Rabu, September 26, 2001

Konsert Phoenix Bangkit di Singapura

petikan Utusan Malaysia 26 Sept 2001

PENYANYI dan komposer terkenal, M. Nasir akan mengadakan Konsert Phoenix Bangkit di Suntex City, Singapura pada 5 Oktober ini.

Konsert itu lanjutan daripada konsert yang sama dirakamkan oleh stesen ntv7 baru-baru ini.

Phoenix Bangkit M. Nasir menjadi isu hangat baru-baru ini apabila Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) memotong segmen deklamasi puisi dalam persembahan untuk siaran stesen itu.

Pengurus Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Mohd Khirin Omar berkata, pihaknya berharap, konsert itu akan mendapat sambutan hangat seperti Konsert Gembala M. Nasir yang diadakan pada tahun 1999.

Menurutnya, memandangkan kejayaan Konsert Gembala di Singapura itu, pihaknya dan Kawan Creative International Pte. Ltd. sekali lagi menganjurkan konsert penyanyi itu.

Konsert itu telah mendapat sokongan dan penajaan promosi daripada stesen radio dan televisyen di sana.

``Kami berharap akan menerima sokongan daripada semua media cetak di Singapura dan Malaysia supaya dapat menghangatkan lagi usaha-usaha promosi konsert itu,'' katanya.

Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir menyaksikan penyanyi itu membawakan lagu-lagu daripada album terbaru itu dengan lagu-lagu hit seperti Raikan Cinta, Phoenix Bangkit dan Langgam Pak Dogo.

Album M. Nasir yang mula dipasarkan pada pertengahan Jun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Kata Mohd Khirin lagi, pada konsert itu juga, M. Nasir akan mengimbas kembali lagu-lagu popularnya seperti Express Rakyat, Andalusia dan Kias Fansuri yang turut mengetengahkan 15 pemuzik termasuk penyanyi latar.

Selain itu, tambah beliau, persembahan M.Nasir juga akan turut diiringi oleh seorang pemain gendang Sunda yang diterbangkan khas dari Indonesia.

Mengenai pemilihan lokasi persembahan pula, Mohd Khirin berkata, kali ini, Konsert Phoenix Bangkit M. Nasir akan dipentaskan di dewan yang lebih besar bagi keselesaan peminat penyanyi itu.

``Daripada maklum balas yang diterima, kami amat gembira dengan peminat M. Nasir di Singapura yang sudah tidak sabar lagi menunggu persembahan M.Nasir,'' katanya.

Beliau memberitahu, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert itu boleh dibeli dengan harga S$48, S$68, S$88 dan S$108 di semua outlet SISTIC di Singapura dan juga menerusi Luncai Emas dengan menelefon 03-61561357 (Nieza).

Khamis, September 06, 2001

Penyair kecewa kebebasan berkarya disekat

petikan Utusan Malaysia 6 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin
Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) perlu melihat bahasa-bahasa puitis yang disampaikan di dalam puisi dan sajak daripada sudut yang pelbagai sebelum membuat penilaian terhadapnya.

Paling penting, mereka yang berkenaan perlu melihat mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang penyair daripada sudut intelek dan kefahaman yang luar biasa sifatnya.

Untuk menilai sesebuah karya, pihak berkenaan wajar melihat ia dari sudut pandangan sebagai seniman dan karyawan yang berjiwa besar.

``Jika kita melihat sajak dan puisi daripada sudut politik, ia akan menjadi isu politik.

``Tetapi jika kita melihat sesebuah karya daripada sudut pandangan sebagai seorang seniman, ia menghantar makna yang lebih mendalam dan jauh lebih intelek,'' kata penyanyi lagu-lagu puisi dan penyair Sani Sudin.

Sani mengulas mengenai tindakan LPFM yang tidak meluluskan penyiaran segmen puisi yang disampaikannya dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir, baru-baru ini.

Turut mendeklamasikan puisi dalam konsert yang disiarkan di stesen ntv7 itu ialah Pyanhabib dan Marsli N.O.

Penampilan penyair-penyair ini dalam konsert berkenaan sealiran dengan konsep itu yang disiarkan pada malam menyambut kemerdekaan negara yang ke-44 30 Ogos lalu.

LPFM mengeluarkan arahan berkenaan kepada stesen ntv7 dengan alasan sajak yang dideklamasikan oleh penyair terkemuka tanah air ini boleh mengundang kontroversi dan provokasi.

Di dalam konsert berkenaan, Nasir memilih tiga rakan baiknya itu untuk menyampaikan puisi masing-masing di dalam memberi nadi dan kelainan, berbanding dengan konsert yang pernah diadakannya sebelum ini.

Menurut Sani lagi, puisi seharusnya tidak hanya menceritakan perihal yang memuji-muji dalam sesuatu perkara.

Sebaliknya, ia boleh juga menyampaikan kritikan yang berada di tahap seharusnya dan semua pihak wajar menerimanya daripada sudut positif.

Sementara itu, menurut Marsli N.O, puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah Airku yang dideklamasikan olehnya pada konsert berkenaan dihasilkan bertolak daripada perasaan dan tanda tanya di dalam dirinya setelah melihat cara kebanyakan rakyat menyambut malam keramat, 31 Ogos.

``Puisi berkenaan mempersoalkan apakah sudah cukup untuk kita menjadi seorang warganegara Malaysia yang mencintai tanah airnya jika menyambut 31 Ogos dengan berdansa dan hiburan semata-mata?''

Menurutnya, jika kontroversi dijadikan alasan puisi berkenaan disekat penyiarannya, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

``Nama pun puisi. Banyak menggunakan bahasa perlambangan dan simbolik. Sebagai penyair, kami melihat sesuatu dari sudut pandangan yang berbeza,'' jelasnya yang didatangkan khas dari Pahang untuk terbabit dalam persembahan berkenaan.

Sementara itu, Pyanhabib yang turut muncul dalam konsert berkenaan mendeklamasikan sajak Assalamualaikum Malaysia yang ditulis pada awal tahun 80-an.

Sajak berkenaan pernah dibacakan di hadapan pemimpin-pemimpin negara dan di universiti tempatan di pelbagai tempat.

``Sajak ini mengenai kecintaan terhadap Malaysia tetapi daripada pandangan yang terbalik. Kalau orang lain cakap fasal merdeka setahun sekali, saya pun cakap fasal merdeka juga, tetapi `merdeka' yang bagaimana?.

``Semua orang dilahirkan berbogel, kemudian diberi berpakaian. Tetapi pakaian masing-masing tidak sama saiz dan coraknya,'' jelasnya, sinis.

Menyentuh mengenai LPFM, Pyan menjelaskan ``saya tak tahu apa relatifnya segmen puisi tu kena `gam'. Setahu saya, LPFM kerja tapis filem, bukan tapis puisi.

``Banyak kerja lagi yang sepatutnya LPFM tapis. Siri kartun TV bersepah babak yang sepatutnya mereka tapis,'' katanya lagi.

Sementara itu, M. Nasir yang kecewa dengan penilaian LPFM itu turut menjelaskan kenapa dia memilih puisi di dalam persembahannya selama satu setengah jam itu.

``Saya pilih mereka sebab itulah yang paling tepat dengan memaknakan hari kemerdekaan. Tidak ada apa-apa yang silap pada bacaan dan puisi mereka, pada pandangan saya,'' jelasnya.

Selain itu, deklamasi tiga penyair itu juga selari dengan aliran yang ingin disampaikan di dalam album Phoenix Bangkit itu sendiri. Nasir turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan LPFM itu dan menyifatkan persembahan penyair berkenaan sebagai sesuatu yang memberangsangkan walaupun daripada sudut hiburan.

``Sayangnya ia tidak sampai kepada penonton. Sesuatu yang tidak sampai, hasilnya tentu mengecewakan,'' katanya lagi.

Konklusinya, jika kontroversi menjadi alasan pihak LPFM untuk menidakkan penyiaran sajak berkenaan di TV, ia satu kesilapan besar.

Kreativiti seniman sewajarnya tidak disekat oleh pihak berkenaan kerana karya mereka seringkali menjadi penyampai mesej penting ke arah kesejahteraan dan keamanan negara.

Rabu, September 05, 2001

Konsert khas -- Lembaga penapis potong segmen puisi

petikan Utusan Malaysia 5 September 2001

Oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin

Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) telah memotong segmen deklamasi puisi oleh tiga penyair dalam konsert khas kemerdekaan, Phoenix Bangkit M. Nasir yang disiarkan di stesen ntv7 baru-baru ini.

Konsert yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-44 ini menampilkan penyair Marsli N.O, Pyanhabib dan Sani Sudin sebagai artis undangan.

Semasa menyaksikan rakaman itu pada 17 Ogos lalu, semua puisi-puisi itu menjurus kepada patriotisme dan kemerdekaan dalam bahasa yang puitis. Rakaman itu disiarkan di ntv7 pada malam menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Menurut sumber daripada ntv7, arahan itu diterima beberapa jam sebelum rakaman itu ke udara sedangkan pihak ntv7 telah menghantar rakaman untuk dinilai pada 27 Ogos lalu.

Difahamkan pemotongan segmen puisi itu dikatakan beberapa perkataan di dalam puisi-puisi berkenaan yang tidak sesuai dengan keadaan semasa dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada khalayak.

Justeru, ntv7 memilih untuk menyiarkan terus konsert berkenaan dengan memotong segmen tersebut meskipun agak terjejas kerana penampilan tiga penyair berkenaan turut memainkan peranan dalam konsert tersebut.

Marsli N.O mendeklamasikan puisi Menyintaimu, Aduhai Tanah airku yang disampaikan dalam nada yang keras dan mendalam maknanya.

Puisi itu mengajak masyarakat berfikir kembali cara-cara dan haluan yang sepatutnya dilakukan oleh generasi hari ini di dalam meraikan sambutan hari kemerdekaan negara.

Bait yang berbunyi ``Apakah bangsa berani dan merdeka ini berani jiwanya hanya dengan disemarakkan oleh nyanyi dan dansa di padang-padang''.

Marsli memilih untuk berbicara dengan khalayak melalui sajak tersebut tentang bagaimana seharusnya yang dinamakan bangsa yang besar dan merdeka jiwanya.

Puisi berkenaan juga menghantar mesej yang cukup murni dalam menghargai jasa-jasa pemimpin lama dan baru yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara.

Puisi Kembang Kempis oleh Sani Sudin pula mengenai kekuatan dalaman yang harus ada dalam diri seorang warga negara merdeka. Dideklamasikan dengan gaya bersahaja, Sani mendapat perhatian khalayak yang nyata cukup terhibur dengan caranya.

Tindakan LPFM memotong segmen puisi memberi gambaran puisi itu akan mencetuskan kontroversi atau provokasi kepada khalayak. Benarkah puisi itu bahaya dan kenapa pula arahan itu sampai ke saat akhir sebelum rakaman tersebut ke udara?

Ini adalah kontroversi terbaru LPFM yang bertindak ke atas program untuk TV. Sebelum ini LPFM mengharamkan penyiaran filem Tjut Nyak Dhien arahan Eros Djarot dari Indonesia yang juga dirancang disiarkan di ntv7.

Tjut Nyak Dhien adalah sebuah filem sejarah tokoh srikandi Acheh yang mengabdikan diri kepada perjuangan menentang Belanda. Arahan supaya tidak menyiarkan filem ini diterima sehari sebelum tarikh siarannya sedangkan ntv7 telah membuat banyak publisiti tentang filem tersebut.

LPFM tidak pernah sunyi daripada perhatian kerana kerap terjebak dengan tindakan yang kontroversi. Sebelum ini LPFM banyak diperkatakan kerana memotong babak yang ``difahami'' tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Malah pernah bertindak nekad mengharamkan filem tempatan, Fantasia arahan Aziz M. Osman dan Amok arahan Adman Salleh. Bagaimanapun akhirnya kedua-dua filem itu dilepaskan untuk tayangan dengan beberapa potongan.

Sementara itu M. Nasir ketika dihubungi berkata, dia kecewa dengan pemotongan itu kerana pada pandangannya kehadiran tiga penyair itu menepati konsep kemerdekaan yang hendak ditonjolkan.

``Bagi saya tidak ada yang silap dalam puisi mereka. Kena dengan konsep Phoenix Bangkit,'' kata M. Nasir.

``Benda dah lepas nak buat apa lagi. Tapi apa yang saya nak sampaikan tak tercapailah,'' kata penyanyi itu.