Jumaat, Ogos 03, 2007

Mawi, Sarah serasi

petikan Harian Metro 3 Ogos 2007
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

SELEPAS setahun pencarian pelakon wanita utama untuk filem terbaru arahannya, Aduh Saliha, M Nasir mengakui dia kini mampu menarik nafas lega apabila Saliha yang dicari, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarruddin (Sarah), 22, sudah ditemui

M Nasir yang pernah mengarahkan filem Merah berkata, penemuan Saliha untuk digandingkan dengan pelakon lelaki, Mawi, turut menamatkan pelbagai spekulasi dan kontroversi sepanjang pencariannya yang mendapat liputan meluas.

“Alhamdulillah, pencarian Saliha sudah berakhir. Kami bukan saja terpaksa mengorbankan masa dan tenaga, malah berendam air mata sepanjang pencarian ini.

“Sepanjang pencarian ini juga, kami diasak pelbagai persoalan dan jawapan. Ada yang boleh terima dan ada yang tidak boleh terima pilihan kami itu.

“Pertama kali melihat Sarah, saya dapat rasakan dia orang yang dicari-cari selama ini. Saya dapat lihat dia masih mentah dalam bidang lakonan dan bagi saya pelakon baru sepertinya mudah untuk dibentuk. Selain itu dia juga pandai mengaji.

“Lebih menarik, saya juga melihat ada keserasian dari segi paras rupa antara Sarah dan Mawi. Maksud saya, mereka berdua memang padan untuk digandingkan bersama dalam filem ini.

“Secara peribadi, saya memang menaruh harapan tinggi pada Sarah memegang watak Saliha. Tapi pada masa sama, saya sudah bersedia jika apa yang berlaku nanti adalah sebaliknya,” katanya ketika ditemui di majlis memperkenalkan Saliha, baru-baru ini.

Aduh Saliha terbitan The Cameracrew Productions Sdn Bhd ini juga filem genre fantasi separuh muzikal yang dihasilkan dengan kos RM1.5 juta. Selain mengarah, M Nasir juga menulis skrip filem ini bersama Loloq. Turut menjayakan filem ini, Felix, Noniswara dan Erra Fazira.

Nasir berkata, buat permulaan Sarah akan menjalani latihan dari aspek lakonan selama dua minggu sebagai persiapan sebelum ke lokasi penggambaran yang bermula di Sabah, penghujung bulan ini.

“Saya juga harap Sarah boleh menyanyi dengan suaranya sendiri dalam filem ini. Malah kami sediakan kelas vokal untuknya. Saya juga sudah mendengar suaranya tapi saya berasa kita kena bagi peluang padanya dulu,” katanya.

Sementara itu Sarah yang dikenali menerusi iklan Silky Girl mengakui berkawan rapat dengan pelakon Ikin yang heboh digosipkan ada hubungan dengan Mawi.

Katanya, dia mula berkawan dengan Ikin ketika sama-sama berlakon dalam drama Kawan dan sejak itu hubungan mereka mula rapat dan sering keluar bersama.

“Ikin juga tahu saya akan berlakon dengan Mawi dalam filem ini. Dia juga berpesan supaya saya menjaga diri sebaik mungkin ketika penggambaran di Sabah nanti.

“Saya juga tidak kisah jika ada kecaman dari peminat Mawi yang mungkin tidak suka kami bergandingan dalam filem ini. Saya buat kerja ini kerana saya suka melakukannya dan saya cuma buat kerja saya saja,” katanya. Sarah yang mengagumi lakonan Nasha Aziz, Vanidah Imran, Erra Fazira, Julia Robert dan Lindsay Lohan berkata, dia sedar cabaran berat menantinya untuk merealisasikan watak Saliha seperti dikehendaki pengarah.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah...berakhirlah suatu penantian. dan yang akan datang suatu kesabaran dan harapan yang tinggi.i'm wit u m.nasir wat ever u do...promise...

Tanpa Nama berkata...

Satu yang aku tak faham ialah mcm mana diaorg kata Mawi & Sarah tu serasi sedangkan mereka belum berkerjasama lagik???

Tanpa Nama berkata...

Boleh laku ke filem ini memandangkan populariti Mawi telah merundum? Itulah lambat sangat bertindak!