serta pembelaan daripada pihak kerajaan.

Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) disaran mewujudkan Dasar Muzik Negara bagi menjaga kepentingan para penggiat muzik tempatan pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kementeriannya yang bertanggungjawab dalam soal kesenian, muzik dan kebudayaan sentiasa mengalu-alukan langkah ke arah itu.

“Saya akan suruh KSU (Ketua Setiausaha) kementerian (Dr. Muzahet Masruri) supaya meneliti tentang perkara itu terlebih dahulu kerana ia melibatkan banyak pihak sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Antaranya soal pembabitan NGO (badan-badan bukan kerajaan) dan para penggiat muzik tanah air bagi mendapatkan pandangan-pandangan mereka terlebih dahulu,” katanya selepas merasmikan Seminar Seni Muzik Kebangsaan 2008 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Mohd. Shafie, beliau juga akan meneliti cadangan tersebut pada majlis penutup Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia yang bakal dihadirinya di Hotel Puteri Pan- Pacific, Johor Bahru pada 17 Ogos ini.

Beliau menambah, segala usul dan resolusi yang akan dibentangkan pada kongres anjuran Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) itu mungkin boleh dijadikan sebagai suatu garis panduan.

“Kita akan teliti kongres itu dan dengar apa kehendak yang ingin disuarakan oleh mereka. Kalau perlu digubal undang-undang sedia ada tentang industri muzik kita akan cuba lakukan.

“Contohnya, dari segi penguatkuasaan undang-undang dan juga akta-akta yang boleh diwujudkan bagi membantu industri ini. Soal akreditasi artis yang dicadangkan sebelum ini juga boleh dimasukkan dalam cadangan itu nanti,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis pelancaran seminar itu ialah Timbalan Menteri KPKKW, Teng Boon Soon, Rektor Aswara, Datuk Omar Awang dan Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A. Rahman Hassan.

Sementara itu, Rektor Aswara, Omar Awang pula berkata, seminar anjuran akademi itu sedikit sebanyak boleh membantu dalam memperkasakan lagi industri muzik tanah air pada masa depan.

Menurutnya, bahan-bahan kajian, usul dan kertas kerja yang dibentangkan pada seminar bertemakan Pembangunan Industri Muzik Malaysia itu akan dikumpul dan diserahkan kepada KPKKW untuk tindakan seterusnya.

“Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada seminar ini di mana ia melibatkan ramai penggiat muzik serta pembabitan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

“Semua kertas itu juga akan dijadikan hala tuju dan dianalisis oleh KPKKW sebagai bahan rujukan. Mungkin ini antara sumbangan Aswara dalam membantu industri muzik tanah air,” katanya.

Pada seminar itu, antara kertas kerja yang telah dibentangkan bertajuk Muzik Sebagai Warisan yang dibentangkan oleh Prof. Dr. Wan Abdul Kadir Wan Yusoff dan Prof. Dr. Wan Zawawi Ibrahim dan Pendidikan Muzik Di Malaysia (Ayob Ibrahim, Johami Abdullah).

Kertas kerja lain antaranya bertajuk Kecemerlangan Muzik (Prof. Hanafie Mohd. Imam, Manan Ngah), Memasyarakatkan Muzik (Datuk Norliza Rofli, Fadhil Sabikin) dan Kerjaya Muzik Penjana Ekonomi (M. Nasir dan Ong Peng Chu)

Tiada ulasan: