Selasa, Disember 10, 2002

M. Nasir - Ada pengurusan baru

petikan Utusan Malaysia 10 Disember 2002

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

PADA usia yang sudah melebihi angka 40-an, setelah lebih dua dekad berkarya, komposer M. Nasir masih mengharap supaya karyanya didengar dan dihayati oleh masyarakat negara luar.


M.NASIR bersama isteri, Marlia Musa dan anak - anaknya.

Meskipun tahu langkah itu bukan sesuatu yang mudah, Nasir telah mengambil langkah baru di dalam usaha memantapkan lagi perjalanan kariernya.

``Saya mahu ke peringkat antarabangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Nama beliau dalam dunia muzik tempatan cukup hebat dan mengharum. Malah satu hari nanti seniman kelahiran Singapura ini akan menjadi lagenda besar dalam industri hiburan tempatan yang masih ketandusan individu serba boleh sepertinya.

Suami kepada pelakon Marlia Musa ini dilihat sebagai individu terbaik dalam membawa muzik Malaysia khususnya Melayu ke pentas dunia.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat beliau berjaya di peringkat antarabangsa masih tinggal harapan kerana kekangan demi kekangan diterima seniman itu.

Baru kini M. Nasir menyedari bahawa beliau tidak lagi boleh menunggu. Justeru, beliau perlu melakukan sesuatu bagi mencapai iltizam yang dipendam sejak sekian lama.

Dua dekad dalam dunia muzik, beliau akhirnya mengakui akan kepentingan pihak pengurusan yang bijak dan tersusun di dalam memberi impak yang lebih hebat kepada kerjayanya.

Justeru menurut Nasir, beliau memilih untuk melantik syarikat Dragon DDB sebagai pihak yang menguruskan aktiviti seninya selepas ini.

``Ia sesuatu yang baru. Kalau tidak cuba saya tidak akan tahu. Jadi, saya akan mencuba,'' katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran syarikat berkenaan di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Sebelum ini aktiviti seni M. Nasir diuruskan sendiri oleh kakitangan syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas.

Sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa, Warner Music pihak berkenaan juga banyak membantu dalam soal pengurusan beliau.

Menurut Nasir, sebelum ini beliau yakin akan kemampuan diri sendiri untuk bergerak secara aktif, tetapi ternyata masih banyak ruang yang belum diterokai.

``Saya tahu kebolehan aku. Tapi dalam masa yang sama tidak ada salahnya mencuba kekuatan pihak lain. Saya yakin dengan mereka sebagai pembawa agen perubahan,'' kata bapa kepada enam cahaya mata ini.

Beliau baru sahaja menandatangani kontrak selama tiga tahun lagi dengan Beyond DDB setelah tempoh percubaan selama setahun sebelum ini tamat.

Bagaimanapun, M. Nasir menafikan ketidakupayaan syarikat rakaman yang dinaunginya sehingga menyebabkan beliau memilih syarikat lain dalam soal pengurusan.

``Bukan mereka (syarikat rakaman) tidak boleh buat. Saya tahu apa masalah mereka.

``Bukan mudah untuk jual produk kita di luar, sebab itu saya cuba melalui pendekatan lain dengan Beyond DDB,'' katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Beyond DDB, Amin Hussen berkata syarikat berkenaan bersungguh-sungguh dalam membawa nama M. Nasir ke pasaran negara luar.

Melalui kerjasama sebelum ini Beyond DDB sudah membuat perancangan strategik untuk menjayakan hasrat itu.

DDB merupakan anak syarikat kepada syarikat pengiklanan terkemuka, Naga DDB yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia.

``Setakat ini dua syarikat rakaman di dua negara iaitu Jepun dan Dubai sudah berminat,'' katanya.

Sebagai `suara' baru M. Nasir jelas Amin beberapa perbincangan lain juga sedang dilakukan termasuk mengkaji semula perjanjian kontrak komposer itu dengan syarikat rakaman Warner Music.

``Sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan beliau, kami akan melakukan yang terbaik untuk M. Nasir menggapai cita-citanya yang belum tercapai,'' janjinya.