Rabu, Oktober 09, 2002

Anugerah MACP iktiraf karya terlaris

petikan Utusan Malaysia 9 Oktober 2002
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Loloq (kiri) Along dan M. Nasir selepas menerima trofi pada Anugerah MACP di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Pencipta lagu M. Nasir dan penulis lirik Loloq adalah dua karyawan muzik yang paling banyak mendapat bayaran royalti bagi sepanjang tahun lalu.

Ini dibuktikan menerusi Anugerah Pencipta Terunggul yang dimenangi oleh M. Nasir pada Malam Gemilang Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2002 di Kuala Lumpur Sabtu lalu. Loloq pula menerima Anugerah Penulis Lirik Terunggul berdasarkan royalti lagu yang menggunakan lirik beliau.

Anugerah MACP berdasarkan kutipan royalti yang diterima oleh pencipta lagu dan penulis lirik sepanjang tahun lalu. Keunikan anugerah ini ialah bukan berdasarkan populariti atau undian daripada peminat.

Kutipan royalti yang dikendalikan oleh MACP adalah hasil daripada persembahan muzik di stesen stesen TV dan radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.

Pada majlis itu 15 anugerah telah disampaikan khusus untuk menghargai pencipta dan penulis lirik tempatan yang produktif dan karya mereka diterima oleh peminat.

Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis sinonim sebagai penulis lirik untuk lagu-lagu ciptaan M. Nasir antara penulis lirik yang membawa gaya puitis dalam penulisan lirik lagu.

Bakat muda daripada kumpulan Exist, Azhrul Nasir (Along) pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencipta Muda Berpotensi.

Syarikat rakaman EMI Music pula menerima Anugerah Penerbit Terunggul sementara Suwah Music sebagai Penerbit Tempatan Terunggul.

Lagu Pandang Pandang Jeling Jeling nyanyian Tan Sri SM Salim dan Siti Nurhaliza menerima Anugerah Lagu Melayu Persembahan Terbanyak sementara lagu Up Town Girl nyanyian Westlife menerima Anugerah Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak.

Anugerah-anugerah lain yang turut disampaikan ialah Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak (Evening News), Lagu Cina Persembahan Terbanyak (Lu Bian De Ye Hua Bu Yao Cai).

Anugerah Lagu Luar Negara Dengan Pendapatan Tertinggi diberikan kepada pencipta lagu Dui Mian De Nu Hai Kan Guo Lai (Ah Niu).

Anugerah Promoter Terbaik disampaikan kepada Perbadanan Stadium Merdeka sementara Terry Ghani Associates sebagai Syarikat Pengurusan Terbaik.

Selain itu semua stesen radio dan televisyen tempatan turut diberikan penghargaan dalam majlis berkenaan.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tetamu kenamaan Anugerah MACP memuji usaha yang dilakukan oleh karyawan tempatan di dalam menggerakkan industri hiburan tempatan.

Menurut beliau, dengan semangat dan jiwa besar, masalah membabitkan jenayah cetak rompak tidak menjadi penghalang kepada penghasilan karya-karya yang bermutu tinggi.

``Ternyata isu cetak rompak tidak pernah menghalang kreativiti bakat-bakat tempatan dalam dunia seni,'' ujar Muhyiddin.

``Meskipun berhadapan dengan masalah cetak rompak yang tidak pernah selesai, kita masih punya karya yang bermutu dan tinggi nilainya,'' jelas beliau.

Menurut Muhyiddin, kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha untuk membendung jenayah cetak rompak termasuk menimbangkan cadangan supaya mengenakan hukuman sebat kepada pengedar dan peniaga barangan berkenaan.

``Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakannya sedikit masa lagi,'' jelas beliau.

Tiada ulasan: