Sabtu, April 15, 2006

Dialog Seni: Meneroka dunia sufi di tangan Loloq

petikan Berita Harian 15 April 2006
Oleh Nazmi Yaakub

PROFIL

Rosli Khamis
Nama samaran: Loloq
Tarikh lahir: 21 Mei 1957
Tempat lahir: Singapura
Pengalaman: Menulis lebih 700 lirik lagu
Anugerah: Hadiah Galakan Penulis Lirik Anugerah Citra Wangs Malaysia Sektor Swasta Ke-8, Anugerah Penulis Lirik Terunggul Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (M) Berhad (MACP) dan Anugerah Khas Pencapaian Anugerah Planet Muzik (APM) 2006

BAGAIMANAKAH dunia penulisan lirik Loloq bermula?
Saya bermula dengan gerak hati selain mengenali M Nasir. Saya menulis secara profesional sejak berusia 27 tahun. Saya mencari makan, berkahwin dan mempunyai anak dengan hasil penulisan. Saya tidak pernah menjalani pendidikan secara formal dalam bidang ini tetapi mengutip pengalaman daripada penulis seperti Zainal Rashid Ahmad dan Zaen Kasturi, Noor Azam dan Ku Seman Ku Hussein. Pengalaman mereka ini saya kutip tanpa disedari ketika bergaul dengan mereka di Pasar Budaya.

Mengapakah memilih lirik lagu sebagai kerjaya?
Saya melihat kita sudah mempunyai ramai penyair yang hebat seperti Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang dan SN Datuk (Dr) A Samad Said. Saya memilih untuk berjuang di medan penulisan lirik lagu kerana umum memandang remeh bidang ini. Bagaimanapun, penulisan lirik kini sudah menonjol, bahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengangkatnya dengan menyediakan anugerah. Tahun lepas, lirik lagu ciptaan saya, ‘Cahaya Gelita’, memenangi Hadiah Galakan Penulis Lirik DBP.

Mengapakah Loloq cenderung menghasilkan lagu berunsur puitis?
Sebenarnya, saya bukan sengaja menghasilkan lirik lagu secara puitis. Ia didorong kehendak lagu itu sendiri. Saya akui, apabila lirik baik, teratur dan indah, maka sifat puitis itu timbul. Antara lagu saya yang sekiranya dikeluarkan muziknya menjadi puisi ialah ‘Keroncong Nostradamus’ dan ‘Apokalips’ manakala antara terbaru, ‘Awan Yang Terpilu’. Skop istilah lagu puisi perlu dibesarkan. Kita tidak menganggap lagu bernada rancak sebagai lagu puisi. Apakah lagu puisi perlu sedih dan melankolik?

Siapakah yang perlu memperbetulkan silap tanggapan itu?
Tugas sasterawan memperbetulkannya. Saya orang pertama yang berpandangan lirik lagu bukan puisi. Ini disebabkan Usman merangkumkan penulisan seperti lirik lagu, ghazal dan gurindam sebagai puisi. Saya pertikaikan tanggapan itu kerana lirik lagu ada disiplin tersendiri. Bagaimanapun, sekarang lirik lagu sudah terpisah daripada puisi. Sebahagian penulis mengangkat puisi untuk dijadikan lagu puisi. Soalnya, apakah lagu dari dunia pop tidak boleh dianggap lagu puisi?

Apakah tanggapan itu berpunca daripada penulis lirik?
Dulu, penulis lirik berasa kerja mereka tidak penting sehingga mereka dipinggirkan. Memang ada penulis lirik yang serius seperti Habsah Hassan dan S Amin Sahab tetapi mereka tak menonjol sebagai penulis lirik lagu yang puitis. Kita wajar mempopularkan penulis lirik kerana kerja mereka sebenarnya susah.

Bagaimanakah unsur kesufian dalam lirik lagu Loloq terjadi?
Hal itu bukan disengajakan dan saya tidak terfikir membuat lagu sufi. Bagaimanapun, sekiranya kita ada fahaman sufi, hasil karya kita pasti akan mengandungi unsur kesufian. Memang ada kaedah ilmu dalam sufi tetapi ia bergantung kepada sejauh mana perkara itu meresap dalam diri. Hiburan tidak semestinya mengajar tetapi apabila penulis lirik berilmu, kita menghibur secara berilmu. Sekiranya kita mahu menghasilkan karya sebegitu, kita perlu ada disiplin tinggi. Maka, kita akan menghiburkan manusia sama ada berbentuk ringan atau hiburan berakal.

Apakah antara lagu Loloq yang Loloq sifatkan ada unsur kesufian?
Banyak dan antaranya ‘Nur Nilam Sari’, ‘Kasih Latifah’ dan ‘Aladin’. Malahan, ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’. yang dinyanyikan secara duet antara Mawi dengan M Nasir, turut terselit unsur sufi. Sufi dalam karya ibarat sari pada bunga.

Apakah Lolog pernah mendekatkan diri dengan dunia kesufian?
Minat saya pada karya sufi sudah lama seperti karya Umar Khayam dan Amir Hamzah. Saya sudah membaca karya Khalil Gibran dan Ibnu Arabi sejak 20 hingga 30 tahun lalu. Kita tidak dapat menyembunyikan diri dalam dunia penulisan. Penulisan mendedahkan diri kita sehingga boleh dibaca orang lain. Kita tidak boleh menipu dengan mengaku sufi tetapi karya kita hancur berderai.

Bagaimanakah kedudukan penulis lirik sekarang?
Secara peribadi saya sudah mendapat pengiktirafan. Malah, A Samad sendiri pernah memberitahu beliau mengintai-intai lirik lagu saya seperti saya mengintai-intai karya beliau. Secara umum, penulis lirik lagu ibarat manusia asing dalam bidangnya kerana masyarakat menganggap kehadiran mereka tidak penting. Umum menganggap sesiapa saja boleh menulis lirik lagu, puisi dan sajak sedangkan tidak semua boleh menghasilkan karya bermutu. Ada beberapa profesion yang tidak dihargai dengan betul dan penulis lirik berada pada kedudukan paling buruk.

Tiada ulasan: