Ahad, November 25, 2001

Marlia Musa menanti bayi 1 Syawal

petikan Utusan Malaysia 25 November 2001

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA (saharudin@utusan.com.my)
BARANGKALI tidak ada yang lebih menggembirakan sifu industri muzik M. Nasir dan isterinya pelakon Marlia Musa selain daripada meraih dua anugerah dalam hidup mereka pada tahun ini.

Anugerah pertama ialah kelahiran album Phoenix Bangkit yang menyimpan 1,001 rahsia dan mistik kehidupan yang telah menemui peminat muzik tanah air pada bulan Jun lalu.

Album tersebut merupakan album sulung Nasir bersama syarikat rakaman yang baru dinaunginya iaitu Warner Music.

Anugerah kedua yang paling penting dalam hidup mereka pula sudah tentu kelahiran anak sulung Nasir bersama Marlia Musa yang dinikahinya pada 31 Ogos 2000.

Perkahwinan itu merupakan perkahwinan kali kedua Nasir selepas kematian isterinya, Allahyarham Junainah Johari pada 8 Ogos 1998.

Hasil perkahwinan itu Nasir dikurniakan lima orang anak, empat lelaki dan seorang perempuan.

Bagi Marlia pula, rumah tangga dengan Nasir merupakan perkahwinan kali pertamanya.

Lebih istimewa buat pasangan Nasir dan Marlia ialah tarikh kelahiran bayi mereka dijangka pada 1 Syawal 1422 Hijrah bersamaan 16 Disember depan iaitu pada Hari Raya Aidilfitri.

Bukankah itu takrif kemenangan yang cukup besar buat Nasir dan Marlia?

Ketika wartawan Mingguan bertemu Marlia pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman Warner Music Rabu lalu, Marlia, 34, menceritakan perasaannya ketika ini.

Sebagai wanita yang belum berpengalaman melahirkan cahaya mata, anak kepada pasangan Allahyarham Musa Al-Bakri (pelakon drama) dan Zaiton Shamsuddin (bekas juruhebah radio) ini mengakui perasaannya terlalu gembira bercampur takut.

``Seronok ada, takut pun ada. Saya tidak pernah ada pengalaman melahirkan anak, jadi macam-macam perasaan bermain-main di fikiran saya pada ketika ini,'' katanya yang tidak henti-henti menyimpul senyuman sepanjang perbualan kami.

Meskipun begitu, Marlia bertuah kerana dalam waktu-waktu sebegini, Nasir sentiasa berada di sisi.

Selain memberi sokongan moral, Nasir juga sentiasa memastikan isterinya berada dalam keadaan yang selesa.

``Abang Nasir punya pengalaman melihat bagaimana lima orang anaknya terdahulu dilahirkan. Pengalaman melihat mereka membesar banyak membantu Abang Nasir menenangkan saya,'' kata Marlia menceritakan bagaimana Nasir mengambil berat tentang dirinya.

Mengikut apa yang diceritakan oleh Marlia, Nasir seorang yang cukup cool dalam apa juga keadaan.

``Kalau dia (Nasir) turut sama takut dan nervous mungkin keadaan saya menjadi kelam-kabut... tetapi alhamdulillah perkara itu tidak berlaku,'' tambah Marlia lagi.

Sekarang pantang ada masa lapang Marlia - yang sudah disahkan oleh doktor bakal menimang cahaya mata perempuan hasil pemeriksaan jantina bayi yang dilakukannya sebelum ini - banyak membaca buku-buku mengenai kelahiran bayi.

Dia dan suaminya juga tidak ketinggalan sudah merencanakan nama yang mahu diberikan kepada `orang baru' dalam keluarga besar itu.

Bagaimanapun, Marlia enggan mendedahkan nama yang sudah dipilih oleh dia dan Nasir.

``Biarlah ia menjadi rahsia terlebih dahulu. Bila sampai masanya nanti saya akan umumkan,'' ujarnya.

Marlia dan Nasir memilih sebuah pusat perubatan di Subang, Selangor sebagai hospital untuk Marlia melahirkan bayi tersebut.

Seperti juga wanita lain, Marlia awal-awal lagi sudah menyiapkan persiapan bukan sahaja untuk menyambut cahaya mata tetapi juga persiapan hari raya buat suami dan anak-anaknya selain daripada persiapan persekolahan.

Kata Marlia, persiapan itu telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

``Saya tidak mahu persiapan dilakukan dalam keadaan kelam-kabut. Kerana itulah saya sudah mempersiapkan segala-galanya sejak dua tiga bulan lalu.''

Lima orang anak Nasir yang turut di bawah penjagaan Marlia ialah Muhammad Ilham, 15, Muhammad Yassin, 13, Muhammad Hidayat, 7, Muhammad Syafii, 6 dan Nur Nilam Sari, 3.

Menurut Marlia, tahun 2002 bakal memberi cabaran baru buatnya kerana tahun depan Ilham bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Syafii pula akan memulakan alam persekolahan.

``Saya bersyukur kerana Abang Nasir memberikan perhatian yang cukup rapi kepada anak-anak.

``Abang Nasir tegas dalam mendidik tetapi cukup mesra. Dia disayangi oleh anak-anak,'' kata Marlia, bekas Pensyarah Jabatan Teater di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Mengenai sambutan Ramadan pula, walaupun sarat mengandung Marlia masih tidak lupa tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima orang anak M. Nasir.

Seperti isteri dan ibu lain, dia juga tidak terlepas daripada menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk mereka sekeluarga.

``Abang Nasir lebih gemar makan di rumah berbanding di luar. Kalau bukan bulan puasa sekalipun, Abang Nasir akan pastikan dia pulang ke rumah untuk menikmati makan malam.

``Cuma sesekali bila ada jemputan makan di luar saya perlu temankannya,'' kata Marlia lagi.

Oleh kerana dirinya sarat menunggu masa bersalin, Marlia berkata, sambutan Syawal kali ini hanya diraikan di Kuala Lumpur.

Kata Marlia, saudara-mara suaminya dari Singapura dijangka meraikan lebaran bersama-sama mereka di Malaysia.

Sebelum menamatkan perbualan, Marlia berpesan kepada para peminatnya dan Nasir: ``Doakan saya selamat melahirkan bayi sulung saya ini.''

Tiada ulasan: