Ahad, April 09, 2006

Jati diri seniman dalam Ehwal Semasa (RTM1)

petikan Mingguan Malaysia 9 April 2006

Program Ehwal Semasa di RTM 1 malam ini akan dijangka hangat apabila membincangkan mengenai tiga ikon seniman negara ini : Allahyarham P.Ramlee, Allahyarham Sudirman dan M.Nasir.

Ketiga-tiga seniman ini bukan sahaja ikon populariti pada era masing-masing malah menjulang jati diri sebagai teras pengkaryaan. Jati diri dalam konteks ini bukan hanya Melayu malah mewakili pemikiran dan idealisme Malaysia.

Program bertajuk Siapa Lebih hebat? (P.Ramlee, Sudirman dan M.Nasir.) ini disiarkan secara langsung dari Angkasapuri. Sumbangan golongan seniman sering kali diketepikan padahal mereka mempunyai pengaruh untuk membentuk aliran pemikiran khalayaknya.

Menurut sumber, sekalipun perbincangan mengenai jati diri yang sewajarnya bagi seniman Malaysia, ahli-ahli panel juga mempunyai persepsi masing-masing terhadap ketiga-tiga ikon tersebut.

Generasi baru misalnya selalu menganggap karya-karya P.Ramlee sama ada filem atau lagu-lagunya hanya sekadar nostalgia. Tetapi karya-karya itu tidak mencapai tahap karya agung setaraf dengan sanjungan terhadap P.Ramlee.

Malah ada juga pihak yang mendakwa, dalam lakonan, Nordin Ahmad jauh lebih berkarisma, dalam pengarahan filem M.Amin dan Hussein Hanif lebih cemerlang. Lalu di mana P.Ramlee.

Ada pihak tidak mengiktiraf P. Ramlee sebagai ikon seniman hebat negara. Ada pula yang berkata P. Ramlee hanya menyambung gaya pengarahan pengarah dari India. Tengok filem P. Ramlee mesti ada tarian dan nyanyian macam filem India. Benarkah?

Sesetengah pihak pula menganggap Sudirman hanya penghibur bukan seniman. Ini kerana Sudirman bukan pencipta lagu atau penulis lirik. Sudirman hanya menyanyi.

Tanya mereka di mana jati diri Sudirman sebagai seniman di Malaysia? Tambahan pula Sudirman memilih aliran pop dan bukan lagu-lagu macam nyanyian Siti Norhaliza yang berteraskan lagu tradisional.

Sementara M. Nasir pula dilihat lebih keterampilan muzik-muzik ciptaannya. Selepas era kegemilangan rock rock menerusi lagu nyanyian Wings dan Search, M.Nasir menemui jati diri dalam ciptaannya.

Ada orang menganggap M. Nasir lebih berjati diri daripada P Ramlee kerana mempergayakan irama-irama tradisional seperti keroncong, ghazal dan inang menjadi muzik pop.

Peminat P Ramlee pasti membantah. Mana boleh M. Nasir mengatasi P. Ramlee. Malam ini peminat-peminat boleh membuat panggilan secara langsung kepada moderator dan ahli panel di studio.

Tetapi ahli-ahli panel nampaknya tidak berkompromi antara satu dengan yang lain. Mereka terdiri daripada penulis lirik dan produser filem Habsah Hassan, pencipta lagu dan penyanyi Kopratasa, Siso dan Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain. Moderator adalah Rosyam Nor.

Walaupun ada pertentangan pendapat tetapi program Ehwal Semasa malam ini cuba menyingkap bagaimana seharusnya menjadi seniman yang membawa jati diri Malaysia.

Dalam ledakan seni pop yang bercita rasa rendah, karya-karya seni yang bernilai tinggi oleh seniman yang berjiwa besar sangat diperlukan.

Saudagar mimpi : Buat peminat sifu jangan lupa menyaksikan forum ini.

Tiada ulasan: