Rabu, Oktober 11, 2006

M. Nasir enggan komen pendirian Mawi

petikan Utusan Malaysia 11 Oktober 2006
Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

KERJASAMA Mawi dan M.Nasir dalam bidang lakonan bakal direalisasikan dalam filem Aduh Saliha“SOALAN tidak relevan. Datang pejabat la cerita panjang,” demikian jawab komposer terkenal M.Nasir selepas berakhirnya program Zoom In Bersama Mawi di Angkasapuri malam Sabtu lalu.

Apa yang nyata, M.Nasir enggan membuka mulut tentang perkembangan filem terbaru yang akan diarahnya Aduh Saliha yang bakal dibintangi penyanyi kontroversi lewat ini, Mawi.

Sukar benar untuk mengetahui cerita di sebalik pembikinan filem itu seolah menjadi rahsia negara yang terlalu besar dan sulit.

“Dalam perancangan lagi,” ulas M.Nasir pendek.

Bagaimanapun bekas pengetua Mawi di Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu tidak menafikan skrip filem tersebut sudah siap sepenuhnya.

“Komedi seram,” jawabnya ringkas.

Namun apabila menyentuh pendirian Mawi yang tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita sekiranya menceburi bidang lakonan, M.Nasir hanya melemparkan senyum kelat di wajahnya.

“Saya tiada komen,” terang M.Nasir yang terkenal dengan sifatnya yang berat mulut jika tidak kena gaya.

Juara AF3 itu, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita sebagai salah satu syarat sekiranya mahu dirinya menceburi bidang lakonan.

Hasilnya, kenyataan penyanyi yang dikatakan sudah mula berubah sikap itu menjerat dirinya sendiri.

Pelakon Rosyam Noor dan M.Rajoli tampil memberi penjelasan tentang pendirian Mawi itu.

Pelakon berkenaan terkilan seolah-olah mereka ingin sangat bersentuhan dengan pelakon wanita ketika berlakon dan mengabaikan tentang hukum bersentuhan dengan bukan muhrim.

Namun apa yang menghairankan mengapa baru sekarang penyanyi yang digelar produk mee segera itu tidak mahu bergambar dan bersentuhan dengan artis wanita. Sedangkan di awal kemunculannya Mawi tidak kisah bergambar dengan artis wanita.

Cuma pada awal pertemuan ketika mengeluarkan kenyataan itu Mawi berkata, “Kenapa saya tidak mahu? Kerana saya tidak suka. Itu sahaja.”

*Zoom In Bersama Mawi

Selesai menonton persembahan Mawi, kesimpulannya ialah peminat fanatiknya masih menyukai penyanyi yang selesa berimej kepala botak itu.

Auditorium Perdana tetap penuh sesak hinggakan segelintir sanggup duduk di tangga dan berdiri hingga ke pintu keluar sepanjang dua jam rancangan itu berlangsung.

Apa sahaja yang dituturkan Mawi walaupun bukan kelakar, penonton pasti ketawa. Malah ada segelintir penonton remaja wanita tanpa segan silu terjerit-jerit sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Mawi.

Malam itu, Mawi mendendangkan lagu-lagu popular antaranya Kian, Aduh Saliha, Al-Jannah dan Perempuan.

Sementara itu M.Nasir dan Zarina turut dijemput berpadu suara bersama Mawi melalui lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Cinta Di Hujung Rindu.

2 ulasan:

azyze gomez berkata...

hmm...
masalahnya agak sukar membayangkan Mawi mempamerkan watak 'takut-takut''. Kalau watak lawak stereotaip bolehlah.


entahlah. Kalau sifu rasa dia boleh, bolehlah tu, Jangan buat filem pasal Mawi tu boleh kaut untung sudahlah.

Tanpa Nama berkata...

Rasanya tak ada masalah kalau si Mawi tu nak belakun tanpa menyentuh perempuan. Kalau tak silap dalam cerita indon "Kiamat sudah dekat" pun pelakonnya tak de berpeluk sakan mcm citer "Sepet". Ceritanya tetap memberi kesan di hati penonton. Yang penting jalan ceritanya menarik.

Kalau nak kata tak nak untung, tak logik la, siapa buat filem nak rugi beb! Kalau tak fikir untung baik ambik aku jadi pelakonnya. FOC. hahahhahah