Isnin, April 22, 2002

Apa kata pemenang anugerah

petikan Utusan Malaysia 22 April 2002

RAMAI yang menduga penyanyi Dayang Nurfaizah berupaya memecah tradisi untuk menewaskan Siti Nurhaliza dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (wanita) Anugerah Akademi Industri Muzik Malaysia (AIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam kelmarin.

Bagaimanapun, sangkaan itu meleset kerana Siti tetap unggul sebagai penyanyi wanita terbaik sejak empat tahun berturut-turut pada anugerah itu.

Kali ini, Siti mengulangi kejayaan itu menerusi album Konsert Mega Siti Nurhaliza.

Kata Siti, kemenangannya itu mungkin kerana albumnya berbeza dengan album Dayang (Seandainya Masih Ada Cinta), Ziana Zain (Aku Cintakan Mu) dan Syafinaz (Syyh...).

Ini kerana album tersebut menampilkan persembahan secara langsung sewaktu mengadakan konsert selama dua jam.

``Bukan senang untuk menyanyi secara langsung selama dua jam. Kalau stamina tidak kuat memang semput.

``Lagipun, dalam album itu saya nyanyi pelbagai rentak lagu. Saya menganggap kejayaan ini kerana sokongan yang diberikan oleh peminat selama ini,'' kata Siti Nurhaliza.

Kata Siti, sekiranya tewas sekalipun, dia tidak akan kecewa kerana percaya setiap orang ada kelebihan masing-masing.

Malahan, dia tetap akan memberi sokongan kepada artis yang berjaya.

Sementara itu, penyanyi M. Nasir yang digelar sifu industri muzik itu pula percaya apabila seseorang itu bersemangat untuk membuat kerja baik, maka dia akan menerima kebaikan daripadanya.

Kata M. Nasir dalam menghasilkan karya, setiap penyanyi atau penerbit perlu mencipta lagu yang menepati cita rasa pendengar.

Sekiranya lagu ciptaan tersebut tidak berjaya menarik perhatian ramai, maka si penyanyi atau pencipta dianggap gagal.

``Setiap kali buat lagu untuk album sendiri, saya akan pastikan lagu-lagu saya berbeza daripada lagu yang saya berikan kepada penyanyi lain.

``Saya buat lagu untuk mendekati masyarakat. Sekiranya saya tidak berjaya mendekati masyarakat menerusi seni yang saya cipta, itu tandanya kepincangan pada karya yang dicipta,'' katanya terus terang.

Menyentuh mengenai pemilihannya sebagai penerima anugerah Sri Wirama, M.Nasir yang turut menerima empat anugerah lain itu berharap, pemilihannya itu mendapat persetujuan semua pihak.

Ini kerana sebelum ini kebanyakan penerima terdiri daripada mereka yang telah lama dan veteran berbanding dengan dirinya yang masih lagi muda.

``Saya harap ini bukanlah petanda yang saya akan pencen dalam seni. Saya memang tidak menduga akan dipilih. Pemilihan ini seolah-olah putaran artis kita dalam seniman sudah habis.

``Apa pun saya terharu kerana anugerah ini diberi atas dasar menilai dan menghargai sumbangan seseorang itu terhadap seni.

``Perjalanan seni saya bukanlah semudah yang anda sangka. Untuk mendapat kepercayaan orang terhadap karya kita yang tidak ada nama, bukanlah mudah.

``Bagaimanapun, saya tidak mudah putus asa dan sebaliknya membabitkan diri dalam pelbagai aspek seperti penerbitan, penggubahan dan nyanyian,'' katanya.

M. Nasir juga mengakui untuk bertahan lama dalam bidang seni, seseorang itu perlu menjalin hubungan intim dengan semua pihak.

Sarimah Ibrahim pula memberitahu, kejayaan yang diperolehi menerusi kategori Artis Baru Terbaik membuatkan dirinya berada dalam dilema.

Ini kerana sebelum AIM, Sarimah pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada industri muzik yang baru diceburinya itu kerana sering dikritik.

Bagaimanapun, kejayaan itu mengembalikan semula semangatnya untuk terus bergiat dalam bidang seni suara.

``Dulu ada yang kata tidak suka dengan album saya, tetapi macam mana pula saya boleh menang. Sekarang saya kena fikir balik pasal bersara. Kejayaan ini juga memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan album kedua,'' katanya terus terang.

Bagi Joe Radzwil yang tewas kepada Sarimah mengaku tidak ada perasaan iri hati dan terkilan kerana kekalahannya.

Sebaliknya, Joe yang popular dengan lagu Maria itu berkata, kalah atau menang bukanlah persoalan besar.

``Apa yang penting, pembabitan saya dalam bidang seni suara yang masih muda itu mendapat pengiktirafan daripada para juri.

``Bagi saya apabila nama dicalonkan sudah menandakan satu kejayaan. Kalau tidak menang kali ini, lain kali boleh memang sebab di negara ini banyak anugerah. Apa yang penting, saya ingin mengatur perjalanan seni saya seperti M. Nasir,'' katanya penuh harapan.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah yang menumpang tuah Ajai dan Syed ENV untuk lagu Seandainya Masih Ada Cinta yang dipilih sebagai Lagu Terbaik AIM 2002 itu berharap, kejayaan itu akan memberi lebih semangat kepada dirinya pada masa akan datang.

``Walaupun Dayang tidak menang secara peribadi, tetapi kejayaan Ajai itu sebagai pendorong kepada Dayang,'' katanya.