Khamis, Januari 31, 2008

Belasungkawa Loloq (1957-2008): Hilangnya penulis kreatif

petikan Berita Harian 31 Januari 2008
Oleh Zainuri Misfar dan Rozdan Mazalan

APABILA menghayati seni kata yang ditulis oleh Loloq, sering kali kita akan menemui perkataan baru yang kadang-kadang tidak pernah kita dengar. Itulah kelebihan dan keistimewaan Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis ketika berkarya yang agak 'gila-gila' apabila menggunakan bahasa.

Pelbagai kamus tidak pernah lekang daripada dirinya ketika menulis seni kata. Bahkan, dia mempunyai himpunan buku daripada pelbagai genre untuk dijadikan sumber ilhamnya. Loloq pernah berkata, dia tidak terlalu berkira membelanjakan sejumlah wang semata-mata membeli buku yang berkaitan dengan keagamaan, biografi, sejarah, kebudayaan dan bahasa.

Mungkin tidak ramai yang tahu selain menggunakan nama Loloq, dia juga turut menggunakan nama pena Nurbisa pada seni kata lagu tulisannya.

Loloq dan M Nasir cukup sebati. Justeru dia menyertai Luncai Emas milik Nasir sejak tahun 1990 sebagai penulis lirik eksekutif. Malahan, M Nasir dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa Loloq ke dunia seni. Justeru, tidak hairanlah banyak seni kata tulisannya dinyanyikan oleh M Nasir seperti Keroncong Nostradamus, Apokalips dan Insan & Manikam, manakala seni kata terakhirnya ialah Cinta Adam & Hawa nyanyian Misha Omar.

Dia juga ialah penulis lirik Ratnaku nyanyian Roy, Di Kala Asmara Lepaskan Layarnya (Aris Ariwatan), Mentera Semerah Padi (M Nasir), Layar Impian (Ella) dan Ana Pertama Timur (Search).

Loloq dikatakan sudah menulis lebih 1,000 seni kata. Antara seni kata tulisannya yang dianggap hebat ialah Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Kias Fansuri dan Cinta Sakti. Pada tahun 1991, seni kata tulisannya Everlasting Glory nyanyian Hattan dilarang daripada disiarkan oleh radio RTM.

Dia pernah mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi apabila mendakwa kamus Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) sebagai tidak laku. Isunya apabila Loloq menggunakan perkataan Syuga dalam album terbaru Ella iaitu Ella - USA. Perkataan Syuga tidak ditemui dalam kamus DBP. Sebaliknya, Loloq dituduh mengambil perkataan syuga daripada buku Madame D'Syuga yang memaparkan gambar telanjang Ratni Sari Dewi Sukarno, tetapi dia menafikannya.

Loloq berasal dari Singapura. Bapanya, Rosli Dayut berasal dari Masjid Tanah, Melaka adalah bekas polis Tanah Melayu. Ibunya, Maimunah adalah Cina mualaf.

Menurut Loloq yang pernah ditemui penulis pada tahun 1999, setiap buku yang dibelinya bukan untuk hiasan semata-mata. Hampir semua buku habis dibacanya.

"Kalau ada buku yang menarik, saya akan baca berulang kali. Kadang-kadang sampai tiga atau lima kali. Bahkan sebelum tidur, ada 20 buku di sebelah saya," jelasnya yang turut menyediakan sedikit peruntukan untuk membeli majalah bagi keperluan isterinya.

Dia mengaku, keasyikannya terhadap buku menyebabkan dia `pernah lupa' pada anak dan isterinya, Hairiah Yaakob. Ketika itu kami mula-mula kahwin. Rasanya dia tahu tabiat saya yang suka membaca. Saya pula ambil kesempatan sehingga dia merajuk. Sekarang cara saya membaca kenalah tukar. Asalkan isteri tidak merajuk, sudahlah," kata Loloq sambil ketawa.

Hasil perkahwinannya dengan Hairiah, Loloq dikurniakan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10, Jaevn Nur (7) dan Yasha Nur (5). "Nama anak saya memang agak pelik bunyinya. Krsty bermaksud rahsia, manakala Jaevn sebenarnya bermaksud Jawa. Jawa ini pula kalau dihalusi berasal dari kaum Nabi Noh," katanya.

Loloq dikatakan memiliki ratusan buku yang mengandungi pelbagai tajuk. Ini termasuk tajuk yang berkaitan dengan ekonomi, pengurusan, politik, falsafah, keagamaan, perfileman, kesusasteraan, biografi dan pengetahuan am serta novel. Salah satu rak yang terletak di ruang tamunya, tersusun buku The Life Muhammad karya Hamka, Biografi Nelson Mandela, The Arabian Nights, Quantum Leanings, Saince of Politics, How To Argue And Win Every Time, History of Films, A History of the Jews dan banyak lagi.

Penulis lirik ini juga pernah mengaku mempunyai minat mendalam terhadap bahasa Melayu yang dianggapnya sebagai satu bahasa agung pada zaman kegemilangan raja Melayu. "Saya kagum dengan Hang Tuah yang boleh bertutur 10 bahasa. Begitu juga dengan nama Tun Sri Lanang. Setiap perkataan itu ada maknanya sendiri. Tun bermakna tuan, Sri bermakna bercahaya dan lanang adalah lelaki. Begitulah tingginya orang Melayu dulu apabila berkias.

"Sebab itu apabila saya guna perkataan yang lain dari kebiasaan, banyak yang berasa pelik. Sebenarnya, setiap perkataan yang saya pilih masih berbahasa Melayu. Misalnya, lagu Berikanku Nurbisa. Nurbisa itu dalam bahasa Melayu bermakna penawar segala penyakit," jelasnya lagi.

Loloq adalah satu yang diperoleh secara tidak sengaja."Apabila Jalil Ngah hendak terbitkan kulit album, dia tanya Loloq boleh. Saya kata

bolehlah...," katanya yang pernah menjadi penyanyi kumpulan Rastari pada awal tahun 90-an. "Satu kepuasan saya ialah apabila berjaya membuatkan kumpulan rock membuka kamus bahasa Melayu," katanya.

Selain hebat menulis seni kata lagu, Loloq juga dilihat hebat dalam bakat lakonannya. Antara filem yang pernah dibintanginya seperti Sara, Embun, Lang Buana, Zombie Kampung Pisang dan Man Laksa. Beliau juga pernah beraksi di pentas teater suatu masa dulu dalam persembahan teater Bukit Kepong arahan Othman Ghani dan drama sitcom Awie Record.

Semasa hayatnya beliau pernah dikurniakan beberapa anugerah seperti penulis lirik terunggul dan menerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11 menerusi lagu Dewa Dewi nyanyian kumpulan Spider menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul lima tahun berturut-turut.

Selain itu, Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakkan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Beliau juga turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalnya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M Nasir. Bagaimanapun, filem itu tidak dapat disiapkan sehingga sekarang.

Loloq meninggal dunia Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 1.37 tengah hari kelmarin selepas dimasuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Ahad lalu kerana dipercayai berlaku pendarahan di kepalanya.

petikan dari Harian Metro 31 Januari 2008
Tegas pertahan hak penulis lirik
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetrof.com.my

PENULIS lirik terkenal, Rosli Khamis, 50, atau lebih dikenali dengan nama pena, Loloq, pernah melenting apabila lagu gubahan Aubrey Suwito dan lirik Asmin Mudin, Gemilang, diangkat Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 20 (AJL20), dua tahun lalu.

Dengan lantang dia mengkritik lirik lagu itu cacat dan tidak kena dari sudut susunan bahasanya. Ketika itu Loloq dikatakan terlalu emosi kerana lagu Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura dan lirik tulisannya gagal mendapat perhatian juri.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun menulis lirik, Loloq seorang yang tegas kerana sanggup bertekak dengan komposer untuk menentukan siapa penyanyi yang layak membawakan sesebuah lagu.

Baginya, penulis lirik dan komposer sama penting dalam penghasilan lagu. Penulis lirik bukanlah golongan kelas kedua kerana sebenarnya lirik adalah tiang kepada sesebuah lagu.

Namun peminat muzik kini tidak dapat lagi mendengar lirik puitis ciptaannya dan tiada lagi kedengaran suara lantangnya mempertahankan haknya sebagai penulis lirik. Loloq kembali ke rahmatullah, tengah hari semalam di Pusat Pakar Damansara, akibat pendarahan otak.

Sebelum itu beliau dilaporkan koma selepas dimasukkan ke hospital itu pada Ahad lalu. Loloq meninggalkan isteri, Hairiah Yaakob dan tiga anak, Kirsty Nur, 10, Jaerv, 7 dan Yasha Nur, 5.

Loloq berasal dari Singapura. Bapanya, Rosli Dayut dari Masjid Tanah, Melaka bekas polis Tanah Melayu manakala ibunya, Maimunah adalah Cina mualaf.

Loloq menghasilkan lirik pertama, Wak Jono ketika berusia 21 tahun dan hingga kini sudah menulis kira-kira 800 lirik. Karyanya yang terakhir adalah seni kata lagu Cinta Adam dan Hawa yang dimuatkan dalam album terbaru Misha Omar. Bagaimanapun, album itu belum menjengah pasaran.

Untuk AJL22 yang berlangsung Ahad lalu, dua lirik ciptaannya, Angan Dan Sedar serta Sembunyi turut bertanding dan Loloq tidak hadir untuk menyaksikan malam kemuncak AJL22.

Antara lirik popular yang menjadi kegemarannya, Layar Impian (Ella), Bonda, Keroncong Nostradamus, Seloka Jegela Melayu (M Nasir), Lagu Cenderawasih (Kris), Dari Kekasih Kepada Kekasih dan Berikan Aku Nurbisa (Hattan), Gemala Saktiku, Gemuruh (Wings), Di Kala Asmara Lepaskan Layarnya (Aris Ariwatan), Ghazal Untuk Rabiah, Andalusia, Kias Fansuri, Bonda dan Cinta Sakti.

Lagu lain, Nur Nilam Sari, Kasih Latifah, Aladin dan Lagu Jiwa Lagu Cinta yang dinyanyikan secara duet Mawi dengan M Nasir.

Tanpa memilih artis lama atau baru, seni katanya dinyanyikan penyanyi daripada pelbagai peringkat. Daripada kalangan mereka yang sudah popular sehinggalah kepada kumpulan rock yang baru bertapak di arena muzik.

Selain itu, pada awal 1990-an, beliau pernah menjadi penyanyi kumpulan Rastari. Loloq juga berlakon drama dan filem seperti Sara, Lang Buana, Rock dan Zombie Kampung Pisang.

Imbas kembali pembabitannya dalam bidang penulisan lirik, beliau bermula dengan gerak hati selain mengenali M Nasir. Beliau menulis secara profesional sejak berusia 27 tahun.

Dalam satu temubual dengannya, jelasnya dia mencari makan dan menyara keluarganya dengan membuat lirik lagu.

“Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang ini tetapi timba pengalaman daripada penulis seperti Zainal Rashid Ahmad, Zaen Kasturi, Noor Azam dan Ku Seman Ku Hussein ,” katanya.

Loloq juga gemar membaca buku termasuklah karya sufi hasil tulisan Umar Khayam, Amir Hamzah, Khalil Gibran dan Ibnu Arabi.

Sepanjang pembabitannya dalam penulisan lirik lagu, dia pernah mendapat banyak anugerah antaranya, Hadiah Galakan Penulis Lirik Anugerah Citra Wangs Malaysia Sektor Swasta Ke-8, Anugerah Penulis Lirik Terunggul Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP) dan Anugerah Khas Pencapaian Anugerah Planet Muzik (APM) 2006.

petikan Utusan Malaysia 31 Januari 2008
Loloq minta rahsiakan penyakit – Isteri

SUNGAI BULOH 30 Jan. – Penulis lirik terkenal, Loloq meminta isterinya, Hariah Yaacob tidak menghebahkan penyakit yang dideritainya kerana tidak mahu rakan-rakannya bimbang tentang kesihatan dirinya.

Menurut Hariah, 35, Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis, 50, enggan rakan-rakannya mengetahui penyakit yang dideritainya itu sejak beberapa bulan lalu.

‘‘Saya mohon maaf kepada semua sahabat atau kenalan arwah suami saya kerana tidak memaklumkan mengenai keadaan kesihatan beliau semasa hayatnya.

‘‘Semua ini saya lakukan atas permintaan arwah yang tidak mahu rakan-rakannya bimbang tentang dirinya,’’ ujar Hariah.

Sementara itu, komposer terkenal tanah air, M. Nasir yang tidak mampu menyembunyikan perasaan sedihnya menyatakan rasa terkilan kerana tidak dapat menghabiskan banyak masa dengan Allahyarham.

Dianggap sebagai orang kanannya oleh karyawan muzik tanah air, M. Nasir memberitahu, beliau dan Allahyarham sudah merancang pelbagai projek untuk diusahakan secara kerjasama.

Sahabat karib

Allahyarham Loloq yang sering menjadi pilihan M. Nasir dalam menghasilkan lirik untuk lagu-lagu ciptaannya menyifatkan sahabat karibnya itu sebagai seorang karyawan terbilang yang sukar dicari ganti.

‘‘Saya ada banyak kawan tetapi tidak ada seperti Loloq. Bagi saya, arwah merupakan seorang karyawan yang mempunyai pemikiran dan berjaya menghidupkan sesebuah lagu. Kebanyakan lirik lagu ciptaannya mempunyai ‘roh’,’’ kata M. Nasir yang kelihatan menitis airmata .

Allahyarham Loloq meninggal dunia pada pukul 1.37 petang hari ini setelah koma sejak Ahad lalu akibat pendarahan otak.

Sepanjang hayatnya, Loloq sudah menghasilkan lebih 500 lirik selain berlakon banyak filem termasuk filem Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

Beliau juga menjadi pilihan M. Nasir sebagai penulis skrip bersama filem Aduh Saliha lakonan Mawi yang kini masih dalam proses penggambaran.

Seorang lagi kawan rapat Allahyarham, Amy Search pula menyifatkan, Loloq sebagai seorang karyawan yang gemar membaca dan mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang sangat baik.

‘‘Lirik-lirik ciptaan Loloq memberi banyak inspirasi dan menjadi rujukan kepada saya dalam banyak hal.

‘‘Sungguhpun begitu, Loloq memerlukan suasana dan masa yang tertentu bagi menghasilkan sesebuah lirik yang baik. Kita kehilangan seorang penulis lirik yang hebat,’’ kata Amy yang mengenali Allahyarham Loloq ketika Search belum menghasilkan sebarang album.

Jenazah Allahyarham Loloq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh selepas solat Asar.

Turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah para karyawan seni antaranya Ramli M.S, Hattan, Ella, Misha Omar dan Rosyam Nor.

1 ulasan:

bpk muliadi berkata...

KAMI SEKELUARGA MENGUCAPKAN BANYAK TERIMA KASIH ATAS BANTUANNYA MBAH , NOMOR YANG MBAH BERIKAN/ 4D SGP& HK SAYA DAPAT (350) JUTA ALHAMDULILLAH TEMBUS, SELURUH HUTANG2 SAYA SUDAH SAYA LUNAS DAN KAMI BISAH USAHA LAGI. JIKA ANDA INGIN SEPERTI SAYA HUB MBAH_PURO _085_342_734_904_ terima kasih.

KAMI SEKELUARGA MENGUCAPKAN BANYAK TERIMA KASIH ATAS BANTUANNYA MBAH , NOMOR YANG MBAH BERIKAN/ 4D SGP& HK SAYA DAPAT (350) JUTA ALHAMDULILLAH TEMBUS, SELURUH HUTANG2 SAYA SUDAH SAYA LUNAS DAN KAMI BISAH USAHA LAGI. JIKA ANDA INGIN SEPERTI SAYA HUB MBAH_PURO _085_342_734_904_ terima kasih.


KAMI SEKELUARGA MENGUCAPKAN BANYAK TERIMA KASIH ATAS BANTUANNYA MBAH , NOMOR YANG MBAH BERIKAN/ 4D SGP& HK SAYA DAPAT (350) JUTA ALHAMDULILLAH TEMBUS, SELURUH HUTANG2 SAYA SUDAH SAYA LUNAS DAN KAMI BISAH USAHA LAGI. JIKA ANDA INGIN SEPERTI SAYA HUB MBAH_PURO _085_342_734_904_ terima kasih.