Jumaat, November 30, 2007

Aduh Mawi, Aduh Nasir!

petikan Berita Harian 30 November 2007
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Filem belum siap tetapi kontrak sudah tamat

KALI terakhir dia berada di lokasi penggambaran filem Aduh Saliha di Sabah iaitu pada bulan Ramadan yang lalu sebelum bercuti untuk menyambut Hari Raya. Waktu itu, sempat jugalah Mawi menyiapkan 20 peratus penggambaran filem yang diarahkan penyanyi, pelakon dan komposer tersohor, M Nasir itu. Janjinya, sebaik saja selesai bercuti, Mawi akan kembali menghabiskan baki lakonan yang perlu dilunaskan segera.

Malah masih terngiang-ngiang di telinga bahawa seminggu selepas Aidilfitri, dia harus segera ke Keningau, Sabah bagi menyiapkan penggambaran filem Aduh Saliha. Namun, ibarat menanti buah yang tak gugur, selepas lebih sebulan berehat, sehingga kini jejaka dari Felda Taib Andak ini masih setia menunggu bilakah masanya untuk dia kembali memulakan penggambaran.

"Sehingga kini saya masih menunggu lampu hijau daripada syarikat produksi untuk memulakan penggambaran. Sementara menunggu itu sempat juga memenuhi undangan pertunjukan pentas, buat rakaman dan sesi fotografi. Jadi tak adalah terasa sangat," jelas Mawi sambil mengakui masih belum mendapat apa-apa petunjuk bila produksi terbabit akan memulakan penggambaran.

Ditebak bahawa penggambaran itu tergendala disebabkan masalah kewangan yang dihadapi penerbit filem itu, The Cameracrew Productions Sdn Bhd, seperti yang digembar-gemburkan dalam beberapa ruangan gosip sebelum ini, Mawi hanya menggerak-gerakkan jari telunjuknya sebagai isyarat yang dia tidak tahu menahu akan perkara itu.

"Saya memang tak tahu apa-apa pasal itu. Kalau hendak tahu tanya sendiri dengan produksi terbabit," ujar Mawi berkali-kali. Bagaimanapun, sebagai artis yang jadual hariannya cukup padat, Mawi menaruh harapan penggambaran filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dapat diselesaikan secepat mungkin kerana dia mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan.

"Apabila berlaku keadaan seperti ini, ia membuatkan saya tertunggu-tunggu. Penantian itu bagi saya satu penyiksaan. Apapun saya menanti apakah penjelasan mereka berhubung penangguhan penggambaran ini," ujar si pelantun Angan dan Sedar ini.

Begitu pun, sesuatu yang mengejutkan yang terpacul dari mulut penyanyi sensasi ini adalah, kontrak lakonannya dengan produksi terbabit sebenarnya sudah pun tamat sebulan lalu. Dan ini menimbulkan persoalan apakah status kontrak Mawi ketika ini kerana kalau mengikut perancangan awal, filem itu sepatutnya siap sepenuhnya sebelum Aidilfitri lalu.

"Apa yang saya tahu sebenarnya kontrak saya dengan syarikat terbabit sudah pun tamat sebelum Hari Raya hari tu. Jadi, saya pun tak pasti apakah status saya ketika ini. Mungkin mereka ada menghubungi pihak Maestro berkenaan hal ini. Tetapi, setakat ini saya memang tak tahu perkembangan lanjut perkara ini," ujar Mawi yang ditemui selepas menjalani rakaman program Oh Lelaki di Astro, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Dalam program yang dikendalikan Nana dan Fara Fauzana itu, Mawi menceritakan mengenai transformasi fesyen iaitu sebelum terkenal sehinggalah sekarang. Selain Mawi, turut diundang di studio ialah pereka terkenal, Bon Zainal.

Walaupun terpaksa menunggu lebih lama serta status kontraknya yang tinggal tanda tanya, Mawi berkata dia akan tetap menyelesaikan tanggung jawabnya itu sehingga selesai.

"Alang-alang sudah berlakon, mesti habiskan juga. Walaupun saya akui bukan senang hendak berlakon sebab kena banyak bermain dengan perasaan tapi sebab memang teringin hendak mencuba, kena teruskan juga," balas Mawi sambil mengakui hatinya terbuka untuk berlakon semata-mata kerana teringin bekerja di bawah arahan M Nasir.

Bukan Mawi namanya andai tiada kontroversi melingkari diri dan ada dakwaan yang menyatakan Mawi gagal membawakan wataknya sebagai Man Hero dengan baik sehingga pengarah 'naik hantu' dengannya. Ketika diajukan soalan ini kepada si empunya diri, Mawi menafikan kesahihan cerita itu.

"Setakat ini saya rasa pengarah puas hati dengan apa yang saya berikan. Kalau tak, mesti dia suruh saya lakonkan balik sesuatu adegan itu. Lagipun saya dah serasi bekerja dengannya. Biasanya, dalam lakonan, sebelum mula penggambaran, saya akan tanya dulu dia (M Nasir) apa yang dia hendak dan saya akan cuba buat apa yang dia mahukan," jelas Mawi yang semakin lali dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Ditanya apakah dia serik untuk berlakon selepas apa yang berlaku, tiada jawapan yang terkeluar dari mulut anak muda ini. Sebaliknya Mawi membiarkan pihak media menafsir sendiri apa yang tersirat jauh di lubuk hatinya.

Mengulas lagu Angan dan Sedar yang terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 untuk kategori pop rock, Mawi berkata sebagai penyanyi, dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan padanya dengan baik dan kemenangan itu sebenarnya milik pencipta lagu terbabit, M Nasir.

"Lagu ini sebenarnya unik. Susah untuk kita dengar melodi sebegini pada waktu kini. Apapun, saya berterima kasih kepada juri kerana percaya dengan lagu ini," jelas Mawi yang berjanji akan memberikan persembahan terbaik sewaktu peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Isnin, November 26, 2007

Anugerah Juara Lagu > More pop rock for the finals

taken from Malay Mail 26 November 2007
Joe Lee

THIRTEEN is never a lucky number. Taking that into consideration perhaps, the 22nd Anugerah Juara Lagu showdown will have 14 songs, instead of 13 as originally scheduled, in contention following the surprise inclusion of an extra song in the Pop Rock category This brings the number of qualifiers from the Pop Rock category for the January finals to six.
In the twist, similar to that adopted by reality television programmes, organisers TV3 made the announcement of the additional composition to the AJL finals line-up after announcing the first five songs that made the list last night.

The six songs that qualified from the Pop Rock semi-final were Farhana (Bumi Kenyalang) composed by Denai, with lyrics by Andy Rahman and performed by Jinbara, Janjiku (Taja & Tass/ Sofaz), Sembunyi (Aidit Alfian/ Loloq/Misha Omar & Andy Flop Poppy), Itu Kamu (Estranged, Richard Lawrence Gimbang/ Estranged), Angan Dan Sedar (M. Nasir/Loloq/Mawi) and Destinasi Cinta (Lin Li Zhen/PSNN/Datuk Siti Nurhaliza).

TV3 Entertainment, Sports and Recreation senior manager Azhar Borhan, who was a member of the jury, said it was a unanimous decision at the 11th hour to have six instead of five compositions, due to the strength of the contenders in category.

“The admitted strength of the compositions in the category made us feel it was only right to include another song from the category in the final, especially since the genre had the most entries from the start.

“Secondly, we wanted to make the show more lively with the insertion of more tunes, as Pop Rock offers the most diverse sounds.”

Shrugging off speculation that TV3 was trying to cash in on the popularity of the tunes rather than focus on the quality of compositions, which is the objective of the song competition, Azhar said it was merely speculation.

“Going back to the roots of the Muzik Muzik series, it was always a chart show about popular songs. And the culmination in the Anugerah Juara Lagu is simply the best of those songs.

“All these songs have commercial appeal and are acknowledged as popular, so perhaps there is truth in that, though not as accusatory as it sounds,” he laughed.

On the supposed strategy of TV3 in making sure that compositions involving big names were in for the text message vote factor in determining Best Performance at the AJL, Azhar denied that the station had such ulterior motives.

“We never think of the profits. Before this, the choice was given to those in the auditorium to determine the winners of the Best Performance award.

“Later, we decided that we needed a balance, so the opportunity was given to those at home, who may have a different perception of the performances, and that was the real objective.

“We will not increase the significance of the public vote for the award, and it will remain 50-50 between professional jury decision and home audiences’ votes,” said Azhar, adding that the ‘perfect’ coincidental lineup of star performers was just for that and not an attempt to boost the ratings of the programme.

“Every year, we challenge ourselves and this year, we have to outdo ourselves again to give the best to the viewers.”

Singers of the compositions promised a star-studded finale at the Putra Stadium on Jan 27.

For pop phenomenon Mawi, often the butt of jokes for being an SMS champion and winner of numerous popularity public poll awards, it is an honour to perform in the finals.

“Angan Dan Sedar is a good song and since the competition is about the quality of compositions, as a singer, I will perform to the best of my ability and hopefully do justice to the tune.”

Pop queen Siti Nurhaliza echoed the sentiment, saying it was recognition enough to be in the semi-finals, let alone the finals.

“I did my best and I will try to do better in the finals. I’ve been in all three categories for the AJL, so it doesn’t matter which category I’m performing in.

“I’m thankful for the opportunity and am also glad I only have to focus on one song,” laughed Siti, whose other song — Bisakah — failed to make the finals in the Ballads category.

For Misha Omar and Andy of rock group Flop Poppy who will perform Sembunyi in the finals, they are hoping for composer Aidit Alfi an to repeat the magic of his earlier composition Keliru, which was named Pop Rock category and overall champion in AJL 2003.

“When we thought it was only five songs getting in, we were getting butterflies with every song announced. It’s my first time through to the finals in this category and I’m excited,” said Misha.

Andy said: “I usually perform alone or with my band, so a duet is going to be something different. I’m enjoying myself and am glad the song got in.” Former underground act Estranged frontman Richael Gimbang was enthusiastic about his compostion making the AJL finals.

“It’s a great honour to be in. I’ve watched it (AJL) as a kid and I can’t believe I am actually in it, with my own composition.”

Konsert Suria FM sasaran penonton tidak tercapai

petikan Utusan Malaysia 26 November 2007
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

Impian Suria FM untuk menghimpunkan 5,000 penonton pada Konsert Kemuncak Rancak Roadtour sempena majlis pelancaran stesen radio itu pada malam Sabtu lalu tidak kesampaian.

Ini kerana yang kelihatan, hanyalah sekadar hampir 2,000 penonton menyaksikan konsert yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu. Walhal barisan artis yang menjayakan konsert itu bukanlah calang-calang. Mereka termasuklah Erra Fazira, Mawi, M.Nasir, Hattan dan Amy Search.

Namun kata Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, pihaknya masih berpuas hati dengan sambutan yang diberikan.

“Alhamdulillah. Bagi kami sambutan ini agak menggalakkan memandangkan kita semua mengetahui bahawa jalan-jalan di ibu kota pada malam ini sesak. Terdapat sekatan jalan raya gara-gara perhimpunan haram yang dikatakan akan berlaku.

“Apa pun pada saya objektif pada malam ini untuk melancarkan Suria FM dan konsert ini telah tercapai,” katanya ketika ditemui pada konsert tersebut.

Konsert Kemuncak Rancak Roadtour yang merupakan acara penutup untuk sesi jelajah Lagi Rancak Roadtour SuriaFM bagi tahun 2007 bermula pada pukul 8 malam.

Khalayak yang hadir dihiburkan oleh Syed Azmir, Elyana, Farawahida, Erra Fazira, Dafi, Imran Ajmain dan Taufik Batisah diawal konsert.

Tidak keterlaluan jika dikatakan persembahan artis-artis tersebut menarik kerana masing-masing sudah pun biasa menghiburkan peminat seni tempatan.

Erra Fazira menyampaikan dua buah lagu iaitu Ya Atau Tidak dan Goyang Inul. Pastinya gelek Erra membuatkan khalayak yang hadir turut sama bangun dan menari bersamanya. Imran Ajmain yang semakin popular dengan lagu Seribu Tahun tampil mendendangkan lagu tersebut dan menyebabkan suasana konsert menjadi senyap seketika kerana khalayak seakan-akan terpegun mendengarkan suaranya.

Penampilan Taufik Batisah (Sesuatu Janji, Teman Istimewa dan Usah Lepaskan) dan Dafi (Tekad dan Bila Terasa Rindu) juga tidak kurang hebatnya. Kemunculan Farawahida dengan lagu Semua Ada Di Sini juga menghiburkan. Cuma ketika dia menyanyikan lagu kedua iaitu Kenangan Terindah, sedikit mencacatkan suasana konsert. Kerana suara Fara kurang sesuai menyanyikan lagu tersebut.

Konsert tersebut diteruskan dengan persembahan The Fabulous Cats menerusi lagu Tarapapa, Papa Jahat dan Dari Sinar Mata. Hattan (Cinta Si Rama-Rama dan Datang Dan Pergi), Waheeda (Salamat dan Melodi Ahlan), Bandi Amuk (Aduh Tsumawi, Untukmu Sayang dan Joget Tari Lengang), Dayang Nurfaizah (Hilang dan Inginku Miliki).

Menutup tirai konsert pastinya penampilan tiga jejaka hebat Malaya iaitu M.Nasir, Mawi dan Amy Search. Satu perkara yang dikenal pasti, ketika M.Nasir mengumumkan kemunculan Mawi ke pentas, khalayak yang hadir seolah-olah tiada perasaan.

Tidak tahu sama ada impak Mawi kurang pada malam tersebut atau khalayak yang hadir pada konsert Suria FM itu kurang supporting. Biasanya sebut sahaja nama Mawi pastinya jerit pekik mengiringi kemunculan jejaka kelahiran Johor itu. Tapi kali ini tidak begitu.

Tampil menyanyikan lagu barunya Cinta Zulaika dan Lagu Jiwa Lagu Cinta bersama M.Nasir, persembahan Mawi dan M.Nasir tetap macam biasa.

Manakala Amy Search tampil selaku artis penutup menghiburkan khalayak dengan tiga lagu iaitu Aku Dah Bosan, Kerja Gila dan Tiada Lagi.

Keseluruhannya konsert Suria FM tersebut berjaya berlangsung dalam keadaan yang baik dan teratur. Syabas kepada penganjur, cuma sistem bunyinya kalau boleh dipertingkatkan kualitinya, tentu lebih menarik lagi persembahan artis pada konsert itu.

Tambah deejay

Walaupun sudah beroperasi selama dua tahun, namun kekuatan radio Suria FM milik Rimakmur Sdn. Bhd., ini masih belum menyengat.

Apakah ini mungkin kerana penyampai-penyampainya kurang popular?

Mengulas perkara tersebut kata Engku Emran, “Memang mudah untuk ambil penyampai yang sudah ada nama. Kita boleh `beli’ kalau kita mahu. Tapi kita ingin membentuk deejay baru yang terbaik dan terkenal. Kita nak tonjolkan bakat-bakat baru. Kalau kita sendiri tak tampilkan wajah-wajah baru, nanti kita sendiri akan kekurangan bakat-bakat baru dalam bidang penyiaran.”

Malah kata Engku Emran, dia tetap mempercayai bakat dan kebolehan penyampai-penyampainya serta tidak akan menukar penyampai-penyampai tersebut walaupun ada yang mengkritik.

“Tapi kita akan tambah lagi deejay untuk kebaikan stesen radio ini,” katanya.

Khamis, November 22, 2007

Konsert dan pelancaran rasmi SuriaFM

petikan Utusan Malaysia 22 November 2007
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DIANGGARKAN lima ribu penonton akan membanjiri Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu (24 November 2007) ini untuk menonton Konsert Kemuncak Rancak Roadtour dan sekali gus memeriahkan majlis pelancaran rasmi stesen radio SuriaFM.

Konsert Kemuncak Rancak Roadtour yang merupakan acara penutup untuk sesi jelajah Lagi Rancak Roadtour SuriaFM bagi tahun 2007 akan bermula pada pukul 8 malam.

Artis yang akan menghiburkan orang ramai selama empat jam dengan lagu-lagu hits masa kini ialah Amy Search, Mawi, Hattan, Bandi Amuk, M. Nasir, Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Waheeda, Farawahida, Elyana, Dafi, The Fabulous Catz, Taufik Batisah, Imran Ajmain dan Syed Azmir.

Menurut Ketua Pegawai Operasi SuriaFM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, majlis pelancaran yang diadakan itu juga bertujuan memberitahu orang ramai bahawa stesen radio tersebut telah melebarkan sayap ke seluruh Semenanjung termasuk yang terbaru di Kota Kinabalu, Sabah.

“Setakat ini, kami tidak berpeluang untuk melebarkan sayap ke Sarawak dan Kelantan kerana permohonan lesen kami tidak termasuk dua negeri tersebut.

“Biarpun begitu, kami telah berjaya mengumpul pendengar sehingga setengah juta. Namun sehingga kini kami belum berpuas hati dengan jumlah tersebut. Justeru kami sentiasa berusaha untuk memastikan jumlah pendengar meningkat dari masa ke semasa,” jelasnya pada sidang akhbar majlis pelancaran rasmi SuriaFM dan Konsert Kemuncak Rancak Road-tour di Bangunan AM Assurance, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, majlis pelancaran stesen tersebut akan dilaksanakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Sehingga kini SuriaFM yang mula beroperasi pada 30 Disember 2005 menerusi slogan Hidup Pasti Rancak boleh didengari di kawasan Lembah Kelang di frekuensi 105.3FM, Ipoh (96.0FM), Kuantan (96.1FM), Melaka & Johor Utara (88.5FM), Kota Kinabalu (105.9FM), Kuala Terengganu (102.4FM), Kota Bharu (106.1FM), Perlis, Kedah & Pulau Pinang (106.9FM), Taiping (91.7FM), Seremban (107.0FM) dan Johor Bharu (101.4FM).

Tegasnya, selain persembahan daripada artis terkenal tanah air, konsert yang diadakan secara percuma itu juga akan menampilkan persembahan istimewa daripada deejay SuriaFM seperti Ayzack, Akhtar, Myra, Azrene, Tuah Zuqarnain, Zaff, Zhana dan Bob Ringo.

Selasa, November 13, 2007

Mawi masih segan dengan M.Nasir dan Jamal Abdillah

petikan Mstar 13 November 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

TAHUN lalu penyanyi Asmawi Ani menjayakan "Konsert Fantasia" bersama dengan idolanya penyanyi Jamal Abdillah.

Bulan Disember ini, mereka berdua bakal menjayakan konsert secara besar-besaran buat kali kedua dengan membawakan konsep Arabic Nusantara. Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran sifu Mawi di Akademi Fantasia 3 iaitu M.Nasir.

Mawi bakal berkongsi pentas dengan M.Nasir dan Jamal dalam "Malam 1001 Gemilang" (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Berduet dengan Jamal mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi Mawi namun apabila diberi peluang berduet dengan sifunya, mulalah pemuda berusia 26 tahun ini rasa tidak senang duduk.

"Diberi peluang menjayakan konsert dengan M.Nasir saya jadi lebih gemuruh kerana saya menganggap dia sebagai cikgu dan juri. Tapi saya berasa semakin relaks apabila berada di atas pentas dan menyanyi bersama dengannya.

"Dengan Jamal pula saya dah biasa buat show sekali sebelum ini. Minggu lepas pun kami telah menjayakan show ketika majlis rumah terbuka bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Seri Shahrizat.

"Namun begitu, saya tetap berasa sedikit segan," kata Mawi ketika majlis sidang media majlis makan malam bertemakan "Malam 1001 Gemilang" di Telawi Street Bistro, Kuala Lumpur.

Selain Mawi dan Jamal, antara tetamu yang hadir adalah Pengurus Urusan Sutra D'Image Karl Asmawi, Pengarah Edrie Hashim dan Alfie Zainal.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember depan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula jam 8 malam hingga 10.30 malam.

Konsert anjuran Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd ini dijayakan sebagai satu usaha untuk memastikan seni warisan bangsa terus dipelihara dan meningkatkan martabat seni negara.

Mawi yang masih baru dalam meniti dunia seni berbanding Jamal dan M.Nasir yang lebih dulu makan garam daripadanya merasakan konsert kali ini memberi sedikit kelainan dan suatu perkara baru yang perlu ditanggung selepas ini.

"Saya belum membuat apa-apa latihan kerana belum merancang dengan pihak band. Namun saya perlu membuat lebih banyak persediaan sebab konsert ni lebih besar dari konsert sebelum ini.

"Dalam masa seminggu sebelum konsert nanti, saya akan buat latihan dengan band," ujar Mawi yang masih menunggu lampu hijau untuk memulakan pengambaran yang masih tertangguh sejak cuti Raya lalu.

Dalam konsert selama dua jam setengah itu, Mawi akan menyampaikan empat buah lagu secara solo daripada lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya.

Selebihnya, anak kelahiran Johor ini akan berduet dengan M.Nasir dan Jamal melalui lagu-lagu popular seperti Lagu Jiwa Lagu Cinta, Gadis Melayu, Terharu dan Seroja.

Persembahan mereka bertiga akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional dan orkestra yang diketuai oleh pemuzik Edrie Hashim.

Program yang menghargai artis tempatan ini turut bertujuan memberi sumbangan kepada badan-badan kebajikan melalui hasil penjualan meja.

Bermula awal tahun depan, Mawi dijangka menjayakan program anjuran saluran televisyen Astro Oasis.

"Saya akan terlibat dengan projek menjelajah ke negara Islam di Asia untuk menyelami dunia Islam di sana.

"Saya menjadi hos rancangan yang mengenengahkan muzik tempatan, budaya selain melawat ke tempat-tempat bersejarah di negara tersebut," ulas Mawi yang bakal berada di luar negara selama sebulan bagi menjayakan program yang masih dalam perbincangan itu.

"Malam 1001 Gemilang" untuk orang kaya?

petikan Mstar 13 November 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

PENYANYI tempatan tidak kalah dengan penyanyi luar negara kerana mereka masih dihargai dan mempunyai bakat yang boleh dibanggakan.

Antara nama-nama besar dalam dunia muzik tempatan seperti M.Nasir, Jamal Abdillah, Ramli Sarip dan sebagainya.

Mawi dan Jamal berganding dalam konsert besar-besaran buat kali kedua selepas "Konsert Fantasia" (Foto The Star oleh Azman Ghani)

Namun begitu, bakat baru dari program realiti juga banyak memberi sumbangan kepada industri muzik tanah air seperti kelahiran Mawi yang telah membawa satu fenomena baru kepada dunia seni seiring dengan kejayaannya daripada penjualan albumnya.

Dalam usaha untuk memastikan seni warisan bangsa terus dipelihara dan meningkatkan martabat seni negara, Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd berbesar hati mengadakan majlis makan malam bertemakan "Malam 1001 Gemilang" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Disember ini.

"Kami memilih Mawi, M.Nasir dan Jamal Abdillah untuk menjayakan konsert ini. Sekarang, konsert dibanjiri oleh pemuzik dari luar negara.

"Namun kami mempunyai keyakinan untuk memilih artis tempatan. Untuk memulakan trend baru ini, kami mahu membuat konsert yang hebat dan berkualiti.

"Bagi kami, untuk memulakan sesuatu benda, kita perlu menonjolkan artis yang hebat juga.

"Bukan kami tidak mahu mengambil artis yang belum dikenali, tapi kami memerlukan kekuatan artis-artis ini untuk menimbulkan rasa minat orang ramai," ujar Pengarah Sutra D'Image Edrie Hashim ketika sidang media "Malam 1001 Gemilang" di Telawi Street Bistro semalam.

Antara yang hadir adalah Mawi, Jamal Abdillah, Pengurus Urusan Sutra D'Image Karl Asmawi dan Pengarah Alfie Zainal.


Tunggak utama "Malam 1001 Gemilang". Dari kiri: Edrie Hashim,
Mawi, Karl Asmawi, Jamal dan Alfie Zainal

Majlis yang bakal berlangsung pada 16 Disember ini membawakan konsep Arabic Nusantara untuk memastikan elemen-elemen muzik tersebut akan terus dipertahankan serta menghargai artis tempatan.

Selain sebagai program hiburan, mereka berhasrat untuk memberi sumbangan hasil daripada penjualan meja kepada badan-badan kebajikan.

"Kami amat berbesar hati untuk memberi sumbangan kepada dua badan kebajikan di Malaysia iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKKM) hasil daripada penjualan meja yang telah dijual.

"Kami tak mahu memberi sumbangan kepada badan kebajikan tersebut mengikut peratus. Bermakna sumbangan itu bukan berlandaskan kepada hasil jualan tiket. Kami akan tetapkan satu jumlah nanti kerana ia masih lagi dalam perbincangan antara kami dan mereka.

"Pakej penjualan meja adalah satu meja untuk 10 orang berharga RM10,000 (pakej meja emas), RM5,000 (pakej meja perak) dan RM3,000 (pakej meja gangsa) manakala satu kerusi untuk pakej individu berharga RM300.

"Setakat ini sebanyak 50 buah meja telah dijual dan sesiapa yang ingin membuat tempahan boleh terus menghubungi kami," kata Karl Asmawi.

Apabila melihat harga yang ditawarkan mungkin ada yang terkejut tetapi mereka sendiri memang menyasarkan makan malam ini kepada golongan korporat, VVIP dan orang perseorangan yang berkemampuan dan berminat untuk menyaksikan tiga orang penyanyi popular ini.

Hanya yang mampu sahaja boleh menyaksikan gandingan tiga penyanyi popular ini

"Bila membuat konsert ini, kita tidak perlu menanamkan fikiran yang negatif. Kami hanya merancang dan percaya dengan kualiti yang ditawarkan, Insya Allah individu yang berminat akan memberi sokongan.

"Malam itu nanti kami akan beri kualiti dan tempat yang terbaik sesuai dengan harga yang ditawarkan," ulas Alfie Zainal mengenai konsert yang membelanjakan sebanyak RM800,000.

Sebanyak 15 buah lagu nostalgia dan popular seperti Ghazal Untuk Rabiah (Jamal dan M.Nasir), Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi dan M.Nasir), Gadis Melayu (Jamal dan Mawi), Keroncong Untuk Ana (M.Nasir), Aduh Saliha (Mawi), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Raikan Cinta (M.Nasir).

Manakala lagu Kepadamu Kekasih dan Mentera Semerah Padi akan dinyanyikan secara duet oleh ketiga-tiga artis terbabit.

Konsert yang diadakan selama dua jam setengah itu diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional dan orkestra yang diketuai oleh Edrie Hashim.

Menurut Edrie, sebanyak lapan buah alat muzik orkestra, tujuh buah alat muzik kontemporari dan empat buah percussion akan digunakan.

Pihak Astro Prima akan menjadi penyiar rasmi kepada projek ini dan beberapa badan korporat turut berminat untuk menaja penginapan artis, pemuzik dan sebagainya.

Kemuncak majlis itu adalah acara pemberian replika (cek) kepada kedua badan kebajikan berkenaan yang akan disempurnakan oleh dua tetamu VVIP yang hadir pada malam gemilang itu.

"Malam 1001 Gemilang" yang menampilkan M.Nasir, Mawi dan Jamal Abdillah bakal diadakan pada 16 Disember ini jam 8 hingga 10.30 malam di KLCC.

Sesiapa yang berminat boleh hubungi Sutra D'Image melalui talian tiket 03-77274515 mulai esok (Rabu).

Rabu, November 07, 2007

AJL 22 'pinggirkan' lagu etnik kreatif?

petikan Mstar 07 November 2007
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

SEPERTI yang diketahui, lagu-lagu yang tersenarai dalam carta untuk ke peringkat separuh akhir akan melayakkan empat buah lagu ke peringkat akhir bagi tiga kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu.

Antara tiga kategori yang dipertaruhkan adalah etnik kreatif yang lebih bercorak irama asli, lagu-lagu Melayu seperti joget, zapin dan irama global. Dua kategori lagi adalah balada dan pop rock.

Mungkin bukan nasib lagu-lagu etnik kreatif untuk memenuhi pasaran industri muzik tempatan, maka Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL 22) yang bakal di adakan pada awal Januari tahun hadapan hanya melayakkan tiga buah lagu daripada 10 buah lagu yang dipertandingkan dalam Muzik Muzik separuh akhir bermula 11 November ini.

13 buah lagu manakah yang berjaya ke peringkat akhir?
(Foto mStar oleh Siti Azira Abd. Aziz)

Bunyinya seperti tidak adil bagi pejuang lagu-lagu berentak sedemikian namun Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata perkara tersebut perlu dilakukan bagi meningkatkan industri muzik tempatan.

"Apa yang diperhatikan, lagu bercorak etnik kreatif paling sikit sekali iaitu kurang daripada 20 peratus disebabkan kurangnya pendedahan dikalangan khalayak.

"Jadi kami perlu mengkaji semula untuk memberi gabungan yang tepat di mana keputusan untuk mengurangkan sebuah lagu etnik kreatif berdasarkan nisbah (ratio).

"Kami juga memilih untuk menambah sebuah lagu bagi setiap kategori balada dan pop rock agar ia lebih adil dan seimbang.

"Jadi lima buah lagu balada, lima buah lagu pop rock dan tiga buah lagu etnik kreatif akan bertanding di AJL 22 nanti.

"Adil itu sangat subjektif. Kami tidak mahu adakan sesuatu berdasarkan nombor. Kami cuma bagi gambaran selaras dengan pasaran sekarang.

"Kami cuba mengikut nisbah dan imbangkan mengikut keadaan," ujar Azhar ketika sidang media Muzik Muzik separuh akhir di Eden Chulan Square, Kuala Lumpur.

Antara yang turut hadir adalah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 Farisha Pawanteh, wakil kosmetik Loreal yang menaja AJL 22 serta artis-artis yang bertanding.

Antara mereka adalah Nora, Haziq, Rosma, Farawahida, Zehra Zambri, Nice, Hazami, Sahri, Fazli Zainal, Nieyl, Faizal Tahir, Diddy, Jaclyn Victor, penulis lirik dan komposer.

Menurut Azhar, pemilihan juri pada kali ini adalah lebih teliti kerana tidak mahu isu juri tidak adil atau pilih kasih berulang lagi.

"Juri memang tiada kaitan dengan lagu yang bertanding. Kami cuba elakkan memilih juri yang ada kaitan dengan peserta samada dalam penerbitan lagu.

"Kami harap perkara dahulu tidak berlaku lagi," jelas Azhar mengenai juri panel yang telah ditetapkan untuk pusingan separuh akhir ini.

Antaranya adalah Penulis Lirik Amran Omar, Komposer Iman Wan, Komposer Khairil Johary Johar, Komposer Edry KRU, Pengarang Hiburan Harian Metro Adam Salleh termasuk Azhar Borhan selaku wakil dari TV3.

"30 buah lagu akan berentap dan hanya yang terbaik akan melangkah ke peringkat AJL 22.

"Harus diingat bahawa Muzik Muzik merupakan sebuah pertandingan lagu dan bukannya artis.

"Bermakna jika penyanyi asal tidak dapat membuat persembahan, komposer harus mencari penyanyi ganti untuk menyanyikan lagu yang tercalon," terang Azhar.

Bagi lagu "Izinku Pergi" nyanyian Kaer telah diganti oleh Sahri setelah Kaer tidak dapat memberi komitmen terhadap pertandingan tersebut atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Artis-artis yang turut bertanding adalah Datin Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar dengan pasangan duetnya Andy Flop Poppy, Jinbara, Mawi, Waheeda, Aishah, Syura, Ramlah Ram dan ramai lagi pendatang baru dari program realiti.

"Tahun ini juga memperlihatkan kali pertamanya dalam sejarah peringkat separuh akhir yang melibatkan ramai penyanyi dari program realiti.

"Kalau tahun lalu, kami cuma ada Adam Akademi Fantasia (AF), Zahid AF, Nikki Malaysian Idol dan Mawi AF tapi kali ini kita akan lihat Fiq, Nieyl, Sahri, Fazli Zainal, Idayu, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Diddy, Felix, Vince, Haziq dan Rosma bertanding sesama mereka.

"Setiap tahun, industri seni akan diwarnai oleh bakat baru. Penyanyi realiti televisyen ini juga adalah bakat baru yang mula bersinar.

"Usaha kami untuk mengetengahkan bakat 'indie' juga telah membawa hasil di mana satu kumpulan yang bermula sebagai kumpulan 'indie' telah layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik.

"Memandangkan Muzik Muzik adalah refleksi kepada keadaan industri hiburan pada sesuatu masa, maka kehadiran bakat baru ini banyak memeriahkan lagi acara ini.

"Jika ada yang mengatakan artis program realiti tidak layak bertanding dalam AJL, saya rasa pandangan tersebut tidak tepat.

"Contohnya, pada tahun 1986 ada penyanyi yang kurang pengalaman tetapi menang. Jadi terpulang pada artis sekarang untuk menang.

"Sesetengah daripada mereka ada yang bekerja keras dan mempunyai bakat semulajadi. Tak adil kalau anggap artis realiti seperti itu.

"Kalau dia ambil cabaran mungkin boleh jadi cemerlang," kata Azhar.

Saksikan Muzik Muzik separuh akhir di TV3 bermula Ahad ini dengan kategori etnik kreatif, balada pada 18 November dan pop rock pada 25 November ini jam 9 malam secara langsung dari Sri Pentas 2, Shah Alam.

10 lagu separuh akhir etnik kreatif:

1)Lagu: Samudera
Artis: Nora
Komposer: Johan Nawawi
Penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya

2)Lagu: Joget Cinta Sakti
Artis: Haziq dan Rosma
Komposer: El Widyan
Penulis lirik: Fajrul Norman Rashid dan Al Walid

3)Lagu: Nazam Asmara
Artis: Nas Adilla
Komposer: S. Atan
Penulis lirik: SISO

4)Lagu: Seteguh Cinta
Artis: Waheeda
Komposer: Hafiz Hamidun
Penulis lirik: Ito Lara

5)Lagu: Lagu Penglipur Lara
Artis: Farawahida
Komposer: Julfeqar
Penulis lirik: Umar Kudat

6)Lagu: Kasihnya Balkis
Artis: Aishah
Komposer: Adnan Abu Hassan
Penulis lirik: Moharis Yaakup

7)Lagu: Suryakanta
Artis: Zehra Zambri
Komposer: Sharon Paul
Penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya

8)Lagu: Joget Gadis Melayu
Artis: Syura
Komposer: Pak Ngah
Penulis lirik: SISO

9)Lagu: Dirgahayu
Artis: Ramlah Ram
Komposer: Radeen Sri
Penulis lirik: Hairul Anuar Harun

10)Lagu: Istimewa Tiada Dua
Artis: Nice dan Hazami
Komposer: Hazami
Penulis lirik: Hazami

10 lagu separuh akhir balada:

1)Lagu: Bisakah
Artis: Datin Seri Siti Nurhaliza
Komposer: Aubrey Suwito
Penulis lirik: Tessh R.S

2)Lagu: Izinku Pergi
Artis: Sahri
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis lirik: SuluSarawak

3)Lagu: Harapan
Artis: Fazli Zainal
Komposer: Hazami
Penulis lirik: Hazami

4)Lagu: Andainya
Artis:Nieyl
Komposer: Hadi Hassan
Penulis lirik: J. Looi

5)Lagu: Mahakarya Cinta
Artis: Faizal Tahir
Komposer: Audi Mok
Penulis lirik: Mohd Shariza Shamsiri

6)Lagu: Kasih Tercipta
Artis: Faizal Tahir
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Shuhaimi Baba

7)Lagu: Hilang
Artis: Diddy
Komposer: Audi Mok
Penulis lirik: Bash

8)Lagu: Paluan Rindu Mu
Artis: Idayu
Komposer: M. Nasir
Penulis lirik: Keon

9)Lagu: Sejuta Nafas Cinta
Artis: Fazli Zainal
Komposer: Hazami
Penulis lirik: Loloq

10)Lagu: Ceritera Cinta
Artis: Jac dan Rio Febrian
Komposer: Ross Ariffin
Penulis lirik: Habsah Hassan

10 lagu separuh akhir pop rock:

1)Lagu: Aku Pencintamu
Artis: Felix
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Ajai

2)Lagu: Angan Dan Sedar
Artis: Mawi
Komposer: M. Nasir
Penulis lirik: Loloq

3)Lagu: Janjiku
Artis: Sofaz
Komposer: Taja
Penulis lirik: Tass

4)Lagu: Percayalah Sayang
Artis: Vince
Komposer: Vince
Penulis lirik: M. Zulkifili

5)Lagu: Farhana (Putri Bumi Kenyalang)
Artis: Jinbara
Komposer: Denai
Penulis lirik: Andy Rahman

6)Lagu: Destinasi Cinta
Artis: Datin Seri Siti Nurhaliza
Komposer: Lin Li Zen
Penulis lirik: PSSN

7)Lagu: 3 Malam Tanpa Bintang
Artis: Fiq
Komposer: Master G
Penulis lirik: Azmeer

8)Lagu: Sembunyi
Artis: Misha dan Andy
Komposer: Aidit Alfian
Penulis lirik: Loloq

9)Lagu: Itu Kamu
Artis: Estranged
Komposer: Estranged
Penulis lirik: Rachael Lawrence

10)Lagu: Satu Harapan
Artis: Jac
Komposer: Audi Mok
Penulis lirik: Nurfatimah