Selasa, Mei 01, 2007

M. Nasir cerewet - Jamal Maarif

petikan Utusan Malaysia 1 Mei 2007

SEPATUTNYA 24 April lalu merupakan tarikh terakhir buat M. Nasir untuk mencari dan seterusnya mengemukakan pelakon yang akan meletakkan watak Saliha dalam filem Aduh Saliha kepada penerbit filem itu, The Cameracrew Productions Sdn. Bhd. (TCPSB).

Sayangnya, sehingga kini pengarah itu masih gagal mencari pelakon wanita yang sesuai untuk melakonkan watak Saliha dalam filem tersebut.

Pengarah Urusan TCPSB, Jamal Maarif mengakui kelewatan berpunca kerana sikap M. Nasir yang cerewet memilih pelakon watak itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengarah fotografi filem itu tidak putus asa, sebaliknya menaruh harapan yang tinggi terhadap pengarah kelahiran Singapura itu.

Meskipun belum bertemu pelakon watak Saliha, tetapi penggambaran filem yang menelan kos sekitar RM1.5 juta itu tetap akan diteruskan.

Tetapi agak pelik juga bunyinya apabila tanpa pelakon watak Saliha, bagaimana penggambaran filem itu dapat dijalankan?

Mega sempat bertemu Jamal bagi mengetahui perkembangan terbaru Aduh Saliha yang akan dibintangi oleh Raja SMS (khidmat pesanan ringkas), Mawi sebagai pelakon utama filem yang menggunakan teknologi Sistem Teater Digital (DTS) itu.

Beliau yang juga pengarah filem Orang Minyak yang bakal ditayangkan pada Jun ini yakin pencarian pelakon watak Saliha akan berakhir tidak lama lagi.

Ikuti temu bual wartawan ABD. AZIZ ITAR dan jurugambar ASWAD YAHYA dengan Jamal di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

MEGA: Adakah anda rasa bosan apabila terpaksa menunggu agak lama untuk M. Nasir mencari pelakon watak Saliha?

JAMAL MAARIF: Saya tidak berasa bosan walaupun Nasir mengambil masa yang agak lama mencari pelakon untuk watak Saliha. Saya faham apa yang dia mahukan kerana saya juga seorang pengarah filem. Kami akan beri peluang kepada Nasir untuk mencari pelakon watak Saliha yang benar-benar sesuai dan kena pada penilaiannya. Walaupun kelewatan berlaku tetapi semua itu tidak menjejaskan bajet filem ini.

Bagi anda adakah itu bermakna M. Nasir seorang yang cerewet?

Saya akui Nasir memang cerewet tetapi kena pada tempatnya. Ini kerana, dia mahukan sesuatu karya yang dihasilkannya itu bermutu. Bukan itu sahaja, tetapi Nasir juga cerewet dalam pengolahan skrip dan jalan cerita filem ini. Dia misalnya mengolah semula skrip Aduh Saliha yang ditulis oleh Loloq sebanyak 12 kali. Nasir berbuat demikian mungkin kerana mahu supaya jalan cerita filem itu sesuai dengan keadaan semasa sewaktu ia ditayangkan kelak.

Mengapa anda ambil M. Nasir sebagai pengarah Aduh Saliha?

Saya pilih Nasir sebagai pengarah filem ini sebab dia ada idea. Saya senang bekerja dengan dia. Lagipun saya sudah kenal lama dengan dia.

Tanpa pelakon watak Saliha, bagaimana penggambaran filem ini dapat dijalankan?

Kita cuma tidak ada pelakon watak Saliha tetapi pelakon lain semuanya sudah ada. Krew filem akan ke Bingkor, Sabah pada 10 Mei sebelum para pelakon menyusul pada 18 Mei ini kerana 30 peratus penggambaran akan diadakan di sana. Kemudian kami akan ke Kundasang. Sementara menunggu pelakon watak Saliha kami akan melakukan penggambaran yang membabitkan pelakon lain.

Bilakah pelakon watak Saliha akan ditemui?

Setakat ini Nasir sudahpun bertemu dengan dua pelakon wanita yang dirasakannya sesuai untuk melakonkannya. Mereka merupakan pelakon drama TV dan belum pernah berlakon filem. Nasir akan memanggil mereka sekali lagi untuk mengadakan uji bakat pada pukul 2 petang 8 Mei ini di pejabat kami.

Berapakah anda bayar Mawi untuk filem ini?

Jumlah bayaran yang kami bayar kepada Mawi adalah rahsia. Tetapi bayarannya tidaklah murah ataupun terlalu mahal. Malah, jadual penggambaran filem ini juga tidak mengganggu aktiviti nyanyian Mawi. Bayaran yang Mawi terima juga sama taraf seperti yang dinikmati oleh pelakon popular yang lain.

Akhir sekali, apa komen anda ada yang berpendapat kelewatan penggambaran Aduh Saliha mungkin mengurangkan minat orang mahu menontonnya?

Kami sudah bersedia dengan risiko sebab kita tidak tahu bila hari akan hujan. Sebab itu Nasir terpaksa mengolah semula skrip filem ini supaya apabila ia ditayangkan pada tahun depan ia sesuai dengan keadaan ketika itu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aduh, siapa agaknya Saleha? Aku dah beli M.Nasir Terunggul. Dan ada maklumat ttg bbp buah filem lakonan M.Nasir spt "Balik Kampung" dan "Kepada Angin". Mana nak dapat filem tu, bro? Ada maklumat.

Saudagar Mimpi berkata...

Maaf saudara, Saudagar Mimpi pun tidak ada maklumat mengenai filem itu.