Khamis, November 23, 2006

Misha Omar tunggu tiga bulan lagu Nafas Cahaya

petikan Utusan Malaysia 23 November 2006
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

JIKA ditanya apakah antara lagu yang popular masa kini, sudah pasti jawapan yang terpacul dari mulut peminat hiburan tanah air adalah lagu Nafas Cahaya dendangan Misha Omar.

Ini kerana keunikan lagu tersebut yang mempunyai unsur-unsur world music dan disuntik dengan elemen muzik reggae menjadikannya begitu sedap pada pendengaran halwa telinga pendengar.

Tapi tidak ramai yang tahu bahawa Misha perlu menunggu hampir tiga bulan untuk lagu tersebut yang dicipta oleh komposer terkenal iaitu M.Nasir, manakala liriknya pula ditulis oleh Loloq. Lagu itu diperindahkan lagi dengan susunan muzik oleh maestro muzik terkenal, Ramli MS.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, M.Nasir merupakan seorang komposer yang begitu teliti dan cerewet. Setiap penyanyi yang meminta lagunya perlu diteliti dan difahami karakternya terlebih dahulu. Alhamdulillah, selepas melakukan perbincangan dengannya, akhirnya dia bersetuju memberikan lagu kepada saya dan itulah wujud Nafas Cahaya,” jelas Misha ketika ditemui pada Rumah Terbuka Melodi di Hotel Sheraton, Subang baru-baru ini.

Impak lagu Nafas Cahaya nampaknya semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja lagu tersebut kini mendaki carta lagu-lagu popular malah lagu tersebut telah terpilih sebagai salah satu calon untuk kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif dalam pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik 21 yang akan berlangsung 24 November ini.

“Alhamdulillah. Kehadiran saya di persada seni masih lagi diterima setelah hampir dua tahun saya tidak tampil dengan sebarang album baru. Untuk separuh akhir itu nanti, saya akan melakukan yang terbaik. Mungkin juga sudah tertulis rezeki lagu itu walaupun hanya beberapa minggu sahaja dicalonkan.

“Untuk persembahan, mungkin saya akan menampilkan tarian yang belum pernah saya lakukan sebelum ini. Lagu Ku Seru yang terpilih untuk kategori Balada pula, saya perlu fokus kepada vokal kerana lagu itu memerlukan penghayatan yang mendalam,” jelasnya.

Imej terbaru

Penampilan terbaru Misha yang menggayakan potongan rambut ala bob dan pendakap gigi atau braces menyerlahkan lagi keyakinan dan kelincahan gadis kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini.

“Saya mahu tampil dengan imej baru dan segar sempena kelahiran album baru saya yang akan keluar tidak lama lagi. Saya dah puas berambut panjang dan saya mengambil keputusan ini setelah pulang dari umrah.

“Mengenai pendakap gigi pula, memang pada mulanya saya tidak mahu memakainya kerana takut ada kesan pada nyanyian saya. Tetapi, setelah mendapat nasihat daripada doktor untuk kali kedua, saya mengambil keputusan untuk memakainya. Setelah tiga minggu memakainya, ternyata ia tiada membawa apa-apa kesan pada nyanyian saya,” ujarnya yang mengakui agak kurang selesa di awal pemakaian pendakap gigi tersebut.

Mahu terus berlakon

Setelah berlakon dalam dua filem iaitu Gerak Khas The Movie 3 dan Main-Main Cinta, tidak kedengaran lagi Misha akan berlakon filem. Adakah dia kecewa kerana kegagalan Main-Main Cinta yang mendapat kritikan hebat dan gagal mencapai kutipan pecah panggung?

“Saya tidak pernah berasa kecewa malah saya mahu terus berlakon. Memang ada tawaran tapi saya mahu tumpukan kepada album baru saya dulu. Kalau boleh, saya mahu mempelbagaikan watak saya dan saya ingin mencuba watak komedi kerana ia amat serasi dengan jiwa saya,” jelasnya yang muncul dalam drama komedi Jo-Om Raya terbitan TV3 baru-baru ini.

5 ulasan:

Saudagar Mimpi ... berkata...

- Nampaknya tiada rezeki sifu dalam kategori irama kreatif tahun ini bila lagu Nafas Cahaya gagal ke peringkat akhir Muzik Muzik 2006.


'Warkah Buat Laila' ke peringkat akhir Muzik-Muzik 21
petikan Mstar.com.my
25-11-2006 04:47:08 PM
Radin Sri Ghazali

Empat buah lagu yang bakal berentap di peringkat akhir Muzik-Muzik 21 menerusi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif

KUALA LUMPUR: Empat buah lagu daripada kategori Irama MAlaysia dan Etnik Kreatif melayakkan diri ke peringkat akhir Muzik-Muzik ke 21 semalam bertempat di Plaza Alam Sentral 2, Shah Alam.

Lagu-lagu yang layak adalah 'Candak' lagu ciptaan Pak Ngah dan Lokman Ghani, 'Hantaran Hati' lagu ciptaan Nik Nizam dan Rosminah Tahir, 'Zapin Cinta SMS' ciptaan Anuar Dahlan dan 'Warkah Buat Laila' ciptaan Ayob Ibrahim dan Habsah Hassan.

Siti Nordiana yang menjadi bidan terjun untuk penyanyi Syura yang kini sarat mengandung telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

Walaupun tidak mempunyai mutu vokal sebaik Misha Omar mahupun Liza Hanim pada malam itu, keyakinan Diana serta sentuhan emas Pak Ngah memastikan lagu tersebut layak ke peringkat akhir.

Gabungan unik menerusi duet 'Hantaran Hati' di antara Bob AF2 dan penyanyi lama, Aspalela Abdullah sudah semestinya cukup untuk melayakkan lagu itu ke peringkat akhir.

Kemantapan vokal kedua-dua generasi terserlah ketika dendangan lagu tersebut terutamanya Bob yang menunjukkan kehebatan range suaranya menerusi lagu berirama tradisional.

Ketika memberi ucapan sebagai finalis, penyanyi veteran Aspalela tidak mampu menahan sebaknya.

"Saya berterima kasih sangat kepada Allahyarhamah Rosiah Chik kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu ini," ujarnya.


'Zapin Cinta SMS' duet di antara kumpulan lawak nombor satu negara, senario dan penyanyi bersuara besar Adibah Noor turut layak ke perinkat akhir.

Kombinasi yang unik menerusi lagu berbentuk humor ini berjaya menarik perhatian para penonton serta pihak juri yang mengadili pada malam tersebut.

Walaupun kumpulan Senario tidak mempunyai keunggulan daripada segi vokal namun keunikkan gabungan variasi suara mereka dengan kemantapan vokal Adibah cukup menghiburkan.

Kesyhaduan serta lirik berpuitis sesungguhnya menjanjikan laluan mudah untuk Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 2006 (AIM 2006),' Warkah Buat Laila' mengorak langkah ke peringkat akhir.

Kesederhanaan vokal Zahid turut menambahkan keunikkan lagu yang menjadi soundtrack untuk filem 'Qaisy dan Laila'.

Beberapa persembahan daripada gandingan mantap gagal untuk melangkah ke peringkat akhir seperti duet di antara Noraniza Idris dan Liza Hanim menerusi lagu 'Racau Sang Khalifah' yang menjadi pembuka tirai kepada malam tersebut.

Malah keunggulan vokal Misha Omar menerusi lagu yang dihasilkan oleh Sifu M. Nasir dan Loloq turut gagal walaupun 'Nafas Cinta' dikatakan antara lagu favourite untuk ke peringkat akhir.

Panel juri yang mengadili pada malam tersebut adalah Adnan Abu Hassan, Ly, Zubir Ali, Amran Omar dan diketuai oleh Aubrey Suwito

Antara lagu-lagu yang turut bertanding adalah 'Maharaja' nyanyian Ramlah Ram (ciptaan Radeen Sri dan Hairul Anuar Harun), 'Clik-Celik' nyanyian Nas Adila (ciptaan Cat Farish), 'Zapin Bahari' nyanyian Natasha (ciptaan Pak Ngah dan Ce'kem) dan 'Cinta Luhur' nyanyian Saiful (ciptaan Yasin).

Tanpa Nama berkata...

Nampaknye ada orang cemburu dengan kejayaan M Nasir. Setelah tiga dekad berlalu, M Nasir terus berkarya dan malah karya beliau terus bertambah hebat sejak akhir-akhir ini.

Tak nampak mengapa TV3 mengambil lagi Zubir Ali sebagai salah seorang juri. Tahun lepas dia mengatakan lagu Adnan Abu Hassan tidak bermutu. Dalam karier dia, dia hanya popular dengan sebuah lagu sahaja iaitu 'Penantian'. Harap TV3, carilah komposer yang benar-benar tahu apa yang dia buat.

Jangan terkejut selepas ini dua buah lagu ciptaan M Nasir - Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Juwita Citra Terindah akan turut menerima nasib yang sama.

Sebenarnya, lagu Nafas Cahaya telah diulas oleh kebanyakan orang seni atau wartawan sebagai satu-satunya lagu yang unik ciptaan pada masa sekarang. Tambahan pula, kemerduan suara Misha Omar amat terserlah dan terbukti sekali dalam penyampaian beliau. Dan untuk mendapatkan lagu tersebut, Misha Omar terpaksa menunggu tiga bulan untuk mendapatkan lagunya.

Harap untuk Anugerah AIM tahun 2006 ini, lagu ini akan muncul sebagai lagu terbaik tahun 2006. Biar padan muka dengan TV3 dan kuncu-kuncunya.

Tanpa Nama berkata...

audrey suwito jadi ketua juri ? Patutnya juri2 terdiri drpd pemuzik dan technician yg bebas , bukan org yg pernah bertanding dan akan bertanding . Kalau betul2 nak jadikan comercial practitioner sbg juri , dia kena telus , bagi apa kriteria utk sesuatu lagu sgb baik utk AJL . Aku tak kisah kalau AIM , tapi kalau TV3 , orang mengundi , dia kena disclose apa STANDARD yg digunakan .

Saudagar Mimpi ... berkata...

Dalam pertandingan menjadi adat kalah menang. Dalam Muzik-muzik kali ni nampaknya belum sampai peringkat akhir keputusannya pun sudah hangat diperdebat. Agaknya di Malaysia ini susah nak mencari juri yang tidak bersangkut paut dengan peserta. Mungkin penglibatan ahli akademik berkaitan muzik dan budaya lebih diperlukan di masa hadapan. Sekadar mungkin .....

petikan Harian Metro hari ini.

Apa sebenarnya dicari juri?
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

KEPUTUSAN separuh akhir Muzik-Muzik 21, bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu meninggalkan seribu persoalan buat penonton rancangan itu.


Hanya satu lagu terpilih ke peringkat akhir menepati ramalan peminat mahupun pemerhati industri muzik tempatan.

Paling diperkatakan apabila lagu nyanyian Misha Omar ciptaan M Nasir dan lirik Rosli Khamis (Loloq) juga Maharaja nyanyian Ramlah Ram ciptaan Radeen Sri dan lirik, Hairul Anuar Harun gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.

Sebaliknya lagu yang berjaya seperti Zapin Cinta SMS ciptaan Anuar Dahlan nyanyian Senario bersama Adibah Nor dan Hantaran Hati ciptaan Nik Nizam dan lirik ditulis Rosminah Tahir dinyanyikan Bob bersama Aspalela Abdullah dan Candak ciptaan Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik ditulis Lokman Ghani dinyanyikan semula Syura.

Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik ditulis Habsah Hassan pula seharusnya dipilih memandangkan sebelum ini ia sudah mencapai banyak kejayaan di dalam mahu pun luar negara.

Sebelum ini, Warkah Buat Laila pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2006 (AIM 06) dan diiktiraf juri antarabangsa untuk Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-50.

Pemilihan lagu yang diadili juri seperti Adnan Abu Hassan, Ly, Zubir Ali dan Aubrey Suwito bertindak selaku ketua juri, ternyata sukar dibaca.

Apakah sebenarnya kekuatan dilihat dan dinilai dalam mencari lagu yang boleh mewakili kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif untuk bersaing dengan lagu kategori lain di peringkat akhir yang bakal berlangsung pada akhir Disember ini di Stadium Putra, Bukit Jalil ?

Sayangnya, sewaktu RAP cuba mendapatkan kenyataan dari Aubrey dia berkata tangannya terikat dan tidak dibenarkan bercakap kepada wartawan kerana kontrak sudah ditandatangani.

Selaku penganjur, TV3 memberikan tanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan lagu dipilih kepada Pengurus Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan namun tiada jawapan kukuh diterima kerana dia sendiri tidak tahu apakah penilaian atau penanda aras diletakkan juri dalam memilih lagu bertanding layak ke peringkat akhir tahun ini.

Akhirnya pada malam itu apa yang diperoleh adalah kemungkinan yang mungkin saja terus dipersoalkan mereka yang bertanding, penonton mahu pun pemerhati industri muzik itu sendiri.

Paling nyata dipersoalkan kekuatan lagu Zapin Cinta SMS yang tiada beza dengan lagu Joget Usik Mengusik pernah didendangkan kumpulan Senario bersama penyanyi Haida lima tahun lalu. Di mana pula pembaharuan yang ditampilkan Pak Ngah dalam lagu Candak?

Andai benar juri mahu mengangkat kembali kekuatan lagu tradisi seperti joget dan asli berserta lirik penuh makna mengapa tidak dipilih lagu Maharaja? Rata-rata penonton sendiri sudah cukup faham dengan format pertandingan Juara Lagu betapa yang dinilai adalah kekuatan lagu dan bukannya persembahan mahu pun vokal penyanyi.

Bagaimanapun, bagi penyanyi mendendangkan lagu terpilih pada malam itu cukup menggembirakan terutama Aspalela Abdullah yang menggantikan tempat penyanyi asal lagu Hantaran Hati juga teman rapatnya, Allahyarhamah Rosiah Chik.

“Saya terharu kerana pemilihan saya untuk bersama Bob mendendangkan lagu Hantaran Hati membuahkan hasil.

“Sewaktu ditawarkan untuk menyanyikan semula lagu ini di peringkat separuh akhir saya menangis dua hari dua malam. Perasaan bercampur-baur dan paling utama saya bertanya kepada diri sendiri adakah saya mampu menyanyikan lagu itu sebaik Allahyarham.

“Tidak dinafikan sebagai rakan baik, saya banyak menyimpan kenangan. Saya juga banyak belajar menyanyi dengan Rosiah kerana itu saya tidak dapat menyimpan perasaan terharu sebaik lagu ini diumumkan layak ke peringkat akhir.

“Di awal pertandingan saya sudah sematkan dalam hati saya akan memberikan persembahan terbaik dan begitu juga janji saya kepada peminat di peringkat akhir nanti,” katanya.

Sementara itu Siti Nordiana yang menggantikan tempat rakannya, Syura, yang sedang berbulan madu di Hong Kong, berkata dia tidak sangka lagu Candak terpilih.

“Dua hari sebelum pertandingan baru saya dapat lagu ini. Sebelum ini saya hanya mendengarnya sekali lalu. Apabila dikatakan saya akan menggantikan tempat Syura saya rasa cukup bimbang terutama mengenai kemampuan saya dalam mendendangkan lagu berentak asli. Maklumlah saya ini lebih dikenali peminat sebagai penyanyi pop.

“Bagaimanapun mungkin tuah Pak Ngah dan penulis liriknya dan di peringkat akhir nanti saya akan meneruskan perjuangan lagu Candak bagi pihak Syura,” katanya.

Sementara itu, jelas pencipta Warkah Buat Laila, Ayob Ibrahim ketika ditemui pada sidang akhbar berkata, dia sendiri pada awalnya berasakan karyanya tidak akan terpilih walaupun kekuatan lagu itu menjadi sebutan ramai pihak.

“Apabila melihatkan tiga lagu dipilih berentak asli dan joget saya berkata dalam hati tahun ini mungkin mereka mahu mengangkat irama tradisi itu. Jadi saya sudah menyerah kalah sebaik lagu Zapin Cinta SMS diumumkan terpilih.

“Apatah lagi Warkah Buat Laila menampilkan irama Nusantara iaitu jauh berbeza dengan lagu yang layak. Terkejut juga saya apabila diumumkan lagu ciptaan saya terpilih. Secara peribadi saya memang tidak dapat membaca apakah yang dilihat juri sewaktu menilai semua 10 lagu bertanding,” katanya.

Lagu lain turut dipertandingkan pada malam itu, Celik Celik ciptaan sepenuhnya Cat Farish dendangkan Nas Adilla, Racau Sang Khalifah ciptaan Noraniza Idris/ Karim Firdaus Mahmud dan lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya dinyanyikan Noraniza Idris dan Liza Hanim, Zapin Bahari juga ciptaan Pak Ngah dan lirik ditulis Mohd Kamarulzaman (Ce’kem) dinyanyikan penyanyi baru Natasha dan Cinta Luhur ciptaan sepenuhnya Yasin dan didendangkan Saiful.

Tanpa Nama berkata...

HotFM dan TV3 adalah di bawah satu bumbung. Tapi apa yang terjadi mereka ini seperti tidak sebulu. Dalam carta HotFM, lagu Nafas Cahaya sudah masuk lima minggu menjadi juara carta mengalah 29 buah lagu yang lain. Di manakah silapnya penjurian kali ini? Mustahil mereka tidak peka dengan perkembangan semasa dan sambutan pendengar terhadap lagu berkenaan!