Ahad, Mac 26, 2006

M. Nasir catat sejarah

petikan Utusan Malaysia 26 Mac 2006

TIDAK dapat dipastikan adakah selama ini terlepas pandang atau tuan yang empunya diri tidak sudi.

Hakikatnya penyanyi yang digelar sifu, M. Nasir memang tidak pernah mendapat tawaran untuk membuat persembahan menghiburkan para setiausaha sebelum ini.

Selama hayatnya berpuluh tahun dalam dunia seni, tahun ini mencatat sejarah bila buat pertama kalinya M. Nasir ke pentas Minggu Setiausaha.

Minggu Setiausaha kebiasaannya menjadi lubuk artis buat duit kerana keghairahan penganjur melaksanakan pelbagai acara hiburan dengan mengundang artis-artis hebat dan ternama.

“Tak pernah buat, ini yang pertamalah ni,” kata penyanyi yang masih menjadi kegilaan muda-mudi itu. M. Nasir akan muncul di Dewan Perdana Felda pada 18 April ini pukul 12 tengah hari.

Kata Nasir melalui acara ini dia berusaha untuk membuktikan bahawa dia adalah penghibur sejati.

Jika sebelum ini eksklusivitinya hanya untuk konsert dan persembahan makan malam, tahun 2006 membawa pengalaman baru kepadanya.

Sudah pasti tidak ketinggalan lagu-lagu hitnya seperti Keroncong Untuk Ana, Kepadamu Kekasih, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Mantera Semerah Padi dan Gerhana menjadi hidangan pada majlis istimewa itu.

Dia juga akan berduet menyanyikan lagu Dua Insan dengan Jaclyn Victor dalam acara dua jam ini. Bagi Jac pula kesempatan muncul buat pertama kali pada persembahan sebegini membuatkan dia ketakutan sendiri.

Tambahan pula bila diminta berduet dengan penyanyi hebat macam M. Nasir.

“Tetapi yang pasti ini adalah pengalaman indah,” kata Jac. Ini juga adalah pertemuan pertama Jac dengan M. Nasir semenjak aktif menyanyi.

Jac juga akan menyampaikan lagu popularnya seperti Gemilang, Wajah, Di Bawah Pohon Asmara dan Tunggu Sekejap. Mereka akan diiringi oleh enam pemuzik handalan yang akan diketuai oleh Ramli M.S.

Bayaran untuk menyaksikan persembahan ini ialah RM2,200 satu meja (RM220 seorang) dan RM2,000.

Mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Mahir Entertainment & Production di talian 03-20923261 atau 03-26988302.

1 ulasan:

ontahsapo berkata...

any discount or less?