Jumaat, Mac 28, 2003

Babak perang PGL dibuat teliti


BARISAN tentera Pengiran Demak bersiap sedia untuk melancarkan
serangan ke atas Majapahit.

DI sebalik kontroversi serta kekecohan yang menimpa produksi Puteri Gunung Ledang (PGL), penggambaran filem epik terbitan EnfiniTi Productions Sdn Bhd itu tetap diteruskan dengan gigih dan penuh teliti oleh pengarahnya, Saw Teong Hing, bertempat di Institut Haiwan Ayer Itam, Kluang, Johor, hujung minggu lalu.

Di satu lagi lokasi menarik, beberapa babak penting berjaya disempurnakan Teong Hin, antaranya pertemuan rahsia penuh mesra di antara Hang Tuah (M Nasir) dengan Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah (Tiara Jacquelina) serta babak Majapahit diserang pahlawan terkenal, Pengiran Demak.

Bagi babak pertemuan Tuah dan Gusti Puteri Dumilah, pembikinannya dibuat lebih awal iaitu pada 20 Mac lalu selepas semua rombongan produksi berpindah dari lokasi sebelumnya di Gunung Brinchang dan Gunung Jasar, Cameron Highlands.

Hasil daripada latihan berbulan-bulan lamanya yang dibuat sebelum berada di set terbabit, M Nasir dan Tiara nampaknya mampu menghayati babak mereka dengan berkesan. Dalam babak itu juga, Tuah menunjukkan keris saktinya, Taming Sari, kepada Gusti Putri Dumilah.

Dengan gaya penuh yakin laksana seorang serikandi bersama Taming Sari yang menghunus, Tiara membuka bunga langkah dengan pengawasan guru silat, Ariffin Yeop Mahidin.

Jelas terlihat M Nasir mahupun Tiara tidak kekok menunggang kuda kerana sebelum itu mereka sudah menjalani latihan intensif di sebuah kelab kuda di Kuala Lumpur. Segaknya M Nasir beraksi dengan kuda putihnya itu dapat diperhatikan menerusi foto yang tersiar di halaman ini.

Pengarah PGL, Teong Hin, mengakui selama penggambaran berlangsung hingga kini, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu begitu serius menghayati wataknya sebagai Tuah.


M NASIR ketika berlatih sebelum penggambaran bermula.

“Kesungguhan Nasir melakonkan wataknya, tidak kira yang dramatik mahupun lasak, memanglah ketara. Malah ada masanya, Nasir memberikan lebih daripada apa yang kami jangkakan,” kata Teong Hin kepada Persada Seni ketika ditemui di lokasi berkenaan.

Sebagaimana yang dirancangkan, selesai saja babak itu, pembikinan babak yang lebih besar lagi dilangsungkan dua hari kemudian. Ia bukan saja membabitkan pembinaan set dan props yang kreatif tetapi juga pembabitan 300 pelakon tambahan, 50 kuda terlatih serta pelbagai props perang seperti pedang, perisai dan panah.

Penggambaran babak perang pada hari pertama Sabtu lalu menyaksikan tentera berkuda pimpinan Pengiran Demak, melancarkan serangan ke atas sebuah kampung yang didiami kaum peladang. Huru-hara seketika suasana di situ apabila penduduk kampung lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila serangan dibuat secara tiba-tiba pada waktu siang.

Jika hawa di Gunung Brinchang tempoh hari terlalu sejuk, cuaca di ladang indah persis lokasi filem The Braveheart dan perkampungan Hobbits dalam The Lord of The Rings itu pula panas terik.

Ia memang membakar kulit namun semua krew dan pelakon termasuk ramai kanak-kanak tetap bersabar menunggu isyarat action! daripada Teong Hin dan pembantunya. Malah ada waktunya kanak-kanak terbabit diupah dengan gula-gula supaya rasa bosan mereka berkurangan.

Difahamkan, babak itu hanya akan muncul di layar perak kira-kira seminit saja, tetapi bayangkanlah kepayahan mereka yang terpaksa menahan panas di lokasi selama berhari-hari.

Dalam penggambaran terbabit, Persada Seni turut menyaksikan bagaimana pakar stunts tempatan, Eddie Kong, melakonkan babak lagak ngeri apabila badannya dibakar seorang tentera berkuda.

Cemas seketika suasana apabila tekanan air daripada gelung sebuah kereta bomba di situ tiba-tiba tidak begitu kuat apabila hendak memadamkan api yang menjilat tubuh Kong. Namun langkah keselamatan awal yang dibuat dengan menyapu hidro gel (bahan kalis api) di badan Kong, dapat menyelamatkannya daripada tercedera.

Cuma bahagian pinggang Kong mengalami sedikit lecur kerana api terlalu marak menyambar minyak petrol dan kain guni yang membaluti bahagian bawah tubuhnya itu.

“Sudah 10 tahun saya jadi stuntman. Sebelum ini saya pernah berlakon filem Hollywood 50-50, Lagi-Lagi Senario dan beberapa produksi HVD. Cuma sekali saja saya penah cedera teruk apabila terjatuh ke atas bumbung kereta dari jarak yang agak tinggi,” katanya yang memiliki syarikat Stunt Power.

Yang jelas, produksi PGL cuba menonjolkan kepakaran ramai anak tempatan dalam pelbagai bidang demi menyiapkan sebuah karya epik Melayu yang Malaysia boleh banggakan. Kita tunggu saja nanti bagaimana hasilnya apabila PGL siap ditangani dengan teliti oleh semua yang terbabit.

Rabu, Mac 05, 2003

S.M Salim berduet dengan 10 penyanyi

petikan Utusan Malaysia 5 Mac 2003

POPULARITI lagu Pandang Pandang, Jeling Jeling yang didendangkan oleh Tan Sri S.M Salim dan Siti Nurhaliza secara tidak langsung telah membuka mata banyak pihak.

Ini menyebabkan ramai artis yang menyatakan hasrat mereka untuk berduet dengan penyanyi yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Master Muzik (Persembahan) daripada Universiti Putera Malaysia, Serdang baru-baru ini.

Permintaan yang bertalu itu menyebabkan S.M Salim berada dalam keadaan serba salah. Beliau tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.

Sebaliknya jika pihak syarikat rakaman artis tersebut memberi kelonggaran, beliau bersedia untuk bergandingan dengan siapa sahaja.

``Bukan saya sengaja mahu berduet dengan Siti Nurhaliza. Ini berlaku kerana cadangan penyanyi tersebut. Sebelum Siti tidak ada penyanyi yang menyuarakan hasrat mereka untuk berduet dengan saya.

``Alhamdulillah, lagu tersebut meletup pula. Sekarang ini untuk tidak menghampakan pelbagai pihak syarikat rakaman telah mengenal pasti beberapa penyanyi untuk berduet dengan saya,'' katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bergandingan

Untuk projek album duet itu, S.M Salim akan berpadu suara dengan 10 penyanyi popular masa kini. Penyanyi yang akan bergandingan dengannya ialah Ramli Sarip, Zainal Abidin, kumpulan Raihan, Rosiah Chik, Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, kumpulan Ghazal Remaja Tebrau dan M.Nasir.

Menurutnya, kesemua penyanyi yang disenaraikan itu adalah hasil daripada perbincangannya dengan syarikat rakaman. Sementara lagu-lagu yang akan didendangkan kebanyakannya adalah lagu-lagu baru yang menampilkan rentak asli, world music, R & B dan rock.

Projek

Walaupun projek ini merupakan album S.M Salim namun beliau sebagai penyanyi utama terpaksa mengalah kepada artis jemputan.

Sebagai penyanyi yang sudah 57 tahun membabitkan diri dalam bidang seni, beliau terpaksa menyanyi mengikut konsep muzik setiap artis.

``Kalau menyanyi cara Zainal Abidin, saya tidak kisah sebab sebelum ini saya pernah berduet dengannya menerusi lagu Satu. Saya risau apabila berduet dengan M.Nasir.

``Saya sudah mendengar lagu-lagu dia, saya rasa susah. Entahlah mungkin dalam studio nanti dapat ilham,'' katanya.

Setakat ini antara lagu-lagu yang telah siap dirakam ialah Seiris Hati Sedulang Budi bersama Ramli Sarip, Melenggang Mak Inang dengan Rosiah Chik dan Assalamualaikum bersama Raihan.

Lagu Assalamualaikum yang pernah didendangkan oleh Raihan dalam album mereka telah dinyanyikan semula dengan susunan muzik baru.

Sementara lagu Bukit Kepong yang didendang bersama kumpulan Ghazal Remaja Tebrau adalah lagu pilihan S.M Salim sendiri.

``Saya memang minta lagu itu didendang semula, sebab lagu itu penuh makna pada saya.

``Waktu saya berada di Tangkak, saya melihat rakan-rakan saya ditahan komunis dan sewaktu peristiwa Bukit Kepong, saya sendiri melihat apa yang berlaku. Lagu tersebut saya tujukan khas pada rakan-rakan lama saya,'' katanya mengimbas semula sejarah silam.

Album yang diterbitkan oleh Arab, M.Nasir dan ramai lagi itu dijangka akan berada di pasaran Jun ini.