Sabtu, Ogos 31, 2002

Phoenix Bangkit rai Hari Kebangsaan

petikan Berita Harian 31 Ogos 2002

KONSERT Mini M Nasir - Phoenix Bangkit yang akan diadakan di Laman Puri, Hotel Singgahsana bermula jam 9 malam dijangka memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-45, hari ini.

M Nasir ketika ditemui Persada Seni, baru-baru ini berkata, persembahannya akan berlangsung selama 90 minit, dan kebanyakan lagu yang akan dipersembahkan adalah album terbarunya, Phoenix Bangkit.

“Maklumlah, konsert mini ini pun turut mengabadikan nama Phoenix Bangkit. Mungkin ada satu dua lagu lama saya akan turut dipersembahkan sekadar untuk mengembalikan nostalgia.

“Konsepnya pun sama iaitu bersahaja dan spontaneous yang akan turut membabitkan penyertaan penonton. Kira-kira 13 pemuzik profesional (tidak termasuk penyanyi latar) akan mengiringi persembahan saya pada malam itu,” kata M Nasir.

M Nasir turut menganggap penganjuran konsert itu boleh membantu mempromosikan album berkenaan.

“Jika tidak silap saya, sudah setahun album itu berada di pasaran dan ia masih mendapat sambutan di kalangan orang ramai, khususnya mereka yang meminati karya muzik saya. Jadi, penganjuran konsert mini setidak-tidaknya membantu urusan promosi Phoenix Bangkit.

“Selebihnya, saya mahu menggunakan konsert mini bagi menghiburkan peminat setia, sekali gus memberikan penghargaan kepada mereka yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan dorongan kepada saya, begitu juga hasil kerja seni saya selama ini,” katanya.

Penganjur Konsert Mini M Nasir - Phoenix Bangkit turut menempatkan kaunter khas di Lobi Hotel Singgahsana, Petaling Jaya; Restoran A & W Drive-In, Petaling Jaya dan Restoran A & W Suria-KLCC bagi memudahkan orang ramai mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan istimewa itu.

Orang ramai juga boleh membuat tempahan tiket menerusi talian, 03-7956 2100 dan e-mel, kubhspj@tm.net.my yang disediakan penganjur.

Konsert Mini M Nasir – Phoenix Bangkit dianjurkan oleh Hotel Singgahsana dengan kerjasama beberapa anak syarikat KUB Malaysia termasuk KUBTrus, Canggih dan A & W Malaysia.

Tiada ulasan: