Jumaat, Julai 27, 2007

Inikah wajah Saliha?

petikan Berita Harian 27 Julai 2007
Oleh Farihad Shalla Mahmud

SELEPAS menyiarkan nama pemilik watak Saliha yang dicari-cari selama ini iaitu Sarah Kamaruddin, Hip semalam menerima kiriman e-mel wajah seorang model iklan yang dikatakan bakal memegang watak misteri dalam filem arahan M Nasir itu.

E-mel yang dikirimkan itu turut menyertakan beberapa keping gambar gadis yang memiliki nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dalam beberapa aksi yang berbeza sambil menyatakan wajah model jelita ini turut dapat dilihat di kaca televisyen menerusi iklan Silky Girl.

Dalam laporan Hip semalam, Penerbit Eksekutif, The Camera Crew Productions Sdn Bhd, Jamal Maarif turut mengesahkan peranan itu menjadi milik Sarah.

Menurut Jamal, gadis berusia awal 20-an itu difahamkan menandatangani kontrak membintangi filem itu sejak dua minggu lalu. Penggambaran Aduh Saliha pula dijadualkan bermula awal bulan depan di Sabah.

Pencarian watak Saliha menjadi perbualan apabila sesi pengenalan senarai pelakon utamanya dibuat tanpa kehadiran pemegang peranan itu akhir Mac lalu. Selain bakat baru, Yasmin Isa, nama popular seperti Fasha Sandha, Sharifah Amani, Haryati Hamzah atau Yatt juga pernah disebut-sebut bakal memegang peranan itu.

Gimik demi gimik dibangkitkan, namun watak Saliha terus dihantui bayangan hingga ada menyifatkan peranan itu hanya hadir dalam imaginasi pengarahnya.

Aduh Saliha juga bakal dibintangi Erra Fazira, Nasir Bilal Khan, Noniswara, Mawi, Ebby Yus, Que Haidar, Zulhuzaimy, Felix dan Yasmin Isa. Selasa ini, satu majlis khas memperkenalkan pelakon terbabit akan berlangsung di ibu kota.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Akhirnya jumpa jugak si Saleha ni. Siri Iklan Silky Girl tu lawak gak. Part lain iklan tu yang melibatkan apek tua di kedai foto pun bagus gak. M.Nasir tak nak ambik Apek tua & Makcik pegang kemera tu berlakon sekali ke? hahahhahah