Sabtu, Januari 03, 2004

Konsert Countdown @ KLCC - Sikap penonton cacatkan suasana.

petikan Utusan Malaysia 3 Januari 2004

Oleh Khadijah Ibrahim


Kecoh... penonton mula berasak ke pentas.

WALAUPUN dalam perutusan tahun baru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru agar rakyat melangkah masuk ke tahun 2004 dengan menyemaikan sifat-sifat murni dalam diri, namun ada juga individu atau kelompok yang tidak ada jati diri.

Senario tersebut dapat dilihat sewaktu konsert Countdown @ KLCC 2004 yang berlangsung di KLCC Park, Kuala Lumpur semalam.

Konsert yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 itu pada awalnya begitu tenang dan penonton juga tampak begitu berdisiplin.

Namun bila waktu semakin dekat dengan detik untuk mengucapkan selamat tinggal tahun 2003, segelintir gelagat penonton yang hampir 16,000 orang membanjiri persekitaran taman tersebut berubah laku. Ada di antara mereka yang seakan lupa matlamat asal kehadiran mereka di taman tersebut.

Penonton yang mulanya begitu sopan menonton persembahan nyanyian beberapa orang artis sebelum itu bagaimanapun bertukar perangai sewaktu Ratu Rock Ella muncul.

Mereka yang sebelumnya tenang, tiba-tiba mula berasak untuk mara ke hadapan pentas. Suasana kecoh itu dicetuskan oleh penonton di bahagian kanan pentas.

Memang tidak salah untuk penonton turut menyanyi atau menari mengikut rentak tapi janganlah sampai `lupa diri' kerana sikap begitu boleh membahayakan orang lain.

Penonton di bahagian kanan pentas bukan setakat menari malah ada juga yang menjulang rakan-rakan mereka. Keadaan menjadi semakin hangat bila M.Nasir muncul dengan mendendangkan lagu Tinggalkan Satu Peluru.

Mungkin kelompok penonton tersebut ingin berlibur dan melepaskan lelah setelah seharian bekerja di tengah panas, namun gelagat mereka yang seolah-olah tidak menghormati penonton lain perlu dipantau.

Gelagat mereka yang semakin lupa diri boleh membahayakan penonton lain yang membawa anak kecil, terpaksa ditenangkan oleh pengacara Bob Lokman dan Linda Onn.

Bila kata-kata nasihat diucapkan penonton di sebelah kanan pentas tenang seketika, kemudian mereka kembali melompat. Untuk menenangkan keadaan terpaksa pasukan FRU tercegat sama.

Biarpun sedikit kekecohan ditimbulkan oleh penonton yang lupa diri, namun penonton yang hadir sejak petang di taman tersebut tetap puas hati dengan persembahan para artis.

Antara artis yang menjayakan konsert tersebut ialah M. Nasir, Ella, Noraniza Idris, Dayang Nurfaizah, Yasin, OAG, Poetic Ammo, Reshmonu, NRG, Pretty Ugly, X-Factor, Senario, Asean Percussion Unit, Cozzie, Isketambola dengan diiringi penari Mas Habaenra.

Dalam menunggu detik kegemilangan itu, penonton berpeluang menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza menerusi lagu Ku Milikmu dan Sebenar Cinta yang disiarkan secara lintas langsung dari Pulau Pangkor.

Tiada ulasan: