Rabu, Januari 16, 2002

M. Nasir ubah definisi hiburan

petikan Utusan Malaysia 16 Januari 2002

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Tragedi seorang kanak-kanak Palestin, Mohamad Al Durra yang mati di pangkuan ayahnya selepas ditembak tentera Israel mendapat liputan media yang meluas. Manusia di seluruh dunia pilu dengan tragedi itu kecuali Amerika dan Israel.

Kematian Mohamad memberi ilham kepada M. Nasir untuk memberikan reaksinya menerusi lagu Masirah. Kepada M. Nasir, tragedi itu amat menyentak perasaannya.

Kesannya perasaan yang tercalar oleh tragedi ini dikongsikan bersama penonton dalam konsert Hiburan Minggu Ini (HMI) Ahad lalu. Penerbit HMI ialah Jack Nadarajah yang mampu membaca keperluan bagi konsert M. Nasir.

Lagu Masirah antara yang dimuatkan dalam album M. Nasir Phoenix Bangkit pernah dirakamkan oleh ntv7. Bagaimanapun pada saat akhir lagu itu terpaksa disunting atas arahan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Reaksi M. Nasir terhadap kematian Mohamad tidak sampai kepada penonton ntv7. Apabila lagu seperti Masirah yang diilhamkan dari tragedi pembunuhan seperti ini dibaca daripada sudut yang silap dan dihalang daripada siaran, apa lagi yang boleh kita lakukan untuk membuka minda mereka?

Ternyata tidak semua yang celik mindanya mendepani karya-karya hiburan seperti ini. Tetapi penonton di Auditorium Perdana Angkasapuri dan juga penonton di TV1 Ahad lalu boleh turut merasai denyut jiwa M Nasir semasa menghasilkan lagu ini.

Kepada penonton di auditorium, M. Nasir mengakui, dia terlalu serius semasa menghasilkan lagu Masirah. Keseriusan ini tentunya bertolak daripada kemanusiaan yang semakin parah dan dibuktikan dengan tragedi yang menimpa Mohamad.

Semasa M Nasir menyanyikan Masirah, ternyata tidak ada yang bertindak luar biasa atau mengamuk kerana lagu ini. Maka terbuktilah ketakutan kepada Masirah hingga disunting daripada siaran adalah suatu yang lebih menakutkan.

Untuk mencetuskan anjakan dalam persembahan hiburan di tv, lagu-lagu yang membawa definisi hiburan yang lebih luas sangat diperlukan. Konsert MHI M. Nasir kelihatan teranjak jauh dan meninggalkan satu nota; hiburan tidak semuanya memudaratkan.

Buktinya M. Nasir juga mengajak penonton menghayati peristiwa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar dalam karya besarnya, Raikan Cinta. Lagu ini menghiburkan dan pada masa yang sama ia boleh dimanfaatkan.

Penonton berdiri sambil menyanyikan Raikan Cinta dengan irama yang dipinjamkan dari Asia Barat. Dalam konsert yang disiarkan secara langsung selama satu setengah jam itu, M. Nasir mengisi dengan lagu-lagu yang mampu membawa satu rangsangan baru kepada masyarakat. Dia keluar dari ruang yang stereotaip dan mencipta satu interaksi yang sangat mesra antara penyanyi dan penonton.

Kepada mereka yang sering mengikuti persembahan konsert M. Nasir di tv sama ada di TV3, ntv7 atau RTM sebelum ini, apa yang disaksikan kali ini adalah kesinambungan gaya hiburan yang dipelopori sebelum ini. M. Nasir menjadikan penonton sebagai karakter bagi konsertnya.

Ternyata untuk mengubah mutu persembahan hiburan di tv, kecanggihan teknologi hanya kosmetik yang sekadar menambahkan keindahan. Tetapi teknologi tidak mampu menentukan nilai kecuali penglibatan minda dan curahan kreativiti penyanyi serta para pekerja seninya.

Konsert HMI Ahad lalu bukan berteknologi canggih. Malah tidak memerlukan sama sekali setting dan prop yang spektakular dan mewah.

M. Nasir menceriakan suasana dengan lagu yang diangkat daripada rentak wayang kulit, Langgam Pak Dogo. Suasana terasa sangat harmoni apabila membawa kanak-kanak berdikir di tengah-tengah pentas.

Konsert HMI ini memperlihatkan kelebihan apabila penyanyi mampu menyanyi dengan diiringi oleh persembahan muzik secara langsung. Malah kehadiran penyanyi korus juga terasa memberikan sumbangan yang besar apabila ditampilkan secara langsung.

Semasa menyanyikan Raikan Cinta pada Juara Lagu 2001 baru-baru ini, semangat dan jiwa muzik lagu itu seakan hilang apabila diiringi oleh muzik minus one. Tetapi apabila diiringi pemuzik dan penonton di Auditorium Perdana, sememangnya merekalah yang menghidupkan Raikan Cinta.

Tiada ulasan: