Ahad, April 24, 2005

Spider belum bebas

petikan Utusan Malaysia 24 April 2005

Ada yang membawa khabar kononnya kumpulan super popular Spider sudah dilepaskan oleh syarikat Luncai Emas. Ini bermakna kumpulan popular itu tidak lagi bernaung di bawah syarikat milik M. Nasir yang sebelum ini bertanggungjawab menaikkan nama Spider dan memberi peluang kepada mereka berkarya.

Khabarnya surat pelepasan Spider sudah diberikan kepada anggota kumpulan berkenaan minggu lalu.

Berita baru ini tentunya mengundang pertanyaan di kalangan peminat kedua-dua nama besar ini. Kenapa dan mengapa? Bertemu dengan M. Nasir baru-baru ini terungkailah misteri sebenar di sebalik kisah berkenaan.

``Siapa bagi tau ni? Mana dapat cerita ni?'' tanya M. Nasir dengan wajah penuh tanda tanya.

Seperti biasa, M. Nasir akan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada bercakap soal yang tidak disukainya. Tetapi sudah dasar wartawan, kami tak mengalah dan sempat mengajukan beberapa soalan lain yang akhirnya membuatkan dia dengan susah payah membuka mulut, bercerita. Itu pun sikit saja yang berjaya dikorek minggu ini. Tak apa, minggu lain kita tanya lagi.

``Spider masih artis Luncai Emas,'' katanya pendek dengan wajah kurang selesa.

Kata M. Nasir lagi, dia tak boleh ulas panjang mengenai isu terbaru ini sebab tak mahu menimbulkan banyak lagi masalah.

``Tetapi buat masa sekarang tidak benar Spider sudah keluar daripada syarikat saya. Tunggu sajalah beberapa minggu lagi, keputusannya akan saya beritahu.''

Mengenai kenyataan M. Nasir membebaskan Spider dengan rela hati walaupun masih terdapat ikatan kontrak untuk satu album lagi, M. Nasir mengulas, ``Tak betul tu. Siapa kata satu album? Spider ada tiga album lagi dengan Luncai Emas. Adilkah kalau mereka keluar?'' tanyanya membiarkan kami memberi jawapan sendiri.

Mungkinkah benar ada krisis besar yang sedang berlaku antara sifu kita ini dengan anak didiknya itu?

Nampaknya macam tulah, tetapi kalau tanya mereka, sendiri mahu ingatlah. Takkan ada jawapannya. Apa pun halnya, kami anggap isu itu ialah masalah dalaman antara mereka. Sama-samalah menimbang antara satu sama lain, supaya tidak ada pihak yang kerugian. Tidak ada pihak yang berasa mereka ditindas dan dipinggirkan. Yalah, kadang-kadang bila nama sudah di puncak, banyak antara kita yang kabur pandangan mata.

Melihat dunia yang luas terbentang di depan mata dan langit membiru semuanya indah belaka. Hinggakan ada kalanya kita terlupa kepada rumput di bumi. Hendaknya masing-masing berbincang dengan waras.

Sesungguhnya gandingan antara M. Nasir dan Spider sebelum ini telah membuahkan sesuatu yang hebat dan pembaharuan kepada industri. Jangan ada mana-mana pihak yang mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran kosong di depan mata, kelak boleh membawa musibah untuk diri dan kerjaya sendiri.

Ingat-ingatlah pepatah lama, ``dengar guruh di langit, air di tempayan usah dicurahkan''. Tak faham-faham juga lagi? Satu lagi pepatah yang lebih kurang sama maksud dan nadanya kami berikan - ``burung terbang usah dipipiskan lada''.

Tiada ulasan: