Jumaat, Mei 05, 2006

Ramli, Nasir penerima pertama Anugerah Ikon

petikan Berita Harian 5 Mei 2006
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


PERJUANGAN seni artis tempatan kini bukan saja dihargai di kalangan orang dalam industri. Malah bakat yang mereka curahkan selama berpuluh-puluh tahun bergelumang dalam industri ini turut diintai syarikat persendirian.

ASA Asia Group Sdn Bhd memulakan langkah pertama dengan penganjuran Ikon Unplugged Dinner Show malam ini yang turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan Yayasan Kebajikan Negara.

Majlis yang pertama kali dianjurkan itu memilih dua penyanyi lelaki yang memiliki nama besar dalam industri seni suara iaitu penyanyi yang terkenal dengan gelaran Papa Rock, Ramli Sarip dan sifu M Nasir. Selain nama kedua-duanya yang cukup dikenali, pemilihan mereka lebih 20 tahun dalam industri ini turut dinilai atau diambil kira.

Penganjur, Raja Mazian Raja Idris berkata, objektif penganjuran majlis makan malam itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada artis yang banyak menyumbang kepada kemajuan industri muzik tanah air serta berbakti kepada masyarakat dan negara menerusi bidang mereka dan yang masih bergiat aktif.

“Anugerah Ikon ini tidak hanya terhad kepada artis saja. Bagi peringkat permulaan ini kami memilih artis dulu. Anugerah ini juga akan diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama negara.

“Selain objektif untuk memberi pengiktirafan kepada mereka, kami juga mahu masyarakat terutamanya remaja melihat kejayaan yang ikon ini kecapi sebagai peniup semangat untuk diri mereka. Pada majlis itu nanti Ramli Sarip dan M Nasir akan menghiburkan tetamu yang hadir dengan dendangan lagu mereka.

“Kami juga akan menjemput pelukis yang akan melakarkan potret Ikon ketika sedang membuat persembahan. Potret itu nanti akan dilelong dan hasil kutipan akan didermakan kepada Yayasan Kebajikan Negara,” katanya.

Bagi tidak menimbulkan sebarang pertikaian, Raja Mazian menambah mereka mempunyai panel profesional yang memilih ikon ini. Ia bukanlah pemilihan yang dibuat atas dasar tangkap muat saja. Jelasnya lagi, 30 peratus daripada jualan meja juga akan didermakan kepada Yayasan Kebajikan Negara.

Sementara itu Ramli Sarip yang sudah membabitkan diri dalam dunia hiburan selama 35 tahun tidak pernah terfikir untuk menjadi ikon. Baginya gelaran tidak membawa sebarang maksud atau perubahan besar kepada dirinya kerana ia adalah pandangan yang diberikan masyarakat ke atas dirinya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ikon. Malah di pertengahan perjalanan seni saya rasa sesuatu akan berlaku, perasaan untuk meneruskan kerjaya seni bagi saya sudah satu pencapaian. Saya cuma berharap mudah-mudahan kriteria yang dicari tepat kerana perkataan ikon atau diva sudah terlalu banyak digunakan.

“Bagi saya gelaran yang diberikan itu sebenarnya adalah tekanan yang berterusan. Kalau mahu bergelar penyanyi yang baik kita seharusnya mempelajari semua selok belok seni sama ada dari sudut penerbitan, penciptaan lagu, susunan lagu dan sebagainya. Ini adalah satu perjalanan yang saya tidak mahu fikirkan cuma saya berharap ada pelapis untuk meneruskan perjuangan seni kami,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan gelaran sifu M Nasir pula berasa kekok dengan gelaran ikon namun jauh di sudut hati dia gembira apabila pihak ASA Asia Group Sdn Bhd memilihnya sebagai ikon pertama mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana boleh sampai ke sini, tapi masa mula-mula hendak berkecimpung dalam bidang ini saya memakai satu perkataan iaitu minat dari sudut jiwa dan raga.

“Maksud ikon itu berdasarkan pengetahuan saya ialah lambang kepada sesuatu wakil atau lambang kepada sesuatu yang berpengaruh. Benda ini ada kena mengena dengan takdir, perjalanan sebagai seorang pelakon atau penyanyi itu umpama roda yang mempunyai naik turun tapi kalau kita tinggalkan kesan kerohanian kepada masyarakat ia akan kekal lama,” katanya.

Selain Ramli Sarip dan M Nasir majlis makan malam Ikon Unplugged akan diserikan dengan persembahan bintang realiti Jaclyn Victor. Meja dijual pada harga RM3,850 dan RM2,750. Untuk tempahan meja hubungi talian 03-40248220 atau 03-21486688 atau layari www.ticket2u.biz

2 ulasan:

Iron Board berkata...

another penghormatan buat M.Nasir...u deserve it man...!
Tahniah kat Ramli Sarip and all the best for AF4!

Saudagar Mimpi ... berkata...

Yup! Tahniah buat M Nasir & Ramli Sarip. Tak sangka pulak dua-dua ikon yang karyanya aku minati kini sudah bergelar Pengetua AF :-)