Isnin, Mac 26, 2007

Kata Teman: Sukar penuhi piawaian sifu M Nasir

petikan Berita Harian 26 Mac 2007
Oleh Hanizam Abdullah

ADUH M Nasir! Apa sebenarnya masalah suami Marlia Musa ini teman tak tahulah. Teruk benar bunyinya dia nak cari ‘jodoh’ Mawi. Setuju benar bahawa nak cari gadis untuk Bintang Paling Popular itu perlu ekstra teliti kerana judul filem itu menggunakan namanya. Tetapi dah hampir masuk 10 bulan, tak juga dia jumpa dengan Saliha Mawi. Kalau buat program realiti Mencari Saliha barangkali sudah dapat menambah bajet untuk filemnya itu.

Suka hati Nasirlah kerana itu filem dia, dia nak masa ambil setahun, 10 tahun atau lebih daripada itu pun tak apalah. Teman tak kisah, tetapi barangkali yang resah dan gelisah adalah orang di sekelilingnya. Bukan tak juga teman dengar betapa mereka mula keluh kesah dengan sikap M Nasir itu. Macam Loloq, penulis skrip filem Aduh Saliha itu, walaupun bergurau hendak cekik Nasir tetapi mungkin jauh di sudut hatinya dia memang nak cekik sifu muzik itu.

Kata Loloq, dalam nada seriuslah sebab dia pun bimbang kalau M Nasir pula yang akan cekik dia, “Filem ini dari segi visual memanglah pengarah yang ada hak. Jadi, selagi pengarah tidak jumpa pelakon yang memenuhi kehendaknya, kita tidak boleh buat apa-apa. Kita boleh bayangkan apa saja, tetapi yang hendak arahkan pelakon dalam filem ini adalah dia. Saya pun tak tahu apa yang dia hencak cari? Pelbagai orang yang datang untuk diuji bakat. Daripada yang tinggi, rendah yang lawa-lawa. Tapi M Nasir tidak mencari yang lawa, cuma yang rupawan, yang ada magik.”

Khabarnya, pada pagi majlis sidang akhbar untuk melancarkan filem itu yang turut memanggil Pak Menteri, Salihanya sudah ditemui tetapi alih-alih tiba masanya, bekas pengetua Akademi Fantasia musim ketiga yang berjaya melahirkan Mawi, ubah pula fikirannya. Kononnya, bukan itu Saliha dia. Saliha M Nasir perlu ada magik. Cerita orang sekelilingnya, Nasir kata, kalau orang tengok gadis itu, mereka serta-merta dapat merasai tarikannya, auranya. Hai jenuh ni....

Lagi sekali, suka hati Nasirlah. Filem dia, dia boleh buat apa saja. Macam kat Hollywood jugalah, kadang kala, produser dan pengarahnya ambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun semata-mata mahu mencari orang yang sesuai memegang watak itu. Tetapi itu kat Hollywoodlah, bukan setakat budayanya lain tetapi lebih penting daripada itu, bajetnya pun lain juga.

Jangan pula salah faham, bukan teman tak setuju dengan pendapat Nasir tu bahawa gadis yang mahu menjadi Saliha perlulah seseorang yang berjaya memikat orang untuk melangkah kaki ke pawagam. “Dia ada protoganis, ada antoganis dan katalis kerana nama judulnya pun Saliha.” Tetapi teman rasa, nama Mawi itu juga sudah cukup besar untuk membuatkan peminat hiburan tanah air mengeluarkan sedikit belanja untuk melihatnya beraksi di layar perak.

Seperkara lagi, orang pun ada kata, kalau tak dicungkil rebung mana nak dapat sagunya. Macam Mawilah juga, pada awal kemunculannya di AF dulu, siapa pun tak tahu bahawa bintangnya akan bersinar terang macam hari ini. Malah, Mawi juga tak tersenarai dalam pilihan M Nasir dan beberapa yang lain ketika itu, sehinggakan dia disingkirkan di Konsert Prelude. Tetapi tengoklah Mawi sekarang, dia bukan saja berjaya mengubah hidupnya tetapi sudah mampu untuk mengubah kehidupan seluruh keluarganya.

Kali ketiga teman nak kata, suka hati M Nasirlah. Walaupun tak pernah rapat dengannya dan tak berpeluang langsung untuk rapat dengannya – takut tengok mata bulat Marlia Musa - muzik dan lagunya sudah banyak bercerita mengenai sikapnya. Dia memang kreatif dan mengiringi aset anugerah Tuhan itu adalah sikap cerewetnya. Cerewetnya jugalah yang membuatkan sifu itu melahirkan banyak lagu yang meletup. Tetapi itu bab lagulah, bab filem kita pun tak tahu.

Tak tahulah jika formula Nasir kali ini akan menjadi. Cuma teman benar-benar berharap agar Aduh Saliha memang ada sesuatu – bukan sekadar untuk muncul sebagai filem boxoffice tetapi juga sesuatu untuk membangkitkan rasa berbunga di dada peminat filem Melayu tanah air. Buat apa juga, kalau boxoffice tetapi filemnya ‘yang ado’. Banyak filem jenis itu yang meletup di pawagam tetapi dari segi kualiti, emmm… malaslah teman nak cakap.

Oh ya… dalam sibuk-sibuk M Nasir dan suku sakat dari Cameracrew Productions mencari seorang gadis yang memenuhi piawaian M Nasir untuk watak Saliha, rupa-rupanya artis yang memang teman kagumi dan minati, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy, dengar khabarnya sudah siap dengan sebuah telemovie berjudul Suara Saliha.

Tak apalah Nasir, carilah Saliha awak tu! Saliha yang ada magik, Saliha yang akan membuatkan bukan saja Nasir teruja tetapi orang lain pun teruja juga. Jadi kali keempat teman nak kata, filem M Nasir, suka hati dialah. Dan, sekali lagi teman nak kata, harapnya pencarian dan penantian itu berbaloilah. Hmmm... cita rasa dan piawaian M Nasir acap kali memang sukar diduga. Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Tiada ulasan: