Selasa, Ogos 03, 2004

Roll Camera, Action!: Angin perubahan PGL

petikan Berita Minggu 03 August 2004

SATU sejarah baru terukir dalam dunia perfileman tempatan apabila filem Puteri Gunung Ledang (PGL) dibuat dengan bajet melebihi RM10 juta. Kelebihan yang mencatat sejarah baru itu ialah kos pembuatannya yang tinggi. Belum pernah ada sebuah filem tempatan yang dikeluarkan dengan belanja pembuatan setinggi PGL.

Tiara Jacquelina

Saya sebenarnya tidak mendapat maklumat tepat mengenai kos sebenar PGL. Ketika mula-mula dirancangkan filem itu dikatakan bakal menelan belanja RM8 juta. Semasa proses penggambaran berjalan belanjanya dikatakan meningkat sampai RM10 juta. Khabar terakhir yang saya dengar kosnya telah mencecah RM15 juta.

Membuat filem tempatan dengan kos setinggi PGL bukanlah menjadi kesalahan. Seperti juga membuat filem dengan modal sekitar setengah juta ringgit bukanlah boleh diperlekehkan. Dalam konteks pembuatan filem besar atau kecil biayanya bukanlah persoalan pokok dalam kaitan mutunya. Segala-galanya berpusat kepada isi dan kandungan filem itu yang akhirnya bertujuan untuk dijual kepada khalayak.

Pada saya jelas sekali PGL mahu membawa filem tempatan ke satu dimensi baru. Ia mahu menjengah dunia dengan mutu yang membanggakan. Kerana itu PGL memerlukan satu jumlah bajet yang tinggi untuk melahirkan satu mutu estetika yang mencapai tahap global.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada syarikat Enfiniti Productions Sdn Bhd yang membuat percubaan berani dari segi kos pembuatan itu. Tujuannya pastilah untuk melahirkan filem yang tinggi mutu seninya dan pasti pula memerlukan belanja besar. Apakah PGL berjaya dari segi mencapai mutu seni yang tinggi itu? Saya tidak boleh memperkatakan mengenai perkara itu kerana saya sendiri belum menonton PGL yang bakal ditayangkan kepada orang ramai mulai 31 Ogos ini. Apa pun biarlah penonton yang mengadili lebih-lebih lagi seni filem adalah sesuatu yang amat subjektif sifatnya.
Saya percaya harapan peminat filem tempatan terhadap PGL amatlah tinggi.

Harapan tinggi itu lahir daripada kesanggupan produsernya, Tiara Jacquelina yang berani mengeluarkan modal yang amat besar untuk sebuah filem tempatan. Saya yakin Tiara juga sudah pastinya mahu membawa filem ini ke peringkat antarabangsa. Setidak-tidaknya kejayaan yang akan diraih oleh PGL ialah melalui festival filem antarabangsa selain festival filem tempatan.

Pada peringkat global memang banyak festival filem yang bertahap tinggi dan diakui standardnya. PGL pastinya akan menjelajah ke segenap sudut dunia yang menganjurkan festival bagi mendapat pengiktirafan dunia. Festival Filem Asia Pasifik ke-49 yang bakal berlangsung di Fukuoka, Jepun pada bulan September ini mungkin menjadi gelanggang pertama.

Pengarah U-Wei Shaari pernah menempatkan nama Malaysia di pesta filem dunia apabila filemnya Kaki Bakar mendapat pengiktirafan di Festival Filem Cannes beberapa tahun lalu. Tetapi Kaki Bakar ialah filem berbajet kecil yang bergantung kekuatan kepada kebesaran idea dan daya kreativiti pengarahnya. Apakah PGL juga mampu ke Festival Filem Cannes?

Pengarah PGL ialah Saw Teong Hin yang agak asing namanya di kalangan peminat filem Melayu. Tetapi nama itu cukup terkenal di kalangan pembuat filem iklan atau komersial. Banyak hasil kerjanya di bidang pengarahan filem iklan mencapai tahap tinggi dan boleh dibanggakan.

Pada saya memang wajar peluang diberikan kepada Saw Teong Hin untuk mencuba kebolehannya mengarah filem cereka seperti PGL. Kita boleh mengharapkan idea baru daripada pengarah muda ini. Lebih-lebih lagi dia dibekalkan dengan sejumlah modal yang belum pernah diberikan kepada mana-mana pengarah tempatan lain sebelum ini.

Dalam pada menggantungkan harapan tinggi kepada PGL yang diharap lahir sebagai sebuah filem super dalam konteks dunia perfileman tempatan, ramai juga yang bertanya dapatkah dikutip kembali modal besar yang telah dilaburkan? Kalau mengharapkan kepada pasaran tempatan semata-mata amatlah mustahil. Dengan kos yang melebihi RM10 juta PGL mesti mengutip sekurang-kurangnya RM20 juta untuk balik modal. Harus diingat jumlah penonton kita amat terbatas.

Filem Sembilu 2 yang diterbitkan pada tahun 1995 masih lagi memegang rekod kutipan filem Melayu yang paling tinggi sebanyak RM6.4 juta. Rekod kutipan tertinggi bagi filem import pula ialah filem Titanic yang telah membuat kutipan RM11 juta semasa ditayangkan di negara kita.

Tetapi saya difahamkan PGL bukanlah mensasarkan pasaran dalam negara sendiri saja. Usaha akan dibuat untuk pasaran antarabangsa. Indonesia sudah pastilah menjadi target pasarannya kerana tiga orang pelakon besar Indonesia turut berlakon dalam PGL. Mereka ialah Christine Hakim, Slamet Radharjo dan Alex Komang. Sementara antara pelakon tempatan yang menjiwai watak dalam PGL ialah Tiara Jacquelina, M Nasir, Adlin Aman Ramli, Datuk Rahim Razali dan Sabri Yunus.

Pada saya keberanian dan kesanggupan syarikat Enfiniti Productions mengeluarkan modal besar PGL patutlah kita alu-alukan dalam rangka usaha membawa filem kita ke tahap global. Syabas Tiara Jacquelina!

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya cuma kesal satu perkara sahaja dgn PGL... pakaian "tube dress-red leather" Tiara tidak sesuai langsung untuk cerita hikayat sebegini.

pretty berkata...

Phewitttt. sexy kak tiara kita ni.