Isnin, Mei 16, 2005

M.Nasir - Pencipta Terunggul kali ke-5 MACP

Oleh WANDA IDRIS
petikan Utusan Malaysia

M. NASIR terus mengungguli kategori Pencipta Terunggul pada Malam Anugerah MACP 2005 yang diadakan di sebuah hotel di pinggir ibu kota malam minggu lalu.

Kejayaan M. Nasir itu adalah berikutan banyak lagu-lagu popular ciptaannya masih terus diperdengarkan dan dirakam semula oleh industri muzik tempatan.

Malah tahun ini merupakan tahun kelima komposer itu mengungguli anugerah tersebut sejak ia diperkenalkan sembilan tahun lalu.

Sebelum ini M. Nasir pernah menggondol anugerah yang sama pada 1996, 2000, 2002 dan 2004.

Pada malam anugerah itu juga, lagu ciptaan M. Nasir iaitu Sandarkan Pada Kenangan yang didendangkan kembali oleh Jamal Abdillah dan Siti Sarah (lagu asal oleh Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud) turut diumumkan sebagai Lagu Melayu Persembahan Terbanyak.

Sementara itu penggubah lagu terkenal tempatan, Fauzi Marzuki telah dianugerahkan Anugerah Nadi Cipta atas sumbangan besarnya dalam bidang penggubahan lagu.

Antara lagu-lagu yang pernah dihasilkannya dan sehingga kini terus diminati ialah Antara Yang Manis dendangan Anita Sarawak, Teringin (Shima), Legenda (Sheila Majid), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Ke Sayup Bintang (Ning Baizura).

Dia yang menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai satu semangat untuknya terus berkarya berharap, para karyawan negara ini akan terus meningkatkan kualiti muzik tanah air supaya dapat bersaing di peringkat global.

`Cikgu'

Fauzi turut berterima kasih kepada beberapa nama yang disifatkannya sebagai `cikgu' yang membimbingnya untuk mencapai ke tahap yang dikecapi hari ini.

``Selain keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepada pembabitan saya dalam bidang ini, saya tidak lupa berterima kasih kepada `cikgu-cikgu' saya seperti mendiang Mike Bernie, Frankie Cheah dan Kassim Masdor kerana percaya dengan bakat saya.

Joe Flizzow pula dianugerahkan Pencipta Muda Berpotensi, satu

anugerah yang diberikan kepada pencipta berumur 25 tahun dan ke bawah.

Penerima anugerah tersebut serta Anugerah Nadi Cipta dipilih oleh Jawatankuasa Tabung Kemajuan Muzik MACP (MDF).

Manakala Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis pula diangkat sebagai Penulis Lirik Terunggul buat kali kedua berturut-turut. Dia memenangi anugerah yang sama tahun lepas.

Malam Anugerah MACP (Music Authors' Copyright Protection) merupakan acara tahunan yang memberikan pelbagai pengiktirafan dan penghargaan kepada ahli-ahlinya yang telah menempa kejayaan dalam karier penciptaan serta sumbangan kepada industri muzik keseluruhannya.

Malam anugerah itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Seri Dr. Arshad Hashim.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden MACP, Habsah Hassan.

Turut hadir pada malam itu ialah penulis lirik veteran, Yusnor Ef dari Singapura. Beliau telah menghasilkan lebih 350 buah lirik lagu sejak zaman Tan Sri P. Ramlee antaranya lagu Senjakala, Lanang Pulang Tak Jadi, Nilai Cinta dan Gelisah yang dipopularkan oleh Ahmad Jais.

Artis-artis yang mengadakan persembahan pada malam yang diacarakan oleh Bob Lokman itu ialah Spider, Ziana Zain, Kumpulan VE, Jaclyn Victor, Misha Omar dan Shima.

Senarai para penerima Anugerah MACP 2005

- Nadi Cipta - Fauzi Marzuki

- Pencipta Terunggul - M. Nasir

- Penulis Lirik Terunggul - Loloq

- Penerbit Terunggul - EMI Music Publishing Malaysia Sdn. Bhd.

- Penerbit Tempatan Terunggul - Suwah Music Publishing Sdn. Bhd.

- Lagu Dengan Pendapatan Luar Negara Tertinggi - Qing Fei De Yi (Harlem Yu) ciptaan Theng Siaw Hang & Chong Keat Siong

Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak - Dilemma (Nelly & Kelly Rowland) ciptaan Antoine L Macon, Cornell Haynes, Kenneth Gamble & Walter B Sigler

- Lagu Melayu Persembahan Terbanyak - Sandarkan Pada Kenangan (Jamal Abdillah & Siti Sarah) ciptaan M. Nasir

- Lagu Cina Persembahan Terbanyak - Jue Bu Neng Shi Qu Ni (F4) ciptaan Theng Siaw Hang & Lee Cheuk Hung

- Lagu Inggeris Tempatan Persembahan Terbanyak - Jezzebelle (Too Phat) ciptaan Zushahron Dina, Ahmad Izham Omar, Cairel Adrin Ibrahim & Johan Ishak.

- Pencipta Muda Berpotensi - Joe Flizzow

Tiada ulasan: