Selasa, Oktober 17, 2006

M. Nasir harapkan tuah Mawi dalam Aduh Saliha?

petikan Utusan Malaysia 17 Oktober 2006

RAMAI orang sudah tahu bahawa Mawi akan terjun ke dunia lakonan tidak lama lagi menerusi filem Aduh Saliha. Mawi dikatakan menerima tawaran itu kerana mahu mengembangkan sayapnya dalam bidang seni selain permintaan daripada para peminat yang teringin melihat kemunculannya di layar perak.

Bagaimanapun, juara program realiti TV Akademi Fantasia 3 (AF3) itu mungkin belum mempunyai butiran yang banyak untuk diperkatakan tentang filem pertama lakonannya itu.

Justeru, pengarah Aduh Saliha iaitu M. Nasir merupakan antara orang yang paling banyak mempunyai butiran sebelum filem itu memulakan penggambarannya Januari depan.

Mega sempat menemui beliau di Studio Luncai Emas miliknya di Sungai Buloh, Selangor untuk mengetahui tentang perkembangan filem yang menelan kos lebih RM1 juta itu.

Namun, sebelum filem hasil skrip tulisan Loloq itu di angkat ke layar lebar pelbagai pertikaian tercetus terutamanya membabitkan M. Nasir.

Antaranya, sejauh manakah kemampuannya mengarahkan Aduh Saliha selepas hampir 10 tahun tidak mengarah filem.

Apatah lagi filem pertama arahannya yang berjudul Merah tidaklah mendapat sambutan daripada para peminat filem Melayu ketika ia ditayangkan suatu ketika dulu.

Apa komen beliau tentang perkara itu? Ikuti temu bual wartawan ABD. AZIZ ITAR dengan M. Nasir baru-baru ini.

Apakah keyakinan anda untuk kembali mengarah filem?

M. NASIR: Filem adalah passion saya. Saya memang meminati dunia perfileman sejak dari dulu lagi. Saya tidak akan rasa kecewa kalau sesebuah filem yang saya arahkan itu gagal mendapat sambutan daripada para penonton. Saya mahu tanya anda, berapa ramai pengarah atau penerbit filem yang menerbitkan filem dan terus mendapat sambutan ramai? Saya baru arahkan sebuah filem dan Aduh Saliha adalah filem kedua saya. Kegagalan pertama tidak semestinya saya akan gagal seterusnya. Malah, siapakah orang yang boleh meramalkan kejayaan sesebuah filem itu?

Sejauh manakah persiapan Aduh Saliha setakat ini?

Penggambaran filem ini akan dimulakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini ataupun selewat-lewatnya pada awal Januari tahun depan. Setakat ini Aduh Saliha masih dalam pre-production. Skrip filem ini sudahpun siap ditulis oleh Loloq.

Aduh Saliha berkisar tentang kisah apa?

Saya tidak boleh beritahu jalan cerita filem ini kerana diarahkan oleh penerbit supaya merahsiakannya terlebih dahulu. Tetapi apa yang boleh saya katakan filem ini berkonsepkan muzikal, fantasi, cinta dan pengembaraan. Cerita filem ini adalah rekaan semata-mata dan ia tiada kena mengena dengan sesiapa termasuklah Mawi sendiri sebagai pelakon utama filem ini.

Daripada mana datangnya idea skrip dan konsep filem ini?

Idea dan konsep ini datangnya daripada saya dan Loloq. Jalan cerita filem ini ada kena mengena dengan tema dan konsepnya yang banyak menyelitkan unsur muzikal. Sebab itu saya akan selitkan beberapa lagu termasuk kesinambungan daripada lagu Aduh Saliha dalam filem ini nanti.

Siapakah penerbit dan berapakah bajet sebenar filem ini?

Mana boleh bagi tahu. Masih terlalu awal. Saya terpaksa merahsiakan siapakah penerbit filem ini. Penerbitnya merupakan orang dalam industri hiburan ini sendiri. Cuma bajet filem ini mungkin dalam RM1 juta lebih.

Bagaimana dengan persetujuan Mawi untuk berlakon dalam filem ini.

Saya sudah adakan pertemuan dengan Mawi dan berbincang secara lisan dengannya baru-baru ini. Saya pun sudah berbual dengan Mawi tentang filem ini. Dia (Mawi) bersetuju untuk berlakon dalam filem ini tetapi ada beberapa masalah teknikal yang kami harus bincangkan lagi.

Masalah teknikal yang bagaimana maksud anda?

Masalah yang membabitkan jadual dan masa Mawi sebagai penyanyi yang agak ketat. Bagaimanapun kita akan cuba sesuaikan dengan jadual sehariannya. Lagipun shooting filem bukannya lama sangat antara 35 hingga 45 hari mungkin boleh siap (penggambaran). Malah bukannya semua adegan filem itu ada dia (Mawi).

Apa komen anda apabila Mawi kata dia tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita?

Isu itu tidak payah ceritalah. Saya tidak ada komen dalam isu itu. Tidak payahlah diperbesar-besarkan. Semua itu ikut keperluan jalan cerita.

Adakah anda memilih Mawi kerana anda tahu ia pasti akan mendapat sambutan daripada para penonton?

Itu terpulanglah kalau anda kata begitu. Saya pilih Mawi kerana watak itu sesuai dengannya. Filem itupun bukannya tentang kisah hidup Mawi. Nama watak Mawi dalam filem ini pun saya belum putuskan lagi sama ada gunakan nama Mawi ataupun nama yang lain.

Orang kata anda seorang yang suka berseni dan berfalsafah. Jadi di manakah letaknya nilai seni Aduh Saliha ?

Filem ini memang tetap akan ada nilai dan falsafahnya sendiri. Falsafah yang menjurus kepada kebaikan. Setiap orang ada masa-masanya yang telah ditentukan untuk berjaya. Begitu juga dengan watak utama yang digambarkan dalam filem ini. Cuma dalam bentuk apa kejayaan itu bergantung kepada diri masing-masing.

Bagaimana pula dengan unsur komersial dalam Aduh Saliha?

Kenalah ada lagu-lagu yang bagus dalam filem ini. Lakonan yang bagus dan pelakon-pelakon yang popular. Kombinasi ini penting supaya ia menjadi adunan rencah yang boleh membantu menguatkan lagi filem ini. Filem yang menarik perlu ada macam-macam rencah seperti unsur lucu, percintaan, adventure, special effect dan sebagainya.

Selain Mawi siapakah pelakon lain yang akan membintangi filem ini?

Setakat ini kita belum tetapkan lagi siapakah pelakon lain. Kita akan adakan uji bakat selepas Hari Raya Aidilfitri ini untuk mencari pelakon yang sesuai.

Adakah anda mempergunakan Mawi untuk kepentingan anda? Contohnya dengan mencipta lagu Aduh Saliha dan berduet dengan Mawi?

Saya diminta mencipta lagu itu untuk Mawi. Dan saya rasa dia sesuai menyanyikan lagu itu. Bukan saya seorang tetapi komposer lain juga banyak yang mencipta lagu. Tetapi lagu komposer mana yang sesuai untuk dinyanyikan oleh Mawi terpulanglah kepada pihak-pihak tertentu yang menguruskan Mawi untuk menerimanya. Mereka juga ada community mereka sendiri yang memilih. Saya pula mencipta lagu itu bersesuaian dengan kebolehan Mawi. Dalam hal ini kita kena ada chemistry, barulah sesebuah lagu itu berjaya. Saya sudah banyak mencipta lagu tetapi bukannya semua lagu saya mendapat sambutan. Saya juga beri banyak lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi lain dan bukannya Mawi seorang.

Akhir sekali, apakah komen anda apabila sejak akhir-akhir ini karya anda lebih berbau komersial dan ada yang menganggapnya sebagai karya sampah?

Terpulanglah. Mungkin anda atau orang yang kata itu mereka tidak sukakan karya-karya saya. Lagipun takkanlah saya mahu buat benda-benda yang sama macam yang pernah saya buat suatu ketika dulu. Ada masanya nanti saya akan lakukan kembali. Masa berubah-ubah. Saya sudah mencipta lebih 1,500 buah lagu dan bukan semua lagu-lagu saya diterima oleh pendengar. Tetapi setiap lagu yang saya cipta itu memang saya suka. Saya beri lagu itu kerana ada orang yang minta. Mungkin lagu itu sesuai untuk dinyanyikan oleh seseorang penyanyi itu, tidak kiralah siapa.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saudagar mimpi,

kita mengagumi tokoh yg sama..karya seni M Nasir hampir semua menyentuh jiwa saya..

mungkin lepas ni kita bisa berbicara dan berkenalan dgn lebih akrab..saya selalu mengikuti praharaseni..rasanya inilah satu2nya web yang mengikuti dan menyalurkan info2 terkini berkenaan sifu.tahniah atas usaha saudara!

bangga juga bila tgok saudagar mimpi sudi menjenguk riwayat hayat..hehe =)

salam perkenalan!

Saudagar Mimpi berkata...

Saudara,
Karya yang baik pasti menyentuh jiwa kita.

Terima kasih kembali kerana sudi mengikuti prahara seni. Moga info yang ada di sini bermanafaat bagi semua di luar sana.

Tanpa Nama berkata...

Sifu tidak mempergunakan Mawi,

...tp sebaliknya diminta berduet dlm "Lagu Jiwa Lagu Cinta' oleh pihak Maestro dan bukannya sifu yg ingin berduet dgn Mawi, Aduh Saliha hanyalah sekadar kebetulan tiada kena mengena dgn populariti Mawi.

Harap maklum.