Ahad, Jun 19, 2005

Terima kasih M. Nasir...

petikan Utusan Malaysia 19 Jun 2005

KECOH satu Malaysia apabila `sifu' buat statement berani bahawa Mawi adalah pelajar yang sepatutnya disingkirkan pada konsert minggu kedua yang lalu, bukan Eliza.

Bila ada isu hangat seperti biasa, kami di Pancaindera juga terkena tempiasnya. Bertalu-talu meja kami menerima panggilan telefon pembaca dan peminat setia AF yang tak puas hati dengan komen-komen yang diberikan oleh M. Nasir. Ada emak-emak orang, bapa-bapa orang, nenek dan datuk-datuk pun ada. Macam-macam ada!

Rata-ratanya tidak berpuas hati dengan komen pedas yang diberikan M. Nasir selepas konsert AF3 kedua minggu lalu. Yang siap dengan maki hamun pun ada. Terkejut sungguh! Gara-gara si jejaka Mawi, nampaknya banyak orang mula hilang kawalan.

Relakslah beb! Bagi kami pula, eloklah kalau sesekali M. Nasir terlepas. Bahasa-bahasa orang yang tidak hipokrit macam M. Nasir perlu untuk orang kita. Supaya masyarakat tahu menilai mana satu kaca, mana satu intan, mana satu berlian.

Rasa-rasanya M. Nasir tak pernah takut kepada segala kata kutukan dan cacian dalam menyatakan kebenaran. Itu namanya telus. Takkan pelajar yang nyanyi sumbang, lupa lirik dan menggeletar di pentas hendak dipuji bagai nak `rak' sebab hendak jaga undian. Tak adil untuk pelajar lain pula. Hendak jadi pengetua yang adil, M. Nasir kena jujur dan tidak berselindung. Walaupun pahit untuk ditelan, atas nama kebenaran kena cakap jugalah. Dah tak bagus, kenalah cakap tak bagus.

Kami pun hairan bila M. Nasir pun dikutuk dan disindir hanya kerana `sepatah' kata jujur yang diucapkannya. Berfikirlah aduhai rakyat Malaysia, setelah berkenalan dengan Mawi yang baru sebulan dalam dunia hiburan, dengan mudah kita melupakan jasa-jasa `sifu' kepada industri ini? Kami pun suka melihat orang baik macam Mawi masuk AF, tetapi biarlah berpada-pada minatnya.

Lagi satu, kalau M. Nasir hendak bercakap `aku' dengan pelajar-pelajar, apa masalahnya? Bukankah lebih mesra, lebih dekat dan rapat dengan penggunaan `aku' sebagai ganti nama? Itu pun hendak jadi masalah ke? Peninglah.

Kepada `sifu' teruskan perjuangan anda. Rancangan realiti televisyen perlu melahirkan penyanyi yang tulen dan berkarisma untuk membantu industri hiburan yang semakin nazak.

Kami percaya kualiti rancangan realiti televisyen pada masa depan akan semakin hebat di pandangan semua pihak, apabila ia dikendalikan oleh orang hebat macam M. Nasir.

Tiada ulasan: