Khamis, Januari 11, 2007

AJL21 guna khidmat juri luar?

petikan Mstar 10 Januari 2007
Wahida Asrani

Bertemakan 'Rentak Kita, Rentak Dunia', Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) akan kembali menyaksikan 12 buah lagu berentap untuk dinobatkan sebagai 'Juara Lagu' pada 21 Januari ini, bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil.

12 buah hasil karya pencipta-pencipta lagu dan penulis lirik tempatan seperti Azlan Abu Hassan, Ajai, M.Nasir, Pak Ngah, Habsah Hassan, Loloq dan Aidit Alfian akan dipersembahkan oleh artis-artis terkemuka tanahair seperti Mawi, Misha Omar, Zahid, Adibah Noor, Nora, Hazami dan Pretty Ugly di dalam tiga kategori iaitu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, AJL kali ini masih menggunakan khidmat juri profesional di dalam industri hiburan untuk menilai kualiti lagu-lagu yang dipertandingkan.


Walaupun, seringkali tercetus isu tidak puas hati dengan sistem penilaian oleh juri, pihak TV3 masih merasakan format tersebut akan terus digunakan di dalam AJL.

"AJL memang tak sah tanpa kontroversi. Mungkin ada perkara yang berbangkit kemudian hari nanti. Harapan saya, apa saja keputusan malam itu tidak akan dipertikaikan.

"Kita akan mempertimbangkan sama ada untuk menggunakan khidmat orang luar sebagai juri atau tidak. Perkara itu masih di dalam perbincangan. Mungkin akan ada 'kejutan', kami sendiri tidak tahu," kata Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan pada sidang media AJL21 di Starhill Gallery, semalam.

Menurutnya, penjurian akan dibuat seperti biasa di mana ia akan dijalankan sebelum malam kemuncaknya. Hanya kategori persembahan dan vokal terbaik sahaja yang akan dinilai pada malam AJL nanti.

"Kebiasaannya kita akan perdengarkan CD lagu-lagu tersebut pada juri dan mereka akan nilaikan. Kita akan ada juri yang hanya akan menilai lagu dan untuk vokal, juri lain pula yang akan menilainya," tambah Azhar lagi.

Ujarnya, tiga kriteria penting untuk penilaian lagu-lagu tersebut masih dikekalkan iaitu kreativiti, keaslian dan impak.

Manakala bagi sistem undian SMS untuk kategori persembahan terbaik, AJL21 berkemungkinan akan memansuhkan sistem tersebut dan hanya menggunakan penilaian oleh juri.

"Kita sudah menggunakan sistem undian SMS ni sejak dua tahun lalu. Kami masih membincangkan tentang perkara ini, tetapi kemungkinan untuk gunakan khidmat juri sahaja sepenuhnya memang ada," kata Azhar.


Barisan artis yang akan mempersembahkan lagu-lagu yang terpilih ke 'final' AJL21 (Foto The Star oleh Ong Soon Hin)

AJL21 akan mengekalkan pengacaranya, Cheryl Samad serta digandingkan dengan dua lagi personaliti, Ally Iskandar dan Fara Fauzana. AJL kali ini menjanjikan satu malam yang penuh dengan persembahan istimewa, bukan saja dari artis-artis yang bertanding, malah bagi keseluruhan majlis berprestij itu.

Program siaran langsung itu akan bermula dengan acara 'Glam Walk' yang akan dihoskan oleh Awal Ashaari dan Maya Karin. Pada acara tersebut, seorang selebriti atau personaliti yang paling 'glamor' akan dianugerahkan dengan 'Anugerah Glam L'oreal Paris'.

Lebih menarik, orang ramai juga berpeluang hadir menyaksikan acara gilang-gemilang itu di Stadium Putra dengan bayaran tiket berjumlah RM3 sahaja, selain menonton secara langsung di saluran TV3 mulai jam 8.30 hingga 11.30 malam.

"Kita jual tiket ini dengan harga RM3 sebenarnya untuk mengawal jumlah penonton. Kita tidak mahu terjadi seperti tahun-tahun terdahulu. Memang RM3 murah, tetapi ia terhad untuk 6,000 penonton saja.

"Kami langsung tidak mengambil sebarang keuntungan dari jumlah kutipan itu nanti. Semuanya diserahkan kepada ejen tiket, Ticket Axcess sebagai caj servis.

"Lokasi kami kali ini juga ditukarkan dari PWTC ke Stadium Putra semata-mata untuk menampung bilangan penonton yang lebih ramai, kerana di stadium kapasitinya lebih besar kira-kira 8,000 penonton," ujar Azhar.

Tiket boleh didapati dengan melayari laman web www.axcess.com.my

AJL21 juga akan disiarkan secara langsung melalui stesen radio Hot FM.

Senarai lagu yang akan bertanding di AJL21:

Irama Malaysia & Etnik Kreatif

1. Hantaran Hati - Bob & Aspalela - Komposer: Nik Nizam - Penulis lirik: Rosminah Tahir

2. Candak - Siti Nordiana - Komposer: Pak Ngah - Penulis lirik: Lokman Ghani

3. Warkah Buat Laila - Zahid - Komposer: Ayob Ibrahim - Penulis lirik: Habsah Hassan

4. Zapin Cinta SMS - Senario & Adibah Noor - Komposer: Anuar Dahlan - Penulis lirik: Anuar Dahlan

Pop Rock

1. Lagu Jiwa Lagu Cinta - Mawi & M.Nasir - Komposer: M.Nasir - Penulis lirik: Loloq

2. Diari Seorang Lelaki - Pretty Ugly - Komposer: Neves - Penulis lirik: Neves

3. Juwita Citra Terindah - M.Nasir - Komposer: M.Nasir - Penulis lirik: M.Nasir

4. Tak Tercapai Akalmu - Elyana - Komposer: Aidit Alfian - Penulis lirik: Ad Samad

Balada

1. Mungkir Bahagia - Hazami - Komposer: Hazami - Penulis lirik: Hazami & Ita

2. Terlalu Istimewa - Adibah Noor - Komposer: Azlan Abu Hassan - Penulis lirik: Adibah Noor

3. Ku Seru - Misha Omar - Komposer: Ajai - Penulis lirik: Habsah Hassan & Shuhaimi Baba

4. Secebis Harapan - Nora - Komposer: Zulkifli Mahat - Penulis lirik: Noor

Komen finalis:

Mawi:

"Setakat ini saya belum buat sebarang latihan dengan M.Nasir. Saya sendiri belum fikir lagi konsep persembahan yang bagaimana akan dibuat.

Mawi belum buat sebarang persiapan untuk AJL21
"Masa memang sudah semakin dekat, tetapi saya tidaklah risau sangat memandangkan lagu ini memang sudah biasa kami berdua bawa. Jadi tidaklah begitu nervous. Rasa macam buat show biasa saja. Saya akan berlatih juga dengan M.Nasir, cuma tidak tahu bila akan kami mulakan.

"Tentang harapan saya pada AJL kali ini, memanglah kalau boleh di dalam mana-mana pertandingan, kita ingin menang. Tapi, terpulanglah pada juri. Lagipun, ini adalah pertandingan lagu."

Gambar dari laman AJL21Adibah Noor:

"Persediaan saya untuk AJL ini tidaklah sebesar mana. Ketika ini, saya sedang giat melatih 17 kanak-kanak dari sebuah sekolah rendah sebagai penyanyi latar saya pada malam itu.

"Begitu juga dengan latihan vokal, saya memang sudah memulakan latihan. Memandangkan saya akan bawa dua buah lagu pada malam tersebut, sudah tentu saya kena buat persiapan yang sepenuhnya.

"Saya tidak letak harapan tinggi, terpilih masuk ke final pun sudah saya kira menang. Pada pendapat saya, Warkah Buat Laila nyanyian Zahid ada potensi cerah untuk menang sebab lagu ini pernah terima banyak anugerah sebelum ini."

Hazami:

"Saya sudah lama mulakan latihan intensif bersama 'team' saya. Saya percaya, banyak elemen yang boleh saya lakukan dalam persembahan saya nanti untuk naikkan mood lagu 'Mungkir Bahagia'.

"Lagu itu mempunyai satu jalan cerita dan saya akan 'bongkarkan' kisahnya dalam persembahan saya nanti. Yang pasti, anda akan menangis dengan persembahan saya nanti."

Zahid:

"Memang jika diikutkan sejarah lagu Warkah Buat Laila, ia pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di AIM tahun lalu. Tetapi, ini tidak bermaksud saya boleh letak harapan tinggi untuk menang.

"Tiada kelainan yang akan saya lakukan pada persembahan saya nanti. Saya akan menyanyi seperti yang asal, cuma kemungkinan akan diiringi oleh orkestra."

Tiada ulasan: