Selasa, Disember 30, 2003

M. Nasir - `Kita perlu lakukan perubahan'

petikan Utusan Malaysia 30 Disember 2003

DALAM tempoh sebulan di pasaran album kompilasi M. Nasir yang berjudul M. Nasir Mentera Semerah Padi berjaya dijual sehingga 25,000 ribu unit. Penjualan yang mencanak itu juga berjaya meletakkan album tersebut di tangga teratas pasaran Carta Rim selama dua minggu.

Album yang mengumpulkan lagu-lagu popular M. Nasir sejak era Kembara sehingga kini turut memuatkan lagu duetnya dengan Tam Spider menerusi lagu Mentera Semerah Padi.

Lagu tersebut yang sering kedengaran di corong radio ketika ini telah diubah suai melodinya menjadi sedikit irama rock.

Meskipun ada yang berpendapat lagu dendangan semula bersama Tam Spider itu seolah-olah mencacatkan lagu asal, namun M. Nasir mempunyai pandangan yang berbeza.

``Tidak semua orang suka apa yang kita lakukan. Bagi saya dalam berkarya kita perlu melakukan perubahan dari semasa ke semasa untuk disesuaikan dengan keadaan. Terpulang kepada penerimaan masing-masing. Memang susah untuk memuaskan hati semua pihak,'' kata M. Nasir sewaktu ditemui di majlis penerimaan plak Platinum daripada wakil Warner Music kerana pencapaian jualan album M.Nasir Mentera Semerah Padi di Sunway baru-baru ini.

Dia yang sudah tiga tahun tidak menghasilkan album penuh (terakhir Phoenix Bangkit) berharap album kompilasi ini dapat mengubat rindu peminat terhadap lagu-lagu dendangannya.

Jelas M.Nasir, kesibukan mengendalikan album penyanyi lain di studio menyebabkan dia tidak ada masa untuk mengumpul bahan bagi memenuhi album barunya.

Bagaimanapun, dia tetap akan muncul dengan album baru bila sampai saatnya nanti.

Menyentuh mengenai lakonan pula, M. Nasir menjelaskan selepas selesai filem Puteri Gunung Ledang, dia bercadang untuk menerbitkan filem atas nama syarikatnya sendiri, Luncai Emas Sdn. Bhd.

Pada majlis yang sama juga turut diadakan pertandingan futsal yang disertai oleh 12 pasukan. Pasukan Persatuan Artis Malaysia (PAM) muncul sebagai juara menewaskan TV3. Sementara pasukan Air Asia pula menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, kumpulan yang disertai oleh M. Nasir, iaitu kumpulan Semerah Padi mengalami kegagalan di peringat awal pertandingan futsal itu. Bagaimanapun, kata M. Nasir, pertandingan itu diadakan lebih kepada motif untuk mengeratkan lagi hubungan sesama insan.

Tiada ulasan: